Halaman

31 January 2012

LPPMT sedia aktiviti pikat pelancong

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Terengganu (LPPMT) merancang mewujudkan hub aktiviti luaran atau ‘karnival outdoor’ peringkat Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Pengarah LPPMT, Encik Mohd Nasir Khusairi berkata, kertas kerja mengenainya serta pengisian program telah siap dirangka dan akan diangkat kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

“Kita bercadang mencetuskan program yang boleh menarik orang ramai menyertainya seperti jom gatih, pinball di samping aktiviti lain yang boleh disertai pelbagai peringkat umur,” katanya, kepada pemberita di majlis Sembang-sembang Pelancongan Terengganu di Taman Tamadun Islam, petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Bahagian Perlesenan Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu,Encik Norawawi Yusof dan Pengerusi Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Terengganu (MATA) Encik Wan Supian Dato’ Wan Ishak serta lebih 20 agensi pelancongan swasta yang beroperasi di negeri.

Katanya, pihaknya turut merancang memperkenalkan kepada pelancong untuk beriadah sambil berbasikal dan menyakinkan semua orang bahawa negeri ini boleh dilawati sepanjang tahun tanpa tertumpu pada bulan-bulan tertentu sahaja.

Tambahnya, kebanyakan orang luar yang datang lebih tertumpu ke pulau-pulau tanpa mengetahui lebih mendalam aktiviti yang boleh mereka sertai di tanah besar yang kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadi.

Beliau juga mempelawa badan-badan Ngo bekerjasama dengan kerajaan menghidupkan Pulau Warisan, mengadakan aktiviti hujung minggu dengan persembahan kebudayaan seperti rodat, gamelan yang boleh menarik pelancong luar menikmati serta menghayati adat resam negeri ini.

“Bila ramai orang datang, impaknya akan menguntungkan pengusaha dan peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai produk tempatan,” katanya




Tanggung kos tinggi selenggara sampah dalam sungai

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap segelintir penduduk dan peniaga di sekitar Kampung Cina serta Pasar Kedai Payang yang gemar membuang sampah sarap merata-rata tempat termasuk ke dalam sungai menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos penyelenggaraan sampah sarap yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata kerajaan negeri memasang kira-kira 19 perangkap sampah di sekitar Kampung Cina dan Pasar Besar Kedai Payang bagi tujuan memerangkap sampah yang dihanyutkan arus sungai.
Bagaimanapun, katanya sikap tidak bertamadun segelintir penduduk dan peniaga premis perniagaan sekitar kawasan berkenaan menyebabkan perangkap sampah yang mengandungi timbunan sampah-sarap terpaksa diselenggara lebih kerap berbanding sebelum ini sebulan sekali.

“Jika sebelum ini, pihak berkuasa perlu membuang sampah yang terperangkap sebulan sekali, kini keadaannya lebih kerap berikutan sampah lebih banyak terperangkap di dalam sungai. Sama ada dibuang ke dalam longkang atau di kawasan sekitar sebelum ia jatuh ke dalam sungai dan menyebabkan kawasan sekitar tercemar,” katanya.

Menurut Dato’ Toh, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melantik kontraktor khas bagi tujuan menyelenggara dan membersih kawasan sungai untuk memastikan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar Terengganu itu sentiasa terjamin dan bersih.

Malah, pada tahun lalu, sebanyak 30 perangkap sampah membabitkan kos RM1 juta dipasang di laluan utama air sepanjang Sungai Terengganu bagi memerangkap pelbagai jenis sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Antara lokasi terlibat, Alor Lorong Jamil, Alur Chabang Tiga, Alur Hiliran, Alur Manir, Alur Buloh, Alur Sekati, Parit Tok Adis, Alur Tok Molor, Alur Guruh Telok Pasu, Parit Sungai Pinang, Sungai Paloh, Alur Manir dan Alur Buluh Duri Bukit Tunggal.

Katanya, langkah itu juga mampu mencantikkan lagi keindahan sungai selain mengelak kejadian banjir terutama membabitkan kawasan rendah serta dapat membantu pihak pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) yang kini giat mempromosi Sungai Terengganu menggunakan perkhidmatan Bot Cruise.

Tiga jenis perangkap sampah yang dipasang itu dikenali sebagai `Grass Polutant Trap’ (GPT), `Modular Floating Rubish Trap’ (MFRT) dan `Anti Back Flow Rubish Trap’ (ART).




JPJ bersama komuniti

Oleh; Esah Abdullah

Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turun padang mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Maras, Batu Rakit, semalam.

Lebih 100 pemilik motosikal terdiri petani dan nelayan hadir untuk memperbaharui semula cukai jalan motosikal masing-masing yang tamat tempoh.

Usaha JPJ ini dilihat memberi banyak manfaat kepada penduduk tempatan selain tidak perlu turun ke bandar untuk menyambung cukai jalan juga mendapat maklumat mengenai perkhidmatan lain yang disediakan jabatan itu.

“Saya amat berpuas hati dengan program ini dan berharap ia diadakan setiap setahun bagi memudahkan kami yang tinggal di kampung untuk perbaharui cukai jalan,” kata Encik Dillah Ambak dari Kampung Tanjung, Batu Rakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat turut meluangkan masa bersama orang ramai sambil bertanya khabar.

Beliau memuji jabatan yang sedia turun ke bawah untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat di samping dapat menyalurkan maklumat jabatan.

“Kepentingan rakyat menjadi agenda utama kerajaan dan golongan yang tidak mampu diberi bantuan dengan apa cara sekali pun, contohnya hari ini JPJ datang untuk memudahkan penduduk di sini berurusan dengan jabatan itu,” katanya.

Sementara itu, urusetia program Encik Nik Man Udin menyifatkan program julung kali diadakan di DUN Batu Rakit ini telah mencapai matlamat jabatan untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di luar bandar.

“Daripada maklum balas yang kami terima, ramai meminta perkhidmatan JPJ ini di teruskan pada masa akan datang,” katanya.





PPAT cipta alat pengesan rak buku

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mencipta alat pengesan rak buku nyata mengembirakan pengguna kerana dapat mencari buku yang mereka kehendaki dalam tempoh 30 saa,t berbanding 10 minit sebelum ini.

Pengarah PPAT Puan Nor Akmal Abdul Fatah, berkata bagi menggunakan alat itu, pengguna hanya perlu menaip tajuk buku dikehendaki pada komputer yang disediakan di perpustakaan sebelum maklumat mengenai kedudukan buku itu dipaparkan dan secara automatik lampu di rak buku terbabit menyala.

“Kita mula gunan alat pengesan rak buku tersebut awal tahun lepas dan ia mendapat maklum balas yang amat menggalakkan daripada pengguna, bahkan terdapat juga permintaan dari perpustakaan luar Terengganu untuk berkongsi idea.

“PPAT sememangnya bersedia untuk mempromosi apa yang dilaksanakan ini kepada pihak luar, tetapi selepas menyedari banyak aspek perlu ditambah nilai, ia terpaksa ditangguhkan dahulu,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Puan Nor Akmal berkata, alat pengesan rak buku pertama seumpamanya itu adalah hasil ciptaan petugas PPAT sendiri yang mahu melihat pembaharuan dalam kualiti perkhidmatan demi kemudahan pengguna.

“Pengunaan alat itu juga menjadikan buku-buku di rak lebih tersusun rapi, kemas dan berada dalam susunan lebih sistematik dan PPAT bercadang menyelaraskan penggunaannya di seluruh perpustakaan daerah di Terengganu,” katanya.

Nor Akmal berkata, alat pengesan rak buku ini telah memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S pada 27 Jun lalu dan Anugerah Khas Juri MPC Utara iaitu kategori Kumpulan Paling Kreatif sempena Konvensyen ICC Perpustakaan Se-Malaysia kali ketiga pada 11 Jun tahun lalu.


SM Sains Dungun diiktiraf sekolah kluster cemerlang

Oleh FAUZI MOHD

Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, sebanyak 15 buah sekolah lagi iaitu tujuh sekolah menengah dan lapan sekolah rendah menerima pengiktirafan itu.

Menurutnya, ini merupakan fasa keenam, dan dalam lima fasa sebelum ini sebanyak 167 sekolah telah menerima pengiktirafan tersebut.

"Semua sekolah yang telah menerima pengiktirafan akan diberi peruntukan khas bagi tujuan membangunkan kecemerlangan sekolah masing-masing,” katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.

"SKK juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dalam dan luar negara,” katanya.

Enam lagi sekolah menengah terbabit ialah SM Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SM Kebangsaan Alor Akar di Pahang serta SM Tinggi Kluang dan SM Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar di Johor.

Bagi sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1, Melaka; SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SK Agama Sibu, Sarawak; SK Seliau, Rantau, Negeri Sembilan; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor; Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis; dan SK Minden Heights, Gelugor dan SK Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Bayan Lepas, di Pulau Pinang.


Sambutan 5 tahun penubuhan UiTMKT Khamis ini

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Teknologi Mara Kampus Kuala Terengganu (UiTMKT) akan menganjurkan Karnival UiTMKT sempena sambutan lima tahun penubuhannya, mulai 2 Februari ini.

Karnival selama tiga hari itu bertujuan mendekatkan lagi institusi berkenaan dengan masyarakat setempat di samping mengukuhkan tanggungjawab sosialnya.

Timbalan Rektornya, Fadhilah Mustafa dalam satu kenyataan memberitahu, pelbagai program diatur bagi menarik penglibatan dan kunjungan masyarakat.

Katanya, orang ramai juga boleh mengetahui dengan lebih dekat perkembangan kampus itu di samping pengajian yang ditawarkan.

"Perasmian akan disempurnakan oleh Rektor UiTM Terengganu, Prof. Madya Tengku Yusof Tengku Mahmud pada hari Khamis pukul 11 pagi di Dewan Utama UiTMKT," ujarnya.

JPV Terengganu sasar 5,000 lembu kacukan

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri menyasarkan untuk melakukan 5,000 suntikan permanian beradas bagi ternakan lembu di Terengganu sepanjang tahun ini.

Ketua Jabatan Kesihatan JPV negeri, Dr. Hamidah Helman berkata, ia bagi menambah bilangan ternakan berkenaan dengan baka kacukan terpilih yang dapat memberi pulangan lebih besar kepada penternak.

Katanya, program yang dimulakan lebih sedekad lalu digerakkan dengan pendekatan DIY apabila para penternak sendiri turut berperanan melakukan suntikan itu.

"Pada masa yang sama, kami juga berharap dapat menambah bilangan jurusuntik DIY yang dilatih JPV untuk mencapai sasaran tersebut.

"Setakat ini, kita baru memiliki 18 jurusuntik DIY yang berdaftar dengan jabatan untuk melakukan kerja-kerja itu di setiap daerah kecuali Kemaman," katanya selepas majlis Anugerah Jurusuntik DIY di pejabatnya semalam.

Menurut beliau, jurusuntik DIY yang berdaftar dapat membantu pihak jabatan apabila kakitangan menghadapi kekangan dari segi masa dan jarak tempat untuk melakukan kerja-kerja suntikan itu.

"Jurusuntik ini juga berpeluang untuk memperoleh pendapatan sampingan termasuk tuntutan perjalanan dan imbuhan bagi setiap ternakan yang bunting," ujarnya.

Menurut Hamidah, jurusuntik DIY yang dilatih akan dibekalkan dengan peralatan yang berkaitan semasa menjalankan kerja-kerja suntikan termasuk air mani lembu yang diimport dan tong nitrogen cecair.

Dalam pada itu, beliau mengakui penglibatan golongan muda dalam bidang ini sangat berkurangan berbanding golongan berusia.


30 January 2012

Program Jalinan Rakyat Wanita UMNO Marang meriah

Oleh: Amirullah Othman

Kira-kira 3000 orang hadir ke program Jalinan Rakyat anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kelmarin.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Toh Puan Hajjah Zaitun Mat Amin; Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman; Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda dan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam ucapannya berkata, beliau sangat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai di mana ia menggambarkan kekuatan wanita UMNO Marang yang merupakan peraih undi dalam Pilihan Raya Umum ke -13 nanti.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada hadirin supaya terus masuk ke setiap ceruk lorong dan kampong dan berjumpa dengan seberapa ramai pengundi untuk memastikan semua pengundi menyokong Barisan Nasional.

Dato’ Yahya Khatib pula menggesa seluruh tenaga wanita Marang bangkit untuk terus memastikan dua DUN yang dimenangi BN dikekalkan dan menawan DUN Rhu Rendang, Bukit Payong serta Parlimen Marang.

Program tersebut merupakan satu langkah yang baik supaya Wanita UMNO Marang terus bersemangat dan maju ke depan dengan tip-tip yang cukup hebat daripada pimpinan tertinggi UMNO Negeri Terengganu.



Masyarakat Cina di Besut tidak pernah dipinggirkan

Oleh: Mohammad Ishak




Penduduk keturunan Siam dan Cina di daerah Besut tidak pernah diabaikan oleh kerajaan malah mereka tetap diberi perhatian dan mendapat plbagai bantuan daripada pihak terbabit.

Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Besut, sentiasa mmberi bantuan dan sumbangan kepada golongan berkenaan apabila menjelang musim perayaan dan hari kebesaran masing-masing.

Ini kerana tidak semua kaum terbabit terutama Cina di daerah itu dikategorikan sebagai golongan kaya dan senang malah ada segelintir daripada mereka menghadapi kesulitan hidup akibat kengkangan kemiskinan.

Menyedari masalah itu, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, semalam member I sumbangan basikal dan cermin mata kepada masyarakat keturunan Cina yang kurang berada.

Pada majlis itu seramai 30 warga emas diberikan cermin mata manakala lima yang lain memohon basikal untuk kegunaan mereka masing-masing.

Abdullah berkata, permohonan penduduk terbabit dibuat melalui MCA Bahagian Besut yang mengemukakan senarai pemohon yang layak untuk menerima agihan cermin mata dan basikal.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengira status kaum kerana menganggap semua mereka adalah rakyat Negara ini dan jika layak menerima bantuan mereka juga dapat menikmati sama seperti orang Melayu.

Beliau berharap penduduk keturunan Cina dan Siam di daerah Besut akan terus memberi sokongan kepada kerajaan BN kerana dengan menyokong kerajaan sekarang mereka akan terus menikmati kemajuan dan nasib mereka juga terbela.

TATIUC anjur program kebajikan


Oleh: Nurul Aziela Saberi

Kolej Universiti TATI (TATIUC) telah menganjurkan satu program bersama dengan membaiki serta membersihkan kawasan rumah sebuah keluarga ibu tunggal enam anak di Kampung Tanah Lot Baru Titian Berayun, Kijal.

Peruntukan sebanyak RM5,000 dibelanjakan untuk membaiki rumah termasuk, kos pembelian perkakasan rumah dan barangan dapur. Program itu membabitkan penyertaan seramai 80 peserta yang terdiri daripada kakitangan dan penuntut TATIUC, wakil anak syarikat TATIUC serta warga kerja Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Kijal.

Program yang mendapat sumbangan anak syarikat TATIUC iaitu Ruane TATI dan TATIUC Production itu merupakan program kali ketiga untuk sesi 2011/2012.

Rektor TATIUC, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, hasil dana yang diterima diagihkan mengikut keperluan sepertimana telah digunakan dalam program pada hari itu.

“Biasanya untuk setiap sesi kita adakan antara satu hingga empat program, ianya bertujuan untuk mendekatkan dan menjalinkan hubungan penuntut TATIUC dengan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Tambahnya lagi, program tersebut mendapat restu serta cadangan daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC.

Sementara itu, Napisah Taib 48, empunya rumah yang bekerja di sebuah kedai membekalkan santan meluahkan rasa syukur dengan bantuan yang disalurkan kerana keadaan rumahnya menjadi lebih selesa dan bersih.