Pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan mampu membayangkan pentas akhir Piala Malaysia selepas memperoleh bekalan selesa babak pertama separuh akhir Piala Malaysia, malam tadi (18 Oktober).
Terengganu menewaskan Selangor 2-0 manakala satu lagi separuh akhir menyaksikan Negeri Sembilan menang 4-2 ke atas T-Team.
Di Stadium Shah Alam, Abdul Manaf Mamat menjulang Terengganu menerusi dua jaringannya.
Kemenangan itu meletakkan skuad Penyu itu kini bagaikan sebelah kaki ke pentas akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun sementara ‘Misi 33' Selangor mungkin sekadar impian untuk dicapai pada musim ini kerana perlu mencari kemenangan sekurang-kurangnya 3-0 di Kuala Terengganu, Sabtu ini (22 Oktober).
Tidak sampai seminit perlawanan bermula, Manaf berjaya mendiamkan 30,000 penyokong Selangor apabila meletakkan Terengganu di depan.
Berpunca daripada hantaran lintang Ashaari Samsudin di sebelah kiri, dia bijak melepasi perangkap ofsaid dan tanpa diduga penjaga gol Selangor, G. Jeevananthan, Manaf tanpa melihat ke arah pintu gol melepaskan sepakan melalui tumit belakang ketika bekas penjaga gol USM FC itu tergamam.
Tersentak dengan gol tersebut, Selangor segera bangkit dalam usaha mendapatkan gol penyamaan tetapi dua percubaan Safiq Rahim, satu melalui percubaan jarak jauh pada minit ke-13 dan tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma jauh melepasi palang gol.
Ketika Selangor leka dalam usaha mencari gol pembakar semangat, Manaf sekali lagi menghukum kerapuhan benteng Red Giants pada minit ke-32 dengan sepakan leret dari jarak 25 meter bagi meletakkan Terengganu semakin kukuh bergelar pendahulu perlawanan.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Negeri Sembilan mencerahkan laluan ke perlawanan akhir apabila membenam cabaran tuan rumah, T-Team 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Skuad Hoben Jang Hoben tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Shahurain Abu Samah bijak menyudahkan umpanan cantik daripada S. Kunanlan seawal minit kelima.
Gol itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat T-Team apabila tidak sampai lima minit kemudian, Indra Putra Mahayuddin kembali menyamakan kedudukan setelah menyambut bola lintang daripada Mohd. Fitri Omar.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Negeri Sembilan terus melancarkan serangan balas ke kubu tuan rumah dan hasilnya, bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar menanduk masuk gol kedua pelawat pada minit ke-25 bagi membolehkan pasukannya mendahului 2-1.
Semangat melawan T-Team nyata tidak luntur apabila Nor Farhan Muhammad kembali menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-40.
Gol itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Hairuddin sekali lagi menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pasukan T-Team apabila menjaringkan gol ketiga juga menerusi tandukan pada minit ke-42.
Masuk separuh masa kedua, skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah terus menggandakan asakan untuk menambah jaringan.
Hasilnya, S. Kunanlan terus menambah derita tuan rumah apabila tidak mensia-siakan peluang di depan jaring untuk gol keempat pelawat pada minit ke-50.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam separuh akhir kedua di Stadium Paroi, Sabtu ini.