Halaman

27 February 2012

Peranan media mampu kembangkan produk, jenama

Oleh: Aida Abd Rahman , Suriati Ali dan Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra.


Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mengiktiraf peranan media yang amat penting dalam membangunkan setiap matlamat jabatan itu khususnya dalam mengembangkan produk serta jenama mereka di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Azmi Razik, berkata tanpa publisiti dan berita yang disebarkan media, setiap perkhidmatan yang dilaksanakan pasti gagal diketahui masyarakat umum.

“Hasil berita dan publisiti yang dibuat oleh media cetak mahupun media massa umpamanya, T-Shoope, salah satu jenama di bawah YPU mendapat sambutan yang meluas dan amat menggalakkan.

“Ramai pengusaha memberi respon yang positif dan berebut mahu membuka francais T-Shoope. Itu membuktikan jenama kita diiktiraf dan peranan yang diberikan pihak media amat berkesan,” katanya di Majlis Mesra Media Bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah SKM Terengganu, Encik Osman Ismail dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Katanya, promosi media juga menjadi satu suntikan serta galakan yang dapat memajukan lagi koperasi dan anak-anak syarikat negeri menjadi badan yang boleh dibanggakan bukan sahaja pada nama, kualiti mahupun kuantitatif.

“Pengaruh media juga supaya dapat menyedarkan golongan Bumiputera untuk melihat cabaran getir dalam dunia perniagaan dan keusahawanan, selain merebut peluang yang ada khususnya bijak menerokai kemudahan mahupun ruang yang disediakan kerajaan bagi membangunkan bidang itu.

“Ekuiti Bumiputera dalam bidang ekonomi hanya 18 hingga 20 peratus dan media dilihat mampu mengubah dan memartabatkan kuasa ekonomi Orang Melayu u supaya tidak lagi ketinggalan jauh,” katanya.





Guardini catat kemenangan kedua, Anuar Manan tebus maruah

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh HARISH FADZILLAH

Pelumba Itali, Andrea Guardini ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mencatat kejayaan kedua dalam LTdL 2012.

Selepas menjuarai peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka kelmarin, Guardini sekali lagi menunjukkan sentuhan berbisanya dengan mengungguli saingan ketiga dari Melaka ke Batu Pahat sejauh 187.6 kilometer semalam.

Pelumba pasukan Farnese Vini-Selle Italia itu mendapat bantuan rakan-rakan sepasukannya yang membawanya ke kelompok hadapan sejak awal perlumbaan, sekali gus memenangi peringkat tersebut dengan catatan masa 4 jam 30 minit 11 saat.

Tempat kedua milik pelumba Garmin Barracuda, Raymond Kreder, manakala pelumba negara, Anuar Manan yang mewakili Champion System di tempat ketiga.

"Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan saya yang berjaya memberi kerjasama yang baik.


"Perlumbaan LTdL kali ini sangat mencabar dan laluan di peringkat ketiga ini juga menjadi semakin sukar.

"Namun hasil kerjasama yang baik rakan-rakan yang lain, saya berjaya juga memenanginya buat kali kedua," kata Guardini yang juga pemilik Jersi Biru (Raja Pecut).

Pelumba Garmin Barracuda, David Zabriskie masih lagi mempertahankan Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan satu minit mengatasi dua pencabar terdekatnya - Adam Phelan dan Darren Lapthone daripada pasukan Drapac Cycling.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula masih disandang Dmitriy Gruzdev daripada pasukan Astana sementara, Jersi Merah (Raja Bukit) pula kekal milik Floris Goesinnen.


26 February 2012

LTdL Stage3 MELAKA-PARIT SULONG

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah



RM12 juta bina jalan dan longkang di daerah Dungun

Oleh: Che Mohd Hisham Che Jamaluddin dan Hazwan Roslee
Gambar oleh Hazwan Rosli

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM12 juta bagi pembinaaan jalan dan longkang di seluruh daerah Dungun, tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan juga menaikkan jumlah peruntukan kepada RM750,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah itu berbanding RM500,000 sebelum ini bagi menaiktaraf sistem perparitan, longkang dan jalan kampung di DUN berkenaan.

"Bagi DUN Rantau Abang pula, kita meluluskan peruntukan RM1 juta bagi menaiktaraf dan mendalamkan Sungai Pimpin,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di daerah Dungun, hari ini.

Turut mengiringi Menteri Besar melawat beberapa projek perparitan dan jalan di daerah itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, YB Haji Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri, Paka Haji Mohd Ariffin Abdullah dan Adun Jabi, YB Ramlan Ali.

Menteri Besar turut mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kajian terhadap muara Sungai Paka yang telah terhakis teruk dan projek-projek lain bagi membangunkan kawasan tersebut untuk kemudahan penduduk setempat.

Selain itu, katany, kerajaaan negeri juga meluluskan peruntukan RM15 juta bagi melebarkan jalan raya kepada empat lorong di Rantau Abang.

DAP mahu menang besar tanda zaman kejatuhan PAS bermula

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI
Gambar oleh Nurul Azeila Saberi


Panji-panji ‘parasit’ dalam PAS sedang berarak menuju zaman kejatuhannya manakala DAP akan menang besar pada Pilihanraya Umum ke-13, itu ramalan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali.

Di sebalik kemenangan itu kata beliau, PAS yang sudah hilang sokongan orang Melayu dan Islam meneruskan sisa perjuangannya dengan simpati rakan sekutunya yang disifatkannya lebih berkuasa iaitu DAP dan PKR.

Dalam konteks Selangor jelasnya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu yang diwakili DAP dan PKR akan terus bertahan pada PRU 13, malah mungkin ada yang menang dengan majoriti lebih besar.

“PAS akan jatuh merudum dan menjunam kerana ahli-ahli sudah hilang keyakinan serta kepercayaan untuk menuju sebuah Negara Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah di Taman Bandar Chukai, Kemaman malam tadi.

Dihadapan kira-kira 12,000 hadirin kata Dr. Hasan, PAS yang sudah meninggalkan agenda Negara Islam itu dilihat sudah tergelincir hingga sanggup menjadi kuda tunggangan kepada seorang pemimpin yang memperjuangkan keselamatan negara Israel.

“Pas sanggup berkerjasama dengan Ketua Umum PKR (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang telah mengiktiraf Israel dan juga seorang pemimpin yang mempunyai pelbagai rekod jenayah moral yang amat buruk,” katanya.

Apa yang dikesali tambahnya, PAS terpaksa menerima risiko berkenaan (menerima kekalahan besar) ekoran parti itu telah lari daripada prinsip perjuangan asal kepada memperjuangkan negara kebajikan.

“Semua pemimpin dan ahli PAS perlu sedar perkara ini dan perlu keluar daripada pakatan pembangkang dan kembali kepada matlamat perjuangan asal untuk membentuk sebuah negara Islam,” katanya.

Hasan berkata, beliau amat sedih apabila melihat PAS yang terpalit dan terpaksa menanggung malu terhadap setiap salah laku yang dilakukan oleh pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat termasuk pelbagai kesalahan yang melibatkan moral.

“Sebagai contoh, jika ada pemimpin DAP atau PKR ditangkap khalwat, PAS akan menanggung malu terhadap perbuatan mereka ini kerana berada dalam Pakatan Rakyat.

"Saya berharap seluruh kepimpinan PAS di Terengganu untuk berfikir kembali samada perlukah mereka terus berkompromi dengan DAP yang terang-terang menentang Islam dan perlukah PAS terus terpalit dengan masalah yang dilakukan DAP serta PKR,” soal beliau.


Pengajaran dan motivasi diselit dalam penulisan

Penulis novel Ombak Rindu, Puan Fauziah Ashari

Oleh; Esah Abdullah

Penulis novel Ombak Rindu, Puan Fauziah Ashari tetap memberi penekanan dalam aspek pendidikan dan motivasi dalam setiap hasil karyanya agar pembaca mendapat sesuatu yang berguna.

“Menghasilakan karya yang baik bukan sekadar mencari keuntungan tetapi turut memberi pengajaran berguna kepada peminat novel di negara ini,” katanya ketika ditemui dalam program Sepetang Bersama Penulis Ombak Rindu sempena Pesta Buku Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

Pesta Buku anjuran kerajaan negeri itu berlangsung seminggu bermula 23 hingga 29 Februari depan dipenuhi pelbagai aktiviti seperti pertandingan melukis/mewarna, sejenak bersama Kartunis Ubi, riang ria bersama adik Nur Fatihah (Boboi Boy) dan sebagainya.

Menurut Puan Fauziah, selain novel Ombak Rindu, yang merupakan karya pertamanya, novel-novelnya terus mendapat perhatian pembaca. Antaranya Ombak Rindu 2, Cinta Tiada Akhir, (2005), Ombak Rindu 3. Rindu Cintaku (2008), Pergilah Sepi, Setia Menanti, Duri dan Bisik-bisik Gelora.

Selain itu beliau telah menghasilkan novel terbarunya `Kan ku Kejar Cinta Kamu’ yang diterbitkan pada awal tahun ini.

Buku setelah 800 muka surat itu dijual dengan harga RM28.90 dan diterbitkan melalui penerbitannya sendiri, Intens Idea International Sdn Bhd.

“Novel bertemakan percintaan dan kekeluargaan itu turut diselitkan dengan unsur-unsur pendidikan dan setakat ini berjaya dicetak 50 ribu naskah ,” katanya.

Manakala novel Ombak Rindu berjaya dicetak 200 ribu dan mendapat sambutan hangat setelah diadaptasi ke filem dengan kutipan melebihi RM10 juta,” katanya.




Teganukita 55





KMBTB buka Hotel Bajet

Oleh: Suriati Ali

Koperasi Muamalat Bersatu Terengganu Berhad (KMBTB) terus berusaha memajukan perniagaan sedia ada dengan membuka Hotel Bajet di Jalan Paya Keladi, Kuala Terengganu yang bernilai kira-kira RM1.2 Juta.

Hotel Bajet yang memuatkan 30 bilik itu akan beroperasi pada Julai ini selepas selesai kerja-kerja terakhir.

Rangkaian perniagaan KMBTB yang diusahakan bersama ahli-ahli lembaga sebelum ini seperti Butik Pakaian Muslimah Hijjaz D’Warna; Salun & Spa Muslimah dan Halal Projek mendapat sambutan menggalakkan.

Pengerusi KMBTB, Encik Wan Zakaria Wan Osman, Perkembangan positif itu membuatkan pihak KMBTB terus bersemangat mengembangkan sayap perniagaan dengan membuka Hotel Bajet.

Katanya, pada masa sama, beberapa lagi perniagaan lain turut dirancang termasuk homestay dan ladang kopi di lokasi yang akan ditentukan kelak.

“Semua projek yang dirangka bukan saja untuk masa depan ahli malah untuk kepentingan orang ramai dan imej Terengganu,” katanya kepada media selepas selesai Lawatan Kerja Ke Kilang Kopi KMBTB, di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Azmi Razik dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin
Encik Wan Zakaria turut memberitahu, KMBTB boleh disifatkan sebagai perniagaan berprestasi tinggi kerana bukan saja berupaya menjana aliran tunai yang positif malah dapat mambantu membina industri hiliran dan pelancongan.

Katanya, di samping itu, pihaknya mempunyai wawasan tinggi bagi memajukan perniagaan koperasi melalui ``Licensing Busines Model’ yang boleh diguna pakai koperasi lain, ahli KMBTB dan orang ramai.

“Secara tidak langsung, dalam jangka masa lima tahun akan menjadi sebuah koperasi pembekal da pemborong yang berdaya maju,” katanya.


Kontinjen SUK Terengganu galas cabaran di Sarawak

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu disaran menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, kerjasama berpasukan serta memupuk ukhwah antara pegawai dan atlit sepanjang berlangsungnya temasya Sukan SUK di Kuching, Sarawak pada 28 Februari hingga 4 Mac ini.

“Saya berharap semua atlit dan pegawai sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental bagi berdepan kejohanan dan mampu menggalas cabaran untuk menyaingi pihak lawan dengan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Memandangkan persiapan rapi yang sudah dilakukan menjelangnya kejohanan pada kali ini berbanding temasya dua tahun lalu di Kuantan Pahang, saya berharap kontinjen Terengganu mampu membawa pulang dua piala pusingan nanti,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Terengganu sempena Sukan SUK Se-Malaysia Ke-4, 2012 Sarawak, di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Hadir sama, Ketua Kontijen, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) dan Urusetia Kontinjen Terengganu (Penolong Setiausaha Kerajaan, Belia dan Sukan), Encik Ahmad Shahrizal Yahaya.



Dato’ Mazlan turut yakin dengan kemampuan dan kebolehan semua atlit dan pegawai yang bakal menyahut cabaran di temasya itu nanti serta berharap mereka mampu meningkatkan prestasi dan membawa pulang kejayaan.


Beliau kemudiannya menyerahkan bendera Terengganu kepada ketua kontinjen dan menyarungkan jersi sukan kepada setiap ketua pasukan yang bakal bertanding sebagai simbolik majlis berkenaan.

Kontinjen Terengganu menghantar 97 atlit dan pegawai bagi menyertai lima acara iaitu bola sepak, bola jaring, ping pong, badminton dan boling pada edisi kali ini.




JPN buka pendaftaran persekolahan 2013/2014

Oleh; Esah Abdullah

Ibu bapa atau penjaga mempunyai anak yang lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007 bagi tahun persekolahan 2013 diminta membuat pendaftaran bagi penempatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) seluruh negeri.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Encik Hashim Mohd Zain berkata, mereka yang mempunyai anak lahir pada 2 Januari 2007 hingga 1 Januari 2008 bagi tahun persekolahan 2014 juga diminta berbuat demikian.

“Permohonan penempatan di SK di negeri ini boleh dibuat seawal dua tahun sebelum penggal baru persekolah bermula,” katanya.

Katanya, syarat permohonan ialah ibu bapa atau penjaga perlu bawa bersama sijil kelahiran kanak-kanak terbabit (salinan asal dan fotostat) dan bukti alamat tempat tinggal dengan membawa bil elektrik atau air atau dokumen lain semasa mendaftar.

Tambahnya, bagi kanak-kanak yang cacat penglihatan dan pendengaran atau yang dikategori bermasalah, mereka perlu menjalani pemeriksaan doktor sebelum membuat pendaftaran dan borang boleh didapati di Unit Pendidikan Khas JPN.

Selain itu, permohonan penempatan kanak-kanak warga asing bagi kemasukan 2013 boleh dilakukan di JPN selepas 1 Oktober 2012.

“Setiap borang permohonan diisi dengan tiga salinan dan disertai dua salinan sijil kelahiran kanak-kanak terbabit, dua salinan kad pengenalan ibu bapa serta dua salinan pasport kanak dan ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, jika ibu bapa bekerja di negara ini, sertakan salinan pas pengajian yang sah, salinan pas tanggungan (anak/ibu) dan salinan surat majikan dan jika permohonan dibuat oleh penjaga sertakan salinan surat keterangan hubungan dengan kanak-kanak tersebut.

Katanya, semua keterangan lanjut mengenai borang dan permohonan boleh berhubung dengan Unit Perhubungan dan Pendaftaran JPN di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu atau ditalian 6213000.