Halaman

08 March 2012

Taman Panorama siap akhir lalu

Oleh: Suriati Ali

Taman Panorama yang tersergam indah di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu siap sepenuhnya akhir tahun lalu dan bakal beroperasi dalam tempoh terdekat.

Pembangunan fasa pertama taman itu membabitkan peruntukan RM7.5 juta menerusi Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang, berkata taman yang bakal menaikkan imej Terengganu itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana moden, termasuk kawasan rekreasi, laluan pejalan kaki, pondok rehat dan menara tinjau.

Sebuah restoran yang mampu memuatkan 200 pengunjung pada satu masa dikenali sebagai panorama kafe turut dibina semata-mata mahu menarik minat pelancong tempatan dan luar negara bertandang ke taman itu.

“Setiap pengunjung pasti teruja kerana hampir keseluruhan kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu dapat di lihat melalui menara tinjau di taman itu,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katanya, pembukaan Taman Panorama itu nanti diharap dapat menyelesaikan kemelut yang melanda penduduk sekitar berkaitan limpahan air selut dan hakisan tanah sepanjang projek itu berjalan.

“Pihak kami berharap taman ini akan dibuka secepat mungkin namun kerja-kerja sampingan sedang giat dijalankan bagi memastikan tiada sebarang masalah berbangkit apabila beroperasi kelak.

“Saya yakin kawasa itu bakal menjadi kawasan tumpuan baru bagi penduduk negeri ini dan pelancong selain daripada lokasi menarik lain seperti Taman Tamadun Islam, Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok,” katanya.


Kursus KLS TATiUC jaminan kerja industri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelajar yang gagal menyambung pelajaran di peringkat diploma dan ijazah mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) boleh memilih untuk mengikuti kursus Kemahiran Lepasan Siswazah (KLS) yang ditawarkan Kolej Universiti Tati (TATiUC).

Program yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat menyediakan kemudahan elaun sara hidup berjumlah RM650 sepanjang tempoh pengajian antara lima hingga 12 bulan.

Rektor TATiUC, Dr Rozailan Mamat, berkata pihaknya menawarkan pelbagai program menerusi KLS termasuk Pemesinan CNC, Kemahiran Robotik, NDT, Program Waste and Waste Technoloy, Kemahiran Computer Networking dan Product Design Technology.

“Pihak TATiUC berharap peluang dan ruang yang disediakan ini mampu dimanfaatkan oleh pelajar serta masyarakat dalam usaha melengkapkan diri dengan kemahiran dalam pelbagai sektor dan industri sebagai jaminan kerjaya masa depan.

“Pelatih yang dilahirkan menerusi program berkenaan menjadi medium utama mempromosikan TATiUC kepada masyarakat sekal gus memenuhi hasrat kerajaan melatih belia lepasan sekolah dalam bidang kemahiran,” katanya di Majlis Makan Tengahari Bersama Kaunselor Daerah Setiu, di Sutra Beach Resort, Setiu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Selain itu, beliau berkata pengajian berasaskan kemahiran masih menjadi teras di TATiUC, terutama pengajian peringkat diploma di mana kaedah pengajian 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori tetap dikekalkan.

Beliau berkata, terbukti sistem ini berjaya dan dialu-alukan oleh pihak industry, selain pelajar lepasan diploma, ijazah serta KLS TATiUC tidak berdepan dengan masalah besar bagi mendapat pekerjaan setaraf dengan kelulusan yang ada.

“Malah, kita juga bersedia membuat penambahbaikan supaya graduan kita kita diterima dengan mudah oleh industri ,” katanya.




07 March 2012

Jheat serius tangani masalah akidah di kalangan OKU

Oleh: Suriati Ali dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) memadang serius masalah kurangnya fahaman agama Islam terutama berkaitan akhlak, akidah dan ibadah di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Pesuruhjaya Jheat, Haji Mohd Rozali Salleh, berkata pihaknya kecewa dan sedih kerana terdapat sebilangan besar golongan itu tidak memahami secara mendalam apa itu sebenarnya Islam.

Katanya, mereka terlalu cetek ilmu agama sehingga ada di antara mereka menganggap Allah itu Raja, Rasullulah adalah Permaisuri dan orang ramai pula adalah anak.

“Masalah seumpama ini berlaku mungkin disebabkan kurangnya pendedahan dan pengisian berkaitan agama Islam berbanding orang-orang biasa,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Kem Ibadah OKU (Pendengaran) di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis perasmian penutup kem itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato' Senara Muda Haji Mazlan Hashim.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) JHEAT, Omar Musa, Imam Besar Terengganu, Ustaz Aizi Saidi dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Seramai 50 peserta OKU pendengaran dari pelbagai sekolah pendidikan khas dan Persatuan Kebajikan Pekak Terengganu hadir mengikuti kem selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Kem anjuran Jheat dengan kerjasama Maidam itu bukan saja mampu memberi kesedaran berkaitan pengetahuan dan penghayatan agama Islam terhadap OKU malah dapat menyemai perasaan supaya sayang serta mencintai Allah.

Haji Mohd Rozali turut memberitahu bahawa pihaknya akan memperbanyakan kursus berkaitan pengisian agama Islam di kalangan OKU supaya akidah mereka tidak terus terpesong.


Tekad ubah nasib keluarga suntik kejayaan STPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Tekad mahu mengubah keadaan keluarga yang kini terpaksa bergantung kepada wang sumbangan tujuh abang dan kakak selepas kematian bapa empat tahun lalu menyebabkan Abdul Rahim Abdullah, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang muncul calon terbaik seluruh Terengganu bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 yang diumumkan hari ini.

Anak ke lapan daripada 10 beradik dari Kampung Tebakang, Bukit Payong itu mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan memperolehi 4 prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Dia yang kini menjadi guru gantian bagi mata pelajaran bahasa Arab Tingkatan Satu dan Dua sekolah yang sama sejak 15 Januari lalu, tidak menduga akan mendapat keputusan cemerlang dengan merekod A, masing-masing bagi mata pelajaran Pengajian Am, bahasa Melayu, bahasa Arab, Syariah dan A- bagi mata pelajaran Usuluddin.

“Saya bersyukur dan sangat gembira dengan keputusan yang diperolehi hari ini. Saya berhasrat mahu menyambung pengajian dalam bidang Syariah, Usuluddin ataupun bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia atau Universiti Malaya.



“Selepas ini saya mahu mencapai cita-cita menjadi pensyarah dalam bidang agama, sekaligus tekad mahu mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik. Kejayaan ini juga untuk ibu saya, Romainor Mamat, 53, selain arwah bapa, Abdullah Mat Ali, 54, yang dulu bekerja sebagai pemandu lori kerana mereka banyak menyuntik semangat saya untuk meraih kejayaan ini,” katanya ketika ditemui di SMKA Durian Guling, Marang, sejurus mendapat keputusan STPM, hari ini.

Abdul Rahim pernah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir selepas mendapat keputusan cemerlang iaitu 8A, 2B dan 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2009 lalu, bagaimanapun faktor tidak mahu berhijrah dan meninggalkan keluarga terutama ibunya yang uzur menyebabkan dia nekad tidak menerima tawaran itu sebaliknya ke Tingkatan Enam di sekolah yang sama.

“Saya membuat keputusan menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam juga disebabkan peperiksaan ini tiada tekanan dan cabaran, malah lebih senang belajar di Tingkatan Enam berbanding mengikuti Matrikulasi..Kini terbukti keputusan saya dua tahun lalu itu tidak silap,” katanya.




Kejayaan STPM realisasikan misi kerajaan

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said merakam penghargaan kepada pelajar, guru dan semua pihak yang berjaya membawa misi kerajaan bagi menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

“Tahniah kepada anak-anak Terengganu, guru-guru dan semua pihak yang sentiasa memberi komitmen menjayakan pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya,walaupun keputusan yang diterima hari ini begitu membanggakan namun tidak ada istilah berpuas hati dalam dirinya kerana apa yang diinginkan ialah peningkatan dari masa ke semasa.

Menurutnya, seramai 2,810 orang calon yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu dan telah mencatat keputusan keseluruhan 95.34 peratus berbanding tahun sebelumnya 94.69 peratus.

“Dengan keputusan ini sekali lagi kita berjaya mengatasi keputusan di peringkat nasional yang memperolehi 93.69 peratus,“ katanya.

Tambahnya, Gred Purata Negeri (GPN) juga meningkat tahun ini iaitu 2.33 peratus berbanding tahun sebelumnya 2.49 peratus.

Bagaimanapun katanya, kita belum pasti sama ada dapat pertahankan kecemerlangan untuk tahun keempat berturut-turut kerana masih menunggu keputusan penuh negeri lain.

“Berasaskan keadaan semasa, saya mendapat maklumat bahawa semua keputusan bagi STPM tahun lalu menurun sedikit membabitkan semua negeri namun keputusan kita meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar menyatakan sasaran kerajaan dua peratus yang ingin dicapai dalam STPM belum terlaksana lagi.




Siasat segera punca permainan hambar

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kehebatan skuad Penyu yang berjaya mengalahkan Kelab Vietnam , Song Lam Nghe An menerusi aksi sulung Kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam menarik perhatian peminat nombor satu bola sepak negeri, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kerana berjaya menundukkan juara liga super Vietnam dan berharap semua pemain dapat bermain cemerlang dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Dalam perlawanan yang berkesudahan Terengganu membenam Vietnam 1-0 di Stadium Vinh, Vietnam semalam, Abdul Manaf Mamat muncul wira skuad penyu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-51.

Perlawanan seterusnya Terengganu akan bertemu dengan pasukan Kitchee FC (Hong Kong) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pada 20 Mac depan.

“Sebagai tuan rumah saya menaruh harapan pemain-pemain kita dapat memberi persembahan terbaik dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi.” katanya.

Mengenai masalah stadium yang dikatakan tidak cukup pencahayaan,perkara berkenaan akan diselesaikan sebaik mungkin namun perlawanan terdekat akan diadakan pada sebelah petang.

Dalam perkembangan lain Dato’ Seri Haji Ahmad meminta pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat menyiasat secara terperinci mengenai mutu permainan pasukan Terengganu yang tidak menentu.

Menteri Besar mengambil contoh pada perlawanan dengan Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka Sabtu lalu, terlalu pincang serta gagal menunjukkan permainan yang sebenarnya.

“Walau pun kita menang, tapi saya kecewa dengan corak permainan yang ditunjukkan, seolah ada sesuatu yang tidak kena dan berharap pihak pengurusan PBSNT membuat siasatan segera,” katanya.

Beliau juga mengingatkan supaya persembahan buruk itu tidak membabitkan tindakan pemain terlibat dengan rasuah mahupun sebarang masalah yang berbangkit, selain mahu keserasian dapat dibentuk antara pemain tempatan dan pemain import.





SMK Putera, Besut terbaik STPM di Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak


Sekolah Menengah Kebangsaan Putera (SMKP), dekat sini, sekali lagi mencatat sejarah apabila sekolah itu diumumkan sebagai sekolah terbaik dalam pencapaian peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.

Kejayaan itu meletakkan SMKP yang terletak di kawasan luar bandar mampu bersaing dengan sekolah ternama lain di negeri ini dalam peperiksaan berkenaan.

Pengetuanya,Ruhani Salleh berkata, sebelum ini sekolah itu pernah mencatat sejarah apabila salah seorang pelajarnya menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan STPM 2010.

Katanya, kesungguhana guru,pentadbiran dan sokongan kuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta keyakinan ibu bapa terhadap sistem pelajaran di sekolah berkenaan menjadi penyebab mereka memperoleh kejayaan itu.

Menurutnya, dalam peperiksaan STPM tahun lalu 45 pelajar sekolah itu menduduki peperiksaan berkenaan dan kesemua mereka menunjukkan prestasi cemerlang.

“Kejayaan muncul sebagai sekolah terbaik mendorong kami untuk mempertahankan kedudukanya dalam peperiksaan yang sama pada tahun ini,” katanya selepas meraikan kejayaan bersama pelajar sekolah itu hari ini.


Piala AFC 2012 : Skuad Penyu jinakkan kelab Vietnam 1-0

Oleh FAUZI MOHD dan CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN

Terengganu memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 dengan memberangsangkan apabila menjinakkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di tempat lawan semalam.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris mempamerkan permainan baik pada penampilan sulung saingan kelab bola sepak Asia dengan memastikan tiga mata penuh menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.

Pada perlawanan pembuka tirai Kumpulan F di Stadium Vinh semalam, Manaf bergandingan dengan bintang Liberia, Francis Forkey Doe pada bahagian serangan, bijak menyambar hantaran Ashaari Shamsudin.

Dia memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Song Lam.

Jaringan itu meningkatkan moral pemain-pemain skuad Penyu apabila jentera pertahanan yang diketuai Muslim Ahmad berjaya mengekang setiap percubaan pemain lawan.

Terengganu yang turun tanpa ketua pasukan, Marzuki Yusof akibat kecederaan diletakkan dalam Kumpulan E berhadapan saingan Kitchee (Hong Kong) dan Tampines Roves (Singapura).

Juara Piala FA 2011 itu bakal berdepan dengan Kitchee dalam perlawanan seterusnya, 20 Mac ini.


Piala AFC 2012 : Skuad Penyu jinakkan kelab Vietnam 1-0

Oleh FAUZI MOHD dan CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN

Terengganu memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 dengan memberangsangkan apabila menjinakkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di tempat lawan semalam.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris mempamerkan permainan baik pada penampilan sulung saingan kelab bola sepak Asia dengan memastikan tiga mata penuh menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.

Pada perlawanan pembuka tirai Kumpulan F di Stadium Vinh semalam, Manaf bergandingan dengan bintang Liberia, Francis Forkey Doe pada bahagian serangan, bijak menyambar hantaran Ashaari Shamsudin.

Dia memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Song Lam.

Jaringan itu meningkatkan moral pemain-pemain skuad Penyu apabila jentera pertahanan yang diketuai Muslim Ahmad berjaya mengekang setiap percubaan pemain lawan.

Terengganu yang turun tanpa ketua pasukan, Marzuki Yusof akibat kecederaan diletakkan dalam Kumpulan E berhadapan saingan Kitchee (Hong Kong) dan Tampines Roves (Singapura).

Juara Piala FA 2011 itu bakal berdepan dengan Kitchee dalam perlawanan seterusnya, 20 Mac ini.


Bayar cukai pintu melalui kaunter bergerak MBKT

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan perkhidmatan kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai berurusan termasuk pembayaran cukai pintu.

Sejak perkhidmatan itu diperkenalkan bulan lalu, kaunter-kaunter tersebut ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti pusat membeli belah dan pasar-pasar utama dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang bagaimanapun berkata, dalam tempoh sebulan, hanya enam kali kaunter bergerak ditempatkan iaitu pada setiap Sabtu di pusat membeli belah yang terpilih.

"Pada setiap Isnin pula, dua tarikh dipilih dalam sebulan untuk mengadakan kaunter bergerak di pasar-pasar awam." katanya baru-baru ini.

Kata Dato’ Adzlan, sejak dilaksanakan, lebih 100 orang mengunjungi kaunter bergerak yang disediakan bagi mendapatkan maklumat mengenai MBKT dan urusan pembayaran cukai pintu.

Menurut beliau, melalui kaunter bergerak itu, orang ramai yang menerima denda cukai pintu akan dihapus jika mereka membuat pembayaran di kaunter yang disediakan.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat bayaran saman kesalahan meletak kereta dan penyewaan kedai di kaunter yang disediakan.

"Khidmat kaunter bergerak ini akan diteruskan sehingga akhir tahun ini bagi memudahkan orang ramai berurusan," ujarnya.