Halaman

26 December 2011

Penerima teruja pilih pakaian sekolah

Oleh: Suriati Ali

Tiga pasangan kembar seiras Siti Nur Fatihah, Siti Nur Atikah dan Siti Nur Hidayah , 12, gembira kerana diberi peluang memilih sendiri pakaian sekolah di Pasaraya Giant Bandar Baru Kijal, Kemaman, hari ini.



Mereka bertiga merupakan antara 240 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Kemaman terpilih untuk menerima baucer pakaian sekolah berjumlah RM100 dari Pemuda Umno Bahagian Kemaman.

Siti Nur Hidayah berkata, dia bersama dua beradik kembar dan seorang lagi abangnya cukup terharu di atas pemberian baucer itu kerana dapat meringankan beban ibu yang hanya bekerja sebagai tukang sapu.

“Kami adik beradik anak yatim dan orang susah, jika tiada sumbangan seumpama ini, sudah tentu nanti tidak dapat untuk bergilir pakaian dalam tempoh seminggu.

“Ibu sentiasa mengajar kami erti berjimat cermat dengan hanya membeli barangan penting saja termasuk mengehadkan hanya seorang satu pakaian sekolah dalam tempoh setahun,” katanya ketika di temui dalam program Pengagihan Baucer Pakaian Sekolah di pasar raya itu.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang hadir di majlis itu turut meluangkan masa memilih kelengkapan sekolah yang diperlukan penerima.

Seorang ibu tunggal, Norhasiah Mustapa, 35, berkata dia tidak akan melupakan jasa pihak penganjur kerana sudi memilih anaknya, Mohd Shah Izwan Iznur, 10, untuk menerima baucer yang cukup berharga itu.

“Baucer RM100 ini sangat besar ertinya kerana wang yang diperuntukkan membeli pakaian sekolah anak ketiga itu boleh membeli pelbagai barangan lain.

“Saya cukup terharu melihat gelagat anak dan penerima lain kerana diberi peluang untuk memilih sendiri kelengkapan sekolah yang diinginkan,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan berasal dari Felda Nerang 1.


"Jangan cuba gigit tangan yang menyuap makanan"

Oleh; Esah Abdullah

Untuk membangunkan sesebuah negara perlu mengambil masa yang lama antara 50 hingga 60 tahun tetapi untuk memusnahkannya hanya memerlukan beberapa minit sahaja.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Rosol Wahid berkata, secara sedar atau tidak ada pihak cuba memusnahkan keharmonian yang wujud di negara ini dengan menyebarkan dakyah menghasut rakyat membenci kerajaan.

“Saya terkilan dan sedih bila ada pihak cuba gigit tangan yang menyuap makanan ke mulut mereka,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Koperasi Belia Negeri Terengganu (Kobenet) kali ke-16 di Wisma Seri Amar Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kobenet, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman.

Katanya, kerajaan telah beri macam-macam bantuan dan sumbangan dalam usaha memastikan rakyat terus dapat menikmati kehidupan yang selesa.

“Sikap yang suka mencari kesalahan kerajaan semata-mata untuk meraih undi dalam pilihanraya tidak menunjukkan mereka golongan yang dituntut dalam Islam, sambil berharap budaya ini tidak menular dikalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, ambil iktibar peristiwa yang berlaku terhadap negara Libya dan Mesir yang tidak ada kesudahannya, rakyat menjadi mangsa kumpulan yang berkepentingan.

Dato’ Haji Rosol turut menyatakan, kerajaan menyediakan geran perniagaan sehingga RM10,000 dan semua koperasi layak memohon untuk mendapatkan dana berkenaan.

Beliau seterusnya menyarankan Kobenet terus pro aktif serta merebut peluang mencari keuntungan berganda supaya dapat mengagihkan labanya kepada ahli.





YPKT tambah peruntukan PJD

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertambahan peruntukan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjumlah RM8 juta kepada peserta pinjaman modal Program Jaya Diri (PJD) berbanding peruntukan tahunan RM4 juta sebelum ini dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai kumpulan sasar itu.

Pengarahnya, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa (gambar atas kiri) berkata, setiap tahun kerajaan negeri menyediakan RM4 juta bagi menjana program itu, bagaimanapun jumlah itu ditambah bagi memberi kemudahan kepada peserta di masa depan.

Katanya, pihaknya tidak berdepan dengan masalah dalam aspek bayaran balik pinjaman berikutan setiap peserta membayarnya jumlah pinjaman mengikut waktu serta masa yang ditetapkan.

“Kami yakin kerajaan negeri bersedia menambah peruntukan sekali ganda daripada jumlah yang ditetapkan sbelum ini.

“Berdasarkan rekod bayaran balik peserta juga membolehkan YPKT memberikan mereka lebih peruntukan iaitu, RM4.4 juta bagi tahun ini. Malah, PJD juga dibuka kepada mereka yantg berpendapatan RM3,000 ke bawah berbanding RM2,500 sebelum ini,” katanya.


Beliau berkata, golongan belia juga boleh mengambil peluang menyertai PJD bagi menceburi diri dalam bidang perniagaan dan program itu tidak terhad kepada golongan wanita sahaja.

Pada masa yang sama, Encik Mohd Shafaruddin juga menasihati peserta supaya memanfaatkan kemudahan pinjaman itu sebaik mungkin bagi memajukan diri serta keluarga dan tidak sesekali menyalahgunakannya untuk tujuan lain.



Taekwondo Terengganu muncul juara keseluruhan

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Taekwondo Teguh Terengganu (KTTT) muncul juara keseluruhan kategori 10 hingga 13 tahun (perempuan) dalam Kejohanan Taekwondo antara Kelab yang berlangsung di Stadium Badminton, Cheras , Kuala Lumpur minggu lalu.

Ketua jurulatihnya, Encik Mohd. Salihin Abdullah berkata, pencapaian yang direkodkan dalam pertandingan kali ini di luar jangkaan di mana kesemua atlet yang mengambil bahagian menunjukkan kesungguhan jitu.

Katanya, KTTT bejaya meraih tiga pingat emas melalui atlet Raros Kamilah Rasit dan Nur Alwani Nabilah Mansor (kategori 10-13 tahun) dan Nor Afifah Mohd Nor (kategori welter 62-68 kilogram) di samping satu perak dan lima gangsa.

“ini adalah pencapaian terbaik kita memandangkan jumah penyertaan atlet KTTT seramai 18 orang sahaja berbanding kelab-kelab lain seluruh negara berjumlah 1,300 orang,” katanya.

Menurutnya, kelab berbangga dengan prestasi keseluruhan atlet yang memperlihatkan kesungguhan dan peningkatan potensi diri yang tinggi.

“Kita harap semua atlet mampu mengekalkan semangat dan kesungguhan yang ada dalam diri masing-masing serta menjadi atlet yang disegani dalam sukan mempertahankan diri pada masa akan datang,” katanya.




Adun Kuala Berang sampai bantuan banjir

YB Haji Mohd Zawawi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu. - Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

Oleh: Mastura Jamaluddin

Seramai 165 orang mangsa banjir dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kuala Berang, Ajil dan Telemong menerima bantuan RM500 dari ADUN Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu. baru-baru ini.

“Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang begitu peka terhadap permasalahan rakyat, lebih-lebih lagi mangsa banjir.

“Dengan wang RM500 yang diberikan ini, kita berharap ianya dapat meringankan beban dan perasaan dukacita mangsa banjir terhadap musibah yang berlaku.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua Pengerusi JKKK serta ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk kampong dalam meringankan permasalahan mereka, ” kata YB Haji Mohd Zawawi sewaktu berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Kepada Mangsa Banjir 2011 Daerah Hulu Terengganu.

“Kerajaan sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat dan sebagai ADUN Kuala Berang contohnya, saya telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di kawasan saya.

“Dan saya bersyukur apabila satu takungan banjir yang melibatkan kos RM5 juta akan di bina untuk mengatasi masalah ini.” katanya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Hulu Terengganu,wakil Majlis Keselamatan Negara,pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat,Jurutera Daerah Hulu Terengganu ,ketua-ketua jabatan serta penerima-penerima bantuan.


Calon khas nikmati peluang sama rata

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi peluang yang sama kepada Calon Berkeperluan Khas (CBK) untuk menikmati sesi pembelajaran dan peperiksaan sepertimana calon normal yang lain.

Malah, golongan itu juga mendapat pengiktirafan dengan adanya kemudahan pentaksiran yang disediakan jabatan pelajaran bagi memenuhi keperluan mereka yang serba kekurangan.

Pada tahun ini, seramai 103 CBK menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di 31 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

“Daripada jumlah calon yang dinyatakan, terdapat seorang calon mendapat semua A(9A), seorang mendapat 4A 2B 2C dan seorang mendapat 7A 1B,” kata Timbalan Pengarah JPNT, Encik Hashim Mohd Zin, ketika mengumumkan peperiksaan itu di JPNT, baru-baru ini.

Calon berkenaan, Muhammad Danial Zainuddin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek mengalami autisme (9A);, Mohamad Aliff Rozahilmie Md Rasid SMK Binjai , Kemaman cacat anggota (7A 1B) dan Mohamad Fazri Hafizi Mohd SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu mengalami rabun dan memperolehi 4A 2B 2C.

Katanya, pada masa kini, kemudahan disediakan seperti kertas soalan Braille untuk calon cacat penglihatan, kertas soalan moderasi untuk calon cacat pendengaran dan kertas soalan cetakan besar untuk calon rabun.

“Kekurangan yang ada juga menyebabkan mereka diberikan masa lebih lama bagi menjawab soalan peperiksaan berbanding calon normal,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.




100 kawah bubur asyura di Parlimen Kuala Nerus


Oleh FAUZI MOHD

Ketibaan Maal Hijrah setiap tahun pastinya tidak lengkap jika tiada acara memasak bubur asyura yang sudah menjadi sebahagian tradisi di kalangan masyarakat Islam negara ini.

Lebih meriah jika acara itu diadakan secara beramai-ramai dan bergotong-royong sekali gus dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Kesempatan itu diambil oleh Jawatankuasa Parlimen Kuala Nerus untuk mengadakan pertandingan memasak bubur asyura di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir Kuala Terengganu semalam.

Acara yang bermula kiri-kira pukul 9 pagi itu, disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada UMNO cawangan dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta di negeri itu.


Lebih meriah, pertandingan itu menawarkan wang tunai RM1,000 untuk juara, tempat kedua RM900, ketiga (RM800), keempat (RM700) serta tempat kelima dan ke bawah layak menerima wang tunai sebanyak RM500.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, kira-kira RM50,000 diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut yang julung-julung kalinya diadakan.

Katanya, program itu bertujuan memupuk semangat dan kerjasama antara pasukan yang bertanding serta meneruskan kesinambungan budaya memasak bubur asyura secara berkumpulan.

"Ini merupakan penganjuran kali pertama seumpamanya dan sangat meriah memandangkan kira-kira 5,000 orang hadir untuk melihat acara ini.


"Menariknya pelbagai resipi istimewa peserta-peserta yang jarang-jarang diketengahkan sebelum ini ditonjolkan selain hiasan bubur asyura yang kreatif," jelasnya.

Pada pertandingan itu, Persatuan Kebajikan Taman Perumahan Gong Badak memenangi tempat pertama bagi kategori kumpulan manakala 18 RAMD tempat kedua dan tempat ketiga digondol oleh kumpulan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Bagi kategori cawangan, tempat pertama dimenangi oleh Kampung Banggol Binjai, tempat kedua Kampung Telaga Batin dan tempat ketiga Kampung Seberang Takir.


25 December 2011

Anuar sudah bersedia untuk beraksi


Pelumba sensasi negara yang berasal dari Terengganu, Anuar Manan (kiri) kini bersedia beraksi dengan pasukan HK Champion System tahun depan.

Oleh: Suriati Ali

Pelumba sensasi negara, Anuar Manan, mengakui dirinya kini bersedia sepenuhnya untuk beraksi dengan pasu-kan divisyen dua, HK Champion System mulai tahun depan.

Menurut Anuar, khidmatnya dengan pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang masih berbaki beberapa hari lagi tidak sesekali menghalang dirinya untuk mempersiapkan diri untuk memulakan latihan dengan pasukan yang berpusat di Eropah itu.

“Buat masa sekarang saya menjalani latihan seperti biasa untuk memastikan stamina sentiasa mantap, mengenai persiapan untuk beraksi dengan pasukan baru juga saya telah bersedia dari segi mental serta fizikal.

“Ini bukan kali pertama kerana sebelum ini saya pernah berlumba untuk pasukan Iran dan Korea, sedikit sebanyak pengalaman yang ada akan membantu saya apabila bersama pasukan baru nanti,” katanya.

Menurut Anak kelahiran Kuala Ibai yang berusia 25 tahun ini, meskipun agak berat baginya untuk meninggalkan pasukan yang telah banyak melonjakkan kerjayanya (TSG), namun demi masa depan yang masih panjang segala kesedihan itu terpaksa dilupakan.

“Setiap pelumba basikal memiliki target yang sama iaitu ingin bergelar pelumba divisyen satu, sekali gus melayakkan diri untuk beraksi dalam perlumbaan paling berprestij di dunia iaitu Le Tour De France, begitu juga dengan saya,” katanya.

Katanya, peluang beraksi dengan pasukan baru yang berstatus divisyen dua itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan lagi pencapaian dirinya dalam perlumbaan basikal dengan harapan mampu membawa nama negara.

“Meskipun beraksi dengan pasukan luar setidak-tidaknya misi membawa nama negara terlaksana,” katanya.






13,000 pelawat kunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu


Oleh FAUZI MOHD

Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, hamper 13,000 pelawat mengunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang di Dungun.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata daripada jumlah itu, 11,799 orang adalah pelawat dalam negara manakala bakinya dari luar.

"Setiap pelawat yang datang ke situ dapat melihat pemeran tuntung hidup di samping diberi penerangan mengenai hidupan penyu," katanya baru-baru ini.

Katanya sesetengah pelawat itu turut dibawa bermalam di pusat penetasan penyu di Ma', Kerteh.


Terengganu mempunyai 11 pusat penetasan penyu yang dikendalikan pelbagai pihak termasuk Jabatan perikanan, badan bukan kerajaan dan Dana Hidupan Liar Sedunia Malaysia.

Zakaria berkata bagi pusat penetasan yang dikendalikan Jabatan Perikanan, telur penyu yang dierami itu diperolehi di kawasan rezab kerajaan ataupun melalui pembelian daripada pemajak.

Sepanjang tahun ini, jabatan itu mengeramkan hampir 94,000 biji telur dan daripada jumlah itu kira-kira 66,000 berjaya ditetaskan serta dilepaskan ke laut.


Karnival Hijrah – Fama sasar 100 siswazah tani di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan akan melahirkan sekurang-kurangnya 100 orang usahawan tani siswazah di Terengganu tahun depan.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata pada tahun ini Fama telah berjaya melahirkan seramai 80 orang usahawan tani siswazah di negeri ini.

"Tidak mustahil pada masa akan datang kita akan dapat mendengar usahawan tani lahir di kalangan siswazah-siswazah tani," katanya ketika ditemu di Karnival Hijrah semalam.

Menurut Hasan, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM30 juta sebagai insentif untuk meningkatkan lagi penyertaan golongan siswazah dalam bidang pertanian dan sehubungan itu Fama akan berusaha keras untuk mencapai sasaran itu tahun depan.

Katanya peluang itu harus direbut oleh siswazah tani kerana pada masa akan datang peluang untuk bekerja makan gaji semakin mengecil.

Hasan berkata kerajaan juga ingin melihat usahawan-usahawan tani di negara ini bukan lagi sebagai petani tradisi tetapi muncul sebagai petani profesional sama seperti di negara Barat.