Halaman

21 April 2012

YT perkenal program pendidikan usaha sama

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Terengganu (YT) sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan program pendidikan secara usaha sama dengan beberapa universiti luar negara di Kompleks Imtiaz Besut.

Pengarahnya, Encik Zakaria Yusof ketika memberitahu perkembangan tersebut berkata, antara negara luar yang terbabit adalah Jordan dan Mesir.

Beliau menjelaskan, pada masa sama, kompleks yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu mampu menempatkan 1,000 pelajar elit apabila siap dibina menjelang 2014.

"Ini bermakna, kompleks ini bukan sahaja untuk penempatan kira-kira 1,000 pelajar elit, malah, kita akan melaksanakan program pendidikan dengan universiti di Jordan dan Mesir.

"Jadi, kita minta orang ramai supaya bersabar dan mengikis persepsi negatif kononnya kompleks ini akan jadi 'gajah putih'. Sebenarnya kita sedang dalam proses perancangan untuk memastikan kompleks ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Encik Zakaria seterusnya menyatakan keyakinannya bahawa program pendidikan dengan universiti luar negara itu turut memberi peluang kepada pelajar menyambung pengajian di kompleks tersebut sebagai persediaan sebelum ke universiti kelak.

“Pihak kami kini memberi tumpuan menyiapkan pagar untuk keselamatan kompleks berkenaan daripada sebarang pencerobohan.

“Buat sementara waktu, kesemua 500 pelajar Kompleks Imtiaz Besut terpaksa ditempatkan di bangunan baru di Kampung Pelagat, Besut,” katanya.2


BN kemuka calon terbaik

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Barisan Nasional (BN) mengemukakan calon yang terbaik untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) bagi memastikan mereka memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Bagi tujuan tersebut, calon-calon yang ‘boleh menang’ telah dikenalpasti bagi bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen di negeri ini.

BN yakin calon berkenaan yang merupakan gandingan antara muka lama dan baru itu akan diterima oleh masyarakat tempatan, sekaligus memastikan hasrat BN untuk mempertahankan negeri Terengganu pada PRU 13, tercapai.

Teganukita difahamkan pada PRU 13 ada wakil rakyat yang sebelum ini bertanding di kawasan DUN bakal beralih ke Parimen pada pilihan raya akan datang.

Langkah pertukaran itu dibuat bagi memastikan BN bakal mengemukakan calon terbaik untuk menang di kawasan DUN dan Parlimen.

Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said optimis BN akan merebut semula beberapa DUN yang calon BN kalah pada PRU 12.

“Kita yakin dapat merebut semula beberapa DUN yang kita kalah pada pilihan raya lalu kerana pengundi di kawasan itu mahu berubah angin,” katanya.

Berdasarkan perkembangan terbaru dan bacaan sikap yang diperolehi daripada pelbagai pihak beliau optimis BN akan menang sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN pada PRU 13.

Jika semua pihak, khususnya jentera BN bekerja keras, kenyataan Menteri Besar itu akan menjadi kenyataan.






Lokasi `happening' jadi tarikan bantu promosi

Oleh: Aida Abd Rahman

Lokasi `mengujakan’ berhampiran pasar raya Maiden Mall dan Giant, Kuala Terengganu dijangka mampu menarik tumpuan orang ramai terhadap Pentas Promo yang diwujudkan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bermula kelmarin (18 April).

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, YPU memilih lokasi yang strategik dan mudah dikunjungi bagi menempatkan Pentas Promo yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan baru mempromosikan pelbagai produk mereka.

“Promosi merupakan satu kaedah yang penting bagi memastikan perniagaan dapat dijual dan meningkat maju. Inilah peluang kepada peniaga dan usahawan untuk mereka memperkenalkan produk kepada orang ramai.

“ Apabila mereka sudah maju kelak mungkin boleh mengembangkan perniagaan di tempat lain ataupun memilih menjalankan perniagaan di premis yang kekal dan lebih besar kelak,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Pentas Promo dan Bazar TTC, di T’Kafe Foof Court, Padang Hiliran, Kuala Terengganu,kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, dato’ Mohamed Awang Tera dan Timbalannya, Dato’ Rosol Wahid dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang.

Dalam pada itu, sebanyak 13 pengusaha melibatkan pelbagai produk termasuk makanan, alat telekomunikasi, ubat-ubatan dan pakaian terpilih menjalankan perniagaan di Bazar TTC dengan menawarkan barangan berkualiti, harga yang kompetitif dan pengurusan yang teratur.

"Kita mahu menghindari kaedah perniagaan yang tidak teratur, mahal dan tidak peramah dengan pelanggan.

"Malah kita juga berharap dengan usaha berterusan YPU ini kita mampu memajukan golongan Bumiputera tempatan dalam keusahawanan dan mampu mencontohi cara kaum Cina yang maju dalam bidang itu," katanya.




20 April 2012

Temui `Teganu Kita' setiap Khamis di TV3

Oleh: Aida Abd Rahman

Teganu Kita - Rancangan terbaru terbitan TV3 memaparkan segalanya yang menarik, mempesonakan dan mengujakan terdapat di bumi Darul Iman negeri pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, bersiaran setiap Khamis, mulai 19 April.

Rancangan 20 episod berdurasi 30 minit yang bermula jam 6 petang terbahagi kepada pelbagai segmen dan topik istimewa mencakupi focus, santai, inspirasi/kejayaan dan diari yang melibatkan tiga perkataan loghat Terengganu.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Encik Rosli Zakaria, berkata program pertama seumpamanya itu menerusi kolaborasi Kerajaan Terengganu dengan rangkaian anak syarikat Media Prima Berhad merealisasikan hasrat bagi mengetengahkan dan menerokai keunikan negeri Terengganu.

Malah,program itu turut menyingkap kejayaan anak Terengganu di persada tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan pendidikan selain kekayaan tradisi dan warisan alam semula jadi negeri yang terkenal sebagai `negeri cantik budaya menarik’.

Katanya, pengambaran dijalankan di lokasi menarik dan menjadi tumpuan di seluruh Terengganu dengan gabungan tiga penyampai, Nik Suryani Megat Deraman, Khairul Irwan Rosli (Ikhwan Hotfm) dan Engku Azmin Engku Zaini.






Terengganu kukuh sebagai hub penerbangan umrah, haji secara terus

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus mengukuhkan kedudukan sebagai hub penerbangan umrah dan haji di Pantai Timur apabila menjalankan kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan `Saudi Arabian Airlines’ bagi memudahkan pengurusan ibadat itu bermula tahun ini.



Usahasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kerajaan Terengganu dengan syarikat penerbangan itu turut membantu mempromosikan industri pelancongan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penerbangan sulung yang bakal membawa 450 setiap penerbangan dijadualkan pada 25 Mei dan 19 Julai ini dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu secara terus ke Jeddah dan Madinah.

“Kerjasama dengan syarikat Saudi Arabia Airlines ini dilaksanakan berikutan syarikat itu yang kebetulan masih mempunyai hub pendaratan di Malaysia bagi membawa penumpang mengerjakan Haji memberi kesempatan kepada kerajaan negeri untuk membawa syarikat penerbangan ini ke Terengganu.

“Sebagaimana dipersetujui dua penerbangan pada 25 Mei dan 19 Julai. Insya-Allah saya akan menulis surat kepada Tabung Haji dan Menteri Agama (Jabatan Perdana Menteri) supaya pada tahun ini diberikan kepada Terengganu sebagai laluan menunaikan haji sebanyak 12 penerbangan dari Terengganu – Jeddah dan Terengganu-Madinah,” katanya ketika sidang akhbar selepas menandatangani MoU itu, di Riyaz Heritage, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam (19 April).

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said; Pengurus Besar Jualan dan Hasil Pengurusan Umrah dan Haji, Sameer A Khayatt.

Menteri Besar berkata, kerjasama ini memberi kemudahan kepada jemaah dari Terengganu dan Pantai Timur amnya sekaligus meletakkan negeri ini sebagai hub umrah dan Haji Pantai Timur.

Sebelum ini, katanya Kerajaan Terengganu melaksanakan penerbangan umrah dan Haji sepanjang empat tahun dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), bagaimanapun usaha itu gagal diteruskan kemungkinan akibat daripada masalah rombakan organisasi MAS atau kekurangan pesawat.

“Oleh itu, kerajaan negeri dengan nasihat Duta Malaysia di Arab Saudi, Dato’ Syed Omar Al-Asagoff serta bantuan penasihat yang dilantik memulakan rundingan dengan penerbangan Arab Saudi sejak dua bulan lalu serta membuahkan hasil yang dimeterai secara rasmi hari ini.

“Bagi sektor pelancongan pula, penerbangan terus dari Jeddah dan Madinah ke Terengganu dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sekaligus mampu memajukan sektor pelancongan negeri yang kaya dengan pulau dan pantai menarik serta Tasik Kenyir yang sedang dibangunkan sebagai eko-pelancongan serta pulau bebas cukai," katanya.







Pulau Bidong destinasi eksklusif Tahun Melawat Terengganu 2013

Oleh FAUZI MOHD


Kerajaan negeri sedia membenarkan pelancong mengunjungi Pulau Bidong sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut beliau, kunjungan pelancong ke Pulau Vietnam itu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk menjaga keindahan alam semula jadi pulau bersejarah itu.

Katanya, kerajaan negeri melalui Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan merangka satu mekanisme terbaik bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan.

"Kita akan kaji beberapa aspek antaranya had kedatangan pelancong setiap hari dan apakah bentuk program atau aktiviti yang ingin dilakukan di Pulau Bidong.


"Kita tidak mahu kecantikan pulau ini tercemar sekiranya dikunjungi terlalu ramai pengunjung pada satu-satu masa, namun tidak pula berhasrat menutup peluang kepada pengunjung yang ingin datang ke sini," katanya kepada pemberita di Pulau Bidong semalam.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Coral Malaysia untuk menjadikan pertandingan merakam gambar dasar laut dan terumbu karang di perairan Terengganu sebagai kalendar pelancongan negeri.


Guna segala kepakaran dan pengalaman mantapkan UMT

Oleh; Esah Abdullah


Prof. Dato' Dr. Ibrahim Komoo di iringi oleh Kepten Prof. Madya Hj. Zainal Ashirin PSSTLDM, Timbalan Komandan PALAPES (L) UMT periksa baris PAsukan Badan Beruniform Pelajar-Pelajar UMT.

Dato’ Prof Dr Ibrahim Komoo yang baharu dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berazam menggunakan semua kepakaran beliau untuk menerajui universiti itu supaya terus unggul di pentas akademik negara.

Sebagai permulaan satu perjumpaan diadakan dengan ahli akademik, pelajar dan petugas di bahagian pengurusan serta pentadbiran bagi membolehkannya mengenal pasti cabaran serta peluang yang dihadapi warga universiti berkenaan.


Penyerahan tugas Prof. Dato' Dr. Aziz Deraman (kiri) & Prof. Dato'Dr. Ibrahim Komoo.

Pengalaman sebagai ahli akademik yang banyak terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa akan disalurkan untuk memantapkan lagi UMT sebagai sebuah instiutsi pengajian tinggi yang digeruni.

Sehubungan itu katanya, sokongan semua warga universiti untuk sama-sama berganding bahu mencapai matlamat universiti amat diperlukan.

"Saya memegang prinsip bekerjasama dengan semua orang sebagai satu pasukan, saling mempercayai dan komited dalam menentukan hala tuju UMT sebagai insitusi pendidikan terulung di negara," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugasnya di UMT petang semalam.

Dato’ Prof Dr. Ibrahim memulakan tugas semalam menggantikan Naib Canselor UMT sebelum ini Dato’ Prof Dr Aziz Deraman yang tamat perkhidmatannya pada 12 April lalu.

Pelantikan Naib Canselor baharu itu adalah untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 13 April 2012 hingga 12 April 2015.


Simbolik kad perakam waktu kelihatan TNC (Akademik & Antarabangsa) Prof. Dr Noor Azhar (kanan) & Timbalan Pendaftar En. Mohd Noor, Shukri Abd. Rahman (tengah).

Dari segi pencapaian akademiknya, Ibrahim pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), dan Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (Seadpri) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini.

Ketokohan beliau menyerlah apabila dilantik sebagai Ahli Biro dan Pakar Antarabangsa oleh Global Geopark Network anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Beliau berkata, sebagai orang baharu di UMT, kerjasama daripada semua warga universiti penting bagi mengetahui lebih dekat sebelum melakasanakan strategi pengurusan yang sesuai.

Terdahulu daripada itu, beliau mendengar taklimat mengenai sejarah dan pembangunan UMT sejak penubuhannya sehingga kini.




Teganukita 58





Sultan Mizan lancar ‘Bidong Underwater and Land Challenge’

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan melancarkan ‘Bidong Underwater and Land Challenge’ sempena Hari Bumi 2012 di Pulau Bidong, Setiu, semalam.



Ketibaan baginda turut diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahim Mohd. Said dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

Baginda turut meluangkan masa menyelam di sekitar perairan Pulau Bidong kira-kira sejam sebelum berangkat pulang pada pukul 2 petang.

Program anjuran Coral Malaysia dengan kerjasama UMT diadakan selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini melibatkan kira-kira 70 orang penyelam.

Pada program itu turut diadakan pertandingan fotografi yang menawarkan hadiah berjumlah sehingga RM20,500.

Sementara itu, Duta Coral Malaysia, Fauziah Latif dalam ucapannya berkata, program pertandingan fotografi dasar laut dan pulau peranginan ini diadakan sejak lima tahun lalu melibatkan perairan Terengganu merangkumi Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Pulau Redang.

Katanya, pemilihan pulau-pulau di Terengganu amat bertepatan apabila ia merupakan antara perairan tercantik di negara.

"Program ini bukan sahaja menjadi acara tahunan di negeri ini kerana ia bukan sekadar pertandingan malah telah mencipta satu 'foto bank' untuk industri pelancongan.

"Pertandingan ini juga akan menaikan imej Terengganu sebagai lokasi selam skuba terindah di dunia apabila foto terpilih akan dipamerkan Malaysia International Diving Exhibition (MIDE," katanya.


Memorandum persefahaman (MoU) operasi Haji dan Umrah capai kejayaan.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines bakal mengadakan penerbangan Haji dan Umrah terus ke Jeddah dan Madinah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) mulai tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said berkata hasil usaha selama beberapa tahun, akhirnya kerajaan negeri berjaya mendapatkan penerbangan terus dari LTSM ke Tanah Suci.

Kejayaan itu dicapai hasil memorandum persefahaman (MoU) operasi Haji dan Umrah yang dimeterai antara kerajaan negeri dengan Saudi Arabian Airlines di sini petang semalam (Khamis 19 April).

"Kita hendak memudahkan jemaah kita untuk mengerjakan Umrah dan Haji dan pada masa yang sama meletakkan Terengganu sebagai Hab Umrah dan Haji Pantai Timur," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Pegawai Kewangan Negeri Datuk Abdul Razak Ismail manakala Saudi Arabian Airlines diwakili Pengurus Jualan Haji Umrahnya, Sammer Khayyat.