Halaman

19 January 2012

BRIM pemberian ikhlas kerajaan untuk rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sanggup mempengaruhi penduduk kampung agar tidak mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dengan dakwaan kononnya bantuan tersebut adalah tindakan kerajaan untuk memancing undi.

“Mereka sungguh-sungguh minta rakyat jangan isi borang tu (BRIM) dan jangan harap duit tu kerana memang ia tidak dapat pun,” katanya di majlis penyampaian BRIM bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik dan Penghulu Mukim Kuala Nerus, Encik Muhamad Abu Bakar.

Dato’ Haji Mohd Nasir berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkenaan terbongkar bila ada orang datang kepada beliau di majlis penyampaian bantuan BRIM di DUN Seberang Takir menyatakan kekesalan kerana mereka tidak mengisi borang BRIM.

“Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan membela rakyat tanpa mengira fahaman politik Pas, DAP, Keadilan ke semua dapat bantuan ini,” katanya.

Menurutya, pihak penyelaras berjaya mengesan siapa dalang yang menghasut orang kampung malah dia ada dalam senarai sebagai orang pertama yang mengisi borang BRIM.

Dato’ Haji Mohd Nasir kemudiannya meminta orang ramai masih belum terlambat untuk mendapatkan RM500 pemberian kerajaan BN kerana tarikh daftar telah dilanjutkan hingga 10 Februari depan.

Seramai 11,836 penerima BRIM dalam Parlimen Kuala Nerus membabitkan peruntukan RM591,800, yang mula diagihkan sejak 15 Januari lalu dan jumlah ini termasuklah dari DUN Bukit Tunggal (2,336 orang), Seberang Takir (2,500), Tepoh (4,000) dan Teluk Pasu, (3,000).

“Ini agihan peringkat pertama dan bila kerajaan lanjutkan tempoh permohonan, saya yakin masih ada yang tercicir dulu dan yakin perkara ini dapat diselesaikan sepenuhnya akhir bulan depan,” katanya




Sultan Mizan berkenan sertai pertandingan kuda lasak

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama dua anakanda baginda berkenan menyertai di Taman Ekuestrian Antarabngsa Terengganu, Lembah Bidong, Setiu pada 21 Januari ini.

Pertandingan anjuran Kelab Ekuestrian al-Khathiri itu itu akan membabitkan dua kategori iaitu 80 kilometer (km) dan 50 km.

Pelepasan peserta pertandingan akan disempurnakan oleh pengerusi kelab itu, Shaikh Abdul Halim Al-Kathiri, kira-kira 6.15 pagi. Seramai 50 peserta dijangka menyertai pertandingan yang berlangsung selama dua hari.

Penerangan Bajet 2012 untuk Zon Tengah, 26 Januari

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menganjurkan Penerangan Bajet 2012 bagi Zon Tengah yang bertempat di Stadium Negeri, pada 26 Januari ini (Khamis) jam 10 pagi.

Program anjuran Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu, Pejabat Kewangan Negeri serta Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) itu bertujuan memberi gambaran sebenar mengenai Bajet 2012 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 5 Disember lalu.

Jurucakap program, susulan Diskusi Bajet 2012 yang diadakan pada 10 Januari lalu mendapat sambutan baik, pihaknya berhasrat meneruskan program itu dan mensasarkan semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi Zon Tengah dapat menyertai program berkenaan.

Selain JKKK, semua pemimpin masyarakat dan politik disaran supaya meluangkan masa menyertai program itu supaya mendapat input daripada penerangan itu nanti.

Katanya, pihak penganjur menjemput semua pemimpin masyarakat, jawatankuasa Umno Bahagian dan sayap, ketua dan setiausaha cawangan dalam semua parlimen di Zon Tengah menghadiri program itu nanti.

“Selain menerangkan kepada rakyat mengenai kepentingan Bajet 2012 kita juga mahu supaya mereka sedar dan faham segala perbelanjaan kerajaan yang menggunakan pendekatan pembangunan berkonsepkan `Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’.

“Jangan lepaskan peluang menyertai penerangan bajet yang akan mengupas lebih jelas dan terperinci kepentingan bajet yang berteraskan kesejahteraan rakyat ini,” katanya.



Daerah baru Kuala Nerus mampu bersaing

Oleh; Esah Abdullah

Kewujudan daerah baru Kuala Nerus mampu bersaing dengan daerah-daerah lain kerana banyak kemudahan insfrastruktur berada dalam kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, pembangunan sedia ada seperti Stadium Sultan Mizan, Masjid Kristal, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika membuat pembentang bajet 2012 Disember lalu mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi tujuan pembangunan daerah baru Kuala Nerus.

“ Saya bersyukur dan gembira dengan berita itu dan berharap pengistiharan mengenainya dapat dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Bukit Tunggal (SMK) petang semalam.

Tambahnya lebih 100,000 penduduk sedang menanti penuh debar pengisytiharan yang akan dibuat oleh pemimpin nombor satu negeri itu pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

“Saya harap ia dapat diumumkan sebelum menjelang tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, di samping pembangunan sedia ada, masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu diberi penambahbaikan termasuk pembinaan Pejabat Daerah dan Pejabat Agama yang akan berurusan terus dengan masyarakat setempat.

“Ia sebahagian daripada langkah agar kawasan yang pesat berkembang dan padat dengan penduduk itu dapat menikmati perkhidmatan perbandaran dan program pembangunan sosial dengan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mempunyai keluasan kawasan sama namun Kuala Terengganu mempunyai kepadatan penduduk melebihi Kuala Nerus.





Tan Sri Abu Zahar kunjung hormat MB

Oleh: Suriati Ali

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di pejabat Menteri Besar Terengganu di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, petang semalam, 18 Januari.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Dato’ Seri Haji Ahmad dan Tan Sri Abu Zahar saling bertanya khabar dan meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam pelbagai aspek, yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.




Taman Lebah pasar 20 produk madu, baka lebah Australia

Oleh FAUZI MOHD

Produk madu lebah yang kini mendapat sambutan daripada penduduk negara ini kerana khasiatnya yang tinggi mendorong sebuah syarikat, Taman Lebah Enterprise di Jambu Bongkok, Marang untuk memasarkan keluarannya secara lebih agresif.


Dalam tempoh lima tahun ditubuhkan, syarikat berkenaan boleh berbangga kerana berjaya memasarkan 20 jenis produk daripada madu lebah yang kini semakin mendapat sambutan pelanggan.

Pengurus syarikat berkenaan, Nor Ehsan Abd. Rahman berkata, jualan produk-produk jenama Giant keluaran syarikat itu kini mencecah sehingga RM2,000 sehari pada musim cuti persekolahan dan perayaan manakala kira-kira RM300 pada hari biasa.

Menurutnya, antara produk yang dikeluarkan adalah madu lebah hutan, madu susu lebah, madu lebah, jeli raja, balm propolis, madu embun, madu larva, madu ginseng, madu tualang dan sabun propolis yang mampu merawat luka-luka kecil.



''Kebanyakan pelanggan kami merupakan penduduk Terengganu yang pulang bercuti ketika musim cuti persekolahan dan perayaan namun mereka yang tinggal di sekitar kawasan ini juga kini semakin mengenali produk kami," katanya ketika ditemui Teganukita di Taman Lebah Enterprise semalam.



Beliau berkata, taman lebah tersebut pada awal pembukaannya pernah menternak 40 sarang lebah jenis Itali yang setiap sarang menempatkan beratus ribu lebah namun projek itu tidak berjaya.

''Cuaca panas dan angin kuat menyebabkan lebah-lebah berkenaan tidak kembali ke sarang dan akhirnya projek itu ditamatkan hingga mengakibatkan syarikat kerugian lebih RM30,000," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, syarikat itu masih menternak lebah tempatan yang dikenali sebagai Lebah Kelulut untuk diambil sarang bagi dijadikan bahan dikenali sebagai propolis yang mampu merawat ulser dan mencuci buah pinggang.

''Orang ramai yang berkunjung ke taman lebah ini masih boleh melihat sarang ini yang dijadikan pameran.

"Bulan depan, kami akan membawa 20 lagi sarang lebah baka Australia untuk diternak di sini setelah mendapati ianya bersesuaian dan pulangan agak baik," jelasnya.

Beliau memberitahu, syarikat itu mempunyai sebuah lagi ladang ternakan di Bukit Katil, Melaka yang membekalkan madu dan sarang lebah untuk digunakan dalam penghasilan produk-produk syarikat tersebut.

''Syarikat ini juga membuka sebuah mini muzium mengenai lebah dan penghasilan produk lebah ini di Air Keroh, Melaka," jelasnya.


Exxonmobil bantu baiki sosio ekonomi rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka, Exxonmobil memberi jaminan akan terus mengukuhkan jaringan sosial bagi membantu membela nasib dan meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini terutama golongan yang berpendapatan rendah.

Penolong Pengurus Pengeluaran Subsidiari ExxonMobil, Mr J Hunter Farris, berkata antara program yang dilaksanakan pada tahun ini adalah meningkatkan kemudahan peralatan perubatan di Hospital Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun.

“Pada masa yang sama, Exonmobil akan membantu menjayakan program `Sekolah Dalam Hospital’ di Kuala Terengganu dan Kemaman.

“Malah, kita turut menyokong dan membantu Yayasan DiRaja menerusi program latihan keusahawanan bagi meningkatkan sosio ekonomi golongan ibu tunggal dan wanita sekaligus membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya di majlis makan malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, kelmarin (16 Januari).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri,To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Mr J Hunter berkata, pihaknya juga komited bagi membantu menjayakan program untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah terpilih.

Selain itu, dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), mereka juga mengenalpasti pelajar yang cemerlang dalam akademik serta kokurikulum untuk dipilih bagi menerima `Anugerah Pelajar Cemerlang Exxonmobil’.
“Pada malam ini, seramai 25 guru dipilih JPNT bagi menerima Anugerah Guru Unggul Exxonmobil 2011. Saya mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada semua pemenang kerana dedikasi terhadap profesion, sekolah serta pelajar mereka,” katanya.

Seramai 25 guru melibatkan 16 guru wanita dan selebihnya guru lelaki daripada 24 sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu terpilih selepas menjalani saringan dan proses temuduga daripada 100 permohonan awal.

Menteri Besar menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang yang berupakan wang tunai RM1,500, sijil dan plak.



Mahu jumpa Perdana Menteri ucap terima kasih

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 1,569 orang dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman gembira selepas menerima sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setiap seorang di Dewan Sivik Kampung Kijal Darat, baru-baru ini.


Seorang penerima, Mohd. Kamaruzaman Abdullah, 55, menyifatkan bantuan itu sebagai satu 'hadiah' daripada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan kerajaan yang begitu prihatin dengan keperluan rakyat.

"Walaupun bantuan RM500 ini tidak pernah dijanjikan oleh kerajaan, namun ia dihulurkan kerana Perdana Menteri kita memikirkan beban yang harus ditanggung rakyat.

"Jika berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri, saya mahu ucap terima kasih kepada beliau kerana sentiasa memikirkan hal rakyat dan mencari pelbagai jalan untuk membantu golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Teganukita.

Pesara tentera, Ibrahim Ahmad, 56, berpendapat BR1M membuktikan kerajaan adalah prihatin dan mahu rakyat hidup lebih sejahtera.

"Masalah rakyat sentiasa diutamakan, ini yang tidak ternilai. Bantuan ini juga adalah untuk menghargai rakyat yang terus memberi sokongan kepada kerajaan walaupun di sebalik dakyah dan tohmahan pihak tertentu," katanya.

Hadir menyampaikan bantuan berkenaan, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal serta isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Dalam pada itu, Dato' Seri Ahmad turut menempelak sikap pemimpin parti pembangkang yang sering menyebarkan pelbagai dakyah berkaitan bantuan tersebut.

"Setiap bantuan yang diberikan berdasarkan kemampuan kerajaan dan tidak timbul bahawa negara akan muflis jika berterusan memberikan bantuan seperti ini seperti difitnahkan oleh pembangkang.

"Pemberian ini juga bukan untuk menggula-gulakan rakyat sempena pilihan raya umum akan datang. Kita percaya rakyat sudah bijak untuk menilai," katanya.


18 January 2012

Anugerah guru unggul pemangkin martabatkan pendidikan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengiktirafan syarikat korporat, Exxonmobil yang memilih 25 guru seluruh Terengganu bagi menerima anugerah guru unggul 2011 mampu menyuntik semangat golongan itu untuk terus mencurah jasa dan bakti terhadap bidang pendidikan selain meningkatkan prestasi pengajaran mereka demi melahirkan modal insan yang lebih cemerlang.

Seorang penerima anugerah, Puan Aminorzie Che Wail, 35, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok, Setiu, berkata pengiktirafan daripada Exxonmobil itu memberinya semangat dan pemangkin untuk terus berbakti di daerah kelahirannya serta meningkatkan prestasi pelajar di situ supaya lebih cemerlang di masa depan.

“Saya terharu dan tidak jangka akan menerima pengiktirafan yang begitu gemilang . Saya akan terus berbakti di daerah kelahiran saya sendiri serta terus menaikkan bidang pendidikan di Setiu,”katanya ketika ditemui Teganukita selepas menerima anugerah sempena majlis makan malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, kelmarin (16 Januari).

Majlis anugerah anjuran syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menyampaikan hadiah wang tunai RM1,500, sijil dan plak kepada setiap pemenang.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Sementara Puan Yusnita Md Yunus, guru bahasa Inggeris di Sekolah KebangsaanSultan Sulaiman I, Kuala Terengganu turut berasa bertuah dan terharu kerana terpilih sambil menyifatkan pengiktirafan itu membuktikan kerajaan dan syarikat korporat sentiasa menyokong dan memandang tinggi peranan guru dalam memartabatkan bidang itu, khususnya di Terengganu.

“Walaupun saya bukan berasal dari Terengganu, namun saya amat berbesar hati dapat mengajar di sini (Terengganu) selain mencurahkan segala keupayaan dan kemahiran saya demi mendidik anak bangsa menjadi manusia berilmu dan berguna.

“Penganugerahan ini satu platform untuk menampilkan kegemilangan yang diperlukan oleh semua pihak selaras dengan arus globalisasi atau dunia tanpa sempadan,” katanya yang berhasrat berkongsi kejayaan itu supaya dapat diteladani rakan pendidik yang lain di masa depan.

Manakala guru Pemulihan Khas Linus dari SK Wakaf Mempelam, (Kuala Terengganu)
Norliza Mat Napiah, berterima kasih kepada kerajaan negeri dan juga Exxonmobil kerana memberi peluang kepada guru membuktikan keunggulan mereka dalam bidang pendidikan melalui anugerah julung kali itu.

“Sebagai guru kelas Pemulihan Khas Linus saya perlu berminat mendekati kumpulan pelajar tegar yang langsung tidak menguasai asas menulis dan membaca ini, selain perlu menggunakan pendekatan paling sesuai supaya mereka mampu belajar dan meningkatkan prestasi.

“Guru yang mengajar murid pemulihan khas ini ibarat `doktor pakar’ kerana kemahiran yang tinggi serta masa yang berkualiti diperlukan bagi menarik minat golongan itu terhadapi pelajaran. Berkat kesabaran saya itulah yang mungkin mencetus kepada pemilihan saya menerima anugerah guru unggul kali ini,” katanya.




Salam 1Malaysia dan Salam 1Terengganu!



Kerajaan Negeri Terengganu bercadang untuk mengadakan Program Bicara Y.A.B Menteri Besar Terengganu Bersama Media (Blogger/Rakan Facebook/Twitter). Penyertaan ini terbuka kepada SEMUA rakan media Y.A.B Menteri Besar Terengganu. Jika berminat Tuan/Puan dikehendaki mengisi Borang Penyertaan Program Bicara Y.A.B Menteri Bersama Media.

Borang penyertaan Tuan/Puan hendaklah dihantar secepat mungkin sebelum/pada 20 Januari 2012. Disebabkan tempat yang diperuntukkan agak terhad bagi satu-satu masa, hanya tetamu yang terpilih sahaja akan menerima emel susulan bagi butiran majlis seperti tarikh, masa dan lokasi.