Halaman

12 April 2012

500 kedai runcit berubah wajah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mensasarkan 500 lagi kedai runcit lama di seluruh negara akan berubah wajah tahun ini di bawah progam Tukar yang dilaksanakan kementerian tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga Mac lepas hampir 200 kedai runcit telah bertukar wajah di bawah program Tukar dan pada tahun lepas sebanyak 519 kedai lama menyertai program itu di mana ia melebihi sasaran asal iaitu 500 buah.

"KPDNKK memperuntukkan RM50 juta bagi program itu tahun ini, iaitu sebanyak RM40 juta bagi perbelanjaan mengubahsuai kedai dan membekal peralatan perabot termasuk almari, rak dan lain-lain manakala RM10 juta untuk modal pusingan.

"Pada tahun lepas kita membelanjakan RM40 juta bagi melaksanakan program Tukar ini di mana kerajaan komited membantu para peniaga runcit supaya maju dan berdaya saing dengan peniaga lain," katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kedai-kedai lama yang bertukar wajah di bawah program itu ternyata menguntungkan di mana kebanyakan kedai terbabit mencatat peningkatan jualan sehingga melebihi 200 peratus.

Menurutnya, peniaga yang terlibat juga dinilai setiap enam bulan sekali dan akan dihantar mengikuti kursus perniagaan singkat yang dikendalikan konsultan terdiri daripada Syarikat Tesco, Mydin, Giant dan syarikat antarabangsa lain.

Beliau berkata, peniaga yang mendapat pinjaman program Tukar itu hanya dikenakan bayaran balik dalam tempoh 15 tahun dengan kadar faedah tiga peratus.





Tidak berganjak walau sejengkal – Presiden PBSNT

Oleh FAUZI MOHD

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh menegaskan bahawa beliau tidak sesekali akan berganjak meninggalkan persatuan itu walaupun sejengkal.

Malah, beliau turut menempelak segelintir penyokong Terengganu yang disifatkannya tidak faham mengenai prestasi sebenar skuad Penyu itu ketika ini.

Menurutnya, Terengganu bukannya berada pada kedudukan kritikal sehingga memaksa peletakan jawatan mana-mana individu termasuk jurulatih, sebaliknya skuad itu berada pada landasan terbaik untuk mencatat satu lagi kejayaan musim ini.

"Kita masih berada pada kedudukan kedua dalam Kumpulan F Piala AFC dan telah melayakkan diri ke separuh akhir dalam misi mempertahankan gelaran Piala FA.

"Dalam saingan Liga Super pula, Terengganu bukannya menghuni kedudukan tercorot tetapi berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik ketika ini," jelasnya semalam.

Justeru, Che Mat yang mula menyertai PBSNT sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pada 1974 sebelum memenangi pemilihan jawatan presiden pada 2000 mengakui, tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh segelintir penyokong Terengganu.

Bagaimanapun, Che Mat berkata, beliau percaya kumpulan penyokong itu mungkin mempunyai agenda tersendiri sehingga memaksanya untuk berundur daripada mengemudi PBSNT.

"Kalau mereka kecewa disebabkan kekalahan kita kepada Selangor dan Tampines Rovers kelmarin, kenapa pula mereka tidak menyambut pemain-pemain kita di lapangan terbang selepas menang ke atas Tampines Rovers minggu lalu.

"Jika ingin menjadi penyokong, mereka patut sentiasa berdiri di belakang pasukan tidak kira ketika Terengganu kalah atau menang," tambahnya.

Che Mat juga tidak menolak kemungkinan bahawa segelintir penyokong yang tidak berpuas hati dengannya apabila terlalu lama berada dalam PBSNT.

"Mungkin mereka rasa saya sudah lama berada dalam persatuan ini dan inginkan perubahan. Tapi saya ingin tanya, siapa yang mahu ambil persatuan ini," katanya.

Mengenai nasib jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, beliau mengakui tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh bekas pemain kebangsaan itu.

"Mat Zan mengambil alih pasukan pada ketika pasukan berada pada kedudukan yang baik dan sudah pasti para penyokong mengharapkan sesuatu daripada dia.

"Tapi apabila tewas, penyokong menyalahkan jurulatih sedangkan mereka tidak tahu pemain kita cukup keletihan apabila perlu melalui jadual perlawanan padat," jelasnya.

Kelmarin, hampir 300 penyokong Terengganu berkumpul di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan mendesak Che Mat berundur daripada memimpin PBSNT.

Desakan itu berlaku sejurus Terengganu tewas 0-2 kepada Tampines Rovers pada aksi Kumpulan F Piala AFC.

Sebelum ini, para penyokong Terengganu turut mendesak Che Mat berundur ekoran perpindahan bekas jurulatih, Irfan Bakti ke Selangor secara mengejut.


Wacana PAS Parti Ajaran Sesat diperluas ke setiap Parlimen

Oleh FAUZI MOHD

UMNO Terengganu akan memperluaskan program wacana bagi menerangkan mengenai penyelewengan perjuangan politik Pas ke seluruh negeri itu.

Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad berkata, program itu akan dilaksanakan di peringkat Parlimen dan seterusnya ke peringkat DUN, sekiranya keadaan memerlukan.

Beliau memberitahu, pihaknya yakin masyarakat lebih faham malah dapat menerima segala penjelasan secara ilmiah selain disokong bukti kukuh yang dibentangkan barisan ahli panel.

“Berdasarkan respons yang kita terima hari ini sangat memberangsangkan, kita akan teruskan program ini ke peringkat Parlimen dan DUN di Terengganu, selepas ini.

“Program ini diadakan bukan semata-mata sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), lebih penting ialah membetulkan akidah umat Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat program itu di Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.

Dato' Yahya seterusnya berkata, untuk masa akan datang, lebih ramai ahli panel dalam kalangan tokoh agama dan intelektual akan diundang bagi menjayakan program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Strategik Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan berkata, pihaknya juga percaya beberapa negeri lain akan mengambil langkah serupa dalam menganjurkan program sedemikian.



11 April 2012

Universiti, Kolej di Selangor dan Kedah turut ‘bungkus’ tanpa PTPTN

Oleh FAUZI MOHD

Ramai pemimpin pembangkang sudah mula berlagak ‘hero’ apabila bercerita pasal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Mereka memberi pelbagai alasan dan janji termasuk hapuskan hutang pelajar dengan PTPTN jika pembangkang menang pilihan raya nanti.

Mereka juga desak kerajaan hapuskan hutang RM43 bilion walaupun negara boleh jatuh bangkrap jika tindakan itu dilakukan.

Bercakap tanpa menoleh kiri dan kanan memang sesuatu yang mudah asalkan rakyat dapat dipengaruhi untuk menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Sebab itu kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bercakap memang mudah kerana Ketua Pembangkang itu bukan kerajaan dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab.

"Mereka yang berhutang dengan PTPTN mungkin suka, tapi ini akan menyebabkan masalah besar. Jangan fikir keuntungan jangka pendek sahaja," katanya baru-baru ini.

Itu kata Muhyiddin tapi bagi Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Khaled Nordin, elok pembangkang buat dulu perkara itu di negeri dikuasai mereka dan jangan ‘double standard’.

Jangan tidak tahu, universiti dan kolej yang ditadbir oleh negeri pembangkang di Selangor dan Kedah menerima manfaat daripada tabung tersebut.

Khaled mendedahkan Isnin lalu kepada sebuah portal berita, sebanyak RM1.3 bilion pinjaman PTPTN diberikan kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah.

Seramai 25,649 pelajar Unisel menerima pinjaman PTPTN berjumlah lebih RM851 juta, 13,763 di KUIS babitkan jumlah RM369 juta dan 6,072 pelajar di KUIN dengan pinjaman lebih RM258 juta.

Dengan wang PTPTN itulah pelajar-pelajar membiayai pendidikan dan membolehkan Unisel, KUIS dan KUIN beroperasi sehingga sekarang.

Bayangkan, kalau tiada lagi pinjaman PTPTN yang terpaksa ‘tutup tabung’ jika tiada wang lagi andainya kerajaan melupuskan semua hutang pelajar sedia ada.

Jawapannya, ketiga-tiga IPT itu juga bakal ‘lingkup’.

Sebab itu, Khaled mahu pembangkang berfikir dulu sebelum bercakap termasuk menabur janji asalkan mereka boleh mencapai matlamat politik masing-masing.

Ini kerana banyak janji yang diberikan pemimpin pembangkang semasa pilihan raya lepas pun masih banyak belum ditunaikan.


Maidam belanja RM3.6 juta taja 60 pelajar ke Jordan

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) membelanjakan RM3.6 juta melalui program al-Ansar bagi menaja 60 pelajar yang mengikuti pengajian di beberapa universiti di Jordan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, setiap pelajar mendapat tajaan sebanyak RM60,000 untuk tempoh empat tahun.

“Kesemua pelajar terpilih dari Sekolah Menengah Agama (SMA) di negeri ini akan mengikuti bidang pengajian Islam seperti Feqah, Usulluddin, Muamalat dan bahasa Arab,” katanya pada sidang media selepas menerima pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia di pejabatnya, semalam.

Sehubungan itu, Maidam mengadakan sesi temuduga selama dua hari pada 9 dan 10 April bagi memilih mereka yang benar-benar layak menerima tajaan Maidam.

Katanya, senarai nama mereka yang berjaya dalam temuduga itu akan dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi selewat-lewatnya pada 15 Mei depan bagi tujuan penempatan di mana-mana universiti di Jordan.

Mulai tahun ini, katanya, pelajar yang terpilih mengikuti program ini perlu membayar RM300 bagi menampung kos penterjemahan, visa dan pengesahan di Wisma Putra bagi mengelak kerugian bila pelajar menarik diri pada saat akhir.

Katanya, tahun lalu Maidam telah menghantar 47 orang pelajar mengikuti pengajian Islam termasuk tiga orang dalam bidang perubatan dan pakar sakit puan .

“Maidam juga melahirkan rasa bangga, terhadap perkembangan pengajian tiga pelajar tajaan tahun pertama dalam bidang perubatan yang mendapat pencapaian mumtaz (1) dan jayyid jiddan (2),” katanya.






WWF gesa haramkan makan telur penyu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegiatan menjual dan memakan telur penyu yang masih berleluasa menimbulkan reaksi tidak senang pelbagai pihak khususnya Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia Cawangan Terengganu yang bimbang terhadap ancaman kepupusan haiwan reptilia itu.

Berikutan itu, WWF menggesa kerajaan meminda Akta Perikanan 1985 secepat mungkin bagi mengharamkan aktiviti memakan telur penyu di seluruh negara.

Ketua Program Pemuliharaan Penyu WWF Terengganu, Puan Rahayu Zulkifli, berkata sehingga kini telur penyu masih dijual secara berleluasa di negeri ini walaupun sedia maklum haiwan itu diancam kepupusan.

“Kita bimbang jika kerajaan lewat mengharamkannya, penyu akan mengalami kepupusan kerana jumlah pendaratan empat spesis penyu iaitu penyu belimbing, penyu karah, penyu agar dan penyu lipas di perairan pantai Terengganu semakin berkurangan.

"Setakat ini, hanya telur penyu belimbing sahaja sudah diharamkan, namun WWF mahu pengharaman memakan telur penyu ini meliputi semua spesis," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sehingga kini, telur penyu dikatakan masih boleh didapati dengan mudah terutama di Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi tumpuan pelancong.

Malah, ia menjadi bualan mulut di kalangan pelancong yang teringin merasai keenakan telur penyu itu supaya berkunjung ke Terengganu kerana ia boleh dibeli dengan mudah, berbanding Sabah atau Sarawak kerana kedua-dua negeri itu sudah mengharamkan penjualan dan memakan telur penyu.

Selain itu juga, Puan Rahayu turut meminta pihak berkuasa agama Islam supaya mencari nas atau dalil yang sahih untuk mengharamkan manusia memakan telur penyu dari pelbagai aspek.
Pada tahun lalu, Malaysia sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pengurusan dan pemuliharaan penyu rantau Lautan Hindi dan Asia Tenggara (IOSEA) yang bertujuan melindungi spesies terancam itu, tapi tiada tindakan susulan dilakukan.

WWF juga sudah menyerahkan memorandum yang mempunyai fakta kukuh mengenai betapa pentingnya pengharaman penjualan dan memakan telur penyu kepada kerajaan tahun lalu




Penduduk di kawasan pembangkang sedia berubah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Penduduk di kawasan yang dikuasai pembangkang rata-rata sudah sedia memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), bagi memastikan arus pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka.

Keadaan ini dapat dibuktikan apabila mereka keluar beramai-ramai pada program anjuran Umno dan BN – satu manifestasi bagi melahirkan secara terang-terang sokongan mereka kepada BN.

Beribu-ribu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir membanjiri dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara baru-baru ini bagi meraikan kunjungan YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang julung-julung kalinya hadir ke sekolah tersebut.

Walaupun kedatangan Menteri Besar ke sekolah itu untuk membahagikan e-Book secara percuma kepada murid-murid Tahun 4 di DUN Manir, ada kalangan hadirin yang datang itu tidak terlibat pun dengan majlis yang dianjurkan.

Sesetengah hadirin merupakan penyokong Pas yang datang ke majlis itu kerana mahu mendengar ucapan Menteri Besar mengenai dasar-dasar dan program yang telah dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Dalam uacapannya, Menteri Besar mahu penduduk di DUN Manir memberi peluang kepada BN untuk mewakili mereka dan membangunkan DUN Manir yang agak ketinggalan setelah sekian lama berada dalam ‘taklukan’ Pas.

Melalui gerak badan dan tepukan semangat setiap kali Menteri Besar mengumumkan kejayaan BN mentadbir negeri ini, jelas penduduk Manir sedia berubah dan akan memberi undi mereka kepada BN.

Begitu juga sewaktu Perdana Menteri melawat DUN Manir pada tahun lalu, mereka memberikan sambutan luar biasa kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan rombongan.

Bukan saja di Manir, tetapi DUN lain yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu, turut memberi isyarat bahawa mereka sedia berubah dan mengundi calon BN pada PRU 13.

Ini dapat dibuktikan apabila program-program anjuran BN di DUN Bukit Tunggal, Batu Burok, Sura, Wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Ladang dan Bukit Payong, sentiasa mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.

Dato’ Seri Haji Ahmad selaku Pengerusi Badang Perhubungan Umno dan Pengerusi BN negeri, menyifatkan keadaan itu sebagai petanda baik kepada Umno dan BN bagi menghadapi PRU 13.

“Kita yakin Umno dan BN akan menang besar pada PRU 13 dengan sekurang-kurangnya menang 29 kerusi DUN,” katanya.



Penempatan baru warga nelayan

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Kerajaan Negeri merancang membuka kawasan penempatan baru untuk memindahkan nelayan-nelayan di daerah Dungun ke satu kawasan seluas 24 hektar di Rantau Abang, Dungun untuk memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan melalui bidang ternakan dan pertanian.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pemindahan nelayan ke kawasan penempatan baru itu akan dibiayai oleh Kerajaan Pusat dengan kos sebanyak RM23 juta dan kos tambahannya akan dibiayai kerajaan negeri.

"Hasil tangkapan semakin berkurang dan ia menjejaskan pendapatan bulanan golongan nelayan. Justeru itu, kerajaan terpaksa mengambil inisiatif baru untuk membasmi kemiskinan mereka dengan menyediakan sumber ekonomi baru untuk mereka terokai sebagai pendapatan sampingan.

"Satu unit rumah akan disediakan kepada setiap keluarga dan kita akan pantau projek ternakan atau penanaman buah-buahan seperti tembikai jenis mas melon dan ternakan ayam yang dijalankan agar mereka boleh keluar dari garis kemiskinan," katanya.

Tambah beliau lagi, projek pemindahan nelayan ke kawasan penempatan baru itu akan dijadikan projek printis di Terengganu dan dijangka akan bermula pada Jun ini.

“Projek pemindahan itu akan diperluaskan ke seluruh kawasan Terengganu secara berperingkat di mana ia dapat mengubah nasib keluarga nelayan untuk menikmati kehidupan lebih selesa.

“Dengan usaha tersebut, nelayan yang berpindah ke penempatan baru dijangka dapat memperolehi pendapatan bulanan antara RM1200 hingga RM1500 hasil kerja pertanian dan penternakan yang dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said juga menggesa nelayan agar mengubah sikap untuk berdikari sendiri bagi menambah sumber pendapatan selain dibantu kerajaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan secara tunai dan merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Nelayan Kijal baru-baru ini.




Ketua cawangan di minta bersiap sedia

Oleh: Suriati Ali

Semua Ketua-ketua UMNO cawangan seluruh negeri diminta jangan leka dengan tanggungjawab harian sebaliknya perlu bersiap sedia daripada sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Yahya Khatib Mohamad, berkata, jentera parti perlu diperkemaskan dan semua ketua cawangan hendaklah bergerak seiring.

“Ahli-ahli di cawangan merupakan penentu kalah menangnya parti dalam setiap pilihanraya.

“Ketua cawangan lebih dekat dengan pengundi di peringkat akar umbi dan amat arif dengan sikap dan gerak geri anak buah dalam kampung masing-masing,” katanya.

Katanya, dia yakin dengan kemampuan ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk kampung dan rata-rata mereka terdiri daripada orang yang telah lama memegang jawatan berkenaan dan sudah masak dengan keadaan sekeliling,” katanya.

“Semua yang sayangkan parti dapat bekerja dengan jujur dan ikhlas serta dapat beri maklumat tepat walaupun pahit untuk diterima dimana setiap kekurangan dan kesilapan akan diperbaiki secepat mungkin,” katanya.


Kemas bentuk sahsiah kanak-kanak

Oleh: Suriati Ali

Tugas mendidik generasi kecil diperingkat tadika menjadi sebahagian tanggungjawab anggota di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam membentuk sahsiah dan keperibadian kanak-kanak.

Pengarah Kemas, Puan Nor Hazelina Hashim, berkata tidak terbatas mendidik kanak-kanak tetapi turut membantu menyampaikan inspirasi kerajaan kepada masyarakat di kampung-kampung.

Katanya, pada masa sama, Kemas Terengganu memberi penekanan khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak di mana pelbagai usaha dilaksanakan semata-mata ingin memperkasakan pendidikan pra sekolah baik dari segi silibus pengajaran, pembelajaran, aspek fizikal dan guru berkemahiran.

“Masyarakat di Terengganu, terutama ibu bapa sewajarnya tidak perlu bimbang dan mempunyai perasaan ragu-ragu untuk menghantar anak-anak masing-masing ke tabika Kemas kerana tabika itu menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selain itu, program untuk meningkatkan kemahiran tenaga pengajar turut diwujudkan bagi memastikan mereka berkemahiran, berpengetahuan dan mampu berkhidmat dengan sebaik mungkin melalui program Kursus Dalam Cuti di institut-institut perguruan,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sehingga kini, Kemas merupakan salah satu jabatan yang berperanan dalam melahirkan modal insan berkualiti khususnya melalui tabika kerana pengajaran dan pembelajarannya menggalakkan perkembangan sosial, emosi, intelek dan fizikal di samping menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak sebelum pendidikan formal di sekolah rendah.

“Taraf pendidikan guru tabika yang memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut dinaiktaraf kepada Diploma Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Pada tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan enam teras bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan salah satu daripada teras tersebut adalah meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan,” katanya.