Halaman

25 August 2011

7,970 Penduduk miskin DUN Kuala Besut terima dana hari raya

Oleh: Mohammad Ishak


Petugas APMT sedang membuat semakkan bayaran kepada penerima dana khas hari raya

Seramai 7,970 golongan miskin, warga emas,ibu tunggal, duda dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, menerima duit raya menerusi Dana Khas bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1.6 juta bagi pembayaran dana berkenaan di DUN terbabit tahun ini.

Katanya, jumlah penerima dana khas di kawasan berkenaan juga semakin meningkat berikutan pertambahan mereka yang layak menerimanya berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, pengagihan dana itu kepada penduduk di DUN Kuala Besut bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini membuktikan kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib rakyat yang memerlukan bantuan terutama bagi menyambut hari raya.

Menurutnya, proses pembayaran pada kali ini berlaku sedikit perubahan apabila tugas itu dialankan sendiri oleh petugas Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) selain dibantu anggota Polis dan Rela.

“Sebelum ini tugas membuat pembayaran dilakukan oleh kakitangan bank dan Pejabat Daerah,” katanya.

Dr Rahman berkata, pada tahun hadapan kerajaan negeri bercadang untuk membayar dana khas kepada mereka yang layak lebih awal sedikit bagi membolehkan mereka membuat persiapan hari raya lebih sempurna.

Menurutnya, rakyat Terengganu beruntung kerana setiap menjelang sambutan Aidilfitri golongan terbabit akan mendapat sumbangan daripada dana yang diujudkan kerajaan sejak 2004.


Lima kampung di DUN Tepoh diterangi cahaya

Oleh: Suriati Ali



Peserta Pertandingan Pelita Raya membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mula mempamerkan kreativiti masing-masing dengan memasang pelita mengikut kerangka buluh atau kayu yang dicipta.

Terdapat di antara mereka membentuk kerangka bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan kubah masjid, astaka, kapal layar dan sebagainya.

Kira-kira 200 rumah di Kampung (Kg) Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng mula diterangi cahaya pelita kira-kira jam 10 malam atau sebaik saja jemaah pulang dari mengerjakan solat sunat Tarawih.

Suasana menarik serta cukup unik itu dapat dilihat selama tiga malam berturut-turut dan berakhir pada 26 Ogos ini.

Tinjauan pemberita Teganukita di sekitar kampung yang terlibat mendapati ratusan penduduk termasuk warga asing yang bertandang seakan-akan terpegun dengan suasana itu berikutan sukar didapati di lokasi lain atau di luar Terengganu.

Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang merakam gambar untuk dijadikan kenangan atau ditunjukkan kepada saudara atau sahabat.

Peserta yang terlibat berganding bahu antara ahli keluarga untuk memasang setiap pelita pada kerangka yang dibentuk.

Apa yang menariknya, ada antara mereka masih mengekalkan tradisi membakar `damar raya’ yang diperbuat daripada tempurung kelapa.

Peserta pertandingan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu bakal menerima hadiah keseluruhan hampir RM30,000 di mana johan bagi kategori kampung berjumlah RM3,750 beserta piala pusingan dan individu pula memperoleh RM1,000.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.

Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.

“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.

“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.

Menurutnya, LMNT dengan dibantu pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat akan terus menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.


Peserta teruja sertai pertandingan

Oleh: Suriati Ali


Rustam Naman, 54

“Saya bersama ahli keluarga lain pasti tidak ketinggalan memasang ratusan pelita raya yang diperbuat daripada barang buangan setiap kali menjelang Ramadan.

“Tradisi itu sememangnya memberi keseronokan buat kami sekeluarga yang ingin melihat perkarangan dan laluan ke kediaman diterangi cahaya pelita dan nyalaan `damar raya’,” kata seorang peserta Rustam Naman, 54 dari Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu.

Beliau yang sudah 11 tahun mengekalkan tradisi itu berkata, dia tetap memasang pelita walaupun tiada pertandingan dianjurkan pihak tertentu kerana banyak manfaat diperoleh daripadanya termasuk mampu menjalin hubungan lebih rapat antara penduduk kampung dan ahli keluarga.

Katanya, 780 pelita yang diperbuat daripada tempurung `nyiur’, bekas minyak, botol minuman dan tin makanan dipasang mengikut kerangka buluh kapal layar.

“Saya sambil dibantu isteri, Ettam Sulong dan anak-anak mengambil masa hampir seminggu untuk menyiapkan kerangka dan ratusan pelita ini sebelum dapat dipasang di hari pertandiangan.

“Peryertaan kali ini cukup memuaskan hati kerana bukan dapat perhatian ramai termasuk warga asing malah mampu menaikkan imej kampung di serata tempat,” katanya yang membelanjakan hampir RM500 untuk peryertaan pertandingan itu.


Kamal Mohd Nawawi, 20

Seorang lagi peserta, Kamal Mohd Nawawi 20, berkata dia memilih konsep 1Malaysia, Merdeka dan Salam Lebaran pada kerangka buluh yang diciptanya bersama bapa, Mohd Nawawi Tahir pada pertandingan kali ini.

Katanya, idea untuk mencipta kerangka itu tercetus selepas melihat beberapa keping gambar di akhbar dan menciptanya sendiri tanpa bantuan orang berpengalaman.
“Hasil ciptaan kali ini dirasakan cukup memuaskan hati saya dan ahli keluarga berbanding empat kali penyertaan sebelum ini kerana dapat menggabungkan suasana lebaran dan merdeka,” katanya.

“Saya mengharapkan hasil kreativiti yang dicipta kali ini mendapat nombor yang lebih baik daripada tahun sebelumnya di mana pernah menduduki tempat kedua kategori individu,” katanya.


Fama Terengganu sasar hasil jualan RM20 juta

Oleh: Esah Abdullah

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mensasarkan RM20 juta nilai jualan di pasar tani seluruh negeri sepanjang tahun ini.


Haji Ab. Razak Ab.Majid

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan Fama, Haji Ab. Razak Ab Majid berkata, nilai jualan keseluruhan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berjumlah RM14 juta.

“Sasaran berkenaan berdasarkan jualan di tiga Pasar Tani Mega dan lima pasar tani yang mula beroperasi tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri di bawah program ‘Jimat Belanja Dapur’ di tapak Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengarah Fama negeri, Haji Hasan Jusoh dan Timbalannya Encik Azrul Abdul Aziz serta Pengerui Pasar Tani Terengganu, Encik Rofie Ali.


Fama jamin bekalan ayam mencukupi

Katanya, sehingga pertengahan bulan ini, Fama telah mengimport 712.84 metrik tan (mt) kelapa ke negeri ini dengan nilai RM792,629.91 dan akan terus mengimport kelapa dari luar untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

Menurut Haji Ab. Razak, bekalan kelapa tempatan hanya 30 peratus sahaja dan selebihnya pihak Fama terpaksa import dari luar termasuk Sabah, Serawak dan juga Indonesia.

Sehubungan itu katanya, Fama telah import enam juta biji kepada dari Indonesia untuk pasaran di 442 buah pasar tani di seluruh negara dan tidak termasuk 58 buah pasar tani baru tahun ini.

Katanya, strategi Fama adalah menjual secara terus kepada pengguna melalui outlet-outletnya serta meningkatkan pengedaran melalui pengukuhan prasarana pemasaran di samping meningkatkan bekalan melalui pengukuhan program Ladang Kontrak.

“Program jimat belanja dapur ini bermula Ogos hingga Oktober di 41 buah pasar tani terpilih seluruh negara dan pengguna boleh mendapatkan harga lebih rendah daripada harga di pasaran iaitu lima hingga 20 peratus,” katanya.




Sidang Media Mesyuarat Exco 24 Ogos 2011 (LPT 2)

KILK GAMBAR UNTUK LIHAT VIDEO




MKJR edar 1,000 risalah kempen keselamatan jalan raya

Oleh: Amirullah Othman



Setiap kali menjelang musim perayaan, kempen keselamatan jalan raya turut menjadi agenda penting Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kadar kemalangan agar tidak ramai yang terkorban.

Di atas kesedaran itu, pihak keselamatan termasuk polis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri saling bekerjasama menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

Sempena Program Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat peringkat negeri Terengganu kali ini, Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengagihkan lebih 1000 risalah keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya berhampiran Dataran Budaya Pantai Kelulut, Marang, petang semalam.

Kempen tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan.

Selain bagi mengurangkan kadar kemalangan, pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya juga mendesak Kerajaan Negeri dan agensi penguat kuasa tersebut untuk melipatgandakan usaha bagi menguatkuasakan peraturan melalui kempen seumpama itu.

Kempen ini secara tidak langsung membuktikan masalah keselamatan jalan raya adalah antara agenda penting dalam pembangunan negeri apabila kerajaan mengutamakan kebajikan dan keselamatan penduduk dalam mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.



DUN Ru Rendang anjur majlis berbuka puasa

Oleh: Amirullah Othman



Kira-kira 400 orang terdiri daripada jawatankuasa cawangan-cawangan Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir Nik Wan Ku, malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bagi jasa-jasa pemimpin Umno daripada 31 cawangan DUN berkenaan, khususnya dalam usaha menarik lebih ramai penyokong parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Majlis itu juga dirancang bagi mengeratkan tali silaturahim antara pemimpin DUN dan cawangan.

Sementara itu, malam ini Tuan Haji Nik Dir akan mengadakan majlis berbuka puasa bagi penduduk setempat dan 100 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Program ini dijangka turut dihadiri oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Puan Noorhayati Zaman serta pemimpin-pemimpin masyarakat.




Hasrat 265 peneroka dapat hak milik jadi kenyataan

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 265 peneroka dari kawasan Felda Kertih II, Dungun bersyukur selepas penantian hampir 29 tahun untuk mendapatkan hak milik tanah akhirnya menjadi kenyataan.

Suratan hak milik tanah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pada satu majlis di Dewan Sivik Felda Kertih II, petang semalam.

Lebih menggembirakan, sebahagian besar penerima hak milik berkenaan merupakan peneroka asal yang mula memasuki ladang sawit seluas 1,499 hektar itu pada 15 Oktober 1982.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, hak milik tersebut merupakan satu ‘anugerah’ yang mempunyai nilai tinggi selepas peneroka berhempas pulas membangunkan tanah terbabit.

Menurut beliau, tanah yang diterima mereka itu merupakan jaminan masa hadapan, bukan hanya untuk generasi pertama, tetapi generasi kedua, ketiga dan seterusnya.

“Setiap peneroka dan anak peneroka perlu menilai perit serta kepayahan sewaktu mula-mula meneroka kawasan Felda agar dapat menanamkan sifat keinsafan di dalam diri,” katanya.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pegawai Daerah Dungun, Dato’ Mustaffa Abdul Rahman; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Mohd. Ariffin Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Dr. Rosli Mat Hassan.

Sebelum itu, ketibaan Menteri Besar dan isteri telah diarak oleh lebih 50 peserta konvoi bermotosikal sejauh kira-kira tiga kilometer.

Felda yang mula diterokai oleh 321 peserta itu kini mempunyai 3,076 orang penduduk termasuk 142 orang usahawan manakala 195 orang anak peneroka terlibat dalam kerjaya profesional dan 90 orang telah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Tambah beliau, pemberian itu merupakan satu rahmat dan hadiah sempena kedatangan bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri beberapa hari lagi.

"Jagalah tanah ini elok-elok untuk anak-anak dan cucu-cicit kita. Nak dapat geran bukannya mudah kerana kita perlu menunggu lebih 20 tahun dan ada yang telah meninggal dunia.

"Gunakan tanah ini sebaik mungkin, jangan dicagarkan atau dijual pada orang lain," kata Dato’ Seri Ahmad.


Pasukan Terengganu nekad genggam Piala Malaysia

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Terengganu berhasrat untuk memadamkan rekod 10 tahun gagal ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Bagi merealisasikan impian itu, Ketua Jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim berkata skuad Penyu perlu berusaha lebih keras apatah lagi pasukan itu berhadapan dengan pasukan Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Kuala Lumpur Sime Darby.

Pertembungan empat pasukan yang disenaraikan dalam kumpulan B itu memerlukan skuad kendalian Irfan Bakti membaca rentak permainan serta tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan.

Katanya biarpun baru dinobatkan juara Piala FA, anak buahnya perlu menampilkan persembahan yang hebat dan mencipta kemenangan jika ingin berada dalam keadaan lebih selesa dalam kumpulan.

"Saya sering kali mengingatkan pemain untuk tidak memandang mudah dengan kebolehan lawan jika ingin memadamkan rekod 10 tahun tidak layak ke final Piala Malaysia," katanya.

Ditambah dengan pengalaman tujuh pemain yang terpilih dalam pasukan kebangsaan, Irfan Bakti yakin tahun ini ialah tahun terbaik untuk Terengganu menjuarai Piala Malaysia.

Setakat ini, pencapaian terbaik pasukan Terengganu adalah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam Piala Malaysia.


Sekitar Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Peneroka Felda Kerteh 02