Halaman

16 February 2012

Terengganu cipta sejarah perubatan negara

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu mencipta sejarah perubatan negara apabila menjadi negeri pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara yang menggunakan peralatan canggih Mesin Tomografi Berkomputer Multiclise (MSCT) yang mampu menghasilkan 64 imej pada setiap imbasan.

Mesin berharga RM2 juta ini juga dapat ditingkatkan keupayaan sehingga 128 imej melebihi keupayaan mesin scan biasa terutama bagi imejan dan isotropik bagi tujuan rekostruksi multiplana (MPR) mengesan penyakit.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan memberi sumbangan terbesar melalui Tabung Dana Khas Perubatan bagi menjamin kesihatan, kesejahteraan dan kebajikan yang terbaik untuk rakyat negeri ini.

“Sumbangan berjumlah RM72 juta sejak 2007 yang disalurkan melalui dana berkenaan bertujuan membeli pelbagai kemudahan peralatan termasuk 20 buah ambulan (RM3.2juta, mesin Echocardiography (RM1 juta) dan peralatan untuk perhidmatan Reproduktif bagi Program Bayi Tabung Uji (RM500,000).

“Kerajaan juga telah meluluskan RM1 juta untuk pembelian beberapa peralatan pembedahan serta 10 katil Hospital Kemaman dalam usaha memyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada Tabung Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan di Kompleks Rawatan Harian, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang semalam.

Tambahnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk penaiktarafan perkhidmatan dan peralatan perubatan dengan menambah peruntukan setiap tahun bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Peruntukan RM120 juta juga telah diluluskan untuk membina Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di kawasan 100 hektar ,” katanya.

Katanya, apa yang penting rakyat dapat menikmati mutu perkhidmatan kesihatan setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain.




Puak Pas yang ceroboh tanah kami : penduduk

Oleh: Aida Abd Rahman

“Kami sedih dan sungguh terkilan apabila mereka dengan tidak semena-mena `ceroboh’ tanah kami. Lepas mereka bersih semak samun, mereka pagar pula kawasan itu, sedangkan kami ada geran hak milik tanah yang membuktikan itu tanah kami,” kata Anita Ariffin, 45, isteri pemilik tanah di kawasan Kolam Mak Tagar, Paka, ketika ditemui di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, kelmarin (14 Februari).



Selain Anita, yang mewakili suaminya, Abd Ghani Muda, 57, dari Kampung Limbong, empat lagi pemilik tanah yang didakwa pembangkang sebagai `JKKK yang merampas tanah mereka’ turut tampil menunjukkan geran milik serta dokumen berkaitan pemilikan itu sambil menyifatkan pemimpin Pas sebagai berbohong bahawa mereka merampas tanah berkenaan.

Manakala Pengerusi JKKK Kampung Limbong, Ibrahim Abdullah, 50, berkata dia memohon tanah mengikut prosedur biasa dengan melakukan pendaftaran di Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Paka.

“Setahun kemudian kami dipanggil isi borang Jadual 1 dan selepas permohonan diluluskan kami mengisi Borang Jadual 5 sebelum membuat bayaran dan memperolehi geran hak milik. Oleh itu, tidak ada sebab untuk kami dituduh merampas tanah mereka (pembangkang).

“Saya rasa sedih, tanah pertama yang berjaya diperolehi selepas beberapa tahun memohon akhirnya dihalang oleh orang yang cuba menunjukkan kuasa untuk menggagalkan permohonan kami,” katanya yang kini masih menumpang di tanah milik keluarga.

Sementara Pengerusi JKKK Telaga Mas, Encik Ali Mohamamd, 59, berkata hasil pertemuan dengan pihak SRIDB untuk membincangkan kejadian itu menyebabkan pihak SRDIB mengambil kesempatan menggunakan salinan fotostat geran hak milik tanah penduduk sebagai bahan untuk diedarkan kepada umum menyatakan lima JKKK itu pula yang menceroboh tanah mereka.

“Kita sangat dukacita kerana mereka mengambil kesempatan atas kejujuran kita menunjukkan geran tanah dan menjelaskan perkara sebenar berhubung isu itu. Pas memutarbelitkan kejadian. Kita bukannya merampas tanah mereka.

“Malah, mereka pula menuduh kita mahu merobohkan sekolah rendah itu. Walhal, pada hakikatnya kita hanya mempertahankan hak milik kita di luar pagar kawasan sekolah.
Kita tidak langsung mahu merobohkan sekolah itu,” katanya.

Menurutnya, Pas mencipta isu ini untuk menarik perhatian rakyat demi meraih sokongan terhadap mereka pada pilihan raya umum nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Paka, YB Zakaria @ Ariffin Abdullah berkata, tanah berkenaan bukan hak milik pembangkang berikutan tanah yang menempatkan sekolah itu tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Dungun.

Untuk rekod, SRIDB yang ditubuhkan pada 2001 atas tanah kerajaan dan berstatus haram. Tanah bangunan sekolah ini pernah diluluskan oleh Kerajaan Pas pada 2003 dalam bentuk permohonan pendudukan sementara (Tol) dan mereka hanya pernah membayar Tol sekali sahaja kepada kerajaan negeri pada ketika itu.

Kerajaan negeri yang mengambil alih pentadbiran pada 2004 dan membahagikan tanah yang tidak melibatkan langsung kawasan SRIDB itu kepada lima penduduk termasuk JKKK yang didakwa oleh pembangkang sebagai merampas tanah SRIDB.

Tanah yang dibahagikan itu berada di luar daripada kawasan SRIDB dan merupakan tanah hak milik peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kolam Permai yang diluluskan sejak 1997.

Seterusnya pada 2001 Kerajaan Pas mengeluarkan 34 lot Tol kepada peserta RTB Kolam Permai dan hanya tujuh lot yang dikosongkan (lot yang didakwa pembangkang dirampas JKKK), disebabkan di atas lot ini terdapat pembinaan secara haram termasuk rumah yang dibangunkan penduduk Paka.

Adun Paka bertindak memindahkan penduduk yang tinggal secara haram itu ke penempatan baru di Kampung Telaga Mas, Paka.

Sementara itu, pada 2011, Adun Paka turut memohon pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan berhubung perkara itu bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tanah kepada peserta yang layak di RTB Kolam Permai itu.




5,000 sertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Setiu



Oleh: Mohammad Ishak


Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah setiu yang belangsung di Mini Stadium Tarom, Permaisuri menarik perhatian ribuan penduduk apabila peserta berkuda turut mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Dua peserta lelaki yang menunggang kedua sambil berpakaian Arab mencuit ramai penonton kerana ia mempunyai sedikit kelainan berbanding kontijen lain.

Perarakan sejauh 3.5 kilometer bermula dari stadium berkenaan dan berakhir di Padang Astaka, Bandar Permaisuri juga mencatat sejarah apabila lebih 5,000 peserta mengambil bahagian.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, YB Datuk Haji Mohd Jidin Shafee yang kemudian mengetuai perarakan bersama pemimpin lain termasuk Ahli Exco Kerajaan Negeri,Haji Ashaari Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abd Halim Jusoh dan Pegawai Daerah Setiu,Mohamad Nor Ibrahim.

Sebanyak 65 kontinjen mewakili pelbagai jabatan, agensi kerajaan, pelajar dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menyertai perarakan berkenaan.

Mesipun perjalanan yang mengambil masa kira-kira dua jam dari tempat permulaan dan penamat kerana peserta yang dianggap ramai namun peserta tetap bersemangat meneruskan perarakan hingga sampai ke destinasi ditetapkan.

Terdahulu, Mohd Jidin ketika berucap merasmikan sambutan itu berkata penyertaan ramai peserta membuktikan penduduk daerah itu mempunyai semangat tinggi untuk mengangkat martabat dan syiar Islam.

“Konsep perarakan itu juga menunjukkan semangat kerjasama berpasukan antara satu sama lain dan ini bukti jelas masyarakat Islam negeri ini mahu perpaduan terus dikekalkan demi kesejahteraan ummah,” katanya.



PPAT anjur pesta buku di PDT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir di Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pesta buku itu akan berlangsung selama tujuh hari iaitu bermula 23 hingga 29 Februari di Pusat Dagangan Terengganu (PDT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

Lebih 30 pengedar dan pengusaha kedai buku akan mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing dengan anggaran harga serendah RM1 hingga RM50 senaskah.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bersetuju mengadakan program seumpama ini sekurang-kurangnya tiga kali dala tempoh setahun berikutan mendapat sambutan cukup mengalakkan.

“Pada pengalaman lepas, orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.





Jabatan kesihatan siasat Hamster dikait dengan jangkitan Leptospirosis

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sedang menjalankan siasatan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pemeliharaan Hamster yang boleh menyebabkan jangkitan Leptospirosis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, jabatan juga sedang menyiasat kesahihan maklumat mengenai seorang pemelihara haiwan mamalia itu yang dipotong tangan dan kakinya bagi menentukan punca sebenar penyakit beliau.

“Leptospirosis sejenis penyakit zoonosis yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kompleks Rawatan Harian petang semalam.

Sumbangan dana berkenaan berjumlah RM2 juta telah disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, manusia boleh dijangkiti bila terdedah kepada air, makanan atau tanah yang dicemari dengan air kencing haiwan jenis mamalia seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, babi, kuda dan haiwan mamalia yang lain.

“Antara gejala jangkitan penyakit ini adalah demam yang tinggi, sakit kepala, mengiggil, sakit otot, muntah, penyakit kuning, radang mata, sakit perut, cirit birit, batuk dan ruam di kulit,” katanya.

Beliau seterusnya meminta orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan juga kebersihan persekitaran.

Menurutnya, memandangkan cara jangkitan utama Leptospirosis melalui kulit atau selaput membran, orang ramai mestilah berhati-hati sekiranya ada luka, calar pada kulit, kudis dan sebagainya ketika mengendalikan haiwan peliharaan.

“Bagi mereka yag mempunyai risiko terdedah kepada air yang tercemar hendaklah sentiasa berkasut dan berpakaian sempurna atau sebaiknya pakaian kalis air,” katanya.

Dr. A. Rahman meminta orang ramai segera mendapatkan rawatan jika terdapat gejala penyakit dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi tempat rekreasi dan rawatan awal dengan antibiotik dapat mengelakkan komplikasi dan kematian.




Muzium pamerkan 80 artifak berharga

Oleh: Suriati Ali

“Saya dan kawan-kawan sekolah seronok datang ke muzium kerana dapat tengok secara dekat pelbagai barang lama yang dipamerkan.

“Untung datang ke sini kerana bukan saja dapat tengok malah dapat tambah ilmu kerana setiap apa yang dipamer dicatatkan usia dan asal barang itu diperoleh,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Nilam, Syed Alif Syed Farid.

Adik Syed Alif berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu.

Sempena pameran yang berlangsung selama enam bulan dan berakhir 14 Ogos itu, senaskah al-Quran bersadur emas berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China merupakan antara 80 artifak yang dipamer kepada pengunjung.

Atrifak berharga lain, termasuk perkakasan yang dihiasi emas dan batu permata, koleksi cop mohor dari pelbagai dinasti, pasu seramik berusia 1,400 tahun, pasu porcelain, jade dari budaya budaya `Hong Sun’ dan kuda hiasan dari dinasti Tang.

Pameran bertaraf antarabangsa itu berbentuk ilmiah dengan mampamerkan artifak-artifak autentik yang tidak ternilai harganya dan jauh dari pengetahuan masyarakat .

Setiap pengunjung dikenankan bayaran tiket RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas serta RM25 untuk sekeluarga (2 dewasa 2 kanak-kanak), waktu pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Turut diadakan sepanjang pameran itu, pertandingan penulisan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan murid sekolah, kuiz bulanan dan cabutan hadiah kepada pengunjung bertuah.

Pengunjung dari Setiu, Khusaini Ahmad, 28, berkata program seumpama ini cukup berharga kepada pengunjung terutama kepada pengkaji dan peminat artifak kerana boleh melihat secara dekat pelbagai seni halus dari dinasti purba Cina.

“Selain itu, ia juga dapat mengetengahkan kelebihan dan keistimewaan yang terdapat di muzium sepanjang pameran ini berlangsung.

“Orang ramai tidak patut melepaskan peluang mengunjungi pameran ini kerana lebih 80 artifak berharga dipamerkan,” katanya.



Lampu limpah padam memalukan : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejadian lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang tiba-tiba terpadam lebih 30 minit ketika perlawanan antara Terengganu dengan Kedah berlangsung malam kelmarin dianggap insiden yang amat memalukan.

“Ini yang saya marah dan perkara ini amat memalukan, sepatutnya pihak bertanggungjawab sama ada MBKT atau PBSNT memaklumkan keadaan sebenar.

“Sampai sekarang tiada pihak datang jumpa saya untuk menjelaskan dan menceritakan keperluan sebenar ataupun beri penjelasan kepada Exco yang berkenaan,” kata beliau sejurus Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (15 Februari).

Katanya, lebih baik perlawanan dijalankan pada waktu siang jika pencahayaan lampu limpah itu gagal memenuhi piawaian ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menteri Besar berkata, masalah itu timbul berikutan kadar pencahayaan yang dikatakan tidak mencukupi terutama untuk pertandinagn Piala AFC yang memerlukan sehingga 1,200 lux.

“Masalah sekarang, kita tidak dapat maklumat sebenar dan dari segi teknikal pihak bertanggungjawab sepatutnya memberitahu perkara ini lebih awal.

“Kata 800 lux sudah cukup dan sekarang tidak cukup balik. Ini sepatutnya sama ada MBKT atau PBSNT beritahulah (tahap pencayaaan yang diperlukan)..senang kita selesai. Kita tidak kisah belanja RM3 juta, RM4 juta..kita pasanglah,” katanya.






15 February 2012

Hospital swasta baru RM200 juta dibina di Batu Buruk

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM200 juta bagi membina sebuah lagi hospital swasta di Batu Buruk bagi menampung kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pembinaan hospital di bawah TDM bakal menyediakan 150 katil yang akan memberi altenatif kepada rakyat di negeri ini untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dan selesa.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka paling lewat dapat dimulakan pada Jun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dana bantuan Kebajikan Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kompleks Rawatan Harian, Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Haji Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah Tengku Senik.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hospital ini akan dibina di atas tapak kuarters kerajaan yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (Atas) Batu Buruk dan rumah berkenaan akan dirobohkan bagi membina bangunan hospital berkenaan.

Selain itu kerajaan telah memperuntukkan RM72 juta bagi mengisi Tabung Dana Khas untuk pembangunan kesihatan di negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula 2007 hingga akhir 2010.

Tabung berkenaan dibahagikan kepada dua iaitu menaik taraf perhidmatan perubatan (RM62 juta) dan untuk kebajikan sosial perubatan (RM10 juta).

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan sumbangan RM2 juta untuk Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan negeri kepada Dr. Haji Anwa serta RM20,000 untuk Tabung Kebajikan Perubatan HSNZ yang diterima Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM22,088 beserta kerusi roda kepada tiga orang pesakit kronik.




Karnival Generasi Muda Terengganu peluang belia ekspresi diri

Oleh: Aida Abd Rahman

Belia di seluruh negeri ini berpeluang mengekspresikan diri dan mengetengahkan kehendak serta bakat mereka menerusi Karnival Generasi Muda Terengganu Cemerlang 2012 yang akan bemula bulan depan.

Karnival anjuran kerajaan negeri melalui Bahagian Belia dan Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Remaja Terengganu dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu itu bakal menjelajah ke empat daerah bermula di Kemaman sebelum bergerak ke daerah lain.

Program pertama di Kemaman dijangka pada 6 Mac di Taman Bandar Cukai; manakala keesokannya, 7 Mac di perkarangan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak (Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus).

Manakala pada 13 di Hulu Terengganu yang bakal diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang, sementara lokasi terakhir, 14 Mac di Besut.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Encik Rusli Yusoff, berkata program bertujuan untuk mendekati golongan belia setempat serta mahu mengekalkan hubungan stategik bersama pertubuhan-pertubuhan belia.

“Langkah ini juga diharapkan dapat dilaksanakan bersama belia setempat dengan tujuan memperkasakan belia seluruh Terengganu.

“Program dilaksanakan secara santai dengan memfokuskan kepada kecenderungan dan pilihan belia, sekaligus menyediakan ruang kepada mereka menonjolkan diri secara sihat dan positif,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, program akan bermula jam 10 pagi melibatkan aktiviti berbentuk sukan, selain pameran dan jualan, manakala pada sebelah malam pula akan diadakan persembahan pentas.

Antara karnival sukan seperti futsal, `Street Soccer 3 on 3’, sepak raga, badminton, bola tampar, ping pong, acara basikal fixie dan permainan ekstrem yang lain.

“Pameran peluang kerjaya dan pendidikan, selain pendedahan daripada pelbagai agensi kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh belia,” katanya.

Selain itu, kumpulan muzik pop kreatif tersohor dari Indonesia, Wali Band turut dijemput untuk mengadakan konsert jelajah di empat daerah sempena program itu.





T’Shoppe DB kaut RM100 ribu sebulan

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketika ramai memandang rendah keupayaan wanita menguruskan sesebuah premis perniagaan, Adibah Shairah Ahmad menolak persepsi buruk itu apabila berjaya memecah tradisi untuk meraih jualan yang cukup tinggi menerusi kedai rangkaian, T’Shoppe.

Hasil komitmen tinggi dan gigih membolehkan Pengurus Syarikat DB Asba Trading Sdn Bhd yang mengusahakan T’Shoppe Durian Burung, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu itu menjana pendapatan jualan bulanan sekitar RM90,000 hingga RM100,000.

Malah, wanita berusia 29 tahun tanggal 22 April 1983 itu juga berjaya menyahut cabaran dan menolak andaian segelintir pihak yang beranggapan usaha berkenaan mungkin akan berkubur serta hanya mampu bertahan sekerat jalan.