Seramai 500 peserta terdiri daripada remaja lelaki bermasalah dan berisiko tinggi dipilih menyertai Program Sentuhan Rohani yang dijalankan dalam lima siri berasingan, bagi mewujudkan jati diri dan menjauhi mereka daripada gejala sosial.
Siri pertama program itu diadakan di Agro Peladang Resort, Setiu; D’Awang Resort, Dungun (kedua); Kem Belukar Bukit, Hulu Terengganu (ketiga); Kem Tebu Resort, Besut (keempat) dan Sactuary Resort, Tasik kenyir (kelima).
Program tersebut dianjur Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan TQHM Consultant.
Sewaktu mula menjejakkan kaki ke kem tersebut, peserta agak malu untuk bertegur sapa antara satu sama lain kerana belum terdedah dengan program-program seumpama itu di mana sesetengah peserta duduk bersendirian ketika proses suai kenal dijalankan, tetapi ada juga yang mudah mesra dan tidak kisah berada di tempat baru kerana seronok mendapat kenalan baru.
Proses pertama, peserta dihimpun dalam barisan seperti kawat tentera dan jurulatih mengeluarkan plastik yang tertera nama mereka dan diarah mengeluarkan barangan terlarang dalam kem iaitu telefon bimbit, rokok, senjata tajam serta MP3 dari beg masing-masing dan diletakkan dalam plastik.
Selepas jurulatih memasukkan plastik mengandungi barangan itu ke dalam kotak yang disediakan, terpancar mimik muka tidak puas hati di kalangan peserta kerana barangan mereka dirampas.
Bagaimanapun, selepas jurulatih menjelaskan kenapa tindakan itu dilakukan barulah wajah peserta kembali tenang.
Selepas pendaftaran dan program suai kenal, peserta menunaikan solat Zohor berjemaah dan tazkirah disampaikan Ustaz Mohd Nizam Mohd Nor dari TQHM Consultant.
Mereka bergerak ke dewan untuk slot kedua di mana kepetahan Ustaz Mohd Nizam menyampaikan ceramah motivasi menarik minat 100 peserta mendengar ilmu kerohanian tanpa jemu.
Selepas menyiapkan diri, makan, solat Maghrib dan Isyak serta mendengar tazkirah, tepat jam 8.30 malam Ustaz Mohd Nizam memulakan ceramah motivasi berkisar kepada usaha penyucian hati dan perjuangan dalam mencari ilmu.
Tayangan video peperangan di Iraq, Afganistan dan rakyat, masalah kelaparan dan bencana alam di syria, Somalia serta India dipertontonkan pada sebelah malamnya, menyaksikan sesetengah peserta menutup mata kerana insaf dengan musibah yang dialami rakyat negara lain.
Walaupun ada perserta masih dengan sikap pasif dan mahu mempertahankan ego diri, mereka beratur dengan tertib mengambil makanan dan seorang ketua di kalangan peserta membaca doa.
Hari kedua, semua peserta dikejutkan seawal jam 4 pagi untuk mengikuti program Qiamulail di mana sesetengahnya sangat teruja kerana pertama kali melakukannya.
Selepas Solat Subuh, semua peserta menukar pakaian riadah dan di bawa ke kawasan lapang untuk melakukan senaman taici untuk kecergasan bagi mengharungi pelbagai program lebih mencabar.
Selepas disajikan dengan ilmu kerohanian dan keagamaan, peserta didedahkan dengan program Kembara Malam bagi mengenang kesilapan serta dosa silam yang mereka lakukan di mana ada peserta menangis dan meraung meminta ampun kepada Allah s.w.t kerana takutkan azab-Nya seperti yang dijanjikan dalam al-Quran.
Ternyata program ini meruntuhkan ego remaja apabila mereka disajikan dengan cerita mengenai kematian dan dalam keasyikan mendengar bicara Ustaz Mohd Nizam yang diselitkan dengan tayangan video, peserta tidak sedar air mata mereka mengalir membasahi pipi kerana insaf masing-masing pernah melakukan kesilapan.
Pada slot terakhir, para peserta berpelukan sesama sendiri hingga menimbulkan suasana sungguh syahdu dan dewan dipenuhi dengan sedu sedan peserta yang penuh insaf.
Pengerusi MBNT, Mat Yusof Mat Ali, berkata program itu bertujuan mendidik belia supaya menjadi insan yang kukuh rohani dan jasmani selain mendekatkan mereka dengan aktiviti kerajaan negeri.
“Kami ikhlas membimbing remaja masa kini dengan jati diri yang kukuh berasaskan pegangan agama yang kuat.
“Program Sentuhan Rohani ialah satu platform membangunkan jiwa remaja dengan ilmu agama, kepimpinan, jati diri, dan akhlak kerana mereka pemimpin masa depan,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri yang membiayai program tersebut serta Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Marang dan TQHM Konsultant yang turut membantu menguruskan program itu dengan baik.