Halaman

11 July 2011

Malam Sentuhan Songket meriah dan mempesonakan

Oleh: Aida Abd Rahman



Malam Sentuhan Songket berlangsung penuh meriah dan mempesonakan dengan pelbagai acara pentas yang mewarnai majlis kemuncak sempena penutup Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 yang berlangsung sejak 6 Julai dan berakhir kelmarin.

Majlis penutup yang berlangsung kira-kira tiga jam itu dihadiri Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan Yang Dipertuanya, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bersama isteri masing-masing turut hadir memeriahkan majlis itu.

Selain persembahan nyanyian oleh dua penyanyi cilik dari Terengganu yang menambahkan kehangatan malam yang bertemakan tenunan songket, majlis turut diserikan dengan persembahan fesyen songket oleh 16 `model sambilan’ di kalangan anak-anak Serikandi termasuk dua anak perempuan Menteri Besar.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyampaian hadiah dan trofi kemenangan bagi kejohanan tenpin boling dan badminton.

Pasukan Bakisa (Sabah) yang diketuai Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin muncul johan selepas mengalahkan naib johan, pasukan Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dengan mata 4-1. Pasukan Bistari (Melaka) yang menumpaskan Baiduri (Perak) dengan mata 3-2 meraih tempat ketiga.

Sementara Pasukan Baiduri (Perak) muncul juara dalam pertandingan tenpin boling dengan jatuhan pin sebanyak 4,363, diikuti naib johan milik pasukan Kasih (Selangor) (3,954 jatuhan pin) dan tempat ketiga pula dimenangi Bakti dengan 3,879 jatuhan pin.

Datin Azizah Salleh dari pasukan Baiduri A (Perak) yang berjaya mencatat jatuhan pin terbanyak (200) muncul pemain yang membuat jatuhan pin tertinggi.

Pada penghujung majlis, beberapa ahli Serikandi turut menunjukkan bakat menyanyikan lagu tradisional bersama artis kebudayaan negeri.

Sebelum itu, acara penyerahan bendera kejohanan PTIWRBNM kepada Yang Dipertua Teratai, datin Sri Diraja Dato’ Hajah Junaini Kassim selaku ketua kontinjen Pahang turut diadakan sebagai simbolik Pahang selaku hos program itu pada tahun depan.

Negeri Terengganu dekat di hati
Dari jauh kontinjen datang ke mari
Kenangan bersama sentiasa diingati
Akan dikenang saban hari

Bermain bola di tengah padang
Cuacanya panas bukan kepalang
Kalau ada umur yang panjang
Jumpa lagi di negeri Pahang