Oleh: Aida Abd RahmanKelibat seorang penjaja nasi kukus yang bermotosikal roda tiga di sekitar Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu ditunggu-tunggu pelanggan setia untuk mendapatkan sajian khususnya pada setiap tengah hari Ahad hingga Khamis.
Rutin harian Abdul Wahab Ronoh, 53 yang mencari rezeki dengan menjaja nasi bersama pelbagai pilihan lauk pauk seperti gulai ayam, terung berlada, ikan goreng dan ayam masak merah hasil air tangan sendiri dengan dibantu isteri, Noria Ambak, 50, sejak 28 tahun lalu kini memberikan pulangan yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.
Selepas tiga anak gadis pasangan suami isteri itu berjaya melakar kecemerlangan dalam pelajaran, giliran puteri keempat, Nur Liyana, 18, pula meneruskan kesinambungan kakaknya apabila mencatat keputusan 10A+ 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, baru-baru ini.
Tanpa desakan mahupun kongkongan keluarga, kesedaran Nur Liyana untuk membaiki taraf hidup keluarga yang serba sederhana, selain terbit motivasi melihat kesemua kakak, Norhartini, 28, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun; Noor Suhaily, 27, graduan University Of Leeds, United Kingdom dan Nor Izzati, 21, ( Volvograd State Medical University, Rusia) mencetus suntikan semangat baginya meraih kejayaan serupa.
Kelebihan pelajar yang lahir tanggal 4 Januari 1994 mula terserlah sejak di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman lagi apabila mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan memperolehi 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, sebelum melestarikan kejayaan dalam SPM pula.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Sheikh Abdul Malek itu juga mahu tiga adiknya, Nur Nadirah, 17,(pelajar SMK Panji Alam), Afif Luqmanulhakim, 13, (pelajar SMA Sheikh Abdul Malek) dan Afiq Ihsan, 9, yang kini belajar di SK Seri Budiman pula merangkul kejayaan masing-masing kelak.
Tanpa mengehadkan masa dengan hanya menumpukan kepada pelajaran semata-mata, Nur Liyana turut meluangkan waktu menonton televisyen sebaik selesai mengulangkaji pelajaran. Dia turut membaca selain buku pelajaran, termasuk buku motivasi dan novel.
Gadis yang berpewatakan lembut itu turut mengamalkan doa dan solat hajat, selain memberi sepenuh perhatian dalam kelas supaya dapat memahami setiap apa yang dipelajari serta mengasah minda dengan membuat latihan dan menghadiri kelas tambahan di sekolah.
“Hasrat saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi dan suatu masa nanti mampu bergelar doktor pergigian serta memiliki klinik sendiri. Saya mahu mencurahkan khidmat kepada masyarakat, agama dan negara,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.
Sambil meletakkan ayahnya yang memiliki semangat kental, penyayang,penyabar serta bermotivasi tinggi sebagai idola, Nur Liyana berhasrat untuk merealisasikan impian lelaki selaku tunggak keluarga itu dengan menjadi anak solehah, meraih kejayaan dalam pelajaran serta mengubah fasa hidup mereka sekeluarga menjadi lebih senang dan selesa.
Menyingkap tabir kehidupan, menurut Nur Liyana, tugas harian ibunya bermula seawal jam 5 pagi bagi menyediakan bahan-bahan memasak, manakala dua jam kemudian, ayahnya pula akan ke pasar untuk membeli barang mentah seperti ikan dan sayur-sayuran.
“Sebaik sahaja segala lauk-pauk disiapkan, ayah akan mula keluar berniaga bermula jam 12 tengah hari dan pulang sebelum lewat petang, lazimnya antara jam 3 hingga 4 petang.
“Saya mahu mengubah kehidupan keluarga. Insya-Allah, selepas ini kedua ibu bapa saya tidak perlu bersusah-payah keluar bekerja lagi. Biar segala pengorbanan mereka berbalas dengan kejayaan kami,” katanya yang turut mengamalkan hubungan baik dengan ibu bapa dan guru supaya mendapat keberkatan dalam menimba ilmu.
Dari sisi lainnya, Nur Liyana turut berkongsi rasa bertuah dan berbangga melihat sektor pendidikan di Terengganu sentiasa berada di landasan terbaik dan mengungguli dalam setiap peperiksaan awam peringkat nasional.
“Saya turut berbangga kerana kita mempunyai seorang pemimpin yang begitu cakna. Menteri Besar sangat mementingkan pendidikan anak Terengganu. Pelbagai insentif, bantuan dan kemudahan disediakan seperti e-Book dan bantuan awal menyambung pelajaran kepada pelajar tanpa mengira latar kehidupan setiap pelajar berkenaan,” katanya menutup bicara.