Halaman

27 November 2011

Bekas Ketua Wanita UMNO Seberang Jertih dapat kerusi roda

Oleh: Mohammad Ishak




Pengorbanan seorang pemimpin wanita Umno terhadap parti yang sebelum ini aktif memajukan golongan wanita di kampungnya akhirnya mendapat pembalasan selepas dia terlantar sakit akibat lumpuh anggota.

Maridah Awang,53, bekas Ketua Wanita Umno Seberang Jertih, tidak menyangka jasa dan baktinya terhadap masyarakat ketika memagang jawatan berkenaan rupanya mendapat simpati dan penghormatan daripada pemimpin parti itu.

Dia yang terlantar sakit di rumahnya terkejut apabila dikunjungi Timbalan Ketua Wanita Umno Bahagian Besut, Toh Puan Seri Wan Naimah Abd Latif, yang berkunjung ke rumahnya hari ini dan menghadiahkan kerusi roda kepadanya.

Rombongan Wanita Umno berkenaan yang mendapat maklumat mengenai penderitaan Maridah segera bertindak mmemberikan beliau kerusi roda itu untuk memudahkan Maridah bergerak di dalam rumahnya.

Wan Naimah berkata, skuad prihatian wanita bahagian bukan sahaja memberi perhatian terhadap ahli biasa malah jika ada bekas pemimpin peringkat cawangan dan bahagian mereka juga akan diberi bantuan sekadar mampu.

Katanya, pihaknya amat bersimpati terhadap Maridah yang sebelum ini banyak menggerakkan jentera parti khususnya wanita di kawasan Seberang Jertih.

“Kali ini tiba pula masanya pihak wanita bahagian membantunya dengan menyediakan kerusi roda kerana dia memerlukan kemudahan berkenaan untuk bergerak selepas diserang penyakit lumpuh sebulan lalu,” katanya.

MB ajak umat Islam memiliki sikap mulia


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada anak Allahyarham Dato' Awang Jabar ketika sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar mengajak umat Islam di negeri ini menghentikan perangai buruk seperti gemar menabur fitnah, mendengar hasutan dan mengamalkan sikap berpuak-puak kepada amalan mulia sempena sambutan Maal Hijrah ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sudah tiba masanya mereka membuang tabiat buruk dan menggantikannya dengan amalan baik sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.

Katanya, maksud hijrah itu juga perlu dikembangkan daripada hidup miskin kepada kehidupan lebih selesa, jika seseorag itu buta huruf kepada memiliki ilmu yang tinggi atau erti kata lain celik ilmu.

“Setiap insan atau umat Islam itu tidak perlu jemu menuntut ilmu yang nyata untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat, bak kata perpatah `tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad dan tuntutan ilmu sehinggalah ke negeri China’,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Tetamu kehormat lain, Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Alias Abdullah dan beberapa wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Dalam majlis itu, Allahyarham Dato’ Haji Awang Jabar diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah dan wakilnya berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.



Manakala Masjid Kampung Rawai, Marang memenangi tempat pertama bagi anugerah masjid mukim terbaik; Haji Mohamed @ Razak Abdullah dari Kampung Gong Balai, Marang (Anugerah Imam Cemerlang) dan Haji Abu Bakar Said pula dinobatkan sebagai Anugerah Bilal Cemerlang.

Penerima lain iaitu Syarikat Ibrahim MN Industri (M) Sdn Bhd pula diumumkan sebagai Anugerah Kilang Produk Terbaik.


Dato’ Seri Ahmad menambah, hijrah memerlukan pengorbanan yang besar dalam melaksana perubahan bagi mencapai sesuatu yang lebih baik dan cemerlang.

“Oleh itu, di dalam konteks globalisasi hari ini, setiap dari kita dituntut menanam sikap ingin melaksana pembaharuan dan kemajuan dengan semangat dan azam yang tinggi berlandaskan prinsip dan syariat Islam,” katanya.


Banjir tidak jejas sambutan Maal Hijrah di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ketibaan musim tengkujuh dan banjir yang melanda lima daerah di negeri ini minggu lalu, tidak menjejaskan pelbagai persiapan dan aturcara yang disusun sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi.



Maal Hijarh di Terengganu dimulakan dengan Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Masjid At-Taqwa, Durian Burung, Kuala Terengganu, malam tadi.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, hadir pada majlis berkenaan.



Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi adalah bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".



Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun, solat Maghrib, bacaan doa akhir tahun, solat hajat dan bacaan Yasin.

Sebelum itu, bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Ismail Ali menyampaikan Bicara Khas Maal Hijrah yang turut disertai jemaah sekitar.

Pada pagi ini, Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan turut hadir pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Stadium Negeri, yang dimulakan kira-kira jam 9.30 pagi.

Dato’ Seri Haji Ahmad menyampaikan anugerah Tokoh Maah Hijrah Negeri Terengganu dan pelbagai anugerah sempena sambutan Maal Hijrah kepada para pemenang di majlis tersebut.

Karnival Upin dan Ipin meriahkan Piala Monsun



Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong turut dimeriahkan dengan Karnival Upin dan Ipin yang diadakan khusus bagi menarik minat pengunjung, khususnya di kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa turut berkunjung di Pulau Duyong petang semalam bagi membolehkan anak-anak mereka beramah mesra dengan ikon kanak-kanak, Upin dan Ipin, pada karnival tersebut.

Pelbagai acara diadakan pada karnival tersebut yang berlangsung selama dua hari mulai semalam, bagi memeriahkan acara Piala Monsun yang bermula sejak 22 November lalu.

Antara acara Karnival Upin dan Upin yang menarik perhatian orang ramai, khususnya kanak-kanak ialah fotografi dengan Upin dan Ipin.

Kanak-kanak yang meminati rancangan Upin dan Ipin tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan ikon kesayangan mereka, bersama keluarga masing-masing.


Tinjauan Teganukita mendapati jalan masuk ke Pulau Duyong sesak petang semalam dan hari sebelumnya di mana orang ramai mengambil peluang cuti hujung minggu untuk menyaksikan kejohanan Piala Monsun.

Sebahagian besar daripada pengunjung terdiri daripada pelawat luar Terengganu yang turut melawat Terengganu sempena cuti sekolah dan cuti panjang Maal Hijrah.



Banjir di Terengganu makin pulih

Oleh FAUZI MOHD

Keadaan banjir di Terengganu bertambah baik dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan semakin berkurangan.

Sehingga pukul 9 pagi ini, seramai 249 orang mangsa masih berada pusat pemindahan di negeri ini berbanding 561 orang petang semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, negeri Terengganu berkata di Hulu Terengganu terdapat tujuh orang, Kuala Terengganu (142), Marang (23) dan Setiu (77).

Katanya lima buah pusat pemindahan masih lagi beroperasi di Terengganu iaitu masing-masing satu di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Setiu dan dua di Marang.

Beliau berkata paras air sungai utama yang meningkat melebihi paras bahaya sejak banjir melanda negeri ini Ahad lepas, telah menurun ke paras waspada sejak Jumaat lepas.

Banjir - cuti 3,200 polis Terengganu beku

Oleh FAUZI MOHD

Cuti seramai 3,200 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Terengganu telah dibekukan bagi membolehkan mereka memberikan khidmat sepanjang musim tengkujuh yang sedang berlaku sekarang.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Jamshah Mustapa berkata, penguatkuasaan pembekuan cuti itu bermula Isnin lalu.

“Pembekuan cuti melibatkan semua jabatan PDRM dan akan ditamatkan sebaik sahaja musim tengkujuh berakhir serta banjir pulih seperti biasa,” katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di Kampung Permaisuri, Setiu semalam.

Menurut Dato' Jamshah, pihaknya telah bersiap sedia untuk mengerahkan keseluruhan tenaga anggota bagi membantu mangsa.


Jheat ajak belia berbasikal dekati konsep hijrah



Oleh: Suriati Ali


Melihat perkembangan sukan berbasikal menjadi fenomena baru dalam kalangan belia di Terengganu mendorong Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) menganjurkan program Kembara Maal Hijrah 1433 melibatkan golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, jika sebelum ini program yang sama dianjurkan melibatkan penunggang motosikal tetapi hari ini (semalam) kita libatkan mereka yang meminati aktiviti sukan berbasikal pula.

Menurutnya, program tahunan yang dirancang khusus untuk golongan itu bertujuan mengajak mereka untuk turut sama merasai dan menghayati konsep sebenar hijrah seterusnya berubah ke arah yang lebih baik.

“Jheat sentiasa mengambil pendekatan baru untuk menarik golongan muda turut sama menyertai program melibatkan aspek kerohanian seterusnya dapat mengelak mereka daripada terjebak dengan pelbagai aktiviti kurang sihat.

“Malah dengan penyertaan mereka ini sedikit sebanyak dapat mengikis tanggapan buruk masyarakat terhadap mereka yang sering dikaitkan dengan aktiviti melepak, merempit dan gejala sosial lain,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelepasan Kembara Maal Hijrah 1433 di perkarangan Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu, petang semalam (26 November).

Pada program itu, lebih 100 peserta daripada pelbagai peringkat umur menyertai aktiviti kayuhan sejauh 20 kilometer mengelilingi kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu iaitu melalui Gong Kapas, Jalan Kamaruddin, Pantai Batu Buruk, Jalan Ladang, Dataran Syahbandar dan berakhir di lokasi Sambutan Ambang Maal Hijrah di Masjid al-Taqwa Durian Burung.

Sementara itu, Khazan berkata, selain aktiviti berbasikal pelbagai aktiviti positif turut diselitkan program ceramah perdana, tazkirah, motivasi diri dan solat berjemaah


Hijrah dan transformasi untuk kelangsungan bangsa - MB

Oleh FAUZI MOHD

Dato’ Seri Ahmad Said berkata, penghijrahan dan transformasi di dalam negeri dan negara harus dilakukan umat Islam bagi memastikan kelangsungan pembangunan bangsa berterusan.

Menteri Besar berkata, agenda penghijrahan ekonomi dan pembangunan selama ini telah membuktikan falsafah kesederhanaan adalah satu pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar.

“Saya yakin transformasi konsep hijrah ini sesuai dijadikan model dan panduan dalam masyarakat majmuk di negeri dan negara ini, khususnya dalam usaha kita bekerjasama bagi memperkasakan serta menguatkan lagi kesepakatan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Masjid At-Taqwa, Durian Burung, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi adalah bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun, solat Maghrib, bacaan doa akhir tahun, solat hajat dan bacaan Yasin.

Sebelum itu, bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Ismail Ali menyampaikan Bicara Khas Maal Hijrah yang turut disertai jemaah sekitar.

Dato’ Seri Ahmad menambah, hijrah memerlukan pengorbanan yang besar dalam melaksana perubahan bagi mencapai sesuatu yang lebih baik dan cemerlang.

“Oleh itu, di dalam konteks globalisasi hari ini, setiap dari kita dituntut menanam sikap ingin melaksana pembaharuan dan kemajuan dengan semangat dan azam yang tinggi berlandaskan prinsip dan syariat Islam,” katanya.

Jaguh dunia kembali menjadi milik Ian Williams

Oleh FAUZI MOHD

Juara berganda Piala Monsun 2007 dan 2008, Ian Williams dari pasukan GAC Pindar sekali lagi membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kejuaraan Siri Akhir Jelajah Dunia (WMRT), semalam.

Pasukan GAC Pindar dianggotai Gerry Mitchell, Mal Parker, Bill Hardesty dan Matt Cassidy, menang dengan kiraan mata 3-2 ke atas Bruni.

"Kejuaraan ini amat luar biasa kerana saya berjaya mengungguli gelaran dunia tiga kali dalam tempoh lima tahun. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kejuaraan setelah gagal memperolehinya dua tahun berturut-turut.

"Saya menganggap ini adalah kejayaan buat krew yang bekerja keras sepanjang musim ini untuk menentang pasukan hebat dari seluruh dunia.

"Ia adalah kejayaan yang amat istimewa buat saya," kata pelayar Britain itu pada sidang akhbar semalam.

Musim lalu, Ben Ainslie, juga pelayar dari Britain mengungguli kejohanan berkenaan.


26 November 2011

MB lawat mangsa banjir di Kemaman


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said melawat mangsa banjir di Kampung Ibok, Kemaman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Walaupun sibuk dengan tugas rutin, Menteri Besar tetap meluangkan masa untuk melawat mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri, Kijal, petang semalam.

Beliau yang turut diiringi beberapa pembantu, melawat beberapa pusat pemindahan banjir di sekitar DUN Kijal dan menyampaikan bantuan makanan.

Menteri Besar turut makan ubi kayu bersama-sama mangsa banjir di Kampung Padang Kemunting dan Kampung Ibok.


Seperti kebiasaannya, Menteri Besar akan bertanya khabar penduduk di kawasan yang diwakili beliau dan beramah mesra dengan penduduk kampung yang dilanda banjir.

Hujan lebat yang melanda negeri ini sejak empat hari lalu menyebabkan beberapa daerah, termasuk Kemaman mula dilanda banjir.



Seramai 421 orang daripada 110 keluarga di daerah Kemaman terpaksa berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir apabila rumah mereka ditenggelami air bah sejak beberapa hari lalu.

Menteri Besar menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang tinggal di kawasan dilanda banjir supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan kejadian buruk dan mengikut arahan pihak berkuasa.