Halaman

30 November 2011

Tandas bersih tingkat imej negeri

Oleh; Esah Abdullah

Masyarakat di negeri ini diminta sentiasa mementingkan kebersihan persekitaran bagi mengelak serangan penyakit berjangkit di samping menjaga imej negeri di mata umum.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Ghani Idris berkata, orang ramai sering mengambil mudah serta menganggap menjaga kebersihan itu sesuatu perkara kecil dan remeh.

“ Contohnya isu kebersihan tandas awam yang perlu di pandang serius oleh semua golongan masyarakat kerana keadaan tandas di negeri ini berada pada tahap yang 'kurang memuaskan',” katanya.

Enci Ghani berkata demikian di Seminar Pengurusan dan
Pengauditan Tandas Awam anjuran MBKT, di Perbadanan Perpustakan Awam Terengganu (PPAT) semalam.

Seramai 150 peserta terdiri dari pengusaha kedai makan dan restoran, pengusaha tandas awam, pengusaha stesen minyak, wakil masjid-masjid dan agensi kerajaan menghadiri seminar sehari itu.

“Isu kebersihan tandas awam merupakan sesuatu yang serius dan seminar ini memberikan pendedahan kepada pengguna dan pengusaha mengenai kaedah penjagaan tandas awam yang betul,” katanya.

Menurutnya, isu kebersihan terutama tandas awam bukan perkara kecil kerana ia menjejas imej kerajaan di kalangan pelancong yang berkunjung ke negeri ini, sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara.

Sehubungan itu katanya, dalam usaha memelihara kebersihan tandas awam, aspek budaya pengguna tandas awam merupakan faktor paling rumit untuk diubah dan ditangani.

Tambahnya, tandas yang baik, bukan hanya perlu bersih tetapi perlu di sediakan dengan peralatan yang lengkap dan tiada unsur vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab..

Beliau menambah usaha berterusan juga akan dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam termasuk meletakkan kelas tertentu terhadap tandas awam sebagai dorongan menjadi lebih baik .







Naik taraf stadium untuk kejohanan Piala AFC


Oleh FAUZI MOHD

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan bola sepak di Terengganu dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai persiapan Liga Malaysia musim 2012.

Pengarah Korporat Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT Mohd Huzairi Nizam Ibrahim berkata, Kerajaan negeri memberi peruntukan RM600,000 untuk tujuan tersebut.

"Apabila siap dinaik taraf dan baik pulih nanti, stadium mampu memberi lebih banyak keselesaan kepada pemain dan juga penonton terutamanya dari segi keselamatan," katanya baru-baru ini.

Menurut Mohd Huzairi, pengubasaian stadium yang berusia hampir 30 tahun itu antaranya menambah baik pencahayaan lampu limpah, menaik taraf bilik persalinan pengadil, lorong keluar pemain dan bilik media.

Bagaimanpun katanya, tempat duduk penonton tidak diusik dan kekal sepertimana biasa dan kerja-kerja tersebut dijadual siap sebelum pra musim bermula tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata stadium itu akan digunakan bagi pertandingan bola sepak Piala AFC yang melibatkan pasukan Terengganu tahun depan.

Katanya untuk menjayakan pertandingan itu, stadium itu perlu diperbaiki bagi disesuaikan dengan kejohanan bertaraf antarabangsa itu termasuk kecahayaan lampu limpahnya.

"Ikut piawaian AFC, kecahayaan lampu limpah 1,400 lux sedangkan kecahayaan lampu limpah di stadium itu adalah 800 lux," katanya.


Zacharia beraksi bersama T-Team musim 2012

Oleh FAUZI MOHD

Pemain dari Zambia, Zacharia Simikounda akan menyertai pasukan T-Team bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Jurulatih Yunus Alif berkata, pemain penyerang berumur 28 tahun itu pernah mewakili Perlis pada tahun 2007.

"Zacharia telah melepasi ujian dan dia memenuhi kriteria yang kita tetapkan. Seorang lagi pemain import akan diuji minggu depan," katanya semalam.

Beliau berkata Zacharia mewakili kelab Red Arrows, Zambia pada 2011 selepas bermain dengan kelab Al-Faizaly dalam liga Jordan pada 2009 hingga 2010.

Yunus berkata beliau yakin Zacharia mampu menjulang nama T-Team memandangkan pengalamannya bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini.

Sementara itu, T-Team akan mengambil sembilan pemain baru bagi menggantikan pemainnya yang berhijrah ke pasukan lain musim 2012 seperti Indra Putera Mahayuddin, Mohd Nor Farhan Mohamad dan Azizi Matt Rose yang berhijrah ke Kelantan.

Sembilan pemain baru itu ialah masing-masing tiga dari Selangor, Perlis dan Terengganu.

Yunus berkata T-Team akan menggadakan perlawanan persahabatan di Selangor bulan depan bagi menguji keserasian pemain.

TSG mahu gegar Eropah

Oleh FAUZI MOHD

Setelah menduduki tempat keempat daripada 75 pasukan benua Asia dalam ranking Union Cycling International (UCI), Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bercadang menyertai kejohanan jemputan lumba basikal benua Eropah musim 2012.

Pengurus TSG, Ahmad Kamarul Idrus berkata, pasukan yang ditubuhkan Kerajaan Terengganu itu merancang menyertai 18 kejohanan lumba basikal di bawah kalendar UCI bermula Januari hingga November tahun depan.

Katanya, kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah perlumbaan pertama dalam kalendar UCI mulai 20 Februari hingga 4 Mac yang disertai TSG sebelum menyertai kejohanan lain di benua Asia dan Eropah.

“Selepas LTdL, kita akan dapatkan jemputan daripada penganjur-penganjur untuk menyertai kejohanan di benua Eropah yang dijangka bermula Jun tahun depan.

“Langkah itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba kita di samping melebarkan sayap penyertaan setaraf dengan status TSG yang bertaraf dunia,” katanya baru-baru ini.

Kamarul berkata, dalam penampilan pertamanya di benua Asia tahun ini, TSG telah menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan termasuk di China, Jepun, Korea, Indonesia dan India.

Pelumba TSG musim 2011 ialah Anuar Manan, Hariss Salleh, Yusliza Usoff, Mohd Saufi Mat Senan, Shahrul Mat Amin, Nor Amirul Fakharuddin Marzuki, Nor Umardi Rosli dan Mohd Shobery Abdullah.

Selain pelumba tempatan itu, pasukan itu mempunyai empat pelumba import iaitu Shinichi Fukushima dan Motoi Nara dari Jepun serta Chan Jang Jae dan Kim Do Hyoung dari Korea.

29 November 2011

Terengganu terpilih jadi urusetia kursus di Arab Saudi

Oleh; Esah Abdullah

Hubungan baik yang terjalin antara kerajaan negeri dan kerajaan Arab Saudi telah mendapat kepercayaan menjadi urusetia kursus kehakiman yang diadakan di Riyard dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, koata 40 orang setahun yang diberikan untuk negara, 20 orang daripadanya peserta dari negeri ini manakala selebihnya peserta dari negeri-negeri lain.

“Peserta dari seluruh negara yang ingin mengikuti kursus dalam bidang kehakiman di negara berkenaan akan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) yang diberi tanggung jawab mendaftar dan mengurus pemergia ke negara berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu semalam.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya dan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) dan Haji Abdul Halim Awang selaku penceramah jemputan.

Katanya, program ini bermula tahun lepas dan tempoh kursus selama sebulan banyak memberi pendedahan tentang pelaksanaan di bidang kehakiman yang dilaksanakan di negara itu.

Tambahnya, Arab Saudi lebih terkedepan dari segi pengunaan teknologi maklumat (IT) yang digunapakai dalam setiap aspek perundangan dan kehakiman.

Menurut Dato’ Haji Mazlan kerajaan juga telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi membolehkan ketua hakim dan hakim-hakim menyertai kursus Mediasi Lanjutan selama 10 hari di Australia tahun ini.

“Kursus membabitkan sembilan orang peserta ini pertama kali diadakan dan kita akan lihat perkembangan selanjutnya sama ada untuk menghantar kumpulan kedua pula pada tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, sembilan orang pegawai dari JKST telah dijemput menjadi tetamu diraja Arab Saudi untuk menunaikan haji baru-baru ini.

Dato’ Haji Mazlan kemudiannya berharap JKST terus meningkatkan imej jabatan selari dengan aspirasi kerajaan yang ingin memertabatkan bidang kehakiman dan undang-undang di negara ini serta perlu berhadapan dengan cabaran semasa secara inovatif dan kreatif.





Mahkamah Syariah berjaya selesai 334 kes sebulan

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) berjaya menyelesaikan 334 kes sebulan atau lebih 15,000 setahun.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya berkata, bermula September lalu JKST telah menggunapakai sistem e-nota bicara bagi mempercepatkan perjalanan sesuatu kes.

Katanya, JKST satu-satunya jabatan kehakiman di negara ini menggunakan sistem berkenaan, hasil penghantaran hakim-hakim mengikuti kursus Perundangan Islam di Riyard, Arab Saudi sejak tahun lalu.

“Kita amalkan sistem telus, di mana hakim dibenarkan mengemukakan soalan kepada kedua-dua pihak yang dibicarakan serta nota bicara yang dicatat hakim ini dapat dilihat secara terus oleh defenden dan plaintif pada skrin yang disediakan di hadapan mereka,”katanya.

“Kita sudah melepasi sasaran bila setiap kes yang dibicarakan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan malah ada yang kurang daripada itu,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Hari Inovasi JKST semalam.

Katanya, terdapat sebilangan kecil saja kes yang tertangguh melebihi target jabatan dan perkara ini berpunca daripada masalah peguam dari luar Terengganu.

Tambahnya pengalaman berkursus selama sebulan di Arab Saudi banyak membantu dan membuat penambahbaikan terhadap pelaksanaan kes di negeri ini.

“Dari segi forensif kita lebih baik tetapi dari segi penggunaan teknologi maklumat (ICT) mereka lebih hebat kerana semua bahagian membabitkan perundangan di negara mereka dilaksanakan menggunakan teknologi ICT,” katanya.

Katanya, JKST juga sedang mengkaji kaedah di mahkamah Arab Saudi yang mengadakan pembantu hakim untuk mencatat setiap kes yang dibicarakan bagi melancarkan perjalanan sesuatu kes itu.





Masyarakat alpa perlu berubah


Oleh: Suriati Ali

Masyarakat kini sebenarnya berada dalam keadaan alpa tentang tanggungjawab yang diamanahkan sedangkan wajib bagi seseorang itu saling mengingati dan sekaligus mengeratkan lagi hubungan sesama Islam.

Persefahaman di kalangan umat, perlu bagi membentuk jalinan semangat persaudaraan unggul dan mantap, yang menjadi asas dalam memperkasakan perpaduan ummah supaya lebih disegani dimata dunia.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata Islam membentuk umatnya supaya menjadi umat yang bersatu. Mereka bukan sahaja beriman dengan Tuhan yang satu tetapi juga berpegang dengan kiblat yang satu, melakukan ibadat yang satu, menghadap kiblat yang satu, mengikut manhaj atau method yang satu dan menuju kearah matlamat yang satu.

Katanya, pada masa sama, sebarang bentuk perpecahan adalah dilarang keras kerana ia merupakan langkah ke arah kelemahan dan kehancuran umat.

”Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara, dan perkara ini turut ditekankan di dalam al-Quran. Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada cara penyelesaiannya.

”Dalam negara berbilang bangsa di Malaysia, konsep 1Malaysia secara tidak langsung akan dapat mengekalkan sikap persefahaman dan toleransi yang tinggi sesama mereka,” katanya ketika berucap di majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu, di Stadiun Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, situasi ini seharusnya perlu dipertahankan dan terus dimantapkan agar sikap berkerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain dapat dikekalkan bagi membolehkan pembangunan dan kemajuan dilaksanakan.

“Selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini “ Persefahaman Asas Perpaduan Ummah ” , kita semua hendaklah berubah ke arah pemikiran yang positif, terhadap program yang dilaksanakan kerajaan negeri ntuk membawa rakyat ke arah perubahan dinamik, selaras dengan hasrat kerajaan untuk “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.


“Namun begitu jika kita masih mempunyai sifat-sifat menolak dan tidak mengambil peluang dalam pembangunan yang sedang giat berkembang di Terengganu, kita akan kerugian,” katanya.

Islam tidak menyuruh umatnya untuk berdiam diri dalam menantikan sesuatu tanpa berusaha. Oleh itu, kita sebagai hambaNya digesa agar berusaha dengan bersungguh-sungguh merebut peluang yang disediakan pihak pemerintah.


Gerai Terengganu di PWTC diserbu orang ramai

Oleh: Mohammad Ishak



Gerai Unit Komunikasi Terengganu (UKOM) bertempat di aras dua PWTC Kuala Lumpur yang dibuka seawal pagi ini mendapat perhatian pengunjung biar pun operasi sebenar belum bermula sepenuhnya.

Kehadiran pengunjung untuk menhyaksikan aktiviti yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri akan memberi banyak maklumat kepada ahli Umno khususnya dari luar Terengganu



Pengunjung yang datang akan mendapat cederamata khas yang mengandungi pelbagai maklumnat berbentuk risalah termasuk akhbar rasmi kerajaan negeri Teganukita.

Seramai 14 petugas dari UKOM ditugaskan untuk memberi perkhidmatan dan penyaluran maklumat kepada setiap pengunjung.



Timbalan Pengarah UKOM, Ruslan Abdul Rahman yang mengetuai unit berkenanan bersama petugas bertukus lumus menyiapkan tugasan sejak malam tadi bagi memastikan operasi di gerai berkenaan berjalan lancar.



Rakyat negeri ini juga akan mendapat maklumat dari masa ke samasa melalui media kerajaan negeri yang akan melaporkan pelbagai aktiviti di adakan di PWTC bermula hari ini hingga 3 Disember ini.

Ruslan berkata, pihaknya akan mempastikan semua warga Terengganu akan mendapat maklumat tepat berhubung perhimpunan agung parti membabitkan sayap puteri,pemuda,wanita dan perwakilan Umno seluruhnya.

Katanya, perhimpunan kali ini dijangka meriah dan menarik perhatian bukan sahaja dikalangan ahli parti malah penduduk negara ini yang ingin mengetahui perkembangan terbaru parti keramat dalam memperjuangkan nasib bangsa menjelang PRU13.


28 November 2011

Kanak-kanak terhibur dengan gelagat maskot upin-ipin


Oleh: Suriati Ali

Ribuan pengunjung terutama kanak-kanak yang hadir di Kejohanan Piala Monsun, Pulau Duyong bukan saja teruja melihat aksi dua pelayar mara ke peringkat akhir dalam pertandingan itu, malah turut terhibur dengan gelagat beberapa maskot rancangan Upin Ipin yang membuat persembahan pentas.

Rata-rata kanak-kanak tidak mahu berganjak dari lokasi Karnival Upin-Ipin kerana tertarik dengan gelagat maskot Upin, Ipin, Memey, Mail, Fizi, Kak Ros dan Jarjit.
Program lain, termasuk jualan alat tulis, sesi fotografi dan bermesra dengan maskot rancangan itu turut diadakan bagi memeriahkan kejohanan yang diadakan bermula 22 November lalu.


Karnival selama dua hari dan berakhir semalam itu (27 November) nyata mendapat sambutan di luar jangkaan.
Seorang pengunjung, Puan Latifah Solehin, 36, dari Marang, berkata tiga anaknya nyata terhibur dengan gelagat maskot sehingga tidak mahu pulang walaupun sudah hampir dua jam berada di karnival itu.

“Pendekatan pihak penganjur mengadakan program seumpamanya ini wajar diteruskan kerana secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai pengunjung datang menyaksikan Kejohanan Piala Monsun,” katanya ketika di temui di karnival itu, semalam.

Pengunjung dari Setiu, Encik Rohaimi Mansor, 40, berkata dia tidak mahu datang pada awalnya kerana menganggap cuaca hari ini kurang elok, tetapi selepas beberapa kali didesak oleh dua anak dan melihat keadaan cuaca cerah, akhirnya sampai jua kami anak beranak di karnival itu.

“Kehadiran kami sekeluarga nyata berbaloi kerana pelbagai program boleh diikuti walaupun hampir sejam menunggu bagi mendapatkan tempat letak kereta.

“Saya dan isteri nyata gembira melihat gelagat dua anak kami yang tidak lekang dengan senyuman kerana terhibur dengan gelagat beberapa maskot Upin-Ipin,” katanya.



JKST amal Sistem Inqusetorial

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) merupakan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem ‘Inqusetorial’ semasa penghakiman dijalankan di dalam mahkamah di mana nota bicara dapat diperolehi dalam masa satu jam.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, sebelum ini nota bicara penghakiman mengambil masa enam minggu untuk disiapkan.

“JKST juga menyediakan TV Interaktif bagi kemudahan masyarakat mendapatkan maklumat terkini bagi status sesuatu kes,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi dan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JKST di bangunan Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya dan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) dan Haji Abdul Halim Awang selaku penceramah jemputan.

Katanya, sehingga ini terdapat 11 buah TV Interaktif dipasang di beberapa lokasi di JKST bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan Mahkamah Syariah seperti menyemak tarikh terkini kes serta memperolehi penerangan tanpa bertemu pegawai terbabit.

Menurut Dato’ Haji Mazlan, JKST juga menyediakan kaunter polis sebagai langkah menjamin keselamatan di mahkamah di samping melaksanakan pengurusan pentadbiran tanpa fail di dalam mahkamah.



“Kewujudan jawatan Pengarah di bahagian khidmat pengurusan dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri (TCS) juga dapat melicinkan kerja pentadbiran dan kewangan di jabatan ini yang selama ini dilaksanakan oleh Ketua Pendaftar,” katanya.

Katanya, pencapaian inovasi dan kreativiti tersebut adalah hasil manifestasi dan komitmen seluruh warga JKST.

Majlis yang diadakan turut meraikan tiga kakitangan JKST yang bersara serta lapan orang menerima APC bagi 2011.