Halaman

06 October 2011

Kembar Siam tidak boleh dipisahkan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Hasrat keluarga bayi kembar Siam dari Terengganu untuk melihat anak mereka dipisahkan melalui pembedahan, tidak tercapai apabila doktor-doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak mengizinkan pembedahan dilakukan kerana ia membahayakan nyawa mereka.

Sebelum ini,bapa kembar Siam itu, Zulkifli Ngah dan keluarga lega apabila kerajaan negeri sanggup membiayai kos pembedahan untuk memisahkan Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie Zulkifli, yang bercantum di bahagian dada, jika doktor memutuskan ia selamat dilakukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya menunggu keputusan doktor berhubung pasangan kembar itu yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada 22 September lalu.

Bagaimanpun, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Mohd Zain mengesahkan memandangkan kembar Siam tersebut bersambung di bahagian abdomen dan tidak mempunyai punggung serta berkongsi satu jantung, pembedahan utnuk memisahkan mereka bakal membahayakan nyawa anak tersebut.

Sehubungan itu, pihak keluarga kembar Siam berkenaan memutuskan untuk menangguhkan hasrat untuk meminta pihak hospital melakukan pembedahan bagi memisahkan kembar.

Walaupun begitu, pihak HKL memberi jaminan akan terus memantau perkembangan bayi kembar Siam itu dan membuat penilaian semula selepas mereka berusia lima bulan bagi memastikan sama ada mereka mempunyai harapan untuk dipisahkan.

Menteri Besar yang bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Exco semalam berkata, jika keluarga kembar Siam itu kurang mampu, pihaknya sebagai kerajaan yang prihatin pada rakyat akan membantu mereka.

Katanya, kerajaan negeri ada dua tabung bantuan iaitu Tabung Pesakit Kronik dan Tabung Darul Iman dan kes pasangan kembar Siam itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum bantuan dihulur mengikut kesesuaian.

Sukarelawan bantu polis pantau jenayah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 5,550 anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) akan mengintip penjenayah di negeri ini, apabila mereka mengadakan rondaan di kawasan tertentu bagi membantu pihak berkuasa untuk memerangi jenayah.

Sehingga akhir Ogos lalu, sebanyak 222 unit SRS telah ditubuhkan di Terengganu bagi tujuan mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar, berkata penubuhan SRS bertujuan membantu pihak keselamatan mengurangkan kadar jenayah melalui tugas rondaan dan ditubuhkan di kawasan yang ada Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

SRS ditubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) melalui kawasan RT di mana Nota Persefahaman Kerjasama Strategik dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditandatangani bagi membolehkan anggota SRS menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.

Pada majlis menandatangani nota berkenaan kelmarin, JPNIN diwakili Pengarahnya, Encik Tukimin Sarlan manakala Ketua Polis Negeri, Dato’ Jamshah Mustafa mewakili PDRM.

Semua pegawai perpaduan daerah dan Ketua Polis Daerah turut menandatangani nota tersebut bagi peringkat daerah masing-masing.

Dr A. Rahman berkata, pada masa ini terdapat 8,300 anggota KRT di negeri ini dan masih banyak SRS akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan anggota KRT menyertai SRS.

Beliau berkata, kerjasama antara JPNIN dan PDRM membolehkan tugas dan tanggungjawab anggota SRS diselaraskan di samping mereka akan diberi latihan bagi memerangi jenayah di kawasan masing-masing.



05 October 2011

Kerajaan negeri biaya kos bedah kembar Siam

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan membiayai kos pembedahan untuk memisahkan kembar Siam, Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie Zulkifli, yang bercantum di bahagian dada, jika doktor memutuskan ia selamat dilakukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya menunggu keputusan doktor berhubung pasangan kembar itu yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada 22 September lalu.

"Jika keluarga mereka kurang mampu, kita sebagai kerajaan yang prihatin pada rakyat akan bantu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu merayu kepada orang ramai bagi meminta sumbangan daripada orang ramai bagi membiayai pembedahan tersebut.

Pasangan kembar Siam berkenaan dilaporkan masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar hospital berkenaan.

“Kerajaan negeri ada dua tabung bantuan iaitu Tabung Pesakit Kronik dan Tabung Darul Iman dan kes pasangan kembar Siam itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum bantuan dihulur mengikut kesesuaian,” katanya.



MB minta FRU lebih proaktif

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di negeri ini diminta lebih proaktif ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan pemain setiap kali perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pasukan itu sewajarnya menempatkan lebih ramai anggota di setiap penjuru stadium supaya keadaan dan tingkah laku penonton lebih terkawal.

“Sekiranya terpandang aksi penonton yang kurang menyenangkan seperti membaling botol minuman dan mengeluarkan kata-kata kesat, mereka sepatutnya bertindak lebih awal dengan mendekati penonton itu untuk memberi amaran tegas.

“Langkah ini perlu dilaksanakan segera kerana sudah kerap kali perkara sama seperti membaling mercun dan bergaduh berlaku di stadium itu,” katanya ketika pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Imam, Kuala Terengganu, hari ini (5 Oktober).

Dato’ Seri Haji Ahmad sekali lagi mengingatkan penonton supaya bertindak lebih sopan dan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan pertemuan pasukan Terengganu dan Kelantan pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober nanti.

“Saya mendapati memang wujud satu kumpulan kecil yang sering menimbulkan kekacauan di stadium dan saya ingatkan kepada kumpulan ini agar menghormati budaya kita serta jangan sesekali memalukan imej Terengganu,” katanya.



Petani muda digesa sertai Kor Tani

Oleh: Suriati Ali

Golongan petani muda yang berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Pelandang (LPP) di negeri ini digesa menyertai Kor Tani bagi merebut peluang yang disediakan pihak kerajaan dalam meningkatkan hasil serta mempeluaskan bidang keusahawanan mereka.

Pegawai Hal Ehwal Korporat LLP negeri, Encik Mohamed A. Rahman berkata, sehingga kini seramai 100 ahli peladang sudah mendaftar dan mensasarkan 500 penyertaan sehingga Disember depan.

Menurutnya, penubuhan Kor Tani adalah usaha kerajaan dalam membantu melahirkan satu pasukan pertanian yang baru dan seterusnya mencapai misi serta visi kementerian dengan slogan 'inovasi pertanian pemangkin pembangunan’.

“Penyertaan Kor Tani terbuka kepada semua petani yang berdaftar dengan LPP terutamanya mereka yang berumur antara 18 hingga 45 tahun dan mereka ini akan bertindak sebagai agen pembangunan dalam usaha memajukan sektor pertanian.

“Ahli berpeluang mengikuti pelbagai latihan yang bukan sahaja merangkumi aspek pendidikan pertanian malah ceramah motivasi dalam usaha ke arah melahirkan petani yang bermaklumat,” katanya.

Selain itu, Mohamed berkata, bakal usahawan dalam bidang pertanian juga disyorkan menjadi ahli Kor Tani supaya mendapat ilmu yang mencukupi dari segi ketahanan fizikal dan mental disamping pengetahuan serta kepakaran dalam bidan pertanian yang akan diceburi mereka nanti.

“Ahli akan diberi bantuan dan bimbingan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau agensi lain dalam usaha memastikan pengeluaran serta penghasilan produk petanian mereka dapat menembusi pasaran lebih luas.

“Justeru, dengan penubuhan ini ia mampu menjadi satu mekanisma kepada kementerian dalam mempertingkat dan memartabatkan imej bidang pertanian sebagai salah satu mekanisma penting dalam pembangunan negera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan Kor Tani secara tidak langsung dapat memberi pilihan kepada golongan belia yang berminat dalam bidang pertanian menceberuinya sebagai satu kerjaya dengan lebih serius.

Menurutnya, sehingga Jun lalu, seramai 49, 489 ahli berdaftar dengan LPP, di mana 86 peratus (42,969) daripadanya adalah ahli PPK yang melibatkan 30,794 petani lelaki dan 11,617 petani wanita.

Difahamkan, pelancaran Kor Tani Zon Timur akan dilancarkan di Pahang melibatkan lebih 1,000 ahli.


31 bakal haji dari DUN Permaisuri diraikan

Oleh: Mohammad Ishak



Bakal- bakal haji dari Dewan Undangan Negeri ( Dun) Permaisuri ) bergambar bersama Abd Halim ( bersongkok) selepas majlis perjumpaan dan penyampaian sumbangan di Dewan Masjid Bandar Permaisuri semalam.


Seramai 31 bakal haji dari kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Permaisuri diraikan oleh ADUN berkenaan, Yang Behormat Haji Abd Halim Jusoh dalam majlis ramah mesra di Dewan Masjid Bandar Permaisuri di sini sebelum mereka berangkat ke tanah suci secara berjadual.

Perjumpan bersama jemah haji itu bertujuan untuk memberi kata-kata semangat serta berkongsi pengalaman bagi memastikan semua jemaah bersedia dan semoga memperoleh haji mabrur .

Abd Halim berkata, semua bakal haji yang akan berlepas ke Tanah Suci nanti dinasihat menjaga adab sopan dan tingkah laku mereka dan yang lebih penting menjaga kesihatan sepanjang mengerjakan haji selau tetamu Allah.

Katanya, tidak dinafikan pelbagai cabaran dan rintangan serta dugaan dari Allah akan ditempuhi oleh semua jemaah untuk menguji kemampuan , kesabaran dan keupayaan , namun setiap yang berlaku prlu dilalui dengan sebaik mungkin.

"Lakukkan ibadat dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT kerana ketika di sana nanti kita menjadi tetamu Allah dan berusaha meningkatkan amal ibadat untuk mendapatkan haji mabrur, " katanya ketika berucap di majlis meraikan bakal haji dari Dun Permaisuri di sini semalam.

Abd Halim berkata, bakal haji juga dinasihatkan supaya menjaga kesihatan dan mematuhi segala peraturan serta yang diberikan oleh pihak berkuasa dan petugas Tabung Haji yang diakui cemerlang dan berupaya menangani segala pemasalahan oleh jemaah haji ketika berada di Tanah Suci nanti.

" Saya serta keluarga mendoakan keselamatan semua jemaah dan semoga dilindungi Allah dan mendapat haji mabrur., " katanya.

Sementara itu, bakal haji, Mat Saupi Deraman melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana dijemput untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini dan berharap semu bakal haji sentiasa diberi kesihatan yang baik dan dapat menjalani ibadat dengan sempurna.

" Kami semua mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat kerana meraikan kami dan memberi kata-kata semangat serta berkongsi pengalaman bersama Adun yang sudah menunaikan haji dan majlis ramah mesra seperti ini sudah pasti memberi peluang untuk kami semua bakal-bakal haji berkenalan sebelum berangkat ke Mekah, " katanya.

Pada majlis itu, sumbangan turut diberikan kepada bakal-bakal haji bagi menampung keperluan ketika mereka berada di tanah suci.




Persaingan Aiman bermula

Oleh; Esah Abdullah

Bermula hari ini hingga 8 Oktober, Mohd Aiman Yusof, 22, anak kelahiran Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu mula bersaing bersama 1,000 peserta seluruh dunia di dalam 45 bidang kemahiran di Pertandingan Kemahiran Worldskill di London, United Kingdom.

Beliau merupakan satu-satunya wakil negara terpilih kepertandingan berprestasi tinggi itu yang menampilkan kebolehan dan bakat vokasional belia.

Kehadirnya ditengah kelompok peserta dari serata pelusuk dunia itu memberinya peluang memperkenalkan negeri kelahirannya melalui masakan dan produk makanan utama negara dan negeri.

Pelajar tahun akhir Diploma Seni Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun itu akan memaparkan bendera negeri pada semua pakaian dan baju seragam chef sepanjang pertandingan berlangsung.

“Saya akan buat yang terbaik untuk menaikkan nama negara dan negeri di mata dunia,” katanya yang berlepas ke London dengan pegawai pengiring UiTM seminggu sebelum pertandingan.

Pemilihan Mohd Aiman juga akan membuka ruang jalinan kerjasama dengan Universiti of West London (UWL) yang terletak dilokasi pertandingan khususnya dalam bidang pendidikan pelancongan yang memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan pelancongan negeri.




Politeknik Hulu Terengganu tetap diteruskan

Oleh FAUZI MOHD

Projek pembinaan kampus Politeknik Hulu Terengganu (PHT) yang tergendala sejak lebih tiga tahun lalu tetap diteruskan pembinaannya di daerah itu.

Ketika ditanya pemberita, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, projek berharga RM184 juta itu tertangguh pembinaan berikutan masalah teknikal dan tapak asal yang tidak sesuai.

Menurut beliau, pihaknya telah bangkitkan masalah berkenaan dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang berkunjung ke Terengganu baru-baru ini.

“Walaupun mengalami kelewatan, politeknik itu tetap akan dibina. Tidak dipindahkan ke daerah lain, tetap dibina di Hulu Terengganu.

“Kita tidak dapat memaklumkan bila ia akan mula dibina kerana usaha untuk menyelesaikan masalah itu sedang berjalan antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun baru-baru ini.

PHT yang menyewa bangunan milik Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang kini mempunyai kira-kira 200 pelajar dengan menawarkan dua program pengajian iaitu Diploma Perakaunan dan Diploma Pengurusan Pelancongan.

Tambah Ahmad Razif, pihaknya turut mengambil kira cadangan beberapa pihak untuk membina kampus itu di kawasan padang ragut Tersat di Kampung Tanjung Putat atau berhampiran Padang Astaka Kuala Berang.

“Pembinaan kampus berkenaan cukup penting bagi memastikan penduduk di kawasan itu menerima pendidikan dengan lebih baik, selaras dengan perancangan asalnya,” ujarnya.

23,157 calon duduki PMR di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 23,157 calon di negeri ini menduduki Penilaian Menengah Rendah bermula hari ini hingga 11 Oktober ini.

Jabatan Pelajaran negeri dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).

Mara lulus RM22.7 juta pinjaman kepada 262 usahawan Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengeluarkan pinjaman sebanyak RM22.7 juta kepada 262 usahawan di Terengganu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Mara negeri, Abdullah Muhamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM13.8 juta diluluskan untuk pinjaman kontrak yang melibatkan seramai 144 orang.

"Mereka meminjam antara RM250,000 dan RM500,000, bergantung kepada projek yang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Mara 2010 yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sumber Manusia Mara, Ramli Sudin.

Abdullah berkata, pinjaman kontrak merupakan pinjaman terbesar yang dikeluarkan di Terengganu setakat ini.

Beliau memberitahu, Mara tidak menghadapi masalah dari segi bayaran balik daripada para peminjam.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata dalam tempoh yang sama Mara membelanjakan lebih RM374,800 untuk pinjaman pendahuluan kepada 249 pelajar yang berjaya masuk ke univesiti swasta tahun ini.

Beliau berkata pelajar berkenaan mendapat pinjaman sebanyak RM2,000 setiap seorang.