Halaman

22 December 2011

Pelajar autisme lakar sejarah 9A PMR

Oleh: Aida Abd Rahman



Seorang pelajar autisme dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu mencatat rekod apabila muncul calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) pertama di negara ini yang berjaya memperolehi 9 A dalam keputusan peperiksaan yang diumumkan hari ini.

Anak sulung pasangan Zainuddin Muhamad dengan Rozina Mohd Ikram dari Taman Setia Durian Burung, Kuala Terengganu mula dikesan mengalami autisme ketika usianya dua tahun apabila sukar berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran selain bersifat hiperaktif.

Pelajar cemerlang berkenaan, Muhammad Danial Zainuddin, 16, mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya turut berkongsi kejayaan dengan adiknya, Nurul Diana, 15, yang meraih kejayaan serupa.


Dia pernah menerima anugerah Tokoh Pelajar sempena Hari Guru peringkat negeri dua tahun lalu adalah satu-satunya pelajar pendidikan khas yang menduduki PMR di SMKA Sheikh Abdul Malek, pada Oktober lalu.

Muhammad Danial merupakan antara 23,157 calon PMR di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya menasihati rakan-rakan yang senasib dengan saya supaya tidak menjadikan kecacatan dan kekurangan sebagai halangan untuk belajar bersungguh-sungguh serta memperolehi semua A,” katanya.

Dia yang berhasrat menjadi pensyarah suatu masa nanti pernah mencipta sejarah apabila berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga tahun lalu walaupun mengalami kecacatan.

Muhammad Danial yang gemar bermain catur dan badminton memperoleh 9A ketika peperiksaan percubaan PMR, sentiasa memberi tumpuan penuh ketika di kelas dan meluangkan masa satu hingga dua jam bagi mengulangkaji pelajaran bersama adiknya, Nurul Diana apabila berada di rumah.

Sementara Rozina yang sanggup melepaskan jawatan sebagai pengurus di sebuah syarikat korporat demi memberi tumpuan kepada anak sulungnya itu menganggap kejayaan yang diraih mereka terutama Muhammad Danial tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

“Saya rasa amat berbangga dan berbaloi melepaskan jawatan dengan gaji lumayan demi menjaga serta memberi sepenuh tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak terutama Danial.



“Danial dan Diana saling bersaing antara satu sama lain dalam pelajaran. Bagaimanapun, Danial memiliki kelebihan di mana dia lebih kuat daya ingatan menyebabkan Diana perlu lebih bekerja keras bagi menyaingi prestasi abangnya,” kata graduan Kejuruteraan Sivil universiti luar negara itu lagi.



Sultan Mizan mencemar duli mengacau bubur asyura.


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyertai Majlis Memasak Bubur Asyura di Dataran Pejabat Daerah Marang. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyertai Majlis Memasak Bubur Asyura bersama-sama rakyat jelata di Dataran Pejabat Daerah Marang, hari ini.

Pada majlis itu, Baginda turut berkenan menyampaikan bubur asyura kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Lebih 1,000 penduduk di kawasan Marang menyertai program kali ketiga anjuran Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama kumpulan Sultan Sulaiman 78 (SS78).

Pegawai Daerah Marang, Haji A.Rahman Che Ali, berkata sebanyak 80 kawah bubur asyura dimasak secara berkumpulan oleh 58 Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) dan 12 agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).



“Kebanyakan kumpulan mula memasak dan mengacau bubur itu seawal jam 6.00 pagi sebagai tanda sokongan menjayakan program,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah dan beberapa pemimpin setempat.






Menurutnya, Haji A. Rahman berkata program seumpama ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu mendekatkan hubungan antara jabatan kerajaan bersama penduduk kampung malah dapat mewujudkan semangat maufakat antara peserta.



Masyarakat Cina minat memasak bubur asyura


Masyarakat Cina berketurunan Tionghua turut serta memasak bubur asyura. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Majlis Memasak Bubur Asyura anjuran Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Kumpulan Sultan Sulaiman 78 (SS78) bukan saja disertai peserta Melayu, tetapi turut menarik minat penyertaan masyarakat Cina.

Seorang peserta, Fong Swee Fuan, dari Kumpulan Kaum Tiong Hua, berkata dia bersama beberapa rakan lain begitu teruja dan tidak kekok menyertai program seumpama ini walaupun menjadi kelaziman disertai masyarakat Melayu.

Katanya, dia bersama beberapa rakan lain akan menyertai lagi majlis seumpama itu jika ada mana-mana pihak menganjurkan lagi program berkenaan pada masa akan datang .

“Saya sememangnya menggemari makanan tradisional ini kerana sudah biasa merasai keenakannya sejak kecil lagi.

“Rata-rata penduduk di kampung saya iaitu di Wakaf Tapai tidak akan melepaskan peluang memasak bubur asyura setiap kali menjelang bulan Muharam,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Menurutnya, jika ada penduduk yang bergotong-royong memasak bubur asyura, mereka tidak lupa menghantar makanan tersebut ke rumahnya kerana mereka tahu dia memang menyukainya.

Ng Soo Che, berkata program seumpama ini wajar diteruskan kerana mampu memperkukuhkah hubungan antara pelbagai kaum dan secara tidak langsung mewujudkan semangat 1Malaysia.

“Walaupun berasa sedikit penat dan letih, dia tetap seronok kerana dapat bersama-sama masyarakat Melayu menjayakannya,” katanya.



Pesakit kronik Hospital Besut dapat sumbangan Ahli Parlimen

Oleh: Mohammad Ishak


YB Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik

Penderitaan hidup pesakit kronik yang mendapat rawatan di Hospotal Besut mendapat perhatian Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang sememangnya amat prihatin terhadap penduduk di daerah itu.

Ini terbukti apabila 20 pesakit berkenaan yang menghadapi masalah kewangan untuk membeli peralatan termasuk lampin pakai buang mendapat simpati Dr Abdullah yang hadir menyampaikan sumbangan kepada pesakit terbabit.

Hasil usaha yang dilakukan oleh pengurusan Hospital Besut yang mengumpul pesakit terbabit mereka juga turut diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Hospital itu pagi tadi. Hadir sama isterinya, Toh Puan Wan Naimah Abd Latif yang juga Timbalan Ketua Wanita UMNO Bahagian Besut.

Dr Abdullah berkata, pusat khidmat masyarakat Parlimen Besut sentiasa mnerima permohonan pesakit yang ingin mendapatkan pelbagai bentuk bantuan termasuk peralatan untuk digunakan pesakit bagi menjalani rawatan dan pemulihan.

Menurutnya, menerusi bantuan yang diberikan kepada pesakit kronik pihaknya membelanjakan RM5,000 untuk membeli peralatan dan keperluan lain.

“Mulai tahun depan pihaknya akan menambah peruntukkan bagi membiayai kos keperluan untuk kegunaan pesakit terbabit,” katanya.

Dr Abdullah berharap, pesakit yang menghadapi masalah itu agar tabah menghadapi cabaran hidup kerana ia satu ujian dari Allah.

Bagaimanapun, mereka perlu kerap datang ke hospital dan sentiasa berjumpa doktor pakar yang selalu sedia untuk membantu pesakit.




a href="http://teganukita.blogspot.com/" onblur="try {parent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}">

PAS,MELAYU, ISLAM DAN RAJA- PENGAKUAN DARI PEMIMPIN DAN ORANG PAS SENDIRI.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

“Gembira kalau mencatat kemenangan lebih besar dan menawan Putrajaya tapi kalau dalam kemenangan itu Islam, Melayu dan Raja entah ke mana, pekikan dan kemenangan tidak ke mana” demikian pengakuan Dato’ Dr Hassan Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor (mewakili Pas) dalam wawancara dengan sebuah stesen TV malam tadi.

Dengan pengakuan seperti ini sepatutnya sudah menginsafkan ahli-ahli dan pendokong Pas, termasuk di Terengganu sendiri atau orang-orang di Rusila, termasuk Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini pun Ahli Parlimen Pas kawasan Bachok, YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa menyatakan dalam suatu sidang media elektronik bahawa untuk memperjuangkan Islam tidak mesti melalui saluran parti tertentu, banyak lagi saluran-saluran lain.

Begitulah juga kata Dato’ Dr.Hassan Ali tentang tidak semestinya berada dalam Pas baru dinamakan perjuangan untuk Islam:

“Nak pusing jam agak sukar, kalau tidak dicalonkan ruang lain terbentang luas motivasi, masjid, kanak-kanak), politik untuk dapat audien lebih besar demi memartabatkan bangsa, agama dan raja.

Katanya, peranan dalam NGO masih berjalan tapi bottom linenya sama ada NGO selari dengan 3 perkara, Islam, bangsa Melayu dan Raja.

“Perjuangan mengenai Melayu, Islam dan Raja-raja begitu popular di kalangan rakyat, poll (undi) mengenai Hassan Ali dalam isu arak menunjukkan tidak berkeseorangan,”akuinya.

Rupa-rupanya apa yang diperjuangan Umno selama ini adalah tepat dan kini baru disebut kembali oleh pemimpin Pas ini, bernama Dato’ Dr.Hassan Ali- terima kasih YB Dato’.

“Dulu majoriti pemimpin PAS adalah ulamak, sekarang majoritinya orang profesional, keadaan ini boleh mengubah parti, ulama tidak akan membawa PAS lari dari perjuangan dibanding dengan profesional, ada perubahan (shitf), sebahagian ahli parti mahu PAS sama seperti 20.30 dan 50 tahun dulu. PAS yang menjaga semangat dan syiar Islam, “ kenyataan Dato’ Dr.Hassan ini dengan jelas lagi bersuluh tentang kedudukan dan hala tuju Pas masa kini.

Bukan pimpinan atau orang Umno yang membuat tuduhan ini..tapi pengakuan dari orang yang berada dalam Pas sendiri, malah Exco Kerajaan yang mewakili Pas dalam Kerajaan kononnnya Pakatan Rakyat (Selangor).

Punca-punca yang menyebabkan anjakan berlaku dalam PAS, logiknya orang nak kemenangan dan hanya boleh dicapai melalui bergabung, ada fikir kemenangan boleh dipanjang ke Putrajaya guna formula sama tapi dalam masa yang sama meminggirkan penyokong tegar PAS, kata Dato’ Dr.Hassan.

Demikian kedudukan Pas dalam yang diwar-warkan sebagai Pakatan Rakyat yang amat tidak menguntungkan Melayu dan Islam.

Marilah kita renung bersama dan insaf.


Terengganu terus ungguli PMR

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.



Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.



Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 2.57 berbanding 2.58 pada tahun lalu.

Katanya, seramai 15,127 atau 69.04 peratus calon sekolah bantuan penuh kerajaan lulus semua mata pelajaran (minimum D) berbanding 15,034 calon (67.23 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan seramai 93 calon.

Beliau berkata, sebanyak 26 sekolah berjaya mencapai prestasi A atau sekolah berpencapaian tinggi Gred Purata Sekolah (GPS) 1.00 hingga 1.80 pada tahun ini berbanding 25 sekolah pada tahun lalu.

Encik Hashim berkata, Terengganu bukan sahaja mencatat peningkatan jumlah sekolah berpencapaian tinggi, malah 18 sekolah berjaya mencapai 100 peratus minimum D.

“Angka ini menunjukkan satu lompatan saujana jika dibandingkan pada tahun lalu yang hanya mencatat lapan sekolah sahaja lulus 100 peratus,”katanya ketika mengumumkan keputusan PMR seluruh Terengganu, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini.



Antara sekolah berpencapaian tinggi,Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu (GPS 1.03); SM Imtiaz Besut (1.04); SMKMak Lagam, Kemaman (1.04); SMK Lembah Bidong, Setiu (1.07); SMK Tengku Mahmud, Besut (1.09); SM Imtiaz Kuala Berang (1.09); SM Imtiaz Dungun (1.11); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.11) dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.13).

Manakala antara sekolah yang mencapai 100 peratus minimum D, SM Sains Sultan Mahmud, SMK Mak Lagam, SMK Lembah Bidong, SMK Tengku Mahmud, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Dungun, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SMK Pelong, SM Sains Dungun, SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Rantau Petronas.

“Pencapaian calon pada tahun ini pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti.Rekod pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

"Saya percaya bahawa peningkatan GPN ini disebabkan oleh kegigihan, kesungguhan dan kecaknaan semua pihak di peringkat jabatan dan di peringkat sekolah mahupun ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, perancangan teliti, pelaksanaan program kecemerlangan akademik yang berterusan, permuafakatan yang jitu dan kecaknaan yang tinggi semua pihak menjadi tunjang ke arah kelestarian pencapaian itu.

Sementara itu, pencapaian pelajar bandar menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, pencapaian pelajar luar bandar sedikit merosot berbanding 2010.




Dato’ Dr Mashitah rasmi konvensyen saudara muslim

Oleh; Esah Abdullah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim (gambar kiri) akan merasmikan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan bertempat di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu esok (Jumaat).

Konvensyen ini berlangsung selama dua hari dan diadakan dua tahun sekali, bakal menghimpunkan 800 orang saudara baru dari seluruh negara.

Program anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu diisi dengan ceramah, motivasi, wacana serta pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh ilmuan dalam negara.

Terengganu menjadi negeri pertama menjadi tuan rumah bagi konvensyen berkenaan kerana sebelum ini ia diadakan di sekitar ibu negara dan pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur.





Marang jelapang padi kedua Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Daerah Marang bakal dijadikan jelapang padi kedua Terengganu kerana kawasan itu sesuai untuk diusahakan dengan tanaman itu namun pada masa yang sama dibiarkan oleh pemiliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri YB. Asha'ari Idris yakin bekalan padi untuk menampung keperluan di Terengganu akan mencukupi sekiranya kesemua kawasan itu diusahakan.

"Saya pergi melawat daerah Marang baru ini. Saya tengok masih ada tanah terbiar sedangkan kemudahan asas hampir semuanya ada," katanya tanpa menjelaskan keluasan tanah terbiar itu.

Asa'ari berkata Terengganu kini terpaksa mengimport hampir 40 peratus bekalan beras untuk menampung keperluan penduduk negeri ini.

Katanya kawasan pengeluaran padi yang paling luas setakat ini di Terengganu ialah di Jelapang, Setiu yang melibatkan kawasan lebih 100 hektar dan kos kemudahan asas hampir RM50 juta.

Beliau berkata mengikut perancangan, Terengganu memerlukan kawasan seluas 24,000 hektar pada tahun 2020 bagi tanaman padi untuk menampung keperluan dalam negeri.

"Yang menjadi kebimbangan kita sekarang ini tanah-tanah padi di negeri ini sudah banyak bertukar menjadi tanah perumahan kerana ditukar syarat," katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan mengambil tindakan mewartakan tanah padi seperti hutan kekal supaya tanah padi itu berkekalan pada masa akan datang.


Jawatankuasa bincang solat dua kariah hari ini

Oleh; Esah Abdullah

Isu solat Jumaat dua kariah yang berlaku di 11 masjid di negeri ini menjadi agenda khas di mesyuarat jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diadakan di bilik mesyuarat Pejabat Mufti Negeri pukul 9.30 pagi hari ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan Hasihim berkata, ahli jawatankuasa akan berbincang serta mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan yang telah berlarutan sekian lama.

“Kita, akan mengambil satu keputusan hari ini hasil perbincangan ahli-ahli jawatankuasa,” katanya dalam sidang media di pejabat Maidam semalam.

Katanya, ahli jawatankuasa mesyuarat terdiri dari Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri , Ketua Polis, Pegawai Kewangan negeri, Mufti Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam serta beberapa wakil pejabat firma guaman dan ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam.

“Kita berpendapat, isu ini boleh diselesaikan melalui tindakan secara pentadbiran dan akan dibincang secara teperinci serta mencari kaedah sesuai,” katanya,

Katanya, pihak Maidam sedar masalah yang berlarutan ini sukar diselesaikan apabila ada pihak yang berkeras dan tidak memberi kerjasama kerana lebih mementingkan agenda politik daripada memelihara kesucian agama Islam.

Sementara itu, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan bagi pihak Maidam menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM 42,718 daripada Agrobank Terengganu yang diwakili Pengurus Wilayah Terengganu/Kelantan, Haji Mohd Rahim Mohd Zain.




21 December 2011

Sultan Mizan berkenan berangkat merasmikan Karnival Hijrah

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Karnival Hijrah 2011 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, petang esok (22 Disember).

Program anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Perdana Menteri dan TV Al-Hijrah itu akan berlangsung selama tiga hari dan berakhir 24 Disember ini.

Tinjauan Teganukita mendapati puluhan kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) giat menjalankan kerja-kerja terakhir, termasuk membersihkan kawasan karnival dan memasang karpet di pentas utama.

Peniaga dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan serta swasta turut sibuk di gerai masing-masing sebagai persediaan menanti kehadiran ratusan ribu pengunjung.




Pelbagai aktiviti diadakan termasuk rakaman program 30 minit bersama ustaz Don, dialog harmoni, sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV Al-Hijrah, Forum Perdana dan program Adik-Adikku terbitan RTM.

Paling menarik lampu masjid Mamlik, Replika Pedang Rasulullah, Astrolab, Sfera Bintang dan papan lapis bertulis Bismillahirrahmanirrahim akan turut dipamerkan


Dengan tema `Hijrah 1 Tranformasi’, karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.

Karnival bercorak Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan bertujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman.

Peniaga kraftangan, Haji Ismail Abdulllah, berkata dia cukup bertuah kerana terpilih mempromosikan barangan kraf Terengganu sempena karnival yang diadakan tiga hari ini.

Katanya, penganjuran karnival seumpama ini wajar diteruskan kerana bukan saja memberi peluang kepada puluhan peniaga untuk mempromosikan produk masing-masing malah mampu menaikkan imej Terengganu yang nyata serius memartabatkan karnival bercorak Islam