Halaman

25 July 2011

Bijak cari pasaran, elak lambakan hasil

Oleh: Suriati Ali


Dato' Seri Haji Ahmad Said melihat hasil pertanian selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Satdium Gong Badak, Kuala Terengganu. - (Foto: Zulkipli CW Putra.)

Golongan petani, penternak dan nelayan di negeri ini perlu bijak, kreatif dan berani meneroka ilmu berkaitan teknologi supaya mampu memasarkan produk masing-masing sehingga ke luar negara.

Langkah itu wajar disahut mereka berikutan bukan saja mampu menambah pendapatan malah dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar import bahan mentah terutama beras, cili dan daging dari pelbagai negara.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pada masa sama, mereka perlu mengakui kecanggihan teknologi pertanian di negara jiran terutama Thailand di mana mempunyai perancangan sistematik dalam semua aspek.

Katanya, sebagai contoh, golongan sama di negara itu, tidak pernah merasai lambakan hasil terutama buah-buahan seperti yang sering dialami di Malaysia hampir setiap tahun.



“Mereka rajin dan bijak mencari idea supaya setiap hasil yang diusahakan memberi manfaat dan keuntungan dalam semua aspek.

“Sebagai contoh mereka mampu merancang pokok durian, duku, langsat, rambutan dan sebagainya berbuah mengikut bulan tertentu supaya tidak berlaku lambakan buah ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi (24 Julai).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris;
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.
Seramai 60,000 pengunjung pelbagai kaum dan peringkat umur dijangka hadir pada program yang diadakan selama lima hari dan berakhir 28 Julai itu.



Manakala, kira-kira 150 peserta mengambil bahagian dengan membuka ruang pameran dan gerai jualan buah-buahan tempatan, ternakan serta tangkapan.

Pelbagai aktiviti sampingan dianjurkan bagi menarik minat pengunjung termasuk pertandingan memancing, kucing cantik, kraftani, menjala buah-buahan, kukur dan kupas kelapa, memasak berasaskan hasil pertanian, menangkap belut; pertunjukkan jamu; makan durian percuma dan seminar kepenggunaan.



Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu dia kesal dengan sikap segelintir penerima bantuan alatan pertanian, nelayan dan menternak yang masih berfikiran sempit dan malas berusaha untuk mengubah nasib keluarga masing-masing.

“Mereka sanggup menjual hasil sumbangan bagi mendapatkan keuntungan mudah. walaupun menyedari ia mampu mengubah nasib keluarga jika bijak memanfaat peralatan yang diagihkan,” katanya



Sasar kutip RM1.3 juta hasil belanja pengunjung

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri mensasarkan lebih RM1.3 juta pendapatan mampu dikutip hasil perbelanjaan pengunjung ke program Hari Peladang, Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Seramai 60,000 pengunjung pelbagai kaum dan peringkat umur dijangka hadir sempena program yang diadakan selama lima hari dan berakhir 28 Julai itu.

Manakala, kira-kira 150 peserta mengambil bahagian dengan membuka ruang pameran, gerai jualan buah-buahan tempatan, gerai hasil ternakan dan gerai hasil tangkapan.

Pelbagai aktiviti sampingan dianjurkan bagi menarik minat pengunjung termasuk pertandingan memancing, kucing cantik, kraftani, menjala buah-buahan, kukur dan kupas kelapa, memasak berasaskan hasil pertanian, menangkap belut; pertunjukkan jamu; makan durian percuma dan seminar kepenggunaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris, pihaknya akan berusaha meneruskan program seumpama ini berikutan mampu memberi manfaat dan meningkatkan jumlah pendapatan kepada peserta.



“Ini dapat dibuktikan hasil daripada kutipan kira-kira RM185,000 sepanjang dua hari program berlangsung dan jumlah ini dikira berdasarkan perbelanjaaan lebih 12,000 pengunjung sepanjang tempoh sama,” katanya ketika berucap sempena program itu di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi (24 Julai).

Aktiviti itu nyata dapat memupuk semangat dan memberharui azam peserta supaya berusaha lebih gigih dalam meningkatkan kualiti hasil pertanian, ternakan dan penangkapan ikan.

YB Haji Asha’ari berkata, orang ramai terutama peserta sewajarnya mengambil manfaat sepenuhnya sepanjang program ini berlangsung dengan mempelajari kaedah dan teknologi terkini daripada pihak berkaitan supaya tidak ketandusan idea untuk memasar dan merekabentuk produk masing-masing.



Dua atlet kanu raih insentif tertinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlet kanu, Nurul Farahim Wahab, 21, merekod sejarah tersendiri apabila menerima durian runtuh berjumlah RM32,000 daripada kerajaan negeri selepas berjaya meraih enam pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011 bulan lalu.

Nurul Farahim turut memecah dua rekod kejohanan pada temasya itu, selain menerima RM5,000 bagi setiap emas yang berjaya dimenanginya.

“Ini adalah hadiah dan sumbangan yang cukup bermakna daripada kerajaan negeri buat saya dan juga atlet lain yang berjaya mengharumkan nama negeri. Saya akan menggunakan duit ini dengan sebaik mungkin selain menyimpannya untuk kegunaan masa depan,” kata atlet berasal dari kampung Kijing, Marang itu.
Sebelum ini, anak kedua daripada empat beradik pernah menerima RM8,000 hasil kemenangan dalam tiga kategori pada Sukma Melaka ke-13 yang lalu.

Majlis penyampaian insentif kemenangan Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011 disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Selain Nurul Farahim, Siti Rajiah Ali,21, turut menjadi antara penerima tertinggi pada Sukma kali ini apabila membolot RM30,000 menerusi enam pingat emas yang dikutip sepanjang temasya itu berlangsung.

Pada Sukma edisi lalu, Siti Rajiah merupakan atlet yang menerima insentif tertinggi selepas menggondol tujuh pingat emas yang menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai diterimanya RM35,000. Dia turut mendapat sebuah motosikal Honda Icon 108cc sumbangan peribadi Menteri Besar.

Dua lagi atlet kanu yang turut mendapat habuan masing-masing atas pencapaian gemilang di Sukma lalu, Mohd Syafwatuddin Mohd Azaha (RM20,000) dan Noraishah Yahya (RM17,000).

Selain itu, dua atlet berbasikal, Zahraa Anuawar (RM16,000) dan Ummi Hamimah Mohamad (RM15,000) serta acara mendayung, Mohd Syazwan Abdul Aziz dan Wan Mohd Taufik Mukhtar masing-masing memperolehi insentif RM10,000.

Kesemua habuan yang disampaikan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan kira-kira RM900,000 yang diagihkan sebagai insentif kemenangan sempena temasya Sukma 2011.




Strategi realisasi TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu giat menyusun strategi bagi memastikan sasaran peningkatan 20 peratus setahun kadar pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 mampu direalisasikan.

Sasaran peningkatan kedatangan pelancong itu juga sejajar dengan hala tuju Rancangan Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu (RPPNT) bagi tempoh 2009 hingga 2013 yang turut menekankan dua strategi utama yang lain iaitu memperkasakan produk pelancongan dan merakyatkan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri merancang program promosi dalam serta luar negara yang lebih fokus dengan mengenal pasti segmen pasaran khusus yang memberi tumpuan kepada destinasi serta produk pelancongan Terengganu.

“Kerajaan sentiasa mencari peluang dan ruang bagi menempatkan diri dalam sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan dalam mahupun luar negara melalui Tourism Malaysia termasuk menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Selain itu, Dato’ Abdul Rahin berkata, Terengganu turut memberi tumpuan kepada penganjuran acara pelancongan berasaskan destinasi seperti Kapas Marang International Swimathon; Fiesta Candat Sotong; Terengganu Master Golf Invitational; Kenyir Cup; Perhentian Island Challlenge; Kenyir Lake International Triathlon dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun.

Katanya, pihaknya juga akan memastikan jalinan media terus diperkukuhkan dalam usaha menggunakan platform itu bagi menonjolkan imej pelancongan negeri yang positif di mata dunia.

“Kita juga akan memastikan publisiti dan promosi dibuat secara tepat dan menyeluruh melalui majalah tempatan dan antarabangsa seperti KL Vision, Traveller’s Digest, Aswa, Libur dan MAS Going Places Inflight Magazine.

Selain itu, dalam aspek merakyatkan pelancongan, kerajaan akan memberi tumpuan bagi melaksanakan program pembangunan modal insan dan menyediakan skim insentif kepada usahawan dalam sektor pelancongan serta memperluaskan pelaksanaan program inap desa di setiap daerah.

Dalam pada itu, RPPNT turut mensasarkan enam hari dan 5.5 hari sebagai purata hari penginapan pelancong asing dan domestik ke negeri ini bagi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 berbanding 4.8 hari dan 3.4 hari yang direkodkan pada TMT 2008.

Sasaran itu selaras dengan hasrat untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negeri sebanyak 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada penghujung 2013.

Peningkatan purata hari penginapan (2013) itu juga dijangka mendorong kepada peningkatan jumlah perbelanjaan pelancong asing kepada RM500 dan pelancong tempatan kepada RM350 seorang, berbanding RM330 (pelancong asing) dan RM200 (pelancong tempatan) pada 2009.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan produk pelancongan sedia ada di samping memberi nilai tambah semua tempat peranginan yang ada.




24 July 2011

Konvensyen BN Terengganu mantapkan perpaduan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Terengganu 2011 yang bertemakan `BN Di Hatiku- Persediaan Menghadapi PRU 13’, telah berakhir petang semalam dengan majlis penutup dirasmikan Ketua Penerangan BN Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan.

Bermula dengan majlis perasmian yang dilakukan Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang meminta parti komponen BN supaya muhasabah diri, rata-rata perwakilan menyentuh isu perpaduan dan kesetiaan kepada pakatan BN yang bakal menjadi tonggak bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini dan negara Malaysia.

Konvensyen itu merumuskan 13 resolusi utama berasaskan kluster dan diperincikan lagi melalui beberapa resolusi berfokus yang telah dipersetujui bersama, termasuk:

Menginsafi agar perpaduan dalam BN supaya tidak luntur dan terhakis, maka agenda memperkasa perpaduan parti komponen dari segi persepsi dan tindakan wajar diperhebatkan bagi memenangi hati nurani rakyat ke arah kesinambungan kuasa pemerintahan.

Menyedari kepimpinan yang dinamik menjadi tulang kekuatan parti, maka agenda memastikan pemimpin BN di semua peringkat sentiasa siap siaga, cakna rakyat dan mempunyai daya juang, daya saing dan daya tahan yang tinggi serta mampu memenangi hati rakyat.

Menginsafi kemantapan kepimpian menjadi pasak kepada keutuhan parti, maka agenda mempertingkat ketelusan, integriti dan keperibadian mulia dalam kalangan ahli dan pemimpin parti agar menjadi suri teladan bagi memenangi hati rakyat.

Memahami hakikat pembentukan modal insan menjadi teras pembinaan negara pada masa depan, maka agenda merealisasikan institusi bukan sahaja sebagai agen pembangunan sumber manusia, tetapi juga sebagai pemangkin perpaduan.

Menyedari keperluan dalam pasaran pekerjaan semasa yang menjurus kepada kemahiran, maka agenda melebar luas bidang dan jurusan kemahiran teknikal dan vokasional kepada kumpulan pelajar berprestasi rendah perlu dioptimumkan bagi menjana tenaga berkemahiran tinggi.

Menginsafi sektor ekonomi merupakan tonggak kesejahteraan rakyat, maka agenda memapankan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dilaksanakan secara bersepadu, berfokus, adil, saksama dan bijaksana agar dapat dinikmati bersama golongan berpendapatan rendah.

Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya turut meminta semua pihak melupakan ‘cerita lama’ dan saling bermaaf-maafan sesama mereka dan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Umno dan BN bagi menghadapi PRU 13.

Permintaan ikhas beliau perlu diterima dengan hati terbuka dan semua pihak tidak lagi menoleh ke belakang, tetapi sebaliknya bekerja bersungguh-sungguh bagi menggerakkan jentera parti.

Dato’ Ahmad Maslan pula meminta semua parti komponen ‘menjual’ produk BN yang ternyata amat baik dan berkualiti bagi memikat rakyat dan penduduk negeri ini memberi undi mereka kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, musuh BN sentiasa berusaha untuk menjatuhkan mereka dan mereka perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman musuh yang datangnya dari segenap arah.

Tidak ada petua atau ubat terbaik bagi parti komponen BN untuk menang pilihan raya, kecuali setiap orang dari pemimpin hingga orang bawahan, perlulah mengetepikan kepentingan diri dan tidak menikam sesama sendiri bagi kepuasan diri semata-mata.

Semua ahli parti komponen perlu meletakkan agenda dan perjuangan BN pada tahap paling tinggi dan sanggup berkorban apa saja bagi memastikan calon-calon BN menang pada PRU 13.

Jika mereka sanggup berbuat demikian, tidak mustahil BN bukan saja boleh menang dengan majoriti dua pertiga di Terengganu, tetapi lebih banyak kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini dapat dikembalikan semula ke pangkuan BN.

Ketua Pengarah Penerangan jumpa MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib




Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Haji Ibrahim Abd Rahman serta beberapa pegawai kanan jabatan itu, di pejabat Menteri Besar, petang ini.



Pertemuan Menteri Besar dengan Haji Ibrahim yang juga merupakan kenalan lama ketika sama-sama menuntut di Universiti Sains Pulau Pinang, berlangsung dalam suasana mesra dengan masing-masing bertanyakan khabar setelah lama tidak bertemu.

Turut serta dalam pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, YB Haji Kazan Che Mat dan Timbalannya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.



Pengarah Penerangan Negeri Terengganu, Hajah Azizah Awang turut serta dalam pertemuan itu yang lebih bertumpu kepada perbincangan mengenai isu-isu semasa dan kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Penerangan bagi mengadakan program penerangan kepada rakyat negeri ini.


LPSC dibina untuk tingkat kemahiran angota polis

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri akan membina Lapang Sasar Menembak Antarabangsa (LPSC) di kawasan seluas enam hektar bertujuan meningkatkan lagi kemahiran kecepatan, kederasan dan ketepatan setiap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata lokasi untuk membina kemudahan terbesar di pantai timur itu masih dalam perbincangan dan akan ditentukan polis sekiranya mendapat kawasan yang besesuaian.

Katanya, LPSC yang bernilai RM100,000 itu, bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden dan terkini termasuk lapang sasar menembak pistol jarak 30 meter dan dewan serbaguna.



“Pembinaan kemudahan itu bukan saja memberi semangat kepada anggota PDRM untuk mempertingkatkan lagi kemahiran masing-masing malah memberi peluang kepada masyarakat luar untuk menyertai sukan menembak.

“Aktiviti ini mungkin masih asing bagi penduduk Terengganu tetapi mereka boleh menyertainya selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya kepada media selepas menjalani Ujian Kemahiran Menembak Bersama Pemimpin Kerajaan Terengganu dan Persekutuan di Lapang Sasar Bukit Bidong Darat, Setiu, hari ini (24 Julai).

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Adun Jabi YB Haji Ramlan Ali; Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Dato’ Jamshah Mustafa dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Terengganu, Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah.

Aktiviti yang disertai lebih 50 peserta termasuk Dato’ Seri Haji Ahmad, YB Haji Khazan, SAC Dato’ Jamshah dan beberapa petugas media itu diadakan bagi memperingati Hari Polis ke 204.



SAC Dato’ Jamshah berkata, jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan peruntukan bagi membina LPSC terbesar di pantai timur yang sudah lama dinantikan setiap anggota polis.

“Pihak kami akan menggunakan kemudahan itu sebaik mungkin dengan menempatkan beberapa anggota berpengalaman setiap kali mengadakan latihan menembak atau menganjurkan aktiviti yang berkaitan.

“Penganjuran acara peringkat antarabangsa akan diusahakan sebagai langkah menaik imej Terengganu dan PDRM di mata dunia dan masyarakat,”.


Pembangunan infra RM4.3 juta di DUN Batu Burok

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tetap memberi tumpuan khusus dan mementingkan kehendak rakyat tanpa mengira latar belakang politik serta kawasan penempatan mereka sama ada tinggal di kawasan kerajaan mahupun pembangkang.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok yang menjadi kubu kuat Pas sejak beberapa penggal lalu juga tidak pernah sepi dan tandus daripada mendapat limpahan pembangunan prasarana dan bantuan kebajikan daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Pegawai Penyelaras DUN, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata pihaknya mencadangkan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan dan faedah rakyat di DUN berkenaan sejak dulu dan diteruskan sehingga kini.

Antara pembangunan prasarana yang sedang dan bakal dibangunkan pada tahun ini termasuk balai raya baru di Pantai Batu Buruk dan Kampung Nibong Hilir, dewan baru di Permint Jaya, masjid di Kampung Bukit Depu dan surau baru di Lot perpindahan Tok Adis Fasa III, Kuala Ibai.

Kesemua projek pembangunan itu dianggarkan bernilai lebih RM4.3 juta.

“Sebagai wakil kerajaan dan diberi mandat supaya menjaga kepentingan dan memenuhi kehendak penduduk di seluruh DUN (Batu Burok), kita bertanggungjawab menggariskan beberapa projek pembangunan di kawasan ini.

“Di Permin Jaya, penduduk memerlukan dewan serbaguna yang baru bagi menggantikan dewan sedia ada yang semakin uzur dan sempit untuk menampung kapasiti penduduk di kawasan itu setiap kali diadakan program kemasyarakatan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Malah, beliau turut berharap dewan baru yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM2 juta dipohon sejak 10 tahun lalu itu mampu menjadi kenyataan dan dapat digunakan oleh penduduk setempat dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Selain itu, kos membina dua balai raya di Pantai Batu Buruk dan Kampung Nibong Hilir pula bernilai kira-kira RM250,000. Manakala masjid untuk penduduk sekitar kampung Bukit Depu pula melibatkan kos lebih RM1.5 juta.

“Surau baru di kawasan Lot Perpindahan Tok Adis pula sudah mula dilaksanakan memandangkan tanah bagi membangunkan surau yang berharga kira-kira RM300,000 itu sudah direzabkan bagi tujuan itu, baru-baru ini.

“Kita harap pembinaan surau itu dapat dipercepatkan dan siap pada tahun depan bagi member kemudahan kepada penduduk yang tinggal di sekitar kawasan itu mengerjakan ibadat,” katanya.



Maidam sedia RM15 juta untuk bantuan Aidilfitri

Oleh: Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM15 juta bantuan zakat untuk diagihkan kepada 30,000 orang fakir miskin di seluruh negeri bagi persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.



Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman berkata, pengagihan bantuan berkenaan sedang berjalan dan dijangka selesai sebelum puasa.

“Tahun ini kita percepatkan pengagihan bagi memberi peluang golongan fakir miskin dapat membuat persiapan menyambut ketibaan Ramadan dan Hari Raya Puasa,” kataya kepada pemberita pada sidang media di pejabat Maidam hari ini.

Katanya, terdapat dua skim pengagihan yang dibuat Maidam iaitu golongan miskin terdiri daripada mereka yang pendapatan isi rumah RM750 manakala fakir pula pendapatan isi rumah RM450 sebulan.

“Bagi yang mempunyai tanggungan empat orang dan ke atas menerima RM450 manakala mereka mempunyai tanggungan tiga orang ke bawah akan menerima RM350,” katanya.

Haji Wan Harujan kemudianya mengingatkan kepada mereka yang tidak layak jangan sekali-kali menerima bantuan zakat raya ini kerana maklumat yang diterima pihak Maidam kadang-kadang tidak bertepatan dengan situasi sebenar dan ia memerlukan kejujuran semua pihak.

Katanya, tahun lepas seramai 3,000 penerima yang tersenarai telah menolak dari menerima bantuan zakat raya yang disediakan Maidam.




Umat Islam disaran bayar Fitrah awal

Oleh: Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar Fitrah bagi negeri Terengganu tahun 1432H/2011M adalah RM8, RM7 dan RM5 bagi seorang.



Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Haji Mazlan Hashim berkata, setelah mendapat perkenan daripada Pemangku Raja Terengganu,Tengku Muhammad Ismail, kadar ini dikekalkan sama seperti tahun lepas.

“Masyarakat Islam di negeri ini boleh membayar Fitrah secara tunai dengan kadar di atas atau di bayar dengan beras dengan kadar timbangan 2.70 kilogram atau 2.97 cupak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Maidam hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman dan Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan Harta) Encik Idham Mustafa.

Katanya, Maidam telah melantik 1,200 amil dan akan beroperasi di setiap masjid dan surau seluruh negeri bagi mengutip fitrah dan zakat harta bagi tahun ini.

“Orang ramai juga boleh membuat bayaran Fitrah dan zakat Harta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi pelanggan Celcom dan Maxis,” katanya.

Menurut Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan, sehingga ini sejumlah RM19,000 berjaya dikumpul bagi pembayaran melalui SMS oleh umat Islam di negeri ini.



“Maidam mensasarkan kutipan Fitrah tahun ini sekitar RM5.8 juta berbanding tahun lalu RM5.5 juta dan ini menyumbang kepada tujuh peratus dari jumlah kutipan zakat keseluruhan RM76.4 juta,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan orang ramai agar membuat bayaran Fitrah dan zakat kepada amil yang dilantik Maidam dan menjadi kesalahan sekiranya pembayaran dibuat melalui orang tengah atau amil swasta.

Katanya, mereka yang enggan atau sengaja tidak membuat bayaran kepada amil yang dilantik, boleh disabitkan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebih dua tahuan atau keduanya sekali.

Beliau seterusnya, menasihatkan orang ramai agar dapat menunaikan Fitrah seawal mungkin bermula satu Ramadan bagi mengelak kesukaran terutama pada waktu akhir wajib pembayaran iaitu sebelum solat Aidilfitri.

Dato’ Senara Muda, Dato’ Haji Mazlan kemudiannya turut melancarkan dua buku bertajuk ‘Risalah Ramadan dan Azan dan Iqamah Fadilat Pelbagai Hukum’ untuk panduan umat Islam menjalani kehidupan harian.