Halaman

29 October 2011

PBSNT diarah siasat diri sendiri

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diarahkan menyiasat segera dakwaan bahawa terdapat orang dalam persatuan itu menjadi dalang menyalurkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia kepada ulat tiket.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat berkata, tindakan tegas akan diambil jika perkara itu didapati benar-benar berlaku.

Beliau berkata, perbuatan ingin mengaut keuntungan mudah dengan menjual tiket yang telah disubsidi kerajaan negeri itu menyusahkan banyak pihak serta menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong bola sepak.

"Saya kesal jika benar perkara ini berlaku, dan siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

YB. Rozi berkata, perkara sebegitu tidak wajar berlaku kerana pengagihan turut dilakukan di seluruh 32 Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen, dengan setiap kawasan diperuntukkan 500 tiket.

"Kerajaan negeri memberi subsidi sebanyak RM25 bagi tiket perlawanan akhir kepada rakyat negeri ini untuk membolehkan lebih ramai yang datang untuk menyokong dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.



Selasa lepas, Terengganu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus untuk 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket sebanyak RM50.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kekecohan apabila tiket berkenaan habis dalam tempoh dua jam pada hari pertama ia dijual Rabu lepas.

Bewah Man balik ke gua hujung tahun ini

Oleh FAUZI MOHD


Rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dipercayai rangka tertua pernah ditemui di negara ini akan dikembalikan ke tapak asalnya di Gua Bewah, Tasik Kenyir tidak lama lagi.

Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat persiapan terakhir berhubung urusan penghantaran rangka dikenali sebagai Bewah Man itu yang dijangka dilakukan pada akhir tahun ini.

Katanya, sekumpulan pakar tempatan dan ahli arkeologi kini sibuk membina satu bekas khas yang sesuai untuk menempatkan rangka manusia itu yang telah ditemui di Gua Bewah pada November tahun lalu.

“Penyelidikan ke atas rangka ini telah memasuki fasa terakhir dan selepas itu kita akan menghantarnya ke tempat ia ditemui.

“Kita juga akan pastikan rangka ini tidak diganggu dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ditanya apakah jantina rangka itu, Mohd. Yusof menjelaskan, sepasukan ahli arkeologi baru-baru ini telah menemui cebisan gigi ketika melakukan cari gali di Gua Bewah dan penemuan itu diharap akan dapat membantu untuk menentukan jantina rangka berkenaan.

“Ini adalah penemuan baru bagi Bewah Man namun kita akan melakukan lebih banyak ujian sebelum dapat menentukan jantina sebenar rangka yang dianggap tertua di negara kita,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, setiap rangka yang ditemui di kawasan itu telah dihantar kepada pakar-pakar di Amerika Syarikat untuk penyelidikan lanjut.


Hadi janji bawa pulang trofi Piala Malaysia

Abdul Hadi Yahaya berikrar tidak mahu menghampakan penyokong Terengganu yang menaruh harapan tinggi kepadanya untuk memberikan persembahan paling cemerlang pada final Piala Malaysia, Sabtu ini.



Penjaring terbanyak Liga Super dan Piala FA itu berkata, dia akan turun dengan misi untuk mencipta sejarah gemilang dan membawa pulang trofi.

Malah Hadi, yang meledakkan 25 gol musim ini juga sudah mengukir sejarah peribadi apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Hadi menegaskan, hanya persembahan terbaik bersama rakan-rakan sepasukan di Stadium Shah Alam nanti dapat menebus aksinya yang agak hambar sebelum ini.

Saya akan turun habis-habisan, Sabtu ini untuk membawa pulang Piala Malaysia ke Terengganu selepas 10 tahun.

"Saya juga mahu menebus dan memperbaiki kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan lalu,'' katanya, baru-baru ini.

Mengenai prestasinya ketika menyingkirkan Selangor di separuh akhir, Hadi mengakui tertekan kerana gagal menjaringkan gol.

"Saya memang tertekan ketika itu tetapi bukan tertekan kerana penyokong atau pasukan Selangor, sebaliknya kerana gagal menjaringkan gol dalam Piala Malaysia,'' katanya.

Ditanya mengenai peluang Terengganu pada final kali ini, Hadi berkata, ia adalah 50-50, namun dia dan rakan-rakan sepasukan tetap akan berhati-hati apabila berdepan Negeri Sembilan.

Katanya, Negeri Sembilan adalah pasukan yang berbahaya kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman antaranya Hairuddin Omar serta Sukor Adan.

"Kami tidak boleh terleka kerana ia hanya akan mengundang padah seterusnya menyebabkan Terengganu kempunan merangkul juara,'' katanya lagi.


Final Piala Malaysia : Siaran langsung di TV1

Oleh FAUZI MOHD

Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini.

Siaran langsung di saluran TV1 dari Stadium Shah Alam itu bermula 8.40 malam, menurut kenyataan RTM hari ini.

Perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini berlangsung di Stadium Shah Alam berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di Stadium Nasional Bukit Jalil

28 October 2011

PDK Jertih akan mengadakan Hari Terbuka

Oleh: Mohammad Ishak




Kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih akan mengadakan Hari Terbuka yang akan berlangsung sehari di kawasan premis berkenaan di Kampung Cabang Tiga, dekat sini, pada 1 November ini.

Pengerusinya, Haji Ayub Jusoh berkata, program itu bertujuan memberi peluang pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) yang belajar di kelas itu mempamerkan kemahiran dalam bidang masing-masing.

Katanya, sempena program itu orang ramai dan komuniti setempat berpeluang menyaksikan pelbagai acara menarik termasuk persembahan khas oleh kanak-kanak terbabit,pemeran kerja tangan oleh pelatih, dan tayangan klip video mengenai penubuhan kelas PDK berkenaan.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar akan merasmikan program berkenaan.

Katanya, sempena majlis itu juga Zuhaimi akan melakukan upacara perasmian bangunan baru kelas berkenaan.

PDK Jertih ditubuhkan 15 tahun lalu pada awalnya mempunyai 8 pelatih tetapi kini meningkat kepada 40 orang hasil usaha jawatankuasa dan petugas memberi penerangan kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya menghantar ke kelas terbabit.

Beliau berkata, kanak-kanak yang menerima latihan di PDK agak beruntung kerana mereka bukan sahaja mendapat kemahiran dan ilmu malah pelatih terbabit juga turut menerima elaun bulanan kehadiran belajar di kelas.

Katanya, hari terbuka itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai terutama pemimpin komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain mengetahui fungsi dan peranan PDK dalam menjaga kepentingan kanak-kanak OKU.



Terengganu siap sedia hadapi banjir


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir, terutama berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Sebanyak 112 pangkalan hadapan yang diwujudkan di seluruh negeri bagi menghadapi banjir sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika bencana itu berlaku.

Bagi tujuan itu, pihak berkuasa menyediakan 347 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan 51,700 mangsa, berbanding 48, 192 orang pada tahun lalu.

Sebanyak 98 pusat perpindahan disediakan di daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

Semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah telah bersiap sedia menjalankan tanggungjawab masing-masing jika banjir berlaku.

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) juga telah bersiap sedia dengan pelbagai barang keperluan mangsa banjir seperti bekalan makanan dan minuman, selimut serta lampin bayi di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pulau Kerengga, Marang, bagi tujuan yang sama.

Bilik gerakan banjir akan dibuka segera sebaik saja terdapat mangsa banjir yang berpindah, bagi memudahkan urusan penghantaran bekalan dan maklumat semasa mengenai banjir.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang, etindakan.terengganu.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan situasi bencana alam itu di Terengganu.

Puteri Hulu Terengganu dekati rakyat


Oleh: Mastura Jamaluddin

Melalui pendekatan kesihatan dan kebajikan untuk masyarakat, Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu mengambil inisiatif untuk menganjurkan Klinik Kesihatan Bergerak dan Klinik Pergigian Bergerak sempena Karnival Sukan Rakyat DUN Telemong, di Kampung Matang, baru-baru ini.

Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Puan Zurina binti Abdul Rahman, projek itu merupakan sebuah program yang dilaksanakan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di peringkat bahagian seluruh negara melalui sukarelawan yang terdiri daripada ahli Pergerakan Puteri UMNO yang akan pergi ke Pusat Daerah Mengundi di bahagian masing-masing.

Beliau berkata, melalui program itu perkhidmatan kesihatan secara percuma akan diberi oleh pegawai-pegawai yang bertauliah dan mereka akan dibantu sukarelawan Puteri UMNO kepada masyarakat terutama di luar bandar.

Mereka menggunakan kenderaan yang bergerak yang akan membawa peralatan asas untuk pemeriksaan.

Program yang berlangsung di Kampung Matang berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kanak-kanak begitu teruja untuk mendapat khidmat pemeriksaan pergigian percuma dengan ditemani oleh ibu bapa mereka.

Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan turut mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk yang hadir ke program tersebut.

Diskaun tiket nyata melegakan penyokong

Oleh: Suriati Ali

Keputusan kerajaan negeri memberi subsidi 50 peratus bagi harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, 29 Oktober ini (Sabtu), nyata melegakan ribuan peminat dan penyokong fanatik skuad Penyu.

Penyokong skuad Penyu, Encik Azhar Mohd Nor, 38, dari Kampung Gelong Gajah, Batu Rakit, berkata langkah itu nyata mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung dengan mengeluarkan belanja lebih untuk pengangkutan dan penginapan serta makan minum bagi memberi sokongan kepada pasukan mereka pada pertandingan piala berprestij itu nanti.



“Terima kasih kerajaan Terengganu kerana cukup memahami masalah peminat dengan memberis diskaun harga RM50 kepada RM25,” katanya yang akan bertolak awal ke Stadium Shah Alam secara konvoi.

Mohd Izwan Abu Othman, dari Kampung Buluh, Setiu, berkata pengumuman itu nyata mengembirakan dia dan beberapa rakan lain yang tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan pasukan kesayangannya beraksi.

“Tiada lain yang diharapkan melainkan skuad Penyu perlu beraksi cemerlang supaya berbaloi apa yang diumumkan kerajaan Terengganu selain memenuhi harapan ribuan peminat,”katanya.

Mohd Hilwan Mohd, berkata dia bersama puluhan rakan bagaikan tidak sabar-sabar untuk menyaksikan perlawanan menarik yang bakal dipamerkan pasukan Terengganu nanti.

Kerajaan Terengganu bersetuju memberi subsidi 50 peratus daripada harga tiket RM50 yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi pertandingan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, 29 Oktober ini (Sabtu).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengeluarkan arahan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Haji Che Mat Jusoh supaya menempah 30,000 tiket bagi menyaksikan pertandingan itu untuk dijual kepada penyokong Terengganu.

“PBSNT diminta supaya mengagihkan 500 keping tiket kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijual kepada penyokong pasukan Terengganu




Fama anjur jualan Terus sempena Aidiladha

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu akan mengadakan program jualan terus sempena Aidiladha yang diadakan di pasar tani terpilih di seluruh negeri ini bermula pada 3 hingga 5 November ini.

Pengarah Fama, Encik Hasan Jusoh berkata, program itu diadakan bagi membantu orang ramai mendapatkan bekalan yang secukupnya untuk musim perayaan dengan harga 10 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Menurutnya, pasar tani yang terlibat adalah Pasar Tani Mega, Padang Hiliran, Pasar Tani Mega Kerteh, Kemaman dan Pasar Tani Jerteh, Besut.




“Melalui jualan terus ini, ia dapat membantu orang ramai mengurangkan kos membeli dan mendapat bekalan dengan secukupnya serta memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang pada musim perayaan.

“Dengan langkah ini, ia membantu kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga barang semasa musim perayaan dan menangani masalah kenaikan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Katanya, dengan jualan secara terus ke pengguna melalui rangkaian Fama, ia dapat meningkatkan pengedaran bekalan melalui pengukuhan prasarana pemasaran dan meningkatkan bekalan.

Menurutnya, Fama juga menyediakan stok bekalan ayam yang secukupnya untuk keperluan musim perayaan dan juga sayur-sayu-ran lain seperti tomato, cili merah, kubis bulat, timun hijau, bawang merah dan kelapa.





27 October 2011

Seminar Perkeso beri manfaat kepada Pengerusi JKKK

Oleh: Mohammad Ishak


Pengerusi JKKK Daerah Besut bergambar kenangan selepas mengikuti seminar anjuran Perkeso

Buat pertama kalinya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri ini diberi pendedahan dan mendapat info berguna mengenai tanggungjawab Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja di negeri ini

Seminar sehari yang dianjurkan oleh pertubuhan itu kepada pengerusi JKKK Daerah Besut yang berlangsung di Demong Beach Resort, semalam, sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman kepada pemimpin terbabit mengenai khidmat diberikan oleh pertubuhan berkenaan.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh yang merasmikan seminar itu turut bangga kerana pemimpin JKKK daerah itu dapat menimba pengetahuan baru mengenai fungsi Perkeso sekali gus dapat membantu penduduk dikawasan organisasi itu menyelesaikan dengan pihak terbabit.

Seramai 40 pengerusi JKKK dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut,Jertih, Kota Putera dan Kuala Besut menyertai seminar bertujuan mendedahkan pemimpin JKKK dengan kepentingan pekerja dan majikan.

Bagi melengkapkan seminar itu pihak penganjur turut membentangkan dua kertas kerja bertajun “Kelayakan Majikan dan Pekerja” oleh Mohd Roslan Mat Ali dan “Skim Insuran
Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat” disampaikan oleh Mohamad Fauzi Mohamad,kedua-duanya dari Pejabat Perkeso Terengganu.

Pengerusi JKKK Gong Gucil, Zahari Mat Din, menyifatkan seminar berkenaan walaupun singkat tetapi ia memberi kesan yang mendalam kerana banyak perkara yang sebelum ini tidak diketuai mengenai masalah pekerja dan majikan diberikan huraian terperinci.

Beliau mencadangkan lebih banyak agensi dan jabatan kerajaan tanpil memberi penerangan dan seminar seumpama itu kepada Pengerusi JKKK kerana ia penting untuk disampaikan kepada komuniti setempat.