Halaman

05 December 2011

Desak pembangkang bangkit usul benar

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato, Seri Haji Ahmad Said mendesak pihak pembangkang supaya bersikap telus dan benar jika ingin membentang setiap usul pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Katanya, apa yang diusulkan oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi tadi (Pas-Batu Buruk) jelas sama sekali bohong dan hanya bersikap ingin memburukkan imej kerajaan supaya rakyat melihat apa yang dilaksanakan itu adalah satu penyelewengan bukannya kebajikan.

“Di samping itu, saya ingin meminta Jabatan Audit Negara supaya mengeluarkan kenyataan benar dalam mana-mana akhbar bahawa pada 2007, 2008 dan 2010 kita beri wang tunai dan bukannya pakaian sekolah.



“Pada tahun 2009 saja, Ahli- ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengagihkan pakaian sekolah di atas pelbagai faktor,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Menurutnya, sewaktu kita mengagihkan wang tunai untuk membeli pakaian, ibu bapa bersikap yang tidak bertanggungjawab dengan membelanjakan wang tunai itu kepada perkara tidak berfaedah.

“Ketika agihan pakaian sekolah juga timbul pelbagai masalah, ada yang mendakwa tidak padan dengan saiz pakaian, apabila diminta tukar mereka tidak mahu.

“Disebabkan tidak mahu masalah membabitkan pakaian sekolah terus di putar belit, kerajaan negeri memutuskan untuk kembali mengagihkan bantuan itu dalam bentuk wang tunai pada tahun 2011 dan 2012,” katanya.



LPT fasa 2 siap akhir 2014

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib memberitahu Sidang DUN hari ini bahawa Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang kini membabitkan kos RM2.36 billion dijangka siap akhir 2014.

Katanya, kos LPT itu jauh bezanya berbanding LPT fasa 1 kerana ia membabitkan 17 pakej dan setiap pakej melibatkan kontraktor berlainan.



“Di antara pakej-pakej ini ada yang sudah siap sepenuhnya, termasuk pakej 10, 11 dan 12 iaitu Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer, Telemong –Bukit Payong (10.6 kilometer) dan Bukit Payong – Gemuroh (16.3 kilometer).



“Kerajaan negeri mewujudkan banyak pakej kerana pada asalnya ingin memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera tempatan Terengganu bagi menjalankan kerja-kerja ini.

“Kita sebagai pihak yang bertanggungjawab sudah berusaha membantu kontraktor yang dikatakan lemah ini, tetapi mereka tetap gagal menyiapkannya,” katanya ketika menjawab soalan Haji Wan Hassan Mohd Ramli (Pas- Sura).

Menurutnya, rata-rata kontraktor mendakwa projek itu tidak dapat disiapkan kerana disebabkan beberapa faktor iaitu kemendapan tanah, kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.

“Disebabkan tidak mahu terus menanggung kerugian dan kelewatan, kerajaan negeri terpaksa menamatkan enam tender yang telah diagihkan kepada enam syarikat.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melantik segera kesemua tender yang ditamatkan itu. Empat daripada pakej tersebut dimulakan pembinaannya sejak April lalu, satu pakej mula bulan Mei dan satu pakej Julai,” katanya.

Bajet 2012 tumpu tiga strategi utama

Laporan oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali



Bajet 2012 bertema “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata melalui strategi pertama peruntukan RM60.3 juta disediakan bagi sektor pendidikan bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik bermula dari peringkat asas hingga tahap tertinggi.

“Matlamat kerajaan adalah menjadikan Negeri Terengganu sebagai hab pendidikan Malaysia yang terunggul, mengatasi dan mendahului dalam semua aspek baik dari segi kecemerlangan mahupun inovasi dan kreativiti.

“Usaha ke arah ini telah menampakkan hasilnya melalui pelbagai kejayaan yang kita capai dalam program flagship pendidikan dari peringkat pra sekolah hingga peringkat universiti,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Beliau berkata, melalui strategi kedua pula kerajaan meletakkan sasaran untuk mengsifarkan kemsikinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 1 peratus pada tahun 2013.
Menteri Besar berkata, Bajet 2012 memperuntukkan RM42.6 juta bagi program pembasmian kemiskinan, pembangunan kampung dan masyarakat.

Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran & Kerjaya serta Program Jaya Diri.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM27.3 juta tahun depan dengan tumpuan kepada projek-projek sambungan antara lain Projek Jelapang Padi, Projek Pembangunan Ladang Kelapa Sawit, Projek Tanaman Kelapa dan projek kecil berkelompok yang boleh menjana pendapatan rakyat,” ujar beliau.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyediakan satu Dana Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta.

Melalui skim itu yang kini sedang diperhalusi kaedah pelaksanaan dan syarat-syarat pinjaman, setiap pemohon boleh meminjam sehingga RM50,000 dan pinjaman tersebut berteraskan syariah.

“Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin kepada keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dari segi mendapat kemudahan rumah,” katanya.

Menerusi strategi ketiga, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor di mana Terengganu mempunyai kelebihan dengan cara memperkenalkan lebih banyak kreativiti dan inovasi.

“Bagi menggalakkan pelancongan dari dalam dan luar negara, kerajaan telah mengumumkan tahun 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu dan seterusnya menjadikan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu,” katanya sambil menambah peruntukan RM138.85 juta disediakan tahun depan bagi melaksanakan projek di bidang pelancongan.


MB bentang Bajet 2012 berjumlah RM1.95 bilion untuk kesejahteraan rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM1.95 bilion bagi Bajet 2012 yang bertemakan “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” iaitu pertambahan RM62.07 juta atau 3.29 peratus berbanding bajet tahun lalu.

Daripada jumlah itu, RM112.2 juta akan digunakan bagi membiayai Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.838 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pecahan utama Perbelanjaan Bekalan ialah RM1.416 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Tetap, Emolumen RM209.87 juta, RM173.84 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM36.8 juta untuk aset dan RM1.16 juta lain-lain.

“Bajet 2012 dirangka dengan mengambilkira perencanaan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu (HPNT) Tahun 2009-2013, Bidang Keberhasilan Utama Negeri, GTP (Government Transformation Programme), ETP (Economic Transformation Programme) dan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-10 melalui pelbagai langkah program serta projek pembangunan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kepentingan dan manfaat secara menyeluruh kepada rakyat dapat dicapai,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Beliau berkata, Bajet 2012 masih lagi memberi keutamaan kepada pelaksanaan program dan projek-projek sambungan supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menteri Besar berkata, Bajet 2012 memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.


Penghakiman MST ke peringkat antarabangsa

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) merancang untuk menyebarluaskan penghakiman Mahkamah Syariah Terengganu (MST) ke peringkat antarabangsa bagi memberi manfaat kepada fraternity kehakiman Islam secara keseluruhan.

Ketua Hakim Syarie MST Dato’ Haji Ismail Yahya berkata, idea tersebut disambut baik Syarikat Malaysia Current Law Jounal (MCLJ) Sdn Bhd yang sedia menerbitkan laporan syariah dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.

Katanya, langkah merialisasikan hasrat JKST bertaraf dunia menjelang 2013 mampu dicapai apabila penghakiman bertulis di MST dimafaatkan di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin semua warga JKST mampu membuat inovasi yang disokong pelbagai kemudahan prasarana termasuk pelaksanaan sistem e-Syariah, pensijilan 5S serta penubuhan Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK),” katanya.

Selain itu katanya, sebahagian besar pegawai dan kakitangan mengamal sikap berlapang dada, sanggup menerima teguran serta mengaku kelemahan diri dilihat mampu meletakkan JKST berada di tahap terbaik.

Sehubungan itu, beberapa hala tuju JKST dikenalpasti termasuk memastikan penghakiman dan hukuman menepati Hukum Syarak dan undang-undang serta memastikan ‘end-product’ disempurnakan dengan cepat tanpa kelengahan yang tidak munasabah, saksama dan adil.




Laksana tugas secara inovatif dan kreatif

Oleh; Esah Abdullah

Seorang pekerja tidak semestinya menjalankan satu kerja sahaja dalam sehari bahkan lebih dari dua atau tiga kerja.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, segala tugasan dapat diatasi sekiranya seorang pekerja itu mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi.

Katanya, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan skim baru iaitu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang lebih menekankan kualiti dan inovasi di dalam melaksanakan kerja.

“Dalam konteks ini semua jabatan termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Terenggau (JKST) perlu berhadapan dengan cabaran semasa secara inovatif dan kreatif,” katanya di majlis sambutan Hari Inovasi JKST baru-baru ini.

Tambahnya, menjadi harapan agar semua penjawat awam khususnya di JKST terus meningkatkan imej jabatan selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan yang ingin memertabatkan bidang kehakiman dan undang-undang di negara ini.

Katanya, bersama perubahan tahun turut meningkat dalam kerjaya disertai rasa syukur, ikhlas dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan demi kesejahteraan dan kemakmuran agama, bangsa dan negara.





04 December 2011

Kerajaan Terengganu belanja RM1.1 juta urus mangsa banjir

Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.1 juta bagi menguruskan keperluan mangsa banjir yang melanda negeri ini, baru-baru ini.



Hampir 3,000 orang dari lima daerah di Terengganu terlibat dengan banjir tersebut yang turut melanda beberapa negeri lain, termasuk Kelantan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi menyediakan pelbagai keperluan kepada mangsa banjir di seluruh negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, berkata kini pihaknya sedang bersiap sedia bagi menghadapi banjir pusingan kedua yang diramalkan melanda Pantai Timur pada bulan ini.



“Kita sudah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir, termasuk di segi penyediaan bekalan makanan dan tempat pemindahan bagi menempatkan mangsa banjir,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri puas hati dengan prestasi agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan mangsa banjir kerana menjalankan tugas dengan sempurna.

Beliau berkata, tidak ada rungutan daripada mana-mana pihak kerana semua bekalan makanan dan urusan memindahkan mangsa banjir di seluruh negeri berjalan lancar.

Majlis khatan ikut adat tradisonal

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 76 kanak-kanak dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam menyertai program berkhatan beramai-ramai mengikut adat tradisional bagi membangkitkan kemeriahan di kalangan mereka.

Program yang berlangsung di balai raya Wakaf Mempelam itu anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan serta mendapat sokongan masyarakat setempat.



“Kita ingin mengekalkan budaya orang dahulu dengan perarakan nasi semangat (pulut kuning) sambil berselawat ke atas nabi Muhammad s.a.w,” kata Pengerusi JKKK Wakaf Mempelam, Encik Hussin Mohd Nor.

Katanya, penglibatan semua agensi dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan seperti Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) , Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mencerminkan perpaduan yang terjalin erat.

Perasmian telah dilakukan, Pegawai Pembangunan Parlimen KualaTerengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang turut menepung tawar dan mengagihkan duit poket kepada kanak-kanak yang terlibat.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah, Ketua Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu, Encik Badrol Hisham Zaki dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Puan Nordiana Dato’ Shafie.





Semua parti Umno Terengganu sudah bersedia hadapi PRU Ke-13

Oleh: Suriati Ali

Semua jentera parti Umno Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU Ke-13) walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

Katanya, pihaknya sudah nampak persefahaman antara semua barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahu pun negeri.

“Persediaan kita `tip-top’, ini bermakna kalau Perdana Menteri (Dato’ Seri Najib Tun Razak) tiup nifiri hari ini, `we are ready’ (kami sudah sedia),” katanya.

Katanya, dia yakin PRU kali ini masih milik Barisan Nasional (BN) Cuma dari segi peratusannya tidak boleh jangka tetapi saya percaya majoriti dua pertiga akan kita kekalkan.

“Jika bercakap soal calon, ia cukup sensitive sebenarnya, namun secara keseluruhannya semua boleh dikatakan `winnable’ (boleh menang), tetapi kita kena pergi pada falsafah kia iaitu dalam setandan pisang, tidak semuanya baik atau molek.

“Sudah pasti dalam banyak-banyak itu ada yang busuk, buruk dan di Terengganu pun begitu juga keadaannya,” katanya.

Menurutnya, bagi konsep boleh menang bukan soal seseorang calon itu muda atau tua. Sebaliknya kena tengok kepada situasi dan ketika, tengok siapa lawan kita jadi dia akan cari calon yang setanding dengan pihak lawan dengan kriteria tertentu.

“Dari segi peratusan siapa yang tidak winnable sekrang susah untuk dijawab. Sebagai mungkin si polan ini sudah tidak winnable, tetapi apabila kita pergi ke peringkat akar umbi, rakyat masih mahukan dia.

“Sekiranya individu yang masih dianggap winnable di peringkat akar umbi, tetapi tidak disenaraikan sebagai calon, sudah tentu ia akan menimbul masalah kepada PRU nanti,” katanya.


UMT dapat pengiktirafan Malaysian Book of Record

Oleh; Esah Abdullah



Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book Of Record bagi skop penyediaan kemudahan perkhidmatan, kemudahan pelajar dan pengurusan alumni.

UMT juga turut cemerlang dalam sistem pengurusan kualiti dan menerima Sijil ISO 9001-2008 yang diadakan sempena perhimpunan bulanan di Dewan Sultan Mizan, UMT Mengabang Telipot.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, UMT berada di landasan yang baik dan bergerak ke arah menepati sasaran 10,000 pelajar menjelang 2015.

“Sehingga ini jumlah pelajar di UMT lebih 7,000 pelajar yang mengikuti pelbagai program yang ditawarkan termasuk di Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin yang baru diwujudkan,” katanya di majlis Perhimpunan Bulanan UMT hari ini.

Selain itu Prof. Dato’ Dr Aziz mengakui hakikat, tanpa pengurusan yang cekap serta pelajar yang komited dan cemerlang, UMT tidak mampu berdiri megah seperti hari ini.

“Al hamdulillah peruntukan berjumlah RM138.6 juta yang diterima UMT setiap tahun mendapat tambahan RM6 juta menjadikan RM144 juta untuk tahun 2012,” katanya disambut tepukan gemuruh daripada semua warga UMT yang memenuhi dewan.