Halaman

16 April 2012

Risda perkenal program baru untuk dekati pekebun kecil

Risda akan memperkenalkan program 'Sarapan Pagi Kasihi Pekebun Kecil' dalam usaha agensi itu mendekatkan diri dengan pekebun kecil di seluruh negara.

Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata langkah itu bagi mengurangkan jurang perbezaan hubungan antara pekebun kecil dengan pegawai Risda serta pemimpin masyarakat yang lain.

"Sambil bersarapan pagi, mereka akan berbincang macam mana nak perbaiki lagi masalah bagaimana nak menoreh cara yang terbaik, guna teknologi baru dan lain-lain lagi yang berkaitan.

"Kita ambil peluang di situ secara informal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Kelulusan Tanam Baru Komoditi Getah (TBKG) dan Penyampaian Sumbangan Khas, di sini Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Persekutuan Kota Baharu merangkap Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh, Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pengarah Risda Kelantan, Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.



MPK pindah 1.6 juta dokumen ke format digital

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 1.6 juta pelbagai dokumen dan 12,000 pelan milik Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang dipindahkan ke format digital oleh Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB) akan siap menjelang Jun nanti.

Yang Dipertuanya, Haji Mustafa Khalid berkata, pihaknya telah mendapatkan khidmat pengurusan dan pengimejan PNMB untuk menukarkan dokumen kepada format digital sejak Februari lalu yang boleh disimpan dan dirujuk dengan mudah.

“Menerusi cara berkenaan produktiviti MPK juga boleh ditingkatkan selain dokumen yang ada boleh disimpan dalam keadaan terjamin dan selamat,” katanya.

Katanya, projek ini menelan belanja agak tinggi iaitu RM500,000 namun untuk jangka masa panjang ia akan menguntungkan.

Sehubungan itu, MPK merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menggunakan khidmat pengimejan yang ditawarkan PNMB dalam usaha meningkatkan perkhidmatannya.

Selain percetakan am dan pengimejan dokumen, PNMB turut menyediakan khidmat cetakan data boleh ubah, cetakan keselamatan, khidmat penyelesaian keselamatan bersepadu, warta, portal perundangan dan bekalan kertas A4.

Dalam pada itu, seramai 120 peserta dari PBT seluruh Terengganu termasuk MPK menyertai seminar bertajuk Perkhidmatan Mengatasi Percetakan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kelebihan cetakan digital jangka pendek, pengimejan dokumen dan cetakan keselamatan yang dikendalikan PNMB.





Pelajar UK tertarik permainan tradisional

Oleh; Esah Abdullah



Permainan tradisional seperti gasing dan congkak yang terus dihidupkan sejak zaman berzaman mendapat perhatian pelancong dari dalam dan luar negara termasuk sembilan pelajar dari United Kingdom (UK) yang berkunjung ke Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

Ketua Projek, Dr Allan Turnbull menyatakan keterujaan berpeluang menyaksikan keunikan permainan gasing pangkah serta permainan congkak yang ditunjukkan penduduk kampung.



“Saya amat berbesar hati di atas kemesraan penduduk kampung yang menyambut kunjungan kami dengan paluan kompang dan perarakan bunga mangga,” katanya ketika ucapan balas di Dewan KRT Bukit Wan.

Rombongan terdiri dari pelajar Universiti UK itu adalah dalam rangka lawatan seminggu ke Malaysia dan tiga hari berada di Terengganu untuk meninjau budaya kehidupan masyarakat kampung serta permainan tradisional yang menjadi kebanggaan rakyat tempatan.

Menurut Dr Allan, selepas ini rombongannya akan mengunjungi perkampungan nelayan di Penarik, Setiu untuk menyelami rutin kehidupan keluarga nelayan di negeri ini.

“Saya amat berterima kasih kepada semua penduduk yang menerima baik kungjungi kami serta disajikan dengan makanan kampung yang sangat sedap,” katanya.

Ketua pelajar, Encik Andrew Shuite pula menyatakan keseronokan berada di negeri ini yang aman dan penduduknya yang peramah.

“Walau pun hanya sehari berada di sini ,saya rasa sangat seronok melihat masyarakatnya yang saling bekerjasama antara satu sama lain dan berharap dapat datang lagi ke sini,” katanya.




Tamatkan tempoh 26 tahun Batu Burok `bergelap'

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiba masanya untuk penduduk (Dewan Undangan Negeri) Batu Burok menamatkan tempoh 26 tahun `bergelap’ di bawah Pas, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said.

Beliau menegaskan demikian ketika berucap di Karnival Profesor Turun Padang, di Kampung Gong Tok Nasek, kelmarin (14 April).

Katanya, sepanjang tempoh itu kerajaan tetap menimbangkan pelbagai kemudahan dan menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membangunkan DUN yang dipantau Pegawai Pembangunan, Dato’ Che Mat Jusoh.

“Jika ikut `berasa hati’ dengan penduduk DUN Batu Burok (mengundi Pas), kita `lok’ sahaja tempat ini. Kita tidak buat apa yang sepatutnya, kita tinggalkan mereka dan tidak beri bantuan sebagaimana tempat lain yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun, demi tanggungjawab dan dasar keprihatinan kerajaan BN, kita tetap menyalurkan keperluan dan peruntukan bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak terpinggir dari arus pembangunan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menaruh harapan dan keyakinan penduduk di DUN itu abakal melakukan anjakan dan membuat keputusan yang tepat bagi mengembalikan kawasan itu kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Malah, Menteri Besar turut mengulangi janji beliau sebelum ini, untuk membangunkan 1,000 unit rumah mampu milik di DUN itu jika BN memenangi kawasan itu nanti.





Makanan tradisional Terengganu disaji di T'Kafe di Perth

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu mencipta kelas tersendiri apabila pelbagai menu masakan negeri ini bakal dihidangkan di restoran T'Kafe yang akan dibuka oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Perth, Australia bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata menu berkenaan termasuk nasi dagang dan kuih muih tradisional dan juga makanan kering yang dihasilkan oleh pengusaha di negeri ini seperti keropok keping serta kerepek ubi.

"Semua masakan dikendalikan oleh seorang tukang masak di Perth yang berasal dari Terengganu dan dijamin bermutu dan rasanya tidak berubah seperti masakan di Terengganu sendiri," katanya.

Dato’ Mohamed berkata YPU memperkenalkan masakan Terengganu di Perth kerana ramai rakyat Malaysia dari Terengganu yang menetap di negara itu.

"Usaha ini dijangka akan mendapat sambutan yang baik kerana mungkin mereka sudah lama tidak menikmati masakan asli Terengganu," katanya.

Beliau berkata, selain Perth YPU juga sedang meninjau beberapa buah negara lain bagi membuka T’Kafe dan keutamaannya di kawasan yang mempunyai ramai rakyat Malaysia.




Kakitangan anak syarikat dan GLC usah sabotaj kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kakitangan anak syarikat milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta supaya tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kerajaan, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan kakitangan berkenaan bahawa mereka perlu memberi sokongan dan taat setia kepada kerajaan semasa (Goverment of The Day) serta tidak melakukan sebarang penyelewengan yang boleh menjejaskan kedudukan syarikat masing-masing.

“Saya tahu ada kakitangan anak-anak syarikat kerajaan dan GLC yang menyokong parti pembangkang pada setiap kali pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Percetakan Yayasan Islam Terengganu dan Penyerahan Cek Sumbangan Kepada Tabung Darul Iman di Riyaz Heritage, malam tadi.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Encik Rosli Zakaria dan Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Haji Zainal Abidin Mohamad.

Menteri Besar berkata, kakitangan syarikat milik kerajaan negeri dan GLC sepatutnya bersyukur dan menghargai jasa-jasa pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi bantuan bagi memajukan syarikat mereka.

“Kadang-kadang syarikat berkenaan mengalami kerugian, kerajaan negeri tambah dana supaya pekerja tidak diberhentikan dan syarikat boleh meneruskan operasi,” katanya.

Beliau memberikan contoh Percetakan Yayasan Islam Terengganu yang mula beroperasi sejak 1985 mengalami kerugian pada setiap tahun, sebelum mula mencatatkan keuntungan pada tahun 2008.

Mengikut rekod, syarikat itu mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM1.7 juta dari tahun 1985 sehingga tahun 2007. Bagaimanapun, mulai 2008 syarikat itu mula membuat keuntungan dan dalam tempoh tiga tahun (2009 hingga 2011) ia mencatkan keuntungan terkumpul RM5.526 juta.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, dengan usaha gigih pihak pengurusan memajukan syarikat dan komitmen kerajaan negeri membantunya, syarikat itu kini mula mengaut keuntungan dan mampu menyediakan kemudahan lebih baik kepada pekerjanya.

“Saya mahu pekerja syarikat ini serta syarikat GLC yang lain meningkatkan prestasi kerja bagi membantu menambah keuntungan syarikat masing-masing,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, mereka perlu menghindarkan diri daripada kegiatan yang boleh menjejaskan kedudukan kerajaan, sebaliknya terus memberi sokongan kepada kerajaan semasa.

“Bagi pihak kerajaan, kita akan menyediakan segala keperluan bagi memastikan semua rakyat negeri ini, termasuk kakitangan GLC mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan,” katanya.


MB serah pada pihak berkuasa

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Said menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap tindakan individu yang membakar bendera Umno dan memotong gambarnya di atas kain rentang.

Jelasnya lagi, tindakan tidak bermoral pihak yang terlibat memberi gambaran bahawa sama ada mereka sakit jiwa ataupun terdesak hingga sanggup melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya harap polis menyiasat perkara ini berlandaskan undang-undang dan ini dan selaku orang politik kita tidak boleh takut dengan perkara sebegini sama ada penghinaan ataupun makian.

“Kita berpegang pada pepatah iaitu kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai dan begitulah juga situasi yang terpaksa dilalui orang yang terlibat dalam politik ini,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad, bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengambil tindakan secara peribadi terhadap individu atau kumpulan yang terbabit, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Makam Lama, bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, berikutan kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno yang di pasang di tepi parit tali air di Jalan Kubang Buyong, Chabang Tiga di sini.

Tindakan itu dibuat berikutan kesal dengan kejadian yang dipercayai akibat khianat itu dan laporan polis dibuat bertujuan untuk memastikan individu yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, kain rentang yang memaparkan wajah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang di pasang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Losong turut dirosakkan.

Gambar wajah Menteri Besar itu telah dipotong dan ditampal pada bunting yangd dipasang berhampiran memaparkan gambar seorang penyanyi popular yang akan membuat persembahan pada satu konsert di Kuala Terengganu.



15 April 2012

Profesor turun padang tingkat kesedaran masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Inisiatif kumpulan profesor turun padang menemui masyarakat kampung mampu memberi kesedaran secara langsung kepada masyarakat supaya lebih `celik ilmu’ serta berkongsi maklumat mengenai kepakaran, pengetahuan dan pengalaman dari segi akademik dan profesional dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program yang julung kali dilaksanakan Majlis Profesional Negara (MPN) di Terengganu dengan lokasi pilihan di Kampung Gong Tok Nasek, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok itu harus disokong semua pihak terutama masyarakat kampung.

“Selama ini kita dengar orang politik yang turun padang, tetapi kali ini orang yang berada di menara gading ini sudah mula memberi kerjasama melibatkan diri dalam memberi kesedaran secara langsung kepada masyarakat bawahan yang sesetengahnya tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

“Sebelum ini pelajar pengajian tinggi yang selalu berjumpa masyarakat kampung, kini golongan profesor turun melihat sendiri hati nurani rakyat di peringkat bawahan,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Profesor Turun Padang, Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, semalam (13 April).

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Dato' Che Mat Jusoh dan Pengerusi MPN, Prof Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid.

Menteri Besar berkata, usaha turun padang itu juga mampu memberi peluang kepada kumpulan profesor melihat sendiri penambahbaikan yang boleh diusahakan secara kerjasama dengan kerajaan negeri.

Beliau turut memuji langkah murni MPN kerana berjaya membawa semua profesor yang melibatkan 14 kluster dalam bidang dan kepakaran masing-masing ke kampung itu.

Antara kluster berkenaan ialah pendidikan dan pembangunan modal insan, ekonomi dan kewangan, politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa, sains dan matematik, kejuruteraan, teknologi dan alam bina, sumber asli dan alam sekitar, industri dan inovasi, farmasi dan sains gunaan serta pembangunan sosial dan kesejahteraan.











Sedia tubuh sektretariat MPN

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan sekretariat Majlis Profesor Negara (MPN) bertujuan menyumbang idea, menyusun strategi dan mengatur tindakan bersama untuk kebaikan Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peluang ini cukup berharga bagi Terengganu kerana ia mampu memberi kebaikan pelbagai sudut bukan sahaja untuk negeri malah rakyat itu sendiri.

Katanya, setiap ahli MPN yang dianggap ‘Pemikir Negara’, sudah tentu boleh memberi cadangan bagaimana hendak menyelesaikan pelbagai masalah, terutama berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi , kewangan, sumber asli dan alam sekitar.

“Apabila sektreariat ini benar-benar wujud nanti, ahli-ahlinya mungkin boleh berfikir atau mengatasi masalah bagaimana hendak buang bahan beracun dalam ubi gadong.

“Kita serius ingin mengetahuinya kerana tanaman itu berpotensi boleh dimajukan dengan menjadikan sebagai tepung ubi gadong,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan MPN di Wisma Darul Iman, hari ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri lain.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu tidak mustahil suatu hari orang ramai memilih tepung ubi gadong untuk membuat kuih muih sebagai ganti tepung gandum jika apa yang dirancang hari ini menjadi kenyataan.

Kerajaan negeri yakin bahawa ubi gadong berpotensi menjadi produk makanan utama seperti gandum jika dihasilkan mengikut permintaan pasaran seperti kek, kerepek dan kuih muih lainnya.

“Saya yakin jika ada usaha ke arah mengkomersialkan ubi gadong dan dengan bantuan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang menjalankan penyelidikan mereka.

“kerajaan peruntukan RM1 juta kepada UnisZA untuk meneruskan kajian terhadap potensi tanaman tersebut selama dua tahun sebelum ia dipasarkan,” katanya.



Mubarak sedia bantu jentera BN

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Mubarak) sentiasa bersedia membantu jentera parti demi memastikan kuasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak jatuh ke tangan pembangkang.



Yang Dipertuanya, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail berkata, kebanyak ahli Mubarak bergiat aktif dalam masyarakat selepas tidk lagi menjadi wakil rakyat dan ini memberi peluang untuk terus berkhidmat kepada parti.

“Ahli Mubarak sentiasa main peranan di peringkat cawangan, kawasan dan Parlimen serta mempunyai pengaruh tersendiri dalam memenangi hati rakyat,” katanya kepada pemberita di Mesyuarat Agung Mubarak Kali Ke Sembilan di Ibai Golf Resort, petang semalam.

Katanya, walau tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti tapi tugas dan tanggung jawab memupuk semangat perpaduan kalangan anggota masyarakat tidak pernah terhenti dan akan terus memberi khidmat selagi mampu.

“Melihat kepada perkembangan mutakir ini, saya yakin BN mampu mengekalkan pemerintahan di negeri ini,” kata bekas Ahli Exco kerajaan negeri itu ketika diminta pandangan suasana politik di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mubarak telah menubuhkan koperasi dengan permulaan dana RM200,000 sumbangan kerajaan negeri .

Menurutnya, keahlian terbuka kepada semua ahli keluarga sama ada isteri, anak serta cucu ahli Mubarak dengan permulaan saham RM100 ke atas.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang telah menawarkan kawasan seluas 200 hektar kepada Mubarak untuk dibangunkan ladang kelapa sawit.