Halaman

12 March 2012

Pertandingan Pancing Ikan Darat, Gong Tok Nasek, 30 Mac ini

Oleh: Che Mohd Hisham Che Jamaludin

Pertandingan Memancing Ikan Darat Perpaduan Terbuka 2012 akan diadakan di parit tali air Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu pada 30 Mac (Jumaat) ini.

Pertandingan anjuran rumah komuniti, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Komuniti 1Malaysia.

Program turut mendapat kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Dun Batu Buruk, kedai Kasut You, RJC, Mumtaz Murad Ali, Foto Mira dan Era Nona.

Jurucakap program berkata, peserta dikenakan yuran RM30 bagi setiap joran selain 100 t-shirt percuma akan diberi kepada peserta terawal mendaftar.

Katanya, pertandingan yang akan bermula pada jam 3 petang hingga 5 petang mempertaruhkan hadiah wang tunai RM3,000 untuk peserta yang mendapat johan, RM1,000 (naib johan) RM500 (ketiga), selain saguhati RM50 kepada peserta yang mendapat tempat keempat hingga 25.

Di samping itu juga, sebuah motosikal Kriss, basikal fixie, telefon bimbit dan 50 hamper juga bakal menanti peserta bagi acara cabutan bertuah.



PBKP jadi pilihan pelancong

Oleh: Suriati Ali


Setiap kali tiba cuti am dan cuti sekolah, beberapa destinasi menarik di Terengganu terutama Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) pasti menjadi lokasi pilihan pelancong untuk membeli pelbagai barang yang diminati.

Tinjauan pemberita Teganukita di PBKP mendapati kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.


Setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika ingin membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang minggu itu.

Seorang peniaga batik, sutera dan sogket, Encik Basir Nasir, 41, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

“Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.

Pengunjung dari Kedah, Encik Firdaus Ahmad Tarmizi, 34, berkata cukup berbaloi dia dan keluarga mengambil kesempatan menghabiskan masa cuti sekolah di Terengganu kerana pelbagai tempat menarik dapat dilawati.

Katanya, dia tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis makanan tradisional Terengganu, batik dan sutera kerana di negerinya barangan berkenaan sukar diperolehi.

“Jika ada peluang, kami akan mengunjungi kembali Terengganu untuk melawat beberapa destinasi menarik lain seperti Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Pulau Redang.


“Cuti kali ini, kami hanya sempat mengunjungi lokasi sekitar Kuala Terengganu saja, iaitu Taman Tamadun Islam, Pantai Batu Buruk dan Pulau Warisan,” katanya



PPPMCT diminta bantu masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memuji langkah Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) mewujudkan tabung amal dan program turun padang untuk membantu masyarakat dan juga ahli persatuan.



“Usaha berkenaan harus dicontohi kerana di samping pelbagai aktiviti untuk memantapkan ahli persatuan, masyarakat keliling juga tidak dilupakan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Penutup Perkhemahan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPPMCT di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PPPMCT, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Pesuruhjaya PPPMCT, Puan Zaini Mohd Nor.

Katanya, berbekalkan semangat yang gigih serta minda yang terbuka, kibarkan panji-panji kecemerlangan persatuan demi untuk bangsa yang perkasa.

Sehubungan itu, perkhemahan yang bertemakan ‘selamatkan bumi kita’ ini menjadi medan ahli mengenali dan menyanyangi bumi dari pelbagai masalah pemanasan global yang berlaku sekarang.

“Kita boleh berusaha mengurangkan masalah pembebasan karbon dioksida dengan mengambil langkah menanam lebih banyak pokok untuk perbanyakkan lagi oksigen dalam mengimbangi pelepasan karbon dioksida,” katanya.

To’ Puan Seri Hajah Norliza turut mengingatkan ahli persatuan yang lama bersedia berkongsi ilmu dengan ahli baru agar dapat memberi manfaat bukan saja kepada persatuan tetapi kepada masyarakat sekeliling.

“Untuk berjaya, kita tidak boleh dilakukan seorang diri sebaliknya kerjasama dan penglibatan pihak lain penting dalam mencipta kejayaan,” katanya.

To’ Puan Seri Hajah Norliza kemudiannya menyampaikan Sijil Juru Masak dan Sijil Pertolongan Cemas yang dimenangi peserta sepanjang perkhemahan.
















4 x 4 Ranggok Antarabangsa dijadikan kejohanan tahunan

Oleh FAUZI MOHD dan CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN

Kejohanan Drive Ride (DR) 4 x 4 Ranggok Antarabangsa yang diadakan di Litar Sukan Lasak Gong Cempedak, Marang akan dijadikan acara tahunan kalendar pelancongan Kerajaan negeri.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sambutan menggalakkan dari 1,250 peserta itu bakal menjadikan litar seluas 60 hektar itu destinasi pilihan sukan lasak khususnya dalam menjadikan setiap tahun sebagai Tahun Melawat Terengganu.

Katanya, kejohanan julung kali itu mampu menaikkan emej Terengganu sebagai penganjur acara berprestij yang berjaya meyakinkan penyertaan luar negara termasuk peserta dari negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand selain Australia dan Rusia.

“Untuk tujuan itu (penganjuran tahunan), pihak penganjur iaitu Kelab 4x4 Ranggok Marang dipelawa untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

“Kita akan mengambil kira pelbagai aspek seperti prasarana penganjuran yang meliputi saiz litar agar diiktiraf di peringkat antarabangsa, mutu pengadilan serta kemudahan tambahan termasuklah tempat duduk penonton dan ruang parkir,” katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis penutup acara tiga hari di Gong Cempedak semalam yang turut dihadiri Penasihat kejohanan, Datuk Razali Idris dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

Kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah RM31,000 itu melibatkan empat disiplin iaitu perlumbaan Cubcross, Motor Endurance dan 4 x 4 serta acara kemuncak cabaran pacuan empat roda, DR x 4.


Acara DR x 4 yang disertai lapan kumpulan dimenangi Ranggok B yang membawa pulang wang tunai RM10,000, Ranggok C di tempat kedua (RM7,000) dan tempat ketiga Ranggok F (RM5,000).

Bagi kategori 4 x 4, tempat pertama diungguli Kelab 4 x 4 Ranggok dengan wang tunai RM2,000, Kumpulan Padat di tempat kedua (RM1,500) dan tempat ketiga turut dimenangi Kumpulan Padat (RM1,000).

Perlumbaan Cubcross, tempat pertama disandang Mohd. Zulkifli Abdul Muttalib dengan meraih wang tunai RM1,000, kedua, Azwadi Mohamad (RM600) dan ketiga, Mohd Hafizul Mustaqim Osman (RM400).

Sementara itu, Mohd. Zaidi Mat Noor mengetepikan pesaing kategori Motor Endurance dengan tempat pertama dengan memperolehi wang tunai RM1,500, Ahmad Masyaid Najmi di tempat kedua (RM1,000) dan Mohd Yami Mat Noor, tempat ketiga (RM500).









Sekitar Kompleks Sukan Gong Badak bakal dilengkapi kemudahan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang melengkapkan persekitaran Komplek Sukan Gong Badak dengan pelbagai kemudahan asas untuk menghidupkan suasana, selain memastikan kawasan itu menjadi lokasi utama bagi aktiviti sukan dan riadah di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha penambahbaikan dan membangunkan kemudahan di kawasan itu khususnya tandas dan perkedaian akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam masa terdekat untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Kita akan lakukan perubahan dan penambahbaikan dari masa ke semasa supaya kawasan ini benar-benar menjadi kawasan sukan dan riadah setiap waktu sama ada siang dan malam,” katanya ketika sidang media sejurus acara pelepasan Terengganu Starhill 4x4 Challenge, di pinggiran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kelmarin (10 Mac).
Katanya, lokasi berkenaan sesuai bagi penganjuran sukan lasak termasuk cabaran pemanduan pacuan empat roda sekaligus mampu menjadi satu produk tarikan pelancong dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Beliau berkata, usaha menarik pelancong bukan sahaja tertumpu kepada TMT 2013, malah perlu dijalankan secara berterusan pada setiap tahun dengan mempelbagaikan produk pelancongan yang dapat menarik penyertaan negara asing.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memasang lampu limpah di stadium hoki Kompleks Sukan Gong Badak bagi mematikan perlawanan boleh diadakan pada sebelah malam.




120 belia setai perkhemahan perdana generasi 1Malaysia



Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 120 peserta mewakili pelbagai pertubuhan belia di daerah Besut menyertai Perkhemahan Perdana Generasi 1Malaysia yang berlangsung di Pantai Pengkalan Atap.Kuala Besut.

Perkhemahan anjuran MAYC Besut dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) bertujuan melahirkan golongan belia yang pro aktif dalam menyelami isu isu semasa.

Program dua hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk riadah, ceramah, tayangan video dan pembentukan kumpulan yang membolehkan peserta mengadakan perbincangan mengenai susuatu tajuk yang diberikan oleh urusetia penganjur.

Sepanjang mengikuti program itu peserta mendapat bimbingan daripada penceramah dari Biro Tata Negara (BTN) yang mengkhususkan mengenai semangat jati diri peserta.

Pengerusi MAYC Besut, Wan Adilah Wan Awang berkata, perkhemahan itu yang julung kali diadakan bertujuan melengkapkan golongan belia dengan ilmu kepemimpinan selain membangkitkan semangat jati diri peserta.

Katanya, peserta juga ditayangkan klip video Peristiwa Bukit Kepong yang membolehkan peserta mengetahui lingkaran sejarah perjuangan pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman pengganas dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya, bagi memberi keyakinan kepada peserta pihak penganjur turut mengundang Pengerusi Persatuan Bekas Polis Terengganu (PBPT) Haji Hussein Awang Ngah yang menyampaikan ceramah mengenai kisah duka dan pengalaman pahit yang dialami sendiri pasukan keselamatan terutama Polis.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Saidi Sulong ketika menutup program itu memuji usaha yang dilakukan pihak penganjur dengan mengadakan perhimpunan besar untuk memberi penerangan isu semasa kepada belia di daerah itu.


11 March 2012

BN cetak sembilan juta poster untuk PRU

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) telah mencetak sembilan juta poster parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan datang pada bila-bila masa sahaja.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, lapan juta merupakan poster BN manakala satu juta lagi bendera UMNO.

"Sembilan juta poster ini telah sampai ke sini untuk digunakan sepanjang kempen PRU nanti," katanya ketika berucap pada Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.

Katanya, BN Terengganu sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan peperangan ‘hidup mati’ parti dan kerajaan BN itu yang semakin hari semakin dekat.

“Poster ini akan diagihkan kesetiap kawasan dan semua penyokong BN diminta menampal lambang parti BN di rumah masing-masing sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bagi kepada parti,” katanya.

Katanya, BN ingin melihat sejauh mana kesetiaan ahlinya terhadap parti dan jika ada yang malu untuk menampalkan poster di rumah masing-masing, itu petanda mereka tidak ikhlas.

“Kita juga akan mengadakan aktiviti ‘pemanas badan’ sementara menunggu tarikh PRU dengan pertandingan futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka melibatkan lebih 50,000 golongan belia berusia 21 tahun ke atas.

“Setiap Dun akan menarik lebih 200 pasukan futsal dari setiap cawangan dan pemenang tempat pertama hingga empat akan menerima hadiah lumayan,” katanya.

Tambahnya, lebih 2,000 ahli Puteri akan terbabit menjayakan karnival wanita muda di setiap Dun dengan mengadakan perlawanan bola jaring.




Wanita tulang belakang parti

Oleh; Esah Abdullah

Penyokong Barisan Nasional (BN) diminta jangan ikut tarian pembangkang yang berlagak seperti langau, sebaliknya terus laksanakan tugas membantu meringankan beban masyarakat.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jentera BN mestilah sentiasa mengamalkan kerja berpasukan dan terus menyampaikan mesej kerajaan hingga ke akar umbi.

“Memang kerja dia (Pas) burukkan kerajaan BN dan sampai bila pun mereka tidak akan mengaku kebaikan kita walaupun bersama-sama terima bantuan,” katanya ketika berucap pada Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus , Dato; Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ketua Wanita, Hajah Khadijah Awang; Ketua Pemuda Encik Apli Yusof dan Ketua Puteri, Puan Aida Azam.

Majlis yang dihadiri hampir empat ribu jentera wanita dalam Parlimen Kuala Nerus turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Adun Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Adun Tepoh, YB Yaji Muhammad Ramli Noh dan Pegawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

“Wanita merupakan tulang belakang parti dan majoriti gerak kerja yang dijalankan seperti berkunjung rumah ke rumah bertemu pengundi dilakukan oleh jentera semut merah ini,” katanya.

Beliau melahirkan keyakinan, keupayaan JR dalam misi memenangkan parti pada PRU akan datang kerana mereka sering membuat laporan benar biar pun pahit untuk ditelan oleh sesetengah pemimpin.

“Dengan pengalaman yang ada, saya percaya JR sentiasa menjalankan tugas dengan berkesan serta mampu menarik pengundi atas pagar,” katanya.

















Pelumba TSG galas cabaran LTdT, Taipei

Oeh: Aida Abd Rahman



Selepas mengharungi cabaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, dua pelumba profesional yang juga anak Terengganu bernaung di bawah Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bakal menggalas cabaran jelajah Le Tour de Taiwan (LTdT) selama seminggu di Taipei, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, mereka adalah Mohd Shahrul Mat Amin, Mohammad Saufi Mat Senan, selain diperkuatkan dengan tiga pelumba `import’, Jang Chan Jae, Kim Do Hyoung dan Shinichi Fukushima serta diiringi jurulatih kelahiran Itali, Sebastian Ducios.

“Ini merupakan penyertaan pertama TSG di kejohanan luar negara tahun ini dan kita harap akan mencapai kejayaan bagi menyuntik semangat pada kejohanan yang lain nanti,” katanya.

Mohd Sophian berkata TSG menyenaraikan 19 kejohanan luar negara dan 13 kejohanan dalam negara sepanjang 2012.

Di samping tiga pelumba asing itu, TSG musim ini dibarisi pelumba Mohd Hariff Salleh, Mohd Shahrul, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi, Muhamad Faiz Sharifuddin Abd Kadir, Muhammad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki.

“Kita juga mempunyai dua pelumba baru yang berasal dari Terengganu iaitu Mohd Zamri Salleh dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mohd Saufi Anuar Aziz,” katanya.




Piala FA 2012 : Terengganu singkir Perak ke suku akhir

Oleh FAUZI MOHD

Skuad Penyu menempah tiket ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan Perak 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.



Gol tunggal yang dijaringkan penyerang, Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-49 hadir pada waktu kecederaan separuh masa pertama hasil sepakan percuma penyerang import Liberia, Francis Forkey Deo.



Terengganu berhadapan pasukan pelawat tanpa kelibat kapten pasukan, Marzuki Yusof dan penjaga gol, Sharmiza Yusof turun buat kali pertama musim ini disebabkan kecederaan dialami Sharbinee Allawee.



Juara Piala FA musim 2000 dan 2011 itu bakal berdepan pendatang baru, Lions XII yang mengalahkan NS Betaria, 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.