Halaman

11 October 2011

Jeremy Koo juara MMRC 2011


Oleh FAUZI MOHD

JEREMY Koo dari pasukan Abdullah Chan KRT berjaya mengekalkan kejayaan apabila sekali lagi muncul juara Kejohanan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011 yang berlangsung di Pulau Duyong, di sini.

Kemenangan itu membolehkan Jeremy mendapat tempat dalam Piala Monsun yang akan diadakan di tempat sama mulai 22 hingga 27 November ini.

Jeremy berjaya menggalas cabaran negara selepas mengetepikan saingan penyandang juara dua tahun lalu Hazwan Hazim Dermawan dari pasukan Permai Hotel Sailing Team.




Beliau yang pernah menjadi krew Tiffany ketika adik perempuannya itu menjuarai MMRC pada 2006 dan 2007 berjaya mengatasi pencabar terdekatnya dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir petang tadi.

Jeremy ketika ditemui pemberita berkata perlawanan sangat sengit dan sukar untuknya mengalahkan penyandang juara edisi 2009 itu.

"Perlawanan tadi amat sengit namun dengan semangat berpasukan yang tinggi daripada ahli kumpulan yang lain kami berjaya mengatasi lawan," katanya.

Dalam saingan separuh akhir pada sebelah pagi, Jeremy menewaskan Masyuri Rahmat dari pasukan MAF 2 dengan mencatat kemenangan 3-2 manakala Hazwan Hazim Dermawan berjaya menyekat kemaraan UPM Sailing dengan keputusan 3-2.

Sementara itu, Hazwan Hazim, kecewa setelah tewas kepada pasukan Abdullah Chan KRT di peringkat akhir sekaligus menutup peluangnya mengulangi kejuaraan dua tahun lalu.

"Kami telah melakukan yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi kami dan kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan terus menutup peluang kami," katanya.





Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato' Zaidon Asmuni. Hadir sama Pengerusi T-Best, Tan Sri Sabaruddin Chik.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai kejohanan edisi keenam itu membolehkan juara MMRC mewakili Malaysia pada kejohanan Piala Monsun pusingan akhir serta penentu juara jelajah Match Racing Dunian (WMRT) di lokasi yang sama pada bulan November ini.

Kejohanan Match Racing Asia (AMRC)akan bermula 12 hingga 15 Oktober ini di mana juara kejohanan akan mendapat tempat dalam saingan Piala Monsun.

APC pendorong penjawat awam

Oleh; Esah Abdullah

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diingat supaya tidak berpuas hati dengan anugerah yang diterima sebaliknya anggaplah ia sebagai dorongan untuk bekerja dengan lebih baik dan cemerlang.



Pemangku Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Encik Zakaria Yusof berkata, seorang pekerja yang bagus adalah mereka yang sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik dan boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan orang sekeliling.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu ada sikap integriti yang tinggi di samping menjaga imej kerajaan di mata orang ramai,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) YT di Primula Beach Resort semalam.

Encik Zakaria berkata, berpeganglah kepada prinsip bahawa tangungjawab lebih utama dari penghargaan dan keikhlasan ketika mengalas amanah kerajaan menjadi kayu ukur kejayaan sebenar seorang penjawat awam.

Katanya, kehendak stakeholder hendaklah diberi keutamaan dan sentiasa berada dibarisan hadapan melebihi urusan pribadi dan ikrar yang dibuat ketika menerima jawatan menjadi asas dalam memberi khidmat kepada pelanggan.

“Jangan ada kebocoran ketika berurusan dengan pelanggan dan sentiasa mengamalkan kerahsiaan yang tinggi demi menjaga imej jabatan,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah sekali gus menyampaikan hadiah kepada penerima APC, penerima insentif lama berkhidmat dan kakitangan YT yang bersara wajib turut diraikan.



Isteri semat pangkat Koperal kepada suami

Oleh: Mohammad Ishak


KPD Besut Kamaruddin memerhati sorang isteri menyematkan pangkat kepada suaminya

Seramai 66 anggota polis dari daerah Besut yang menerima kenaikan pangkat Koperal terharu apabila isteri sendiri diberi mandat untuk memakai pangkat dalam satu majlis yang diadakan di Padang Kawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja, hari ini.

Peluang itu turut dikongsi kegembiraan oleh isteri dan anak-anak yang diundang khas oleh pihak IPD untuk memakai sendiri pangkat yang diterima oleh suami masing-masing sambil disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Suerintendan Kamaruddin Zakaria serta pegawai kanan lain.

Majlis Pemakaian Pangkat Koperal Time Based itu membabitkan anggota dari pelbagai unit seluruh daerah Besut berlangsung dalam suasana meriah dan perasaan terharu bercampur gembira jelas kelihatan kepada mereka terbabit.

Kamaruddin berkata, peluang yang diberikan kepada isteri masing-masing untuk memakai pangkat yang diterima suami bagi membangkitkan semangat dan kesedaran isteri kepada suami yang menjadi anggota pasukan keselamatan.

Katanya, beliau nampak menerusi cara itu isteri begitu terharu apabila suami mereka menerima kenaikan pangkat selain satu penghormatan yang amat berharga dalam sejarah hidup mereka.

Menurutnya, anggota yang menerima kenaikan pangkat itu diharap dapat meningkatkan lagi kerjaya masing-masing dengan lebih bersemangat dan bertanggungawab terhadap tugas.

"Peningkatkan kes jenayah yang dilaporkan di daerah ini memerlukan kepakaran dan kebijaksanaan semua anggota untuk mengurangkan kadar jenayah yang dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, berikutan itu Polis Besut sudah menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Masjid dengan meletakkan seorang anggota polis bagi setiap agensi terbabit.



MB hadir mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri kali ke-113

Oleh FAUZI MOHD

MENTERI Besar, Dato’ Seri Ahmad Said hari ini menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri kali ke-113 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 10 pagi tadi dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dan dihadiri Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Antara yang hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Selain itu turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob; dan Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu dan beberapa Menteri Kabinet.

Mesyuarat itu bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri selain membincangkan isu berbangkit.

Sejurus selepas itu, Menteri Besar akan mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Lumpur.

Teganukita 48




Naskah Percuma TEGANUKITA 48 boleh diperolehi daripada pejabat, Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Jalan Pejabat, 20200 Kuala Terengganu.

Penjawat awam perlu tekun dan berhemah

Oleh; Esah Abdullah

“Kejayaan sesebuah kerajaan terletak pada khidmat dan tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam,” kata Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, penjawat awam merupakan sebahagian daripada jentera kerajaan bagi menguruskan pentadbiran dan berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan orang awam.


“Justeru itu, laksanakan tugas yang diamanahkan dengan tekun dan berhemah serta sentiasa berpaksikan kepada gagasan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan meraikan persaraan pegawai Yayasan Terengganu (YT) di Primula Beach Resort semalam.

Katanya, bersandarkan lapan nilai teras iaitu budaya ilmu,cemerlang, cakna, amanah, setia, muafakat, bersyukur dan istiqamah, hubungan kerajaan dan orang awam dapat dipertingkatkan lagi.

Selain itu, penjawat awam juga tidak menangguh kerja, bertindak cepat dan tepat, berdisiplin serta memanfaatkan ilmu pengetahuan yang ada dan sedia berubah ke arah kebaikan.

Setiap tahun, kerajaan memberi insentif kepada penjawat awam yang cemerlang, hadiah berupa wang tunai dan pakej haji atau umrah sebagai galakan dan penghargaan termasuk menghasilkan produktiviti yang baik kepada jabatan masing-masing.


Dalam majlis itu seramai 28 kakitangan YT terpilih menerima APC, 11 penerima insentif lama berkhidmat (melebihi 20 tahun) dan turut diraikan empat pegawai yang bersara wajib termasuk bekas pengarahnya, Haji Aziz Mamat.

Penerima APC membawa pulang wang tunai RM1,000 seorang beserta sijil penghargaan manakala insentif lama berkhidmat menerima Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000 beserta sijil.



Terengganu, T-Team pada kedudukan selesa

Oleh FAUZI MOHD



JUARA
Piala FA, Terengganu memperoleh bekalan selesa menjelang pertemuan timbal balik kedua suku akhir Piala Malaysia apabila menang 3-1 ke atas juara bertahan, Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Lima kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abd. Wahab dengan tiga menjadi milik Kelantan melalui Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Daudsu Jamaludin dan Mohd. Aziz Ismail sementara dua kepada pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha’ri dan Mohd. Zubir Mohd. Azmi.

Ismail Faruqi meletakkan skuad Penyu mendahului pada minit ke-43 ketika Kelantan bermain dengan sembilan pemain, selepas Shakir dan Daudsu menerima kad merah pada minit ke-31 dan 34.

Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pengadil menghadiahkan kad merah kepada penjaring gol pertama Terengganu, Ismail Faruqi pada penghujung separuh masa pertama akibat menerima dua kad kuning.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi kembali memastikan Kelantan berada pada landasan apabila menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-78.

Namun, Terengganu memastikan Kelantan pulang hampa apabila Abdul Manaf Mamat memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-88, sebelum tonggak pertahanan Peteh, Mohd. Marzuki Yusof menambah derita Red Warriors pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Dua lagi kad merah dilayangkan oleh pengadil sebelum perlawanan berakhir apabila pertahanan Terengganu, Mohd. Zubir dan pertahanan Kelantan, Mohd. Aziz Ismail bergaduh sebelum perlawanan berakhir.



Turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Sementara itu, di Stadium Likas, Sabah gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila tewas 1-2 kepada pasukan T-Team.

Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayudin meletakkan T-Team di hadapan pada minit ke-34, sebelum Alto Linus kembali menghidupkan harapan Sabah dengan gol penyamaan pada minit ke-46.

Namun, lima minit sebelum permainan tamat, Indra Putra muncul wira T-Team dengan menjaringkan gol kemenangan bagi memastikan pasukan berstatus kelab itu pulang ke gelanggan sendiri dengan membawa kelebihan satu gol.






10 October 2011

Agong rasmi Jambori Malaysia di Terengganu 21 November

Oleh FAUZI MOHD

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan untuk merasmikan Jambori Malaysia ke-12 dan Terengganu International Scout Jamboree 2011 di Kem Pengakap Telaga Batin, 21 November depan.

Setiausaha Kerja 1 Jambori, Mohamad Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, Tuanku Mizan yang juga Penaung Utama Persekutuan Pengakap Malaysia telah memberi perkenan kepada kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah jambori kali kedua selama seminggu bermula 19 November itu.

Mohamad yang juga Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Negeri Terengganu (MPNT) berkata, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan yang merupakan Penaung MPNT berkenan menyertai jambori tersebut.

Sehingga ini 25 negara menunjukkan minat dan komitmen untuk menyertai jambori itu melibatkan kira-kira 11,000 peserta.

Program Liga Sukan Komuniti cungkil bakat belia

Oleh: Amirullah Othman



Program Liga Sukan Komuniti untuk semua peringkat Negeri Terengganu menemukan “Juara Antara Juara” Negeri Terengganu, kelmarin.

Bagi Kategori Futsal Lelaki, johan disandang pasukan Medan Jaya FC (Marang) manakala naib johan pasukan Gelombang FC(Kuala Terengganu).

Bagi kategori Futsal Wanita johan pasukan Sonic FC (Kuala Terengganu) manakala naib johan pasukan Parasite FC (Dungun).

Manakala bagi kategori sepak takraw pula, johan ialah pasukan Kemaman OZM(Kemaman), manakala naib johan pasukan Ketengah (Dungun).

Untuk kategori futsal lelaki dan wanita johan membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM2,000 manakala naib johan wang tunai RM1,000. Pasukan tempat ketiga pula menerima wang tunai RM 500 dan keempat RM300.

Kategori sepak takraw pula johan membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM1,500 manakala naib johan wang tunai RM 750 dan ketiga wang tunai RM300.

Sebelum ini, telah berlangsung Program Liga Sukan komuniti peringkat daerah-daerah di mana johan dan naib johan peringkat daerah akan dipertemukan di peringkat negeri bagi mencari pasukan yang benar-benar hebat dalam negeri Terengganu untuk membawa cabaran ke peringkat kebangsaan.

Program ini berlangsung selama satu hari ini melibatkan 14 pasukan futsal lelaki, 14 pasukan futsal wanita dan 14 pasukan sepak takraw yang mewakili daerah masing-masing.

Program ini yang dirasmikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Encik Abdul Aziz Abdul Rahman, bertujuan memupuk semangat kesukanan di kalangan belia dan mengcungkil bakat baru di bidang sukan berkenaan.

Program ini dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan turut ditaja Revive dan Expert.

Encik Abdul Aziz dalam ucapannya berharap pasukan yang bertanding dengan penuh disiplin dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

Beliau berkata, program sebegini sangat baik untuk melahirkan bakat-bakat baru yang berkaliber dalam arena sukan seperti pemain bolasepak boleh dihasilkan melalui kejohanan-kejohanan futsal seperti sekarang.

Kerajaan beri pinjaman RM110 juta kepada pelajar IPTA

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) mengeluarkan pinjaman pelajaran berjumlah RM110 juta kepada anak negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam dan luar negara, tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, seramai 3.400 pelajar terbabit membuat pinjaman pelajaran untuk melanjutkan pelajaran mereka.

“Kita juga berjaya mengutip bayaran balik pinjaman sebanyak RM12 juta tahun lalu,” katanya kepada pemberita di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan meraikan pesaraan pegawai YT di Primula Beach Resort hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof serta Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Imtiaz dan Pusat Pendidikan YT seluruh negeri.

Selain itu, tahun lepas 160 orang pelajar berjaya menukarkan pinjaman kepada biasiswa kerana mendapat Gred Nilai Purata Kumulatif (CGPA) tidak kurang dari 3.75 dan ke atas melalui penyelarasan kerajaan yang diumumkan baru-baru ini bagi pengiktirafan kelas pertama dari mana-mana universiti.

Sementara itu, 28 orang kakitangan YT terima APC tahun ini yang membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan dan 11 orang menerima insentif lama berkhidmat melebihi 20 tahun menerima Sijil Simpanan Premium BSN dengan nilai RM1,000.

Majlis turut meraikan empat orang kakitangan YT yang bersara wajib termasuk bekas pengarahnya Haji Aziz Mamat.