Halaman

25 April 2012

Olimpian veteran tidak dilupakan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bukan sahaja mengiktiraf sumbangan atlet muda yang menempa nama di pelbagai peringkat, malah bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa juga tidak pernah diabaikan.



Ini terbukti apabila lima anak Terengganu yang pernah mewakili negara di Sukan Olimpik bermula 1960 hingga 1996 lalu dihadiahkan insentif khas berjumlah RM5,000 seorang yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat di Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, kelmarin (22 April).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.

Lima bekas atlet berkenaan, Allahyarham Kamaruddin Maidin (olahraga), pemain bola sepak Harun Jusoh (Munich, Jerman 1972), Yahaya Jusoh dan Zulkefle Hamzah (Moscow, Russia 1980) serta Chairil Anwar Aziz (Atlanta, Amerika Syarikat 1996 dan Sydney, Australia 2000).

Allahyarham Kamaruddin Maidin diwakili isteri, Rajemah Sheikh Ahmad.

Sementara itu, Harun Jusoh, 65, berkata dia tidak menduga akan dihubungi pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi tujuan menyerahkan ganjaran khas itu.Katanya, dia begitu terharu dan bangga dengan komitmen kerajaan negeri kerana mengiktiraf sumbangannya ketika membawa Terengganu ke pentas dunia pada era 1970-an.

“Saya tidak sangka ada pihak yang masih mengingati orang lama seperti kami. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan hadiah Kerajaan Terengganu pada malam ini yang membuktikan jasa kami tidak pernah dilupakan walaupun hampir 50 tahun `menutup buku ' dari arena bola sepak,"katanya.

Kegembiraan dan rasa terharu itu turut dikongsi adik harun, Yahaya, 60, yang kini sedang menjalani rawatan terapi secara intensif disebabkan penyakit lumpuh sejak tiga tahun lalu.

“Sudah lama tiada pihak yang menjemput kami dan menghubungi kami dalam majlis rasmi seperti ini, apatah lagi menyediakan ganjaran khas seperti ini.

“Terima kasih Menteri Besar dan semua pihak yang tidak pernah terlepas pandang. Saya yakin dengan dasar dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan negeri terutama bola sepak, bidang itu akan terus maju di negeri ini,” kata pemain seangkatan Soh Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari itu lagi


24 April 2012

Terengganu tampil formasi baru

Oleh FAUZI MOHD

Penyokong pasukan bola sepak Terengganu dinasihatkan supaya bersikap rasional dan tidak membuat keputusan mengikut emosi sehingga sanggup melakukan bantahan dan menyerang kediaman Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berikutan kemerosotan skuad Penyu sejak kebelakangan ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tindakan mereka (penyokong) itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain dan juga pihak pengurusan dalam menghadapi perlawanan penting dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan juga Piala FA.

Justeru, beliau mengharapkan penyokong dapat bersabar dan memberikan sokongan yang berterusan kepada pasukan Terengganu serta tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diingin sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Walaupun kita tewas 2-1 ketika menentang Sime Darby itu bukan bermakna kita sudah tidak ada mempunyai peluang di tempat lawan, seperti yang saya selalu kata dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku.

 “Saya akui ketika ini berlaku sedikit kemerosotan dalam pasukan kita terutamanya dalam jumlah jaringan gol dan insyallah setelah kita mengadakan perbincangan hari ini (semalam) beberapa perubahan akan dilakukan termasuk dari segi corak permainan, formasi, tektikal, pemilihan pemain dan sebagainya,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi perbincangan bersama pengurusan PBSNT di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat, Presiden PBSNT, Dato’ Che Mat Jusoh dan Timbalannya, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof.

Dalam pada itu, Ahmad juga memaklumkan bahawa ketika ini pasukan Terengganu mempunyai senarai pemain yang terhad memandangkan ramai tonggak utama mengalami kecederaan antaranya termasuklah kapten pasukan, Marzuki Yusof, Reeshafiq Alwi, Ahmad Nordin Alias dan terbaru Abdul Manaf Mamat.

 “Jadi pada ketika ini kita hanya bersandarkan pemain yang sedia ada, walaupun pada peringkat permulaannya kita mempunyai barisan pemain yang cukup sempurna dan mantap dalam semua posisi.

“Saya yakin selepas perbincangan yang diadakan bersama pihak pengurusan PBSNT kita mampu meningkatkan kembali prestasi pasukanTerengganu dalam saingan kempen Liga Malaysia terutamanya untuk melayakkan dirike pentas final Piala FA,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya pasukan Terengganu masih masih mempunyai ruang untuk berbuat sesuatu dan sekiranya berjaya menggunakan formasi baru ketika menentang kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe.

Sementara itu, Dato’ Che Mat ketika diminta mengulas berhubung desakan penyokong yang memintanya meletakkan jawatan, tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya mahu memberikan perhatian kepada dua perlawanan penting (Piala AFC & Piala FA ) dan terus memimpin skuad Penyu.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin beliau harus bersama pasukannya tak kala pasukan berada dikemuncak kejayaan ataupun sebaliknya.

“Saya tidak mahu perkara seperti ini (desakan penyokong) membunuh moral pemain sebalik memberi keyakinan kepada mereka untuk terus bangkit seterusnya mencapai kemenangan pada perlawanan esok,” katanya.

 

Piala AFC – Terengganu turun tanpa tiga tonggak

Oleh FAUZI MOHD

Tiga tonggak utama pasukan Terengganu mungkin tidak dapat beraksi pada perlawanan pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang pasukan Song Lam Nghe An dari Vietnam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Mereka ialah penyerang Abdul Manaf Mamat, Abdul Syukor Jusoh dan kapten pasukan Sharbinee Allawee yang mengalami kecederaan ketika menentang Sime Darby dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA Sabtu lalu.

Ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris berkata, bagaimana kedudukan Sharbinee akan diputuskan kelak sama ada dapat beraksi atau sebaliknya.

Katanya walaupun kehilangan tiga tonggak, beliau tetap akan menurunkan barisan kesebelasan terbaik.

"Pada perlawanan malam esok, kita telah membuat beberapa perubahan dari segi permainan dan beberapa formasi baru.

"Saya harap perubahan dan sentuhan yang dilakukan itu akan menjadi dan peluang itu akan digunakan sepenuhnya oleh anak buah saya untuk mengekalkan kemenangan dan memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Pada perlawanan bulan lalu, Terengganu menewaskan kelab Vietnam itu menerusi jaringan tunggal Abdul Manaf.

Terengganu yang ditempatkan dalam Kumpulan F kini memperoleh enam mata hasil dua kali menang dan dua kali kalah. Pasukan lain dalam kumpulan itu ialah Kitchee dari Hong Kong dan Tampines Rovers dari Singapura.

 

SIDANG DUN : Siapa mahu 'bunuh' peniaga Pasar Payang?

Oleh FAUZI MOHD

Pemimpin PAS tidak pernah ‘gersang’ daripada tuduhan membabi buta kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam usaha memenuhi ‘serakah’ politik mereka serta mencipta gimik murahan.

Sikap terburu-buru mahu menjadi juara kepada masalah rakyat adakalanya memperlihatkan pemimpin parti itu bersikap rakus melempar tuduhan tanpa mempunyai asas pengetahuan yang baik.

Ikuti pendedahan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 April 2012 mengenai sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengenai Pasar Payang?

[VIDEO]


ITC rangka pelan jangka panjang pelancongan Islam

Oleh; Esah Abdullah 

Pusat Pelancongan Islam (ITC) sedang menyiapkan kajian secara menyeluruh mengenai pelancongan Islam di negara ini yang dijangka dapat diserahkan kepada Kementerian Pelancongan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Ketua Pengarah ITC, Encik Abdul Rahman Shaari berkata, kajian tersebut merupakan pelan jangka panjang yang boleh diguna pakai sehingga tahun 2020 merangkumi pelbagai aspek untuk meningkatkan pembangunan strategi yang inovatif pelancongan Islam di negara ini.

“Ia meliputi definasi pelancongan Islam sehingga kepada produk yang sesuai bagi tujuan promosi ke pasaran dunia serta perkhidmatan yang disediakan, yang mampu bersaing dengan negara-negara lain dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka,” katanya kepada pemberita pada Seminar Serantau Pelancongan Islam di Primula Beach Resort semalam.

Menurutnya, ITC telah melantik sebuah syarikat konsaltan untuk menyediakan pelan berkenaan dan berharap ianya akan diguna pakai oleh kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan khususnya yang berunsurkan Islam.

Katanya, kerajaan mensasarkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini meningkat kepada 36 juta orang pada tahun 2020 dan daripada jumlah itu dianggarkan lebih 32 peratus adalah pelancong dari negara-negara Islam.

Pada tahun lalu Malaysia mencatatkan kedatangan pelancong seramai 24.7 juta dan bilangan itu akan terus meningkat setiap tahun.

 Beliau berkata, pasa masa ini negara menjadi tumpuan pelancong terutama dari negara Iran, Qatar dan Arab Saudi sama ada untuk bercuti atau berbulan madu dan pulau menjadi destinasi utama pilihan mereka.

Dalam hubungan itu katanya, ITC akan sama-sama membantu kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong di samping meningkatkan kemudahan yang sedia ada.

 ``Ini kerana pelancong akan membuat pilihan negara yang ingin dilawati, oleh itu pemain industri perlu sentiasa peka mengenai promosi terbaru dan kreativiti dalam meyediakan kemudahann atau ketika melayan tetamu’’ ujarnya

 ITC yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pelancongan pada 2009 adalah untuk membantu kementerian dalam menjalankan kajian strategik dan maklumat pasaran mengenai pelancongan khususnya pelancongan Islam.

 Seramai 100 peserta melibatkan pelbagai latar belakang termasuk pensyarah dan penuntut institut pengajian tinggi, pengusaha pelancong, hotel dan kakitangan kerajaan menyertai seminar dua hari anjuran ITC.

Terengganu merupakan destinasi kedua dianjurkan seminar berkenaan yang bermula di Negeri Sembilan pada 16 April lalu. Selepas ini seminar tersebut akan diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Sarawak.

MENTERI BESAR YANG BERANI DAN JUJUR


Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dengan dada yang lapang penuh keikhlasan menerima kehadiran Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri untuk menyerahkan memorandum berkaitan isu tanah yang cuba dibangkit dan putarbelitkan.

Dato’ Seri Ahmad yang amat sibuk di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman dengan sentiasa tersenyum tetap memberi ruang masa untuk menerima kehadiran Satiful Bahri dan rombongan.

Walaupun sebelumnya, dalam ucapan semasa demonstrasi di depan Wisma Darul Iman, di sini pagi ini pemimpin Pas terang-terangan memaki hamun pemimpin Umno termasuk melaungkan:


Sidang DUN: Tabung kronik bantu 509 pesakit

Oleh: Suriati Ali

Tabung Penyakit Kronik yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu sejak 2010 lalu sudah memberi manfaat kepada 509 pesakit yang menderita pelbagai penyakit berbahaya dan memerlukan perhatian segera.

Jumlah itu termasuk 122 permohonan yang telah diluluskan sepanjang tiga bulan pertama bagi tahun ini dengan melibatkan kos lebih RM374 ribu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata tabung itu diwujudkan atas kesedaran kerajaan melihat pelbagai penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama yang berdepan dengan penyakit kritikal dan memerlukan bantuan perubatan.

“Rayuan-rayuan itu biasanya dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, malah ada yang memohon terus dengan kerajaan negeri.

“Tidak kurang juga kisah malang mereka mendapat liputan di dada akhbar tempatan dan media elektronik bagi mendapat belas kasihan dan simpati orang ramai,” katanya ketika pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-12, pada hari kedua, hari ini.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan contohnya, walaupun menyediakan berbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan yang memerlukan, namun skim dan bantuan itu dalam kadar maksimum dan agak terhad.

“Menyedari kelemahan itu kerajaan mengambil langkah segera dengan menubuhkan tabung berkenaan yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat yang layak dan boleh memohonnya melalui pemimpin di kawasan masing-masing,” katanya.

YB Dr Haji A Rahman turut memberitahu, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi lain telah melakukan pelbagai program tranformasi semata-mata mahu memupuk semangat tolenrasi, kerjasama dan sepakat antara pelbagai bangsa dan kaum.

“Program yang diwujudkan itu, termasuk program rukun tetangga, Kelab & Sekretariat Rukun Negara, minggu perpaduan, debat perpaduan, lawatan intergrasi dan pelbagai program bersama masyarakat,” katanya.


Sidang Dun : Tangani `Parti Ajaran Sesat' melalui parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri giat memerangi penyelewengan, pembohongan dan penyalahgunaan fakta berhubung Islam yang dicetuskan puak Pas menerusi tindakan parti politik.

 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata kerajaan melihat isu Pas (Parti Ajaran Sesat) berkait rapat dengan politik kerana parti itu mempolitik dan mempergunakan agama untuk kepentingan politik mereka.

 “ Maka dalam keadaan sedemikian adalah kurang bijaksana jika kerajaan mengambil tindakan menerusi proses pentadbiran (kerajaan)..kerana nanti orang akan mengatakan kerajaan mengambil tindakan kepada parti ini untuk mengekalkan kuasa kerajaan. Oleh kerana itulah ia juga dibuat penjelasan semula melalui tindakan politik,” katanya menjelaskan soalan tambahan Haji Ramlan Ali (BN-Jabi) yang memohon penjelasan mengenai banyak sepanduk dipasangkan di tepi jalan seluruh negeri ini yang mengatakan Pas sebagai `Parti Ajaran Sesat’.

Beliau yang juga wakil BN-Batu Rakit berkata, parti kerajaan mengambil tindakan menerusi ceramah bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai parti pembangkang itu yang memperjuangkan agama Islam dengan cara tidak betul atau dengan istilah lain `sesat’.

 “Inilah akibatnya apabila kita mempolitikkan agama. Saya juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa agama Islam merangkumi politik, berniaga, makan, beristeri dan sebagainya. Tetapi tidak semua perkara-perkara dalam politik, berniaga dan sebagainya adalah agama.

 “Kalau saya sebut ayam bertelur tidak semua telur itu telur ayam..mungkin telur itik, telur ular..mungkin telur biawak tetapi ayam memang bertelur. Begitu juga dengan kes ini. Agama merangkumi semua perkara dalam kehidupan kita. Tetapi bukan semua dalam kehidupan kita ini berkait dengan agama. Sembahyang…betul agama. Makan..itu hal dunia. Begitu juga politik..pentadbiran dunia, tetapi agama ajar kita berpolitik dan agama juga mengajar macam mana hendak makan” katanya lagi.

Selain itu, usaha kerajaan memerangi agenda pembangkang sebagai satu `Parti Ajaran Sesat’ ini merupakan tindakan bijak bagi menjaga kesucian agama yang dipolitikkan oleh puak itu sehingga menimbulkan banyak kerosakan dalam masyarakat kini.

“Sebagaimana yang dinyatakan oleh wakil Hulu Besut tadi, kita sembahyang Jumaat dua (solat) dalam satu kampung yang kecil kadang-kadang berlawan baca khutbah, kita tidak ikut arahan, walaupun arahan yang baik dan tidak bertentangan dengan agama,” katanya.

 

Sidang Dun: Kerajaan sedia terima penarikan amanat Hadi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersedia menerima penarikan semula amanat yang pernah dibuat bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) berhubung isu berimamkan orang Umno tidak sah sehingga mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat berkata kerajaan negeri bersikap terbuka dan sedia menerima wakil Rhu Rendang untuk membetulkan perkara yang terkandung dalam amanat beliau di Banggol Peradong pada 1982 berhubung isu itu.

 “Sehingga kini, pihak kami tidak memperolehi maklumat rasmi mengenai perkara (menarik balik amanat) itu. Bagaimanapun, amat baik sekali lah jika wakil Rhu Rendang cuba membetulkan semula perkara ini kerana mengikut laporan yang diterima daripada Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) mengenai dua sembahyang Jumaat dalam satu mukim, sebahagian besar yang ditemui (penyokong Pas) dan berbincang mengatakan mereka terikat dan terikut dengan apa yang difatwa oleh pemimpin (Abdul Hadi) mereka pada masa lalu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-12, pada hari kedua, pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Haji Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mengenai ada maklumat yang menyatakan pihak kerajaan sudah berbincang dengan pemimpin Pas bahawa Abdul Hadi bersetuju ke Hulu Besut bagi menarik semula amanat berkenaan.

 Usaha atasi isu dua solat-satu kariah

 “Sebenaranya sudah banyak usaha-usaha yang sudah dilaksanakan kerajaan termasuklah dengan memberi penerangan mengenai hukum mengadakan dua solat Jumaat dalam satu kariah dan fatwa sudah dikeluarkan pada 1981 mengenai satu kes yang berlaku di Terengganu.

 “Selain itu kerajaan juga melihat dan menyiasat perkembangan masjid-masjid tersebut dan apabila ada syarat-syarat yang mencukupi untuk diluluskan..ada setengah-setengah masjid sudah diberikan kelulusan untuk dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat walaupun dalam satu kampung apabila kampung itu besar, penduduk ramai dan sebagainya,” katanya yang juga wakil BN-Batu Rakit.

Selain itu, Haji Khazan menjelaskan Maidam menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyatuan Jumaat dalam satu mukim melibatkan panel yang dilantik dari satu pasukan khas yang bebas. Katanya, Jawatankuasa yang dilantik terdiri dari pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) bagi membuat kajian terperinci mengenai punca serta cadangan yang boleh dipertimbangkan bagi menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata, mengikut Mazhab Shafie apabila berlaku dua sembahyang Jumaat dalam satu kampung, masjid yang diberi pengiktirafan dan diperakukan oleh kerajaan itulah yang sah.

 “Bagaimanapun, secara umum, dalam keadaan tiada pengiktirafan dan sebagainya, mana-mana yang dulu itulah yang sah. Sebab itulah satu masa dulu sebelum fatwa dan penjelasan dibuat mereka berlumba untuk mengadakan sembahyang Jumaat dengan cepat, supaya mereka dapat buktikan sembahyang mereka sah kerana sembahyang dulu (pertama).

 “Yang kedua, jawatankuasa ini baru diwujudkan, sebahagian hasil perbincangan dan kajian belum sesuai untuk dibentangkan dalam sidang dewan kali ini,” katanya.

 Ketika wakil kerajaan memfokuskan kepada isu itu, Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengemukakan soalan tambahan yang `terkeluar’ daripada soalan yang diperbincangkan, iaitu mengenai masalah pelajar sekolah rendah dan menengah di Terengganu yang tidak tahu cara bersolat.

 “Inilah Wakil Wakaf Mempelam, dia pandai bercakap Yang Dipertua..Dia bercakap yang kita tidak fokus tetapi dalam kita bincang mengenai dua solat Jumaat dalam satu kariah, dia gi baham soal budak tidak reti sembahyang. Mana fokusnya? Ini orang panggil,` tunjuk ke orang lain,tetapi hok diri sendiri banyok saloh’ `kuman seberang laut nampak, tapi gajoh depan mata tidak nampak’. Jadi kena fokus molek.Tiada masalah bincang di dewan..pelajar-pelajar duduk memerhati (pemerhati) jadi tunjuklah cara kita yang bijaksana," katanya.

Sementara Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) turut mencelah supaya Abdul Wahid lebih fokus kerana isu dua solat Jumaat itu penting dan terkandung dalam titah tuanku.

 

Industri burung walet jana hasil RM1.6 juta sebulan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 1,700 pengusaha sarang burung walet di negeri ini mendapat sentuhan baru apabila Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mewujudkan sebuah pusat pengumpulan sarang burung walet bagi memudahkan pengusaha memasarkan hasil tuaian mereka.

 Pengarahnya, Encik Shamsuddin Mat Rani berkata, langkah jabatan sejajar dengan perkembangan industri itu sebagai suatu perusahaan bernilai tinggi.

Katanya, usaha ini membolehkan para pengusaha menjual hasil mengikit harga pasaran semasa dan lebih telus berbanding hasil yang dijual kepada orang persaorangan.

 “Harga semasa kini mencecah RM1,800 hingga M2,300 sekilogram dan dijangka terus meningkat kerana ia mendapat permintaan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pembukaan Pusat Pengumpulan Sarang Burung Walet di Pejabat PPNT Manir, Kuala Terengganu semalam.

Majlis Pelancaran berkenaan telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris.

Beliau berkata, industri burung walet pada masa ini berkembang pesat dan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 1,000 (satu metrik tan) dengan nilai mencecah RM1.6 juta sebulan.

Katanya, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 480 buah premis didaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri yang dijadikan penempatan burung walet.

Daripada jumlah berkenaan katanya, 150 buah merupakan premis kedai dan 330 buah adalah premis rumah sebuah yang membabitkan 228 orang pengusaha Melayu dan 252 orang pengusaha berbangsa Cina.

Menurutnya, melalui 15 wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang telah dilantik sebagai ajen pembeli dapat memudahkan pengusaha di seluruh negeri untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka.

Tambahnya, pusat pengumpulan hanya mengkelas sarang burung wallet kepada tiga gred sahaja iaitu gred A, gred B dan gred C iaitu yang mempunyai ciri-ciri tertentu antaranya dari segi warna, bentuk sarang, ketebalan saiz serta ketinggian sarang.