Halaman

14 August 2011

Tindakan serah semula wang zakat wajar dipuji

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan 21 penerima zakat di negeri ini yang menyerahkan semula wang bantuan tersebut kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sewajarnya dicontohi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, wang bantuan zakat itu perlu diserahkan kembali kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

Katanya, semua pihak perlu memberi penekanan serius dalam mengagihkan wang zakat, terutama dengan memastikan setiap penerima adalah golongan asnaf.

"Kalau ada yang rasa mereka tak layak terima zakat, mereka boleh semak terlebih dahulu. Jika tak layak, jangan terima wang zakat.

"Kita tak mahu tanggung dosa orang kerana ini bukan kerana belas kasihan tapi ini berkaitan hukum," katanya.

Maidam memperuntukkan RM15 juta bantuan zakat untuk diagihkan kepada 30,000 orang fakir miskin di seluruh negeri bagi persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Tahun ini kita percepatkan pengagihan bagi memberi peluang golongan fakir miskin dapat membuat persiapan menyambut ketibaan Ramadan dan Hari Raya Puasa,” kataya

Katanya, terdapat dua skim pengagihan yang dibuat Maidam iaitu golongan miskin terdiri daripada mereka yang pendapatan isi rumah RM750 manakala fakir pula pendapatan isi rumah RM450 sebulan.

“Bagi yang mempunyai tanggungan empat orang dan ke atas menerima RM450 manakala mereka mempunyai tanggungan tiga orang ke bawah akan menerima RM350,” katanya.


SME Corp anjur program di Jheat

Oleh: Suriati Ali

SME Corporations Malaysia (SME Corp) Terengganu menganjurkan Mini Showcase Persijilan Halal Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Terengganu di Ruang Legar Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) hari ini (14 Ogos).

Pengarah SME Corp Malaysia Terengganu, Mohd. Farid Awang berkata, program sehari itu bertujuan memberi pendedahan dan maklumat kepada orang awam terutama pengusaha IKS mengenai kepentingan dan proses ke arah memperoleh persijilan halal.

Lapan agensi yang berkaitan dengan persijilan halal akan terlibat termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jheat, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kimia, SIRIM, Focus Group Pengurusan Persijilan Halal (FGPPH), SME Corp dan Halal Industri Development Corporation (HDC).



SolarTIF labur RM20 juta di Chendering

Oleh FAUZI MOHD

Syarikat pengeluar panel solar milik bumiputera, SolarTIF Sdn. Bhd. bakal mengembangkan operasi perniagaannya dengan membina kompleks kilang baru di kawasan seluas 1.2 hektar di Chendering, Kuala Terengganu.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu bakal dilengkapi pelbagai prasarana dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Ezan Zairi berkata, projek tersebut akan melalui tiga fasa pembinaan dan keseluruhan projek dijangka mengambil masa antara 12 bulan hingga 18 bulan untuk siap.

Tambah beliau, fasa pertama pembinaan membabitkan sebuah blok setinggi empat tingkat yang menempatkan unit pengeluaran.

Fasa kedua pula jelasnya, mengandungi ruang pejabat, asrama, restoran, bangunan latihan manakala untuk fasa ketiga menempatkan surau, kolam renang, rumah rehat dan taman solar.

"Buat masa ini kita sedang dalam proses perundingan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk di segi pelepasan pembangunan untuk memajukan tanah dan tanah ini adalah milik kita.

"Jika segala-galanya berjalan lancar, ia akan mula dibina pada tahun depan. Kilang baharu ini hanya terletak 200 meter dari kilang sedia ada di kawasan perindustrian Chendering," katanya di sini baru-baru ini.

Sebaik sahaja kilang itu siap kelak, Shamsul Ezan berkata, pihaknya menyasarkan pengeluaran kira-kira 250,000 panel solar 50 megawatt (mw) dihasilkan pada tahun 2013 manakala kira-kira 500,000 panel solar 100 mw pada 2015.

"Sejak ditubuhkan pada Jun 2007 lalu, syarikat ini mempunyai tiga cawangan operasinya di Serdang dan Bangi di Selangor serta di Chittagong, Bangladesh," ujarnya.


Ladang Rakyat rai 200 anak yatim

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI



Tidak ketinggalan mencari barakah sempena Ramadan ini, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. meraikan lebih 200 anak yatim dalam majlis berbuka puasa di kediaman Pengerusi syarikat itu di Geliga, Kemaman, petang semalam.

Selain dijamu dengan hidangan pelbagai jenis variasi lauk, anak-anak yatim terbabit turut diberi sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Pengerusi anak syarikat kerajaan negeri itu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, program itu sebahagian daripada komitmen syarikat perladangan itu dalam melaksanakan kebajikan sosial kepada masyarakat yang memerlukan perhatian.

“Majlis itu diadakan bagi meraikan golongan anak yatim agar mereka berasa dihargai dan tidak merasa terpinggir dari keperihatinan masyarakat lain khususnya menjelang hari raya nanti.

“Ia juga diharap dapat menarik minat organisasi korporat yang lain untuk turut sama menyalurkan bantuan dalam meringankan beban golongan berkenaan,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar.

Sejurus majlis itu, Menteri Besar bersama-sama dengan masyarakat setempat menunaikan solat sunat Terawih di Masjid Geliga, Kemaman.










50 Penduduk miskin dari DUN Kota Putera terima sumbangan

Oleh: Mohammad Ishak


Tengku Baharuddin menyampaikan sumbangan makanan kepada seorang penduduk sambil diperhatikan oleh YB Muhammad Pehimi

Seramai 50 golongan miskin dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, menyifatkan diri mereka bertuah kerana dikunjungi seorang kerabat Raja yang sanggup turun padang menemui mereka sempena Ramadan tahun ini.

Kehadiran Seri Paduka Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmood bersama rombongan ahli Kelab Permotoran Teranggang (KPT) sesuatu yang ditunggu oleh penduduk kerana bukan mudah untuk bertemu dengan seorang kerabat raja.

Tengku Baharuddin yang juga presiden kelab berkenan bersama 12 penunggang motosikal berkuasa tinggi tiba di Dewan Kampung Tembila dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof.

Sempena kunjungan bersejarah itu, Tengku Baharuddin turut menyampaikan sumbangan makanan kepada golongan berkenaan untuk kegunaan sepanjang bulan Ramadan.

Muhammad Pehimi, bagi pihak pennduduk berkata pihaknya amat bangga dengan kunjungan rombongan KPT ke kampung berkenaan sambil menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung.

“Saya menganggap penduduk amat bertuah dan mencatat sejarah tersendiri kerana seorang kerabat raja sangup turun padang dan bersama-sama penduduk kampung,” katanya.

Katanya, penduduk sanggup bersabar menunggu kehadiran rombongan semata-mata ingin melihat ahli KPT yang aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan di negeri ini.

Muhammad Pehimi berkata, dengan pemberian sumbangan makanan itu ia dapat membantu mengurangkan beban golongan terbabit terutama bagi melaksanakan ibadat puasa tahu ini.

13 August 2011

Sekitar Majlis Pembahagian Zakat di Ketengah Jaya dan Pembahagian Dana Raya di Dun Kijal



















Cukuplah menderma untuk PAS

Oleh FAUZI MOHD



Ahli dan penyokong PAS yang rasa tertipu dengan janji pemimpin mereka untuk menubuhkan negara Islam, dinasihatkan supaya tidak lagi membazirkan wang menderma kepada parti itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, ramai penyokong PAS terutamanya di peringkat akar umbi yang selama ini sudah banyak berhabis wang dan harta demi perjuangan parti itu sudah mula berfikir untung nasib mereka.

Katanya, ramai penyokong PAS tersentak dengan sikap gelojoh pemimpin parti itu menggantikan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan demi meraih habuah lebih besar dengan menawan Putrajaya.

"Pemimpin PAS dilihat makin moden. Selain bernafsu besar untuk memiliki pejabat lebih selesa di Putrajaya, slogan parti mereka dah bertukar, imej dah bertukar, bangunan mereka makin besar dan mesyuarat di hotel-hotel mewah.

"Satu perkara yang masih tidak berubah sejak dulu hingga sekarang iaitu amalan mengutip derma daripada penyokong mereka setiap kali parti itu anjurkan ceramah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembahagian dana Hari Raya Aidilfitri kepada lebih 400 penerima di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu, Kijal, Kemaman, hari ini. Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Tambah Dato' Seri Ahmad, bagi memastikan parti itu terus bertahan, PAS akan melakukan apa sahaja termasuk memperjudikan kesucian agama Islam, asalkan cita-cita mereka untuk berkuasa tercapai.

"PAS sanggup buat macam-macam. Tukar slogan, tukar Timbalan Presiden lantik Mat Sabu (Mohammad Sabu), buang ulama, buat demontrasi, pakai baju kuning dan sebagainya.

"Itu semuanya kerana mahu menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. PAS tak ada cita-cita pun nak jadi Perdana Menteri. Pemimpin mereka buat itu semua kerana Anwar bukan kerana penyokong PAS di kampung-kampung," ujarnya.

Kata Menteri Besar, rakyat terutama peminat setia majlis-majlis ceramah PAS diingatkan berhati-hati dan berfikir panjang sebelum menderma kepada tabung parti itu.

"Setiap duit walaupun satu sen yang didermakan itu tidak pernah diaudit dan pemimpin Pas boleh buat apa saja ke atas duit tersebut.

"Cukuplah menderma untuk PAS. Parti itu sudah cukup kaya sekarang. Derma yang dihulurkan hanya untuk mengenyangkan perut-perut pemimpin PAS," ujarnya.

Terengganu terima pelaburan industri bioteknologi RM2 bilion.

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI



Kerajaan negeri yakin pelaburan industri berasaskan bioteknologi bernilai RM2 bilion di Zon Ekonomi Khas (SEZ), Taman Polimer Kertih, Kemaman, akan memainkan peranan penting bagi memperbaiki sosio ekonomi rakyat dan pembangunan keseluruhan negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pengumuman CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis untuk menubuhkan satu logi biometionina yang pertama di dunia itu bakal menggalakkan aktiviti ekonomi baru.

Menurutnya, program yang dimajukan dalam kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu turut melibatkan pembinaan platform tiokimia yang pertama di Asia yang dijangka menjana kira-kira RM20 bilion dari segi jualan kumulatif menjelang tahun 2020.

“Loji pengeluaran 80,000 tan metrik biometionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar bermula tahun depan dan dijangka beroperasi pada 2013.

“Di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada hamper 500 pekerja mahir dan separa mahir, projek itu akan menjadi rangsangan yang signifikan kepada ECER khususnya ekonomi Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembahagian zakat kepada 131 peneroka di Ladang Ketengah Jaya, Seri Bandi, Kemaman.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato’ Hamzah Ngah.

Dalam majlis itu, Dato’ Seri Ahmad Said turut menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 430 peneroka dan pekerja Ladang Ketengah Jaya.

Tambah Menteri Besar, CJ Cheiljedang adalah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua.

Manakala Arkema katanya, adalah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia dari negara Perancis.

“Pelaburan terbaru itu sudah pasti bakal memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi hiliran di sekitar kawasan berhampiran seperti Kemaman dan Dungun.

“Bagi pihak rakyat dan kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan Perdana Menteri kerana bersetuju melaksanakan projek kerjasama penting ini yang akan meningkatkan lagi pembangunan ekonomi Terengganu dan ECER secara keseluruhannya,” ujarnya.


Kawat dan Digi agih bubur lambuk



Penduduk Kampung Teluk Ketapang bergotong-royong mengacau bubur lambuk petang semalam untuk diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.

Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dengan kerjasama Syarikat Digi Communication menjadi penganjur program tersebut yang diadakan khusus bagi memeriahkan sambutan Ramadan tahun ini.

Kira-kira 50 penduduk kampung menyertai program tersebut yang diadakan di perkarangan Homestay Teluk Ketapang.

Program tersebut juga bertujuan merapatkan hubungan antara Kawat dengan penduduk kampong berkenaan serta jawatankuasa yang menguruskan Homestay Teluk Ketapang.

Pada sebelah petang, kakitangan Digi dan Kawat mengagihkan lebih 800 bungkus bubur lambuk kepada penduduk di sekitar kampung tersebut.

Hadir sama wakil Digi, Encik Mohd Fairose Harun dan Presiden Kawat, Ayob Mamat.











300 AHLI WANITA UMNO BESUT SERTAI TADARUS AL QURAN

Oleh: Mohammad Ishak


Wanita Umno Besut menyertai tadarus Al Quran di Masjid Kayu Seberang Jertih

Seramai 300 ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut dari seluruh bahagian itu menyertai program tadarus al Quran yang berlangsung di Masjid Kayu Seberang Jertih, di sini pagi tadi.

Program tahunan pada setiap Ramadan itu diadakan secara bergilir-gilir di masjid seluruh daerah itu bagi memberi peluang kepada penduduk setempat dapat hadir beramai-ramai selain dapat merapatkan hubungan antara ahli dan pemimpin.

Ketua Wanita Bahagian itu, Engku Naimah Engku Taib, berkata pada tahun ini pihaknya memilih Masjid Kayu Seberang Jertih yang baru digunakan sejak bulan Ramadan ini kerana ia satu tempat dianggap menarik dan strategik

Katanya, kehadiran ramai ahli menyertai program itu membuktikan wanita sentiasa bersedia dengan pelbagai aktiviti yang dirancang dalam usaha menarik minat wanita terhadap parti berkenaan.

“Menerusi program tadarus ia juga dapat membantu meningkatkan minat wanita terhadap al Quran selain memahami isi kandung ayat suci al Quran,” katanya.

Beliau berkata, mengambil berkat sempana Ramadan pihaknya lebih banyak menganjurkan program berbentuk keagamaan dan dakwah membabitkan ahli dan masyarakat Islam setempat.

“Usaha ini dilakukan secara berterusan bukan sahaja pada bulan yang mulia malah dari masa ke semasa Wanita Umno Besut sentiasa melaksanakan aktiviti berfaedah untuk ahli,” katanya.




Engku Naimah bersalam dengan peserta tadarus Al Quran