Oleh: Aida Abd RahmanPengiktirafan syarikat korporat, Exxonmobil yang memilih 25 guru seluruh Terengganu bagi menerima anugerah guru unggul 2011 mampu menyuntik semangat golongan itu untuk terus mencurah jasa dan bakti terhadap bidang pendidikan selain meningkatkan prestasi pengajaran mereka demi melahirkan modal insan yang lebih cemerlang.
Seorang penerima anugerah, Puan Aminorzie Che Wail, 35, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok, Setiu, berkata pengiktirafan daripada Exxonmobil itu memberinya semangat dan pemangkin untuk terus berbakti di daerah kelahirannya serta meningkatkan prestasi pelajar di situ supaya lebih cemerlang di masa depan.
“Saya terharu dan tidak jangka akan menerima pengiktirafan yang begitu gemilang . Saya akan terus berbakti di daerah kelahiran saya sendiri serta terus menaikkan bidang pendidikan di Setiu,”katanya ketika ditemui Teganukita selepas menerima anugerah sempena majlis makan malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, kelmarin (16 Januari).
Majlis anugerah anjuran syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menyampaikan hadiah wang tunai RM1,500, sijil dan plak kepada setiap pemenang.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.
Sementara Puan Yusnita Md Yunus, guru bahasa Inggeris di Sekolah KebangsaanSultan
Sulaiman I, Kuala Terengganu turut berasa bertuah dan terharu kerana terpilih sambil menyifatkan pengiktirafan itu membuktikan kerajaan dan syarikat korporat sentiasa menyokong dan memandang tinggi peranan guru dalam memartabatkan bidang itu, khususnya di Terengganu.
“Walaupun saya bukan berasal dari Terengganu, namun saya amat berbesar hati dapat mengajar di sini (Terengganu) selain mencurahkan segala keupayaan dan kemahiran saya demi mendidik anak bangsa menjadi manusia berilmu dan berguna.
“Penganugerahan ini satu platform untuk menampilkan kegemilangan yang diperlukan oleh semua pihak selaras dengan arus globalisasi atau dunia tanpa sempadan,” katanya yang berhasrat berkongsi kejayaan itu supaya dapat diteladani rakan pendidik yang lain di masa depan.
Manakala guru Pemulihan Khas Linus dari SK Wakaf Mempelam, (Kuala Terengganu)
Norliza Mat Napiah, berterima kasih kepada kerajaan negeri dan juga Exxonmobil kerana memberi peluang kepada guru membuktikan keunggulan mereka dalam bidang pendidikan melalui anugerah julung kali itu.
“Sebagai guru kelas Pemulihan Khas Linus saya perlu berminat mendekati kumpulan pelajar tegar yang langsung tidak menguasai asas menulis dan membaca ini, selain perlu menggunakan pendekatan paling sesuai supaya mereka mampu belajar dan meningkatkan prestasi.
“Guru yang mengajar murid pemulihan khas ini ibarat `doktor pakar’ kerana kemahiran yang tinggi serta masa yang berkualiti diperlukan bagi menarik minat golongan itu terhadapi pelajaran. Berkat kesabaran saya itulah yang mungkin mencetus kepada pemilihan saya menerima anugerah guru unggul kali ini,” katanya.