Halaman

25 February 2012

PPAT anjur pesta buku

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir di Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pesta buku itu akan berlangsung selama tujuh hari iaitu bermula semalam hingga 29 Februari di Pusat Dagangan Terengganu (PDT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

Lebih 30 pengedar dan pengusaha kedai buku akan mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing dengan anggaran harga serendah RM1 hingga RM50 senaskah.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bersetuju mengadakan program seumpama ini sekurang-kurangnya tiga kali dala tempoh setahun berikutan mendapat sambutan cukup mengalakkan.

“Pada pengalaman lepas, orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.



Dana khas RM50 juta laksana PUK

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan menyediakan dana khas berjumlah RM50 juta bagi melaksanakan Program Usahawan Kecil (PUK) dinamik yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan dan penjaja kecil di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, penyaluran dana khas tersebut diyakini dapat melahirkan usahawan dan penjaja kecil berwibawa dan berjaya.

"UK Dinamik merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil,” katanya .

Turut hadir Pengarah Mara negeri Abdullah Mohamad.

Dato' Seri Haji Idris berkata, program UK Dinamik juga adalah salah satu mekanisme Mara untuk mencipta kekayaan Bumiputera dan golongan usahawan kecil perlu mempunyai iltizam untuk memajukan perniagaan mereka sendiri





24 February 2012

Stage 1 Ujian masa LTDL PUTRAJAYA

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah





Masjid Kayu Seberang Jertih kini dikenali Masjid Ulul Albab

Oleh: Mohammad Ishak


Masjid Ulul Albab Seberang Jertih

Teka teki apa ganti nama sebenar Masjid Kayu Seberang Jertih kini terjawab apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mengistiharkan nama baru masjid itu ialah Masjid Ulul Albab.

Pengistiharan nama Masjid Ulul Albab dibuat ketika Baginda Sultan merasmikan masjid berkenaan sebelum menyertai solat Jumaat bersama masyarakat Islam sekitar Kampung Seberang Jertih.


Turut serta ialah Menteri Besar,Datuk Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah,Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazam Che Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.


Baginda Sultan Mizan bersalaman dengan rakyat jelata


Sempena keberakatan Baginda juga turut menyampaikan watikah perlantikan imam dan bilal serta jurunikah kepada penjawat berkenaan dari daerah Besut.

Selepas soat Jumaat Baginda bersama pemimpin kerajaan negeri menyartai majis makan tengahari bersama lebih 1,000 jemaah yang hadir mengerjakan solat di masjid berkenaan.

Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dibina pada 2009 dan mampu menampung 1,500 jemaah mula digunakan pada 4 Julai 2011.

Masjid berkenaan dianggap unik kerana pembinaanya menggunakan kayu cengal dan mempunyai reka bentuk menarik berasaskan seni bina ketukanan Melayu yang diadun dengan cirri-ciri Islam kelasik.

Terletak dikawasan strategik antara laluan utama Jertih Kota Bharu dan Kuala Terengganu ia kini menjadi mercu tanda baru kepada perkembangan syiar Islam di daerah Besut


















Sultan Terengganu melawat Desa Ukiran Kayu (DUK) Besut



Oleh: Mohammad Ishak


Kehalusan seni ukiran yang ada di Desa Ukiran Kayu (DUK) Kampung Raja, menarik minat baginda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang memilih tempat itu sebagai detinasi pertama sempena keberangkatan lawatan ke daerah Besut hari ini.

Baginda ditemani Permaisuri Nur Zahirah menghabiskan masa kira-kira sejam berada di pusat itu sambil melawat aktiviti mengukir yang dijalankan oleh peserta di pusat latihan berkenaan.

Turut serta Menteri Besar,Datuk Seri Haji Ahmad Said, Ahli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Wakil Rakyat Daerah Besut serta isteri masing-masing.

Desa Ukiran Kayu (DUK) ditubuhkan pada 12 Ogos 1999 yang pertama di Malaysia melatih golongan remaja yang berminat dalam seni ukiran kayu dan Berjaya melahirkan ramai pengukir muda berbakat.

DUK yang menawarkan kursus kepada belia tempatan yang berminat juga membayar elaun latihan RM450 sebulan selain menyediakan asrama untuk kemudahan pelatih yang tinggal jauh dari pusat itu.

Lawatan Baginda ke DUK mencatat sejarah kerana ia pertama kali dilakukan Sultan Mizan selepas pusat itu beroperasi melahirkan ramai pengukir terkenal di negara ini.

Pembinaan DUK juga satu pengiktirafan kepada pengukir mahir yang tersohor yang kebanyakkannya berada di daerah Besut dan hasi seni mereka banyak terdapat di istana-istana di negara ini dan luar Negara.





Kerajaan cadang sedia bahan bacaan melalui internet di PPAT

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bercadang mencontohi teknologi yang terdapat di Perpustakaan Alexanderia, Mesir yang menyediakan bahan bacaan pengunjung melalui capaian internet.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, perpustakaan berkenaan merupakan yang paling canggih dan terbesar di dunia.

“Saya dan Menteri Besar telah berpeluang melawat dan melihat teknologi yang ada di sana dan berharap perkara yang sama dapat di laksanakan di negeri kita,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Pesta Buku Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Katanya, kemudahan teknologi yang disediakan di perpustakaan itu begitu canggih di mana semua bahan bacaan disediakan dalam bentuk teknologi serta boleh diambil terus melalui internet.

Sehubungan itu, beberapa orang ketua jabatan termasuk Pengarah Perbadanan Pepustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan dihantar untuk meninjau secara lebih dekat teknologi di perpustakaan tersebut sebagai langkah ke arah pelaksanaan sistem itu di sini.

Katanya, kerajaan berhasrat menjadikan PPAT beoreantasikan ICT dengan mewujudkan sudut ‘Anjung Ilmu’ untuk mempamerkan apa saja bahan berasaskan teknologi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan selama ini untuk dijadikan panduan, rujukan dan kajian.

“Satu pameran penggunaan virtual kelas dan e-Book kini sedang berjalan dengan kerjasama Intel, Top IT, Pejabat Pelajaran serta diketuai seorang professor dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang sedang membuat kajian keberkesanan terhadap penggunaan virtual kelas dan e-book di negeri ini,” katanya.




Siapa Anwar untuk ajak Presiden UMNO berdebat

Oleh FAUZI MOHD

Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak layak mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berdebat kerana beliau hanya memegang jawatan penasihat di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, Ketua Pembangkang itu tidak memegang sebarang jawatan penting di dalam PKR kecuali sebagai penasihat umum parti.

Beliau berkata, tanpa kedudukan utama di dalam parti, Anwar sebenarnya tidak boleh dikira mendapat mandat daripada ahli, bahkan kuasa sebagai pemimpin tertingginya juga sesuatu yang tidak mengikut sistem parti.

“Dalam isu berdebat, siapa Anwar untuk ajak Presiden UMNO berdebat, sedangkan dia hanya seorang penasihat parti. Kalau dia Presiden PKR lain cerita," katanya semalam.

Beliau berkata demikian mengulas desakan pembangkang yang mahu Najib berdebat dengan Anwar.

Fakhrul sebagai Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu juga percaya sekiranya Anwar diberi peluang berdebat dengan Perdana Menteri, beliau tidak akan berdebat secara beradab.

“Haluan perdebatan tidak akan menjadi lapangan yang positif untuk memberi maklumat kepada masyarakat. Sebaliknya ia akan menjadi medan tohmahan Anwar sepenuhnya.

“Semua orang sudah kenal perangai Anwar, dia mungkin hebat berdebat tapi apa guna berdebat dengan orang yang suka memutar belit,” katanya.


TATiUC wujud skim latih pembantu rumah warga tempatan

Oleh FAUZI MOHD

Kolej Universiti Tati (TATiUC) sedang menyediakan modul khas bagi melatih tenaga mahir dalam bidang pengurusan rumah tangga, kata Rektornya, Dr. Mohamad Rozailan Mamat.

Menurutnya, inisiatif itu bagi mengurangkan kebergantungan rakyat negara ini kepada perkhidmatan pembantu rumah dari negara asing.

Beliau berkata, modul yang dipersetujui Kementerian Sumber Manusia itu memberi fokus kepada aspek teknikal dan keselamatan dalam pengurusan rumah tangga kepada bakal pelatih.

"Sehingga kini, kami menerima permohonan yang sangat menggalakkan, terutama dari negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil kepada 170 pelajar TATiUC bagi sesi 2009-2011 di Kemaman, semalam.

Dengan wujudnya skim latihan itu katanya, Malaysia akan mempunyai tenaga mahir yang terlatih dalam bidang pengurusan rumahtangga, sekaligus mengurangkan pengambilan pekerja asing.


Sepuluh destinasi jadi ikon pelancongan

Oleh: Suriati Ali

Sepuluh destinasi menarik dan terbaik di negeri ini digelar sebagai ikon pelancongan sebagai usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan tempatan dan luar negara.

Ikon pelancongan itu termasuk Taman Taman Islam; Taman Reakresi dan Mini Zoo; Muzium Negeri; Pulau Redang; Bazar Warisan; Pulau Warisan; Tasik Kenyir; Pantai Batu Buruk; Pasar Besar Kedai Payang dan Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, destinasi itu wajar digelar sebagai ikon kerana menjadi faktor penyumbang peningkatan jumlah pelancongan pada setiap tahun.

“Peningkatan jumlah pelancong bukan saja mampu memberangsangkan ekonomi negeri dan menarik minat pelabur malah meningkatkan taraf hidup penduduk terutama yang membabitkan diri dalam perniagaan.

“Apa yang membanggakan apabila tiba musim cuti sekolah atau umum, peniaga keropok lekor, pengusaha kain batik dan songket bagaikan tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya dalam satu majlis baru-baru ini.

Menurutnya, dia menyarankan kepada semua peniaga terutama pengusaha makanan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kedatangan pelancong dengan mengenakan harga yang tidak munasabah.

“Sikap ingin untung sekejap ini, bukan saja merugikan diri sendiri malah membabitkan imej Terengganu. Apabila pelancong mengeluh mengenai harga makanan mahal, mereka bukan saja tidak mengunjungi restoran itu lagi malah akan menjaja topik kepada rakan atau saudara lain.

“Pelancong juag akan naik bosan untuk mengunjungi Terengganu, sekaligus membantutkan usaha kerajaan negeri yang tidak jemu-jemu menghebahkan tentang keindahan negeri ini ,” katanya.

Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program tahunan peringkat antarabangsa di pelbagai lokasi menarik di negeri ini sebagai langkah menambat hati pelawat terutama pelancong luar negara.



Pesta buku himpun 59 penerbit dari seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah

Pesta Buku Terengganu 2012 berjaya menghimpunkan 59 penerbit dari seluruh negara dalam usaha memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan melalui pelbagai bahan bacaan serta berpeluang memiliki terbitan terbaru yang berada di pasaran.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, kerajaan menaruh harapan tinggi agar program ini mampu memupuk tabiat suka membaca sebagai satu kegiatan yang sihat dan berfaedah.

“21 orang penulis tempatan turut terpilih untuk melancarkan buku keluaran terbaru mereka,” katanya di majlis perasmian Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

Katanya, sebanyak 88 buah booth mengambil bahagian menjalankan aktiviti jualan buku-buku terbitan syarikat masing-masing pada pesta yang berlangsung selama tujuh hari bermula 23 Mac.

“Bukan setakat menjual buku, bahkan diselitkan dengan aktiviti sampingan seperti kuiz, pameran karya tersohor, pertandingan melukis,mewarna, jigsaw puzzle, bicara karya dan inforace serta banyak lagi,” katanya.

Dato’ Haji Wan Ahamad menyeru orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pesta tahun ini yang lebih meriah termasuk menyediakan slot sepetang bersama pengarang novel Ombak Rindu, Puan Fauziah Ashari dan riang ria bersama Nur Fathiah (BoboiBoy).

Penulis kelahiran Terengganu kemudiannya menerima cenderahati tanda penghargaan kerajaan negeri di atas sumbangan mengharumkan nama negeri melalui ketajaman mata pena masing-masing.