Halaman

19 April 2012

Bomba anjur program kesedaran

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu merangka program pendidikan berterusan tujuan memberi kesedaran kepada orang ramai akan tanggung jawab mengelak berlakunya kebakaran.

Pengarahnya, Encik Md. Salleh Sarbini berkata, kebanyakkan kes kebakaran yang berlaku di negeri ini berpunca daripada kecuaian melibatkan penggunaan barangan elektrik.

“Sepanjang tahun ini, pelbagai ceramah, pameran dan latihan kebombaan serta pengedaran risalah keselamatan dilaksanakan untuk menyedarkan masyarakat,” katanya.

Katanya, melalui program ini diharap membantu mengurangan risiko kebakaran serta orang ramai lebih berwaspada dengan punca kebakaran.

Menurut Encik Md. Salleh, daerah Kuala Terengganu mencatat rekod tertinggi jumlah kebakaran berbanding daerah lain iaitu 30 kes serta dua kanak-kanak telah terkorban dalam kebakaran itu.

“Saya berharap orang ramai sentiasa berhati-hati terutama ketika menggunakan peralatan elektrik di samping tidak membiarkan anak-anak bermain dengan pemetik api serta ubat nyamuk,” katanya.





Kerajaan hapus ISA pembangkang ‘mati kutu’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Tindakan kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan menggantikan dengan rang undang-undang yang lebih baik, menyebabkan pihak pembangkang kini ‘mati kutu’.

Hilang satu modal puak pembangkang yang selama ini menggunakan isu ISA sebagai senjata untuk memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dengan mengatakan kerajaan berlaku zalim kerana sering menahan orang tanpa sebab menggunakan ISA.

Pemimpin pembangkang sering menggunakan modal ISA yang disifatkan sebagai undang-undang lapuk dan mencemuh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam ceramah-ceramah mereka.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Rang undang-undang tersebut menyediakan tujuh lindung jamin bagi mengimbangi tuntutan hak asasi serta menangani cabaran anti demoktratik pasca komunisme.

Antara lindung jamin yang disediakan melalui akta baru itu, tiada seorang pun boleh ditangkap atau ditahan semata-mata atas kepercayaan politiknya seperti yang dilakukan melalui ISA.

Apabila undang-undang baru itu berkuatkuasa, Menteri Dalam Negeri tidak boleh lagi menahan seseorang tanpa perbicaraan dan pihak polis wajib memaklumkan waris mereka yang ditangkap seberapa segera dan hak mendapatkan peguam dalam tempoh 48 jam.

Sewaktu membentangkan rang undang-undang baru menggantikan ISA itu, Perdana Menteri menjelaskan masa sudah berubah dan peranan ISA sudah tiba ke penghujungnya. Kerajaan menyedari hakikat itu dan komited memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif.

Beliau menegaskan melalui pindaan, pemansuhan dan penggubalan undang-undang, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik disediakan, tetapi pada masa yang sama kebebasan mesti bersulam dengan tanggungjawab atau ‘freedom with responsibility’.

Kini pihak pembangkang hilang punca dan pasti ‘terpukul’ kerana Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Sri Najib telah mendahului mereka jauh ke depan apabila membentangkang rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang tersebut yang memberi keadilan kepada semua pihak, tentunya tidak akan menyenangkan pihak pembangkang.

Mereka terpaksa mencari isu lain untuk memburukkan kerajaan kerana memang tugas rutin mereka untuk berbuat demikian bagi meraih undi rakyat menggunakan taktik kotor.





BN Marang yakin tawan dua kerusi

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) Marang mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung daripada parti Pas selain kerusi Parlimen Marang yang kini disandang Presidennya sendiri, Dato’ Seri Haji Hadi Awang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata dalam usaha merampas semula DUN Bukit Payung dan Parlimen Marang, dua kerusi DUN iaitu DUN Pengkalan Berangan dan DUN Alor Limbat, yang kini disandang BN tidak mempunyai masalah untuk dipertahankan.

Katanya, jika BN berjaya mempertahankan Pengkalan Berangan dan Alur Limbat, merampas kembali DUN Bukit Payung, selain mengurangkan majoriti di DUN Rhu Rendang yang kini disandang Hadi Awang, tidak mustahil Parlimen Marang juga akan kembali bersama BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

“Kita bukan syok sendiri, tetapi ianya bersandarkan kepada kesedaran rakyat sendiri terhadap sandiwara dalam pakatan pembangkang, selain mengorbankan dasar perjuangan ‘Negara Islam Pas’ kepada ‘Negara Berkebajikan’ sejak bersekongkol dengan DAP dan PKR.

“Selain itu isu pemecatan keahlian Datuk Dr Hassan Ali juga sedikit sebanyak menyedarkan hala tuju dan arah perjuangan Pas yang sebenar,” ujarnya yang juga Adun Pengkalan Berangan,” katanya.

Menurutnya, BN Terengganu sudah bersedia, kita masih mempunyai ruang yang kukuh untuk mempertahankan negeri Terengganu dalam PRU ke-13 kelak.

Secara keseluruhannya di negeri Terengganu, dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan Umno tetap terselah,” katanya.


BN mula buka bilik gerakan

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) Terengganu telah membuka pusat-pusat daerah mengundi atau Bilik Gerakan BN di seluruh negeri yang melibatkan 343 peti undi sejak awal Februari lalu dan akan berterusan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata gerak kerja jentera BN perlu digerakkan lebih awal supaya mereka dapat bersedia lebih awal dengan mendapat maklumat dan boleh juga menaikkan bendera BN di rumah atau di bilik gerakan asalkan tidak mengganggu orang awam.

Katanya, semua jentera parti Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pihak kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

“Semuanya sudah nampak persefahaman antara barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahu pun negeri,” katanya.

Menurutnya, BN masih mempunyai ruang yang kukuh untuk mempertahankan negeri Terengganu dalam PRU ke-13 kelak.

“Dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan UMNO tetap terselah,” katanya.



Maidam ubah dasar agihan bantuan kepada asnaf

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengubah dasar agihan bantuan bulanan kepada penerima yang layak mengikut kepentingan isu rumah dan mula dibayar pada Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, sebelum ini kadar bantuan kepada asnaf ialah RM300 tanpa mengira jumlah tanggungan atau ahli isi rumah.

“Melalui kajian yang dibuat menunjukkan 80 peratus penerima adalah warga emas yang tinggal bersaorangan atau berdua manakala selebihnya ibu tunggal, keluarga miskin serta keluarga bermasalah yang mempunyai tanggungan ,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, dasar baru yang digunapakai sekarang adalah RM250 bagi penerima seorang diri, RM350 tinggal berdua dan RM450 mereka yang mempunyai tiga hingga lima tanggungan.

Sehubungan itu , di bawah dasar baru berkenaan, Maidam telah menambah peruntukan bagi agihan bulanan kepada asnaf berjumlah RM7 juta berbanding RM6.8 juta tahun lalu.

Menurut Haji Wan Harujan, daerah Kuala Terengganu mempunyai jumlah penerima tertinggi iaitu 1,075 orang membabitkan RM300,700 sebulan, Marang 279 penerima (RM73,150), Dungun, 233 penerima (RM65,950), Besut , 225 (RM60,050), Hulu Terengganu, 105 (RM28,800), Kemaman, 69 (RM18,150) dan Setiu, 50 (RM13,600).

“90 peratus pembayaran bulanan dibuat melalui akaun bank penerima manakala selebihnya melalui kaunter zakat daerah masing-masing disebabkan penerima uzur, cacat atau bermasalah untuk berurusan dengan bank,” katanya.

Menurutnya, pembayaran melalui bank lebih mudah kerana tidak membabitkan wang tunai tapi risiko tetap ada bila berlaku kematian terhadap penerima dan waris lambat memaklumkan perkara berkenaan manakala Maidam terus membuat bayaran ke akaun si mati.

Namun katanya, baru-baru ini terdapat dua kes di mana waris penerima telah datang ke pejabat untuk mengembalikan wang yang telah dibayar ke akaun penerima yang telah meninggal dunia.

“Saya kagum dengan sikap tanggung jawab waris penerima ini yang telah mengembalikan semula kepada pihak Maidam,” katanya.





YPU perkenal T-Mobil

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bakal memperkenalkan rangkaian perniagaan secara bergerak, T-Mobil sebagai usaha mengembangkan konsep perniagaan yang mengguna pakai jenama T (Terengganu) sekaligus meningkat pembabitan penduduk negeri ini dalam bidang keusahawanan.

Projek perintis T-Mobil yang dijangka menjual barang-barang kering dan makanan akan dilaksanakan di Ajil, Hulu Terengganu dan Chukai, Kemaman sebaik sahaja mengenal pasti dua usahawan yang berpotensi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera, berkata menerusi T-Mobil, pengguna tidak perlu lagi keluar ke mana-mana pusat perniagaan dan pasar raya, sebaliknya T-Mobil akan pergi kepada pengguna.

“Kita menjangkakan kos dan modal bagi menjalankan T-Mobil tidaklah mahal, hanya sekitar RM60,000. Sebagai projek perintis, kita mahu melaksanakannya dahulu di Ajil dan Chukai.

“Kini kita sedang mengenal pasti pengusaha yang benar-benar komited serta lahir minat dari diri sendiri bagi mengusahakan perniagaan ini sehingga berdaya maju, seterusnya dapat membuka mata pengusaha yang lain supaya terlibat sama,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Pentas Promo dan Bazar TTC, di T’Kafe Foof Court, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, semalam (18 April).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang.

Dato’ Mohamed berkata, pihaknya melihat potensi peniaga pasar malam yang kebanyakannya menggunakan kenderaan yang agak uzur berniaga di tapak pasar malam sebagai kumpulan sasar bagi menjalankan T-Mobil.

“Jadi untuk menggantikan kenderaan mereka itu, T-Mobil menjadi satu kaedah terbaik bagi menampilkan perniagaan yang lebih bersih, kemas serta dilengkapi `genset’,” katanya.



Dato' Prof Dr Ibrahim Naib Canselor UMT yang baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Dato’ Prof Dr Ibrahim Komoo memulakan tugas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh tiga tahun yang berkuatkuasa 13 April lalu.

Beliau yang juga Pengarah Pengasas, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara , Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) menggantikan Dato’ Prof Dr Aziz Deraman yang tamat perkhidmatannya pada 12 April lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM itu berasaskan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh kementerian dan pengalaman akademiknya sebagai Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) dan SEADPRI-UKM.

"Beliau juga menyandang Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli, Majlis Profesor Negara (MPN) dan ahli Majlis Akademi Sains Malaysia.

"Malah, Dato’ Prof Dr Ibrahim merupakan pakar yang terkenal dalam bidang alam sekitar dan sumber asli di Malaysia dan antarabangsa khususnya dalam usaha mempelopori gagasan pemuliharaan sumber asli secara integrasi dan syumul,’’ katanya.





18 April 2012

DEMONSTRASI - Belia 4B Kg Jati membuat laporan polis



Pengerusi Belia 4B Kampong Jati, Gong Badak, Kuala Terengganu, Ahmad Nizam Abdul Karim, 36, petang ini (18 April) membuat laporan polis berkaitan demonstrasi yang diadakan di depan Wisma Darul Iman.

Laporan itu meminta pihak polis membuat siasatan rapi ke atas kumpulan yang mengadakan himpunan didakwa menganggu ketenteraman dan keselamatan awam, terutama orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan di Wisma Darul Iman.

Laporan itu dibuat kira-kira jam 6.30 petang di Balai Polis Kuala Terengganu.

Cabar Pas biayai sembilan pelajar-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini mencabar pemimpin Pas supaya membiayai pengajian sembilan pelajar yang dikenakan tindakan penarikan balik pinjaman oleh Yayasan Terengganu (YT).

Katanya, mereka yang bertanggung jawab menghasut pelajar-pelajar ini supaya menentang kerajaan, jadi sekarang mereka (Pas dan PKR) perlu mengambil alih membiayai pengajian pelajar berkenaan di Mesir.

“Pas dan PKR bolehlah kongsi separuh sorang tanggung mereka belajar hingga habis,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai demontrasi bantahan yang didalangi pihak pembangkang yang diadakan di perkarangan bangunan Yayasan Terengganu dan Wisma Darul Iman hari ini.

Baru-baru ini kerajaan bertegas menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir walaupun ada pihak menghantar memorandum supaya tindakan itu dibatalkan.

Tindakan itu dilakukan selepas tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta pelajar di negeri ini tidak membabitkan diri dalam demontrasi bantahan anjuran pihak pembangkang.

“Saya harap pelajar di negeri ini tidak mengadaikan masa depan mereka semata-mata terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang sebaliknya beri tumpuan kepada pelajaran untuk membina masa depan yang gemilang,” katanya.






Kerajaan buka ladang kelapa sawit bantu pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan membangunkan kawasan seluas 4,400 hektar untuk tanaman kelapa sawit di Mercang, Marang untuk pelaburan jangka panjang bagi membiayai pelajar- pelajar di negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pertama di bawah Program Ladang Kelapa Sawit Yayasan Terengganu (PLKSYT) ini akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada persediaan kerajaan untuk tempoh jangka panjang serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas yang mungkin akan habis nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, kawasan ini merupakan tapak tanaman akasia tetapi ia tidak menguntungkan lalu kerajaan mengambil inisiatif menukarnya dengan tanaman kelapa sawit dan kerja-kerja menanam akan dimulakan pada Oktober nanti.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan membuka 200 hektar ladang kelapa sawit di bawah program ini dan sedang mencari kawasan sesuai untuk mencapai sasaran berkenaan dan kos tanaman dianggarkan RM15,000 bagi setiap hektar.

Katanya, kerajaan akan laksanakan projek ini secara berperingkat, iaitu antara empat hingga lima ribu hektar setahun bergantung kepada kawasan yang dikenal pasti.

“Tanaman ini akan mencapai tempoh matang selepas tiga dan jika kita ada 200 hektar keuntungan dijangka boleh mencecah sehingga RM70 juta setahun mengikut pasaran sekarang,” katanya.