Halaman

03 November 2011

BN bersedia bila-bila masa sahaja

Oleh; Esah Abdullah

Maklum balas yang diterima daripada segenap lapisan rakyat di negeri ini meyakinkan Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan terus kekal memerintah negeri ini selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, persiapan rapi telah dibuat dan bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk mengerakkan jentera bila tarikh itu tiba.

“Setakat ini masalah dalaman yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO negeri sudah tiada dan semua pemimpin kanan parti sudah diselesaikan melalui perbincangan,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, kini tumpuan adalah untuk menghadapi PRU13 dan sudah melakukan yang terbaik untuk parti dan masa depan rakyat.

Dato’ Seri Haji Ahmad melahirkan rasa yakin, BN mampu menawan beberapa kerusi yang ada di tangan pembangkang memandangkan kebangkitan suara rakyat yang sudah muak dengan janji pemimpin Pas.

“Kerajaan sudah laksanakan segalanya demi menjaga kebajikan rakyat dan apa lagi yang diperlukan mereka kerana semuanya kita telah beri,” katanya.

Menurutnya, setakat ini semua pemimpin parti tiada masalah dan bergerak seiring serta memberi komitmen penuh untuk menghadapi pilihanraya.




Besut dapat Ketua Siasatan Jenayah (KSJ) baru

Oleh: Mohammad Ishak


Kasmani (kiri) menerima serah tugas dari Rozaimi (kanan) sambil diperhatikan Noor Zainy semalam


Selepas lima bulan tidak mempunyai Ketua Siasatan Jenayah (KSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, akhirnya mendapat seorang penyandang tetap memikul tanggung jawab memerangi jenayah.

Berikutan kekosongan jawatan itu IPD Besut semalam mendapat pegawai baru, ASP Kasmani Hassan.46, sebagai KSJ baru untuk bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah itu.

Sebelum ini jawatan itu terpaksa dipangku oleh Chiff Inspektor Rozaimi Ibrahim, dalam tempoh berkenaan sebelum diisi oleh Kasmani yang sebelum ini mengetuai Bahagian Nakotik di Ibu Pejabat Polis Daerah, Batu Pahat, Johor.

Satu majlis serah dan terima tugas antara Rozaimi dan Kasmani berlangsung di Bilik Gerakan IPD Besut, Kampung Raja, sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zaini Mohd Nor semalam.

Noor Zaini berkata, walapun jawatan penting itu tidak diisi dalam tempoh berkenaan namun pemangkunya dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesaan dalam usaha memerangi jenayah di daerah Besut.

Katanya, dengan kehadiran pegawai baru bagi mengisi kekosongan sebelum ini diharap PDRM Daerah Besut dapat meningkatkan lagi tugas dan tanggungjawab membanteras kegiatan berkenaan.

Sementara itu, Kasmani ketika ditemui pada majlis itu berazam untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan berusaha bersungguh-sungguh menaikkan pasukan Polis terutama mengurangkan kadar jenayah.

“Apa yang penting, saya akan mendapat kerjasama dan sokongan bukan sahaja daripada anggota pasukan malah lebih penting penduduk daerah ini diajak sama-sama memerangi kegiatan berkenaan,” katanya.


Risda sedia RM157 juta untuk BTSG

Oleh; Esah Abdullah

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerima peruntukan besar iaitu RM157 juta bagi program Bantuan Tanam Semula Getah (BTSG) tahun depan.

Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, peruntukan ini membabitkan kawasan 51,000 hektar seluruh negara termasuk 3,000 hektar kawasan tanaman baru.

“Turut menerima peruntukan ialah bagi tanaman kelapa sawit seluas 10,000 hektar,” katanya di majlis Penyampaian Sumbangan Pengerusi Risda kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan BTSG) di Akademik Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang semalam.

Hadir sama, , Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Encik Mohamad Muda dan Pengarah Risda Terengganu, Encik Zakaria Mat Zin.

Pada majlis berkenaan, 73 buah NGO seluruh negeri menerima bantuan sumbangan Pengerusi Risda berjumlah RM100,000.

“Sumbangan itu sebagai penghargaan kepada NGO yang berperanan mengikut pendekatan masing-masing bersama kerajaan kearah membentuk kesejahteraan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Tambahnya, Risda sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan memastikan setiap pelaburan yang dilakukan memberi manfaat kepada semua pihak terutama kalangan pekebun kecil.




711 murid DUN Kijal terima e-Book

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI

Dengan misi mahu membuat lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi maklumat (ICT), langkah demi langkah digerakkan bagi mengubah lanskap pendidikan negeri anjung ilmu, Terengganu.



Bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bandi II, sebentar tadi wajah gembira murid, guru dan ibu bapa dirakamkan apabila seramai 711 murid dari Dewan Undangan Negeri(DUN) Kijal menerima agihan e-Book percuma.



Lebih bermakna, penyampaian daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said itu ditunggu-tunggu murid tahun empat dari sepuluh buah sekolah itu.

Daripada jumlah itu, 179 penerima daripada SK Kijal, SK Bukit Kuang (189), SK Meraga Beris (54), SK Bukit Anak Dara (20), SK Payoh (34) dan SK Padang Kubu(30).

Tidak ketinggalan SK Ibok seramai 52 orang, SK Seri Bandi (83), SK Seri Bandi II (70) dan selebihnya dari SK Telok Kalong telah disampaikan pada majlis berasingan sebelum ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman.

Untuk rekod, seramai 3,665 murid tahun empat telah menerima agihan e-Book di seluruh Parlimen Kemaman pada tahun ini termasuk DUN Kemasik seramai 662 murid, DUN Chukai (1,154) dan DUN Air Putih (1,138).



Menarik perhatian, tiga pasangan kembar iaitu M. Azrim Mohd dan M. Azuan Mohd.; Mohd. Ashraf Amsyar Ali dan Mohd. Ashraf Amin Ali serta Zafatul Hafizi Zahari dan Zafatul Azizi Zakari.













142 penerima, 82 sekolah dapat AKPT 2011

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI

Seramai 142 penerima dari 82 sekolah menerima 33 kategori dalam Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Terengganu (AKPT) 2011 yang disampaikan Menteri Besar, Dato' seri Ahmad Said petang semalam.



Anugerah disampaikan sempena program tiga hari Karnival Pendidikan Terengganu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, Kemaman.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Razali Daud berkata, ia bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid yang telah mencipta kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Selain itu, penghargaan turut diberi kepada sekolah cemerlang dalam peperiksaan awam serta cemerlang dalam pengurusan sekolah," katanya dalam majlis perasmian itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abdul Rahman.



Antara yang diraikan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengabang Telipot dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang menerima Anugerah Pengurusan Disiplin Terbaik.

Anugerah Pengurusan Asrama Terbaik dimenangi SMK Pulau Serai, Dungun dan Anugerah Pengurusan Koperasi Terbaik berjaya digondol SMK Agama Sheikh Abdul Malek.

Bagi Anugerah Pengurusan Makmal ICT Terbaik diraih SMK Rusila, Marang dan SK Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu.

Sementara itu, tiga sekolah, SMK Padang Negara, Kuala Terengganu; SMK seri Berang, Hulu Terengganu dan SMK Putera Jaya, Setiu menerima Anugerah Peratus Kehadiran Murid ke Sekolah Tertinggi.



SK Tengku Mahmud, Besut dan SK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu terpilih menerima Anugerah Pelaksanaan e-Book Terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran.

Tambah Razali, program yang sebelum ini dikenali sebagai Ekspo Pendidikan mula digerakkan ke setiap daerah mulai tahun ini dan Daerah Kemaman menjadi destinasi pertama.

"Atas usaha untuk berkongsi kecemerlangan pelajar dengan banyak peringkat masyarakat program tahunan ini diteruskan ke daerah-daerah lain tahun depan," katanya.








02 November 2011

Kad khas ganti tiket bola sepak

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bercadang untuk memperkenalkan kad khas sebagai mengantikan tiket untuk masuk ke stadium ketika perlawanan bola sepak di negeri ini pada masa akan datang.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata, perkara ini boleh mengelak daripada berlaku penyelewengan penggunaan tiket berulang kali di kalangan penonton.

“InsyaAllah, cadangan ini akan dilaksanakan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak yang sedang dibaikpulih sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Menjawab pertanyaan lain, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta penyiasatan rapi dibuat bagi mengenal pasti ‘ulat tiket’ yang mengambil kesempatan terhadap subsidi tiket kerajaan pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia baru-baru ini.

“Dalam hal ini bukan salah persatuan, mungkin ada individu tertentu yang bergerak sendirian semata-mata mencari keuntungan dengan cara mudah,” katanya.

Menteri Besar juga melihat dari sudut positif mengenai kenaikan harga tiket yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan akhir merebut Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Mungkin ada rasionalnya FAM mengambil keputusan itu, mereka sebagai penganjur lebih merasai bebannya daripada orang yang hanya penonton,” katanya.




Teganukita 50





Kerajaan negeri bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir besar

Dato' Seri Haji Ahmad ketika sidang akhbar ditemani Dato' Haji Mazlan selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh; Esah Abdullah


Kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar di negeri ini dengan menyediakan 112 pengkalan hadapan untuk menyimpan stok bekalan makanan dan keperluan harian kepada mangsa bencana.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Depoh Simpanan Keperluan Bencana Zon Timur di Pulau Kerengga, Marang juga telah siap dan sedia beroperasi sepenuhnya.

“Depoh ini berfungsi sebagai tempat menyimpan barangan keperluan harian sebelum dihantar ke pengkalan hadapan dan pusat pemindahan di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Setakat ini katanya, semua bekalan makanan telah diagihkan kepada semua pengkalan hadapan seluruh negeri dan mampu bertahan selama dua minggu sekiranya banjir berlaku dan jika berlarutan bantuan akan ditambah dari semasa kesemasa.

Menurutnya, daerah Hulu Terengganu paling banyak pengkalan hadapan iaitu 32 buah diikuti Besut (26) Kemaman (15) Setiu (15) Marang (13) Dungun (9) dan Kuala Terengganu (2).

Sehubungan itu katanya, sejumlah 347 pusat pemindahan disediakan yang berupaya menampung seramai 51,745 orang mangsa banjir.

Tambahnya, daerah Besut mempunyai 98 buah pusat perpindahan yang boleh menampung 11,082 mangsa, Hulu Terengganu (78) 8,640 orang, Dungun (52) 9,615 orang, Kemaman (36) 8,270 orang, Setiu (35) 2738 orang, Kuala Terengganu (25) 7,300 orang dan Marang (23) 4,100 orang.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi arahan berpindah dari pegawai bertugas agar tidak menimbul masalah kemudian hari.

“Ibu bapa juga perlu awasi pergerakan anak masing-masing dan jangan biarkan bermain ditepi parit, longkang atau diluar rumah ketika air besar,” katanya.




Masih kenal pasti kedai layak

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa restoran atau kedai makan yang bena-benar layak untuk disenaraikan sebagai Restoran Menu Rakyat 1Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata pihaknya belum mendapat senarai penuh berkaitan mana-mana restoran yang menawarkan harga berpatutan kerana masih dalam proses pemilihan.

Katanya, apabila senarai penuh diperoleh, satu majlis khas akan dianjurkan untuk memperkenalkan restoran terpilih supaya orang ramai dapat berkunjung dan menikmati menu yang disediakan.

“Kewujudan Restoran Menu Rakyat 1Malaysia mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa ada kedai yang masih menjual harga pada yang berpatutan dan tidak timbul lagi isu makanan mahal terutama dengan situasi di negeri ini.

“Saya yakin rakyat akan menyokong restoran yang menawarkan harga berpatutan ini, manakala restotan terpilih itu perlulah mengikut pakej yang diperkenalkan,” katanya.
YB Dr Haji A Rahman mengakui sebahagian besar restoran di Terengganu tidak meletakkan harga standard sehingga mengelirukan orang ramai.




Bandar Kuala Berang pusat perniagaan


Oleh: Mastura Jamaluddin

Satu ketika “ Fo Lo An” adalah satu tempat yang menjadi tumpuan pedagang dan merupakan salah satu pusat perdagangan terawal dalam sejarah.

Kini “Fo Lo An “ yang dikenali sebagai Bandar Kuala Berang meneruskan sejarah sebagai pusat perniagaan yang terkenal di daerah Hulu Terengganu yang menjadi tumpuan segenap pelusuk sama ada dari dalam atau luar daerah .

Pekan Sari Rabu dan Sabtu merupakan dua hari waktu puncak perniagaan yang menghimpunkan pelbagai golongan dan berbagai barangan boleh di dapati di sini.

Ibarat pasaraya besar, begitulah yang dapat disaksikan pada hari tersebut dengan bermacam ragam pembeli dan penjual.

Daripada berbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan, kuih-muih, pakaian, peralatan rumah dan banyak lagi keperluan boleh di dapati pada hari Rabu dan Sabtu.

Aktiviti ini diteruskan pada hari Isnin dengan pasar tani dan pasar malam setiap Selasa dan hari Rabu dan menyaksikan enam hari dalam seminggu yang penuh dengan aktiviti perniagaan.

Kebanyakan peniaga datang dari jauh dan sanggup bermalam di dalam kenderaan masing-masing hanya kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk berniaga di Bandar Kuala Berang yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Yang pasti Bandar Kuala Berang terbukti kesinambungan “ Fo Lo An “ yang pernah terkenal pada abad yang lalu dan akan kekal buat selamanya sebagai destinasi perniagaan .