Halaman

09 October 2011

Wan Ahmad Nizam bergelar Datuk

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid telah dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran ‘Datuk’, Sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang Di Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ke 73, semalam.

Datuk Wan Ahmad Nizam adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Air Putih, Kemaman.

Beliau yang kini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Terengganu.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan turut menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk Wira.

Aktiviti Sultan Mizan Cup tarik perhatian ribuan pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Ribuan pengunjung yang hadir pada kejohanan kuda lasak, Sultan Mizan Cup 2011 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, nyata berpuas hati dengan puluhan aktiviti yang diadakan penganjur kejohanan.

Antara acara menarik yang diadakan sepanjang tiga hari kejohanan dan berakhir hari ini, termasuk pertandingan mewarna model kuda bertemakan karangan laut khusus bagi pelajar secara berkumpulan yang mewakili sekolah masing-masing.



Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian antarabya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, SMK Padang Midin, SMK Manir, SMK Belara, SMK Ibrahim Fikri dan SMK (C) Chong Hwa Wei Sin.



Turut menarik perhatian ialah acara kerusi muzik berkuda yang jarang-jarang disaksikan.

Acara yang disertai oleh penunggang-penunggang cilik itu memerlukan kemahiran menunggang kuda kerana pada masa yang sama, penunggang perlu melompat turun dari kuda sebaik mendengar muzik dihentikan.

Tarikan lain yang terdapat di situ ialah acara bola sepak jalanan untuk peserta bawah 18 tahun, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pameran berkaitan kuda dan kehidupan marin serta gerai-gerai makanan.


Sultan Mizan sertai cabaran kuda lasak 120 km

Oleh: Suriati Ali

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin mengetuai cabaran perlumbaan kuda lasak sejauh 120 kilometer pada Sultan Mizan Cup 2011 yang bermula jam 5.30 petang semalam (8 Oktober).



Tuanku Mizan yang menunggang kuda 'RTES Smith' mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan bersaing bersama dengan 69 peserta lain.



Pelepasan kejohanan itu dilakukan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu .

Turut berangkat menyaksikan pelepasan itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perlumbaan sejauh 120km yang mempunyai had masa di bawah 12 jam itu dibahagikan kepada lima fasa iaitu fasa pertama sejauh 30km, fasa kedua (25km), fasa ketiga (20km), fasa keempat (25km) serta fasa terakhir sejauh 20km.

Karnival yang berlansung selama tiga hari dan berakhir hari ini mendapat sambutan ribuan pengunjung yang datang untuk melihat secara dekat kejohanan yang diadakan.


08 October 2011

Wacana melestarikan pendidikan terbilang


Oleh; Esah Abdullah

Memantapkan semangat dan kesedaran semua kakitangan kerajaan tentang agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta bersama memacu merialisasikan cita-cita murni ke arah menjadikan negeri ini anjung ilmu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan serius membangunkan bidang pendidikan dengan memberi tambah nilai kepada anak-anak negeri ini semata-mata untuk melihat mereka cemerlang dan terbilang.

“Tidak ada politik dalam isu pelajaran, semua dapat sama rata tidak kita anak orang UMNO atau orang Pas,” katanya di majlis Wacana Melestarikan Pendidikan Terbilang Terengganu Anjung Ilmu di Hotel Permai, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Razali Daud.

Katanya, kerajaan akan terus memperkasakan bidang pendidikan dan melalui program wacana ini kesedaran patriotik dan kesetiaan kepada kerajaan memerintah dapat dipertingkatkan.



“Semua rakyat termasuk guru dan kakitangan kerajaan perlu kepada pemahaman dan pengetahuan mendalam tentang usaha yang telah dan akan dilakukan kerajaan untuk membangunkan negeri ini,” katanya.




Tuanku Mizan berangkat ke Majlis Makan Malam Sultan Mizan Cup 2011

Oleh FAUZI MOHD

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin malam tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Sultan Mizan Cup 2011 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu.

Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Turut hadir, Tengku Seri Laksamana Raja, Tengku Seri Temenggong Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan kenamaan lain.

Majlis itu diadakan bagi meraikan penyertaan 70 pelumba kuda lasak dari sembilan buah negara dalam kejohanan yang masuk edisi keenam tahun ini.

Selain penyertaan Seri Paduka Baginda, kejohanan dua hari itu disertai penunggan dari Argentina, Australia, Republik Chech, Chile, Indonesia, Singapura, Thailand, Emeriah Arab Bersatu dan Uruguay.

Dalam cabaran sejauh 120 kilometer itu, Tuanku Mizan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) bersama Abdul Halim Alihan, Bakar Aman, Mohd. Bulkhairi Razali dan Mohd. Sulaiman Muda.

Turut memberi saingan, pasukan State of Terengganu Endurance Team yang antaranya diwakili Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Abdullah Taib, Azizatul Asma Dato’ Abdullah, Mohd. Firdaus Hamid serta Mohammad Fuad Hasim.

Dalam majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan penghargaan kepada penaja kejohanan seperti Sime Darby, Mitavite, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd., Norlan United dan Public Bank.

Penduduk keturunan Siam dapat bantuan baiki rumah

Oleh: Mohammad Ishak


Ahmad memotong riben tanda perasmian penyerahan rumah kepada pemiliknya Chie.

Kehidupan sekeluarga keturunan Siam yang tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Tok Motong, dekat sini, mendapat perhatian penduduk setempat yang bergotong royong membaiki rumah berkenaan.

Pemilik rumah, Chie A/P Suam,67, gembira rumahnya kini dalam keadan selesa selepas mendapat perhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Tentera

Udara Di Raja Malaysia (TUDM) Gong Kedak yang menjalankan gotong royong mebaiki rumah mereka.

Menerusi Program Jiwa Murni, anggota TUDM terbabit melakukan kerja gotong royong membaiki rumah bersama penduduk dan berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu.

Kerja membaiki rumah itu membukktikan penduduk negeri ini terus mengamalkan konsep 1Malaysia apabila kaum minoriti tidak pernah dipinggirkan dalam kerja-kerja sosial seumpama itu.

Majlis perasmian dan penyerhan rumah itu dilakukan oleh Timbalan Komander Udara, TUDM Gong Kedak, Leftenan Kolonel Ahmad Tuah Aziz.

Chie yang tinggal bersama lima anaknya adalah antara dua rakyat keturunan Siam yang tinggal di kampung tradisional itu sejak berpuluh tahun lalu tidak menghadapi masalah menjalani kehidupan bersama masyarakat Melayu.

Ketika ditemui pada majlis itu, Chie bersyukur kerana pihak yang prihatin sanggup membantu keluarganya membaiki rumah yang didiaminya yang dalam keadaan uzur.

“Saya bangga kerana walaupun tinggal di tengah masyarakat Melayu tetapi nasib kami tetap diberi pembelaan sama seperti orang lain,” katanya.

Ahmad ketika merasmikan program itu, berkata pihak TUDM sentiasa masuk kampung membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan pertolongan.

Katanya, kerja menyiapkan rumah penduduk Siam terbabit satu sejarah kerana ia mencerminkan amalan konsep 1Malaysia oleh penduduk negeri ini yang sanggup bekerjasama memberi bantuan sehingga berjaya disiapkan kelmarin.

Bajet 2012 untuk rakyat - MB

Oleh; Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen, petang semalam jelas menunjukkan kepentingan dan kebajikan rakyat didahulukan serta kesungguhan kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat menghadapi cabaran global .

Beliau berkata, pelbagai insentif seperti yang diumumkan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, akan membantu rakyat mengharungi kehidupan mereka pada masa ini di mana keadaan ekonomi dan politik agak bergolak dengan pelbagai usaha dilakukan pihak tertentu bagi mengugat kestabilan negara.

“Bajet 2012 adalah kesinambungan terhadap tindakan kerajaan untuk memakmurkan rakyat dan negara yang berpaksikan kepada pengukuhan ekonomi, pembangunan yang mampan, keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara merentasi sempadan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2012 yang disifatkan pelbagai pihak sebagai bajet terbaik di mana ia memberi insentif kepada semua lapisan masyarakat di negara ini, termasuk pesara dan keluarga bekas anggota keselamatan yang pernah berjuang bagi mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pelbagai insentif yang diberikan kerajaan kepada sektor swasta akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Hadiah serta insentif dan subsidi yang bakal dinikmati rakyat pada tahun depan melalui bajet ini seperti pemansuhan yuran persekolahan, sekalius menjadikan pendidikan percuma bagi sekolah rendah dan menengah dan perumahan untuk rakyat, amat wajar bagi meringankan beban rakyat.

“Segala insentif dan subsidi kerajaan untuk rakyat seperti yang dibentang dalam Bajet 2012 hanya boleh dilakukan oleh kerajaan yang memiliki kemampuan dan mengutamakan kemakmuran rakyat serta negara,” katanya.

Meneri Besar berkata,kerajaan negeri turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan projek pembinaan hospital baru di Dungun.





Harga tiket perlawanan suku akhir dinaikkan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Harga tiket bagi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Isnin depan (10 Oktober), akan dinaikkan.



Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata harga tiket bagi tempat duduk berbumbung dinaikkan kepada RM25 berbanding RM20 sebelum ini manakala bagi tempat duduk terbuka RM15 (harga lama RM10).

Beliau berkata, harga tiket bagi perlawanan separuh akhir juga akan dinaikkan jika sekiranya Terengganu layak memasuki peringkat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, harga tiket bagi semua tempat duduk untuk musim depan belum diputuskan dan akan dibincangkan kemudian.

Beliau berkata, kenaikan harga tiket berkenaan diputuskan pada mesyuarat eksekutif PBSNT kelmarin.

“PBSNT berpendapat kenaikan harga ini akan tidak membebankan peminat bola sepak di negeri ini kerana ini merupakan kali pertama kita menaikkan harga tiket.

"Lagipun negeri-negeri lain telah menaikkan harga tiket masing-masing, kecuali Terengganu yang masih mengekalkan harga RM10 dan RM20," katanya.

Menurut Abdullah, pada mesyuarat itu juga PBSNT memutuskan untuk menjual tiket bagi perlawanan Isnin ini pada pagi Ahad di semua pintu masuk stadium, bagi mengelak kesesakan.

PBSNT akan menyediakan 10 peratus tiket kepada peminat pasukan Kelantan.

“PBSNT akan mengadakan satu lagi mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan semasa perlawanan itu,” ujar beliau.

Beliau meminta para penonton, khususnya peminat supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak membawa masuk sebarang objek ke dalam stadium bagi mengelak persatuan dihukum.

Menteri Terengganu lawat pelajar di Moscow



Sebahagian besar daripada pelajar Malaysia di Moscow yang fasih berbahasa Rusia dilihat suatu kelebihan bagi kerajaan untuk menerokai hubungan diplomatik dengan negara bekas Kesatuan Soviet, termasuk Azerbaijan dan Turkmenistan.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, memandangkan pelajar dari Malaysia di Moscow sudah fasih berbahasa Rusia, ia akan memudahkan lagi urusan dengan kerajaan dan rakyat di negara-negara terbabit.

"Sebagai modal insan pilihan, mereka (pelajar Malaysia) bukan sahaja diperlukan untuk menjadi doktor semata-mata tetapi lebih daripada itu," katanya ketika bertemu dengan ahli-ahli jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara Moscow (Kumosc), baru-baru ini.



Dato’ Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara memberitahu, tidak ramai pelajar dari negara Asia Tenggara lain dihantar menuntut ilmu di Rusia dan ia peluang yang boleh direbut oleh Malaysia dalam meneroka bidang-bidang baharu yang dapat memberi manfaat kepada negara.

Turut hadir pada pertemuan yang sama ialah Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Wasitah Mohd. Yusof dan Pengerusi Kumosc, Muhamad Akmal Saleh.

Pertemuan itu dihadiri oleh 20 ahli jawatankuasa Kumosc yang datang dari Russian State University, First Moscow State Medical University dan Nizhny Novgorod Medical State Academy.



Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Kelab UMNO Luar Negara untuk mengingatkan sesama mereka tentang kesungguhan pemimpin UMNO, terutamanya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengemukakan idea penghantaran pelajar perubatan dari Malaysia ke Rusia pada sembilan tahun lalu.

Bagi membantu pelbagai aktiviti bagi membolehkan pelajar Malaysia di sekitar Rusia bergerak aktif, Ahmad Shabery berkata, beberapa aktiviti akan dianjurkan pihaknya melalui Sekretariat Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Sedia RM29 juta untuk program remaja

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperutukkan RM29 juta sepanjang tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program untuk belia dalam usaha membentuk golongan itu supaya lebih dinamik, progresif, dan berketrampilan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata pihaknya mensasarkan lebih 30,000 belia akan menyertai Program Bakti Remaja anjuran bersama Majlis Sukan Negeri, Majlis Belia Negeri dan Biro Tatanegara Negeri.

“Pada masa sama, program sampingan turut dirangka bagi menarik lebih ramai belia menyertai persatuan sedia ada selain mewujudkan persatuan baru di kalangan masyarakat.

“Kira-kira 1,000 persatuan atau pertubuhan belia diwujudkan melalui 1 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) 1 Belia dengan melibatkan semua kawasan Parlimen di Terengganu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 513 pertubuhan belia berdaftar manakala 200 lagi dalam proses kelulusan.

“Bantuan peruntukan pengurusan akan diagihkan selewat-lewatnya Jun depan bagi mana-mana pertubuhan belia berdaftar dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.