Halaman

25 April 2012

59 pelumba jetski sertai cabaran Terengganu World Invitational Jetrace

Oleh FAUZI MOHD



Kejohanan Terengganu World Invitational Jetrace Challenge di Pantai Batu Buruk mulai Jumaat ini bakal disertai 59 pelumba yang akan bersaing merebut hadiah keseluruhan bernilai RM180,000.

Selain Malaysia, kejohanan jetski bertaraf dunia selama tiga hari itu akan disertai pelumba dari 10 buah negara iaitu Australia, Perancis, Thailand, Britain, Jepun, Brunei, Finland, Greece dan Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, kejohanan jetski yang masuk tahun ketiga itu melibatkan sembilan kategori pertandingan.

Katanya, program anjuran kerajaan negeri dan Kelab Marina Terengganu itu mampu melonjakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan popular di peringkat antarabangsa.

“Selain kategori Pro-AM Runabout, Expert Runabout dan Master Runabout, perlumbaan kelas Endurance satu acara lasak dengan mengambil masa tidak kurang dari 1 jam 15 minit dengan hadiah kejohanan tertinggi, RM18,000.

“Peserta akan melalui cabaran di kawasan litar terbuka antara Pantai Batu Buruk dan perairan menghala ke Pulau Kapas dengan meredah ombak, arus dan angin laut,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, dekat sini hari ini.

Tambah Dato’ Abdul Rahin, kejohanan itu turut menerima beberapa juara dunia sukan jetski yang dapat memberi suntikan semangat seperti juara dari Perancis, Mehdi Menad, Seth Wilkinson (Britain), Toshi Ohara (Jepun) dan Supak Settura (Thailand).

“Turut memberi saingan, pasangan adik beradik dari Terengganu serta 29 lagi pencabar lain dari seluruh negara,” kata beliau.

Menurut beliau, dalam usaha membudayakan sukan itu di negeri ini, elemen hiburan dan santai akan turut disediakan bagi penglibatan pelbagai peringkat usia sebagai satu tarikan.

"Selain perlumbaan jetski, aktiviti lain turut disediakan seperti pertandingan layang-layang, bola sepak pantai, bola tampar pantai dan sukan berkuda,” jelasnya.


Sidang DUN: Dana pinjaman RM50 juta diluluskan

Oleh: Suriati Ali

SIDANG Dewan Undangan Ne geri (DUN) Ke-12 hari ini, meluluskan penubuhan Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu mengikut Seksyen 10(4)(b) Akta Acara Kewangan 1957 Akta 61.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kelulusan dana pinjaman bernilai RM50 juta itu melayakkan rakyat Terengganu berusia 18 ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM3,000 layak membuat pinjaman sehingga RM50,000.

Katanya, apa yang lebih istimewanya dana pinjaman berasaskan Syariah itu mengenakan kadar faedah rendah berbanding pinjaman dengan institusi perbankan lain.

“Penyediaan dana pinjaman perumahan untuk anak Terengganu ini membuktikan kerajaan amat prihatin kepada keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan bagi memastikan mereka mampu memiliki rumah sendiri yang selesa,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pemohon perlu membina sendiri rumah berkenaan di atas tanah milik pemohon berdasarkan geran hak milik dan perlu mencagarkan geran itu kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Nege ri Terengganu (SEDC) bagi memastikan pemohon tidak mengingkari syarat tempoh bayaran balik pinjaman itu.

Katanya, pemohon boleh memohon mengikut jumlah diingini dan tidak lebih RM50,000 bagi seorang peminjam serta mematuhi tempoh dan kadar bayaran balik yang di tetapkan.

“Cagaran ini bertujuan memastikan peminjam mematuhi syarat bayaran balik pinjaman kerana kita keluarkan pinjaman yang besar, justeru jika tidak dibayar, ia akan menimbulkan masalah kepada kerajaan,” katanya.




Sidang DUN: Dato' Rosol minta tarik balik amanat Haji Hadi

Oleh: Suriati Ali

Dato Rosol Wahid (BN-Ajil)memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN, semalam dengan meminta Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengembalikan semula perpaduan umat Islam negara ini dengan menarik balik amanat Haji Hadi yang dikeluarkan pada tahun 1982.

Menurut Rosol, Ahli Parlimen Marang itu perlu turun ke semua kawasan yang masih lagi mengamalkan dua solat Jumaat dalam satu qariah dan memperbetulkan keadaan kerana semua itu dikatakan berpunca daripada amanat Hadi di Panggol Peradong.

“Bersetuju atau tidak, saya bagi pandangan dalam dewan ini oleh kerana perpecahan itu bermula dari Pas, kita minta wakil Rhu Rendang pergi ke kawasan-kawasan yang masih berlaku perpecahan dan tarik balik amanat itu.

“Kalau setuju kita minta keputusan dewan,” katanya ketika Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Cadangan itu kemudiannya disokong Muhammad Ramli kerana menganggap perpecahan sudah sekian lama berlarutan ekoran sikap penyokong pembangkang enggan berimamkan dan gunakan khidmat jurunikah dilantik oleh kerajaan.

Keengganan itu didorong oleh fatwa dikeluarkan pemimpin mereka yang mengatakan berimamkan orang UMNO tidak sah.

“Kita setuju sangat, sudah lama kita minta dia (Abdul Hadi) pergi demi perpaduan Islam, molek saya setuju,” katanya.




Kerajaan lulus 14,595 lot tanah dalam tempoh empat tahun

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri meluluskan 14, 595 lot tanah kepada 14,595 rakyat di negeri ini dalam tempoh 2008 hingga 15 April 2012.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata daripada jumlah berkenaan 5,166 lot merupakan tanah pertanian membabitkan 5,166 pemohon manakala tanah tapak rumah (9,429 lot) kepada 9,429 pemohon di seluruh negeri.

“Tidak pernah berlaku sebelum ini, kerajaan berjaya meluluskan sebegitu banyak permohonan tanah dalam tempoh yang amat singkat iaitu empat tahun,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir) di Sidang Dewan Undangan Negeri pada hari ketiga hari ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman 13 tahun dalam kerajaan negeri termasuk sembilan tahun sebagai Exco kerajaan negeri banyak tanah berjaya diberikan kepada rakyat.

Bagi mengulas lebih lanjut soalan wakil Pas- Manir, Menteri Besar memperincikan jumlah kelulusan mengikut daerah iaitu Besut sebanyak 2,319 lot membabitkan 2319 pemohon (tanah pertanian 1,186 lot dan tapak rumah 1,133 lot).

Daerah Dungun sebanyak 3065 lot untuk 3065 orang pemohon yang berjaya iaitu lot pertanian (131) dan tapak rumah (2934), Hulu Terengganu 3141 lot kepada 3141 pemohon iaitu lot pertanian (2,229) tapak rumah (915) dan Kemaman sebanyak 2, 517 lot iaitu tanah pertanian (640 lot) dan tapak rumah (1,877 lot).

Daerah Kuala Terengganu sebanyak 1411 lot iaitu tanah pertanian (78 lot) dan tapak rumah (1333 lot), Marang sebanyak 421 lot iaitu tanah pertanian (56 lot) dan tapak rumah (365 lot) serta Setiu sebanyak 1643 lot iaitu tanah pertanian (771 lot) dan tapak rumah (872 lot).

“Dengan kelulusan itu beerti seramai 14,595 rakyat di negeri ini berjaya memiliki tapak pertanian dan tapak rumah dalam tempoh empat tahun dan ini membuktikan kejayaan kesungguhan kerajaan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Menteri Besar menegaskan, semua lapisan rakyat layak memohon tanah termasuk warga emas dan baru-baru ini seorang warga emas berusia 89 tahun turut menerima geran tanah dalam satu majlis di Hulu Terengganu.





Kerajaan tidak zalim kepada rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan tidak pernah menzalimi rakyat dalam isu pengambilan balik tanah di mana bayaran pampasan dibuat berdasarkan peraturan di samping sedia tapak baru kepada mereka untuk diduduki.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, apa yang berlaku terhadap 22 keluarga di Kampung Banggol Donas, Kuala Nerus adalah pilihan mereka sendiri.

“Kerajaan tawar pampasan dan tapak rumah sebagai ganti tapi kesemuanya mereka tolak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ketiga hari ini.

Katanya, pengambilan balik tanah berlaku membabitkan jalan pintas daripada Banggol Tuan Muda ke Gemuruh dan hanya 22 keluarga menolak apa yang kerajaan tawarkan.

“Penyokong kerajaan di kawasan ini telah menerima pampasan dan tapak rumah yang disediakan dan sebahagiannya telah pun membina rumah dan berpindah ke tapak baru berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan prihatin terhadap apa yang berlaku dan sedia berbincang bagaimanapun, penduduk terlibat yang menolak permintaan.

“Saya minta jasa baik sahabat saya (pemimpin pembangkang) dapat memujuk mereka ini untuk menerima pampasan dan tapak rumah yang kerajaan sediakan untuk mereka,” katanya.

Katanya, kerajaan bayar pampasan mengikut undang-undang pengambilan tanah dan jika mereka tidak berpuas hati dengan nilaian yang diterima mereka ada hak untuk membawanya ke mahkamah.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga mencabar pemimpin pembangkang supaya bersumpah bahawa rumah yang dirobohkan di Kampung Bujal, Kemaman bukan sebuah masjid seperti yang didakwa.

“Saya berani bersumpah bahawa itu bukan sebuah masjid tetapi tidak lebih daripada sebuah rumah yang dibina pembangkang dengan mengajak pengikutnya menunaikan solat di situ dan masjid sebenar ada di kawasan berdekatan,” katanya.

Menteri Besar juga turut meminta para pemimpin pembangkang mentarbiahkan diri dan pengikutnya terlebih dahulu sebelum mentarbiahkan orang lain.





Buku : 4 TAHUN MENUNAIKAN AMANAH


Pas gagal pujuk rakyat sertai demo haram

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pas gagal meraih sokongan penduduk tempatan untuk menyertai demonstrasi haram di depan Wisma Darul Iman, yang kononnya menuntut keadilan berhubung pengambilan balik tanah di beberapa kawasan di negeri ini.



Perhimpunan itu yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat, hanya mampu menghimpun kira-kira 1,000 penyokong Pas dengan sebahagiannya ‘diimport’ dari negeri-negeri lain, termasuk Kelantan.



Teganukita difahamkan, mengikut perancangan asal parti itu mahu mengumpulkan 50,000 orang di depan Wisma Darul Iman bagi menarik perhatian ketua-ketua jabatan dan pemerhati yang mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Bagaimanapun, ia gagal menarik sokongan orang ramai yang semakin muak dengan sikap pembangkang yang mahu menimbulkan suasana tidak aman dan menganggu keselamatan negeri dan negara.

Perhimpunan itu dianjurkan Pas kerana kononnya kerajaan negeri bertindak menindas rakyat dalam beberapa isu pengambilan balik tanah di Paka, Setiu dan Kuala Nerus, sedangkan hakikat sebenar ia dilakukan mengikut prosedur dan tidak menganiayai mana-mana pihak.

Bahkan, kerajaan negeri memberikan pampasan yang setimpal kepada beberapa penduduk kampung yang terlibat dengan pengambilan balik tanah yang dilakukan bagi kepentingan umum.

Perhimpunan haram itu menyerlahkan sikap sebenar pemimpin Pas yang cuba menjadi jaguh dengan mengabui mata rakyat, tetapi pada yang sama menyembunyikan fakta sebenar.

Sebenarnya tidak timbul isu kezaliman berhubung pengambilan balik tanah yang didakwa pembangkang, tetapi disebabkan mereka ‘tidak ada kerja’ untuk dibuat, mereka mencipta isu bagi menimbulkan rasa benci rakyat terhadap pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam hal ini, kita semua patut memuji Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, yang berjiwa besar memberi persetujuan untuk melayani kerenah pemimpin Pas yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan haram itu.

Di sebalik kesibukan menunaikan amanah membangunkan negeri ini, termasuk menghadiri sidang DUN, beliau dengan dada lapang dan penuh keikhlasan, sanggup menerima kehadiran Satiful Bahri, bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu tanah tersebut.

Dato’ Seri Ahmad tidak melenting, sebaliknya dengan wajah manis dan sentiasa tersenyum, menerima kehadiran Satiful Bahri dan rombongan serta memberi jaminan akan mengkaji memorandum berkenaan.

Tidak ada maki hamun dan kata nista dilemparkan Menteri Besar kepada pemimpin Pas walaupun sebelum itu, di depan Wisma Darul Iman, pemimpin Pas tanpa segan silu memaki hamun pemimpin Umno termasuk melaungkan: “Hancur Umno, hancur BN”.

Itulah beza antara pemimpin Umno dan BN yang berjiwa besar dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat berbanding pemimpin Pas yang gemar memaki dan mencerca pemimpin Umno dan BN, tanpa sebab yang munasabah.


Penjawat awam diminta jadi jentera pelaksana

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di negeri ini diminta menjadi jentera pelaksana yang sentiasa berada beberapa langkah di hadapan supaya tiada ruang untuk di cemuh rakyat sebagai satu organisasi yang ketinggalan zaman.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mereka perlu bersiap sedia menghadapi cabaran di samping bijak menyelesaikan masalah pelbagai perkara terutama berkaitan karenah birokrasi.

Katanya, pihaknya mengakui Terengganu masih jauh ketinggalan berbanding negeri maju lain seperti Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

“Di negeri-negeri maju, kerajaan hanya perlu menjadi jambatan atau pemudah cara untuk melunaskan hajat pelabur-pelabur untuk mendirikan industri dan hasilnya akan datang melalui cukai.

“Oleh itu, amatlah wajar pegawai-pegawai kerajaan meningkatkan ilmu dan kecekapan mereka dengan mempelajari cara atau formula bekerja di negeri membangun dengan mengadaptasikan kaedah dan gerak-kerja itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku 4 Tahun Menunaikan Amanah, Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Penasihat Undang-undang Negeri, NoorBahri Baharuddin.

Menurutnya, penjawat awam tidak perlu malu untuk menimba ilmu kerana ia untuk kepentingan bersama dalam membantu meningkatkan hasil kerajaan negeri.

“Saya menggalakkan kakitangan kerajaan mengambil inisiatif untuk menyambung pelajaran atau menghadiri kursus-kursus yang fokus kepada tanggungjawab hakiki atau mencari pengalaman melalui program pertukaran antara jabatan-jabatan persekutuan,” katanya.

Katanya, masa kerajaan yang memerintah terbatas kepada 5 tahun dan dalam tempoh ini, hukuman atau sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah bergantung kepada kecekapan anggota-anggota kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.

“Dalam tempoh 5 tahun ini kerajaan perlu memastikan segala janji yang dibuat kepada rakyat dapat ditunaikan. “Prestasi kerajaan sentiasa dipantau oleh rakyat kerana mereka mahukan yang terbaik dan tidak akan berpuas-hati dengan perkhidmatan yang diberi,” katanya.


Sidang DUN : Kerajaan bina 1,201 unit rumah 2008-2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berjaya menyiapkan 1,201 unit rumah Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Kos Rendah di seluruh Terengganu bermula 2008 hingga tahun lalu.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata sepanjang tempoh itu, lima projek RMM melibatkan 678 unit, manakala selebihnya menerusi tiga projek RKR.

“Jumlah keseluruhan 1,201 unit rumah berkenaan masih belum diagihkan kerana sebahagiannya belum mendapat Sijil Perakuan menduduki Bangunan (CF) manakala sebahagiannya lagi sedang dalam proses mendapatkan CF,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Dato’ Harun Taib (Pas-Manir) di persidangan Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri bercadang membina kira-kira 10,000 unit RMM dan RKR dalam tempoh lima tahun yang melibatkan 43 projek dengan kos RM700 juta bermula 2008 hingga 2013.

“Daerah Kemaman melibatkan 1,451 unit yang sedang dijalankan dan projek baru sebanyak 500 unit akan dimulakan bulan depan, di Kuala Terengganu sebanyak 2,374 unit dan jumlah itu tidak termasuk 1,002 unit yang dibina oleh Kerajaan Pusat di Padang Hiliran. Daerah Besut pula 1,245 unit, Setiu (133 unit), Marang (383 unit), Dungun (1,133 unit) dan Hulu Terengganu (626 unit).

“Jumlah itu menjadikan tambahan 6,937 unit yang dicampur dengan 408 unit (perumahan Ladang Tok pelam) dengan jumlah sebenar 7,345 unit dan terbaru tambahan 1,100 unit yang baru dikeluarkan bulan lalu. Keseluruhannya sebanyak 8, 445 unit rumah yang akan dibangunkan di Terengganu ," katanya.





Bantuan modal berdikari Maidam

Oleh: Mohammad Ishak


Seorang nelayan kecil pesisir pantai,Nordin Mohd Zin,44, dari Kampung Tandak, dekat Jertih, tidak akan melupakan jasa kerajaan yang berusaha memulihkan kehidupanya sebagai nelayan apabila penderitaanya selama ini akhirnya mendapat perhatian pihak terbabit.



Tindakan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), yang tanpil menyumbangkan sebuah enjin bot sangkut jenis Suzuki kini melegakan nelayat terbabit apabila dia dapat meneruskan kehidupan sebagai nelayan.

Nordin yang mencari nafkah sebagai nelayan kecil persisir pantai sudah lama tidak turun ke laut kerana menghadapi masalah kerosakkan enjin bot sebelum yang sebelum ini kerap rosak dan memerlukan kos tinggi untuk membaikinya.

Kini Maidam benafas lega apabila Maidam menyumbangkan enjin bot berharga RM10,000 yang disampaikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, di rumahnya semalam. Hadir sama pada majlis penyerahan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maidan, Wan Harujan Sulaiman.

Selain itu, Maidam juga turut member bantuan kewangan RM10,00 untuk membaiki pulih rumah termasuk menukarukar atap, dinding rumah dan ruang hadapan rumah berkenaan.

Nordin yang mempunyai tanggungan besar termasuk sembilan anak berusia antara 20 hari hingga 19 tahun, terharu dengan kehadiran Idris dan Wan Harujan ke pondok usangnya sambil menyampaikan sumbangan untuk memulihkan semula kehidupanya yang sudah lama terbantut.

Idris berkata, sumbangan Kerajaan Negeri melalui agensinya sebahagian usaha untuk membantu rakyat negeri ini terutama mereka yang memerlukan peralatan untuk menjalankan kerja harian.

Katanya, pelbagai bantuan kini disediakan kerajaan untuk membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik tetapi dalam masa sama rakyat perlu menyokong kerajaan sedia ada kerana ia mampu meneruskan agenda
membela nasib rakyat.