Oleh: Suriati Ali
Peserta Pertandingan Pelita Raya membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mula mempamerkan kreativiti masing-masing dengan memasang pelita mengikut kerangka buluh atau kayu yang dicipta.
Terdapat di antara mereka membentuk kerangka bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan kubah masjid, astaka, kapal layar dan sebagainya.
Kira-kira 200 rumah di Kampung (Kg) Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng mula diterangi cahaya pelita kira-kira jam 10 malam atau sebaik saja jemaah pulang dari mengerjakan solat sunat Tarawih.
Suasana menarik serta cukup unik itu dapat dilihat selama tiga malam berturut-turut dan berakhir pada 26 Ogos ini.
Tinjauan pemberita Teganukita di sekitar kampung yang terlibat mendapati ratusan penduduk termasuk warga asing yang bertandang seakan-akan terpegun dengan suasana itu berikutan sukar didapati di lokasi lain atau di luar Terengganu.
Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang merakam gambar untuk dijadikan kenangan atau ditunjukkan kepada saudara atau sahabat.
Peserta yang terlibat berganding bahu antara ahli keluarga untuk memasang setiap pelita pada kerangka yang dibentuk.
Apa yang menariknya, ada antara mereka masih mengekalkan tradisi membakar `damar raya’ yang diperbuat daripada tempurung kelapa.
Peserta pertandingan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu bakal menerima hadiah keseluruhan hampir RM30,000 di mana johan bagi kategori kampung berjumlah RM3,750 beserta piala pusingan dan individu pula memperoleh RM1,000.
Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.
Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.
“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.
“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.
Menurutnya, LMNT dengan dibantu pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat akan terus menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.