Halaman

07 May 2012

Jangan pertikai calon

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu mengingatkan semua pengundi terutama golongan wanita tidak pertikaikan calon Barisan Nasional (BN) sebaliknya beri sokongan penuh tanpa mengira siapa dan asal usulnya.

Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, semua pihak perlu akur siapa saja calon dipilih pucuk pimpinan, yang penting dan perlu diberi penekanan ialah kekalkan kuasa BN di negeri dan negara ini.

“Keamanan dan kestabilan pemerintahan di bawah BN perlu dipertahankan dan menjadi tanggung jawab semua rakyat yang cintakan kemakmuran,” katanya kepada Teganukita.

Melalui gerak kerja yang dilakukan oleh jentera wanita diperingkat akar umbi, beliau yakin BN mampu mengekalkan dua pertiga kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya yakin 50 peratus pengundi wanita adalah penyokong BN dan golongan ini merupakan pengundi setia yang tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak luar,” kata Ketua Wanita Bahagian Hulu Terengganu.

Menurutnya, jentera wanita di arahkan untuk terus berdamping dengan pengundi di peti-peti undi seluruh negeri sehinggalah tarikh PRU diumumkan.

“Jentera kita tidak akan berhenti berkempen dan menjadi pendamping setia masyarakat, beramah mesra dan akan memberi penjelasan segera terhadap isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang,” katanya.





Hanya 11 peratus pertubuhan belia hantar laporan tahunan

Oleh FAUZI MOHD

Hanya kira-kira 11 peratus daripada 537 pertubuhan belia di negeri ini mengemukakan laporan tahunannya kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mengingatkan peneraju pertubuhan-pertubuhan itu supaya menunaikan tanggungjawab itu untuk mengelakkan tindakan pembatalan dilakukan.

Pengerusi MBNT, Mat Yusoff Mat Ali berkata, jumlah yang mematuhi peraturan itu sangat kecil dan ia boleh mencerminkan keadaan pertubuhan yang tidak bermaya.

"Sehubungan itu, MBNT dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) akan mengadakan gerakan bersama ke setiap daerah untuk memberi peringatan di samping membantu.

"Terdapat juga persatuan belia yang gagal menghantar laporan sejak ia berdaftar pada 2008 apabila Akta Pertubuhan Belia diluluskan pada 2007," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Majlis Perunding Belia Negeri 2012 peringkat negeri di Green Acress Golf Resort, Kuala Ibai semalam.



TV al-Hijrah perluas siaran akhir tahun

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih ramai penduduk di negara ini berpeluang menonton siaran TV al-Hijrah menjelang akhir tahun ini apabila pihak pengurusan televisyen berkenaan meningkatkan transmisinya di seluruh negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, ketika memberi jaminan itu hari ini, berkata pihak pengurusan TV al-Hijrah sedang berusaha meningkatkan transmisinya agar lebih ramai penduduk negara ini dapat mengikuti siarannya secara percuma.

“Sejak kebelakangan ini, semakin ramai menonton TV al-Hijrah kerana banyak program menarik disiarkan melalui saluran televisyen ini, khususnya yang bercorak keagamaan,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan urusetia Karnival TV al-Hijrah 2011, di Primula Beach Hotel, pagi ini.

Karninal tersebut yang diadakan akhir tahun lalu di Dataran Shahbandar, mendapat sambutan luar biasa dengan kahadiran di luar dugaan.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato’ Haji Othman Mustapha; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan ketua-ketua jabatan agensi negeri.

Dato’ Seri Jamil Khir berkata, jika masih ada kawasan yang belum dapat menerima siaran televisyen berkenaan akhir tahun ini, mereka akan dapat menonton TV al-Hijrah setelah sistemnya ditukarkan kepada digital menjelang 2014.

“Kita harap lebih banyak program bercorak keagamaan dapat ditonton rakyat negara ini melalui TV al-Hijrah dan mutunya akan ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi kepuasan penonton,” ujarnya.




MB jumpa 15,000 warga Felda

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud, akan hadir pada Majlis Perjumpaan dengan kira-kira 15,000 warga Felda di seluruh negeri, bagi beramah mesra dan menyampaikan amanat kepada peneroka berkenaan.

Bagi tujuan itu, pihak kerajaan negeri dengan kerjasama Felda, mengatur lapan lokasi berasingan mulai 13 Mei depan. Pelbagai acara termasuk sukan, kebudayaan dan ceramah isu-isu semasa telah siap diatur bagi memeriahkan “Program Turun Padang” pemimpin negeri itu.

Majlis pertama dirancang di dewan sivik Felda Belara, pada 13 Mei, melibatkan kehadiran 2,600 orang peneroka dan ahli keluarga mereka dari Felda Belara, Chalok Barat dan Chalok.

Program kedua diadakan di dewan sivik Felda Jerangau Barat (14 Mei) melibatkan peneroka Felda Jerangau Barat, Mengkawang dan Tersat (2,000 orang) manakala di dewan sivik Felda Jerangau (22 Mei) akan dihadiri peneroka Felda Jerangau (1,000 orang).

Bagi perjumpaan di dewan sivik Felda Neram (27 Mei), kira-kira 2,200 orang dari Felda Neram I dan Neram II akan hadir manakala di dewan sivik Felda Cerul (28 Mei), sejumlah 1,000 orang dari Felda Cerul dan Seberang Tayor, hadir.

Manakala perjumpaan di dewan sivik Felda Bukit Bading (29 Mei), kira-kira 1,200 peneroka Felda berkenaan akan hadir.

Seramai 4,000 orang dari Felda Kerteh 1, Kerteh 2, Kerteh 3, Kerteh 4, Kerteh 5 dan Kerteh 6 dijangka hadir di Dewan Besar Pusat Latihan Kerteh pada 3 Jun, bagi majlis yang sama.

Penutup majlis berkenaan akan diadakan di balai raya Felda Selasih pada 4 Jun melibatkan kehadiran peneroka Felda Selasih dan Tenang, Besut.

Pada majlis itu, To’ Puan Norliza akan melawat beberapa rumah peneroka terpilih yang melibatkan warga emas, Orang Kelainan Upaya dan peneroka yang uzur, untuk menyampaikan bantuan.

Menteri Besar dijangka memberi penjelasan kepada peneroka berhubung isu-isu semasa, termasuk pelbagai tuduhan dan fitnah yang ditimbulkan pihak pembangkang bagi memburuk-burukkan kerajaan.




Manisfesto Pas hanya `gula-gula’ pancing undi


Oleh: Suriati Ali

Manifesto Pas Terengganu yang bertemakan ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’ hanyalah manifesto pancing undi dalam usaha parti itu untuk mengaburi mata rakyat yang telah melalui zaman gelap ketika negeri itu diperintah Pas pada satu masa dahulu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, rakyat Terengganu tidak akan lupa bagaimana pentadbiran Pas di bawah Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa dan bukannya melaksanakan apa yang termaktub di dalam manifesto yang dijanjikan.

Justeru katanya manifesto yang dikeluarkan itu tidak lebih hanya sekadar untuk mengulangi skrip lama dan mereka perlu ingat rakyat Terengganu sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan segala janji yang hanya manis di bibir sahaja.

“Penghapusan cukai pintu, 17,000 pekerjaan bakal ditawarkan sebagainya adalah gula-gula untuk memastikan pengaruh mereka terus berkembang namun pada masa yang sama mereka tidak sedar tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan pada satu ketika dahulu disia-siakan.

“Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkankan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal sahaja,” katanya.

Lima manifesto yang dilancarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada pertengahan Oktober tahun lalu, di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu ialah Melaksanakan pengecualian cukai kediaman, Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN, Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami, Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin.

Dato’ Yahya yang juga Adun Pengkalan Berangan seterusnya menegaskan Pas perlu mencermin diri terlebih dahulu dan bukannya secara melulu mengumumkan manifesto berkenaan.

“Manifesto mereka seolah-olah kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) hari ini tidak peka dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat sedangkan kita telah melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat Terengganu.

“Usah cakap banyaklah….Tengok dan selidik dulu apa jasa dan “track record” ketika rakyat memberi amanah sebelum ini. Seperti yang saya katakan di atas, jika mereka benar-benar bertanggungjawab, takkanlah rakyat berpaling tadah dengan memberikan madnat kembali kepada BN.

“Kita bukannya nak bercakap sombong atau bongkak sebaliknya bercakap atas dasar hakikat yang sebenarnya. Kita percaya rakyat negeri ini lebih selesa dengan apa yang kita telah laksanakan dan segala perancangan yang telah diatur dan sama sekali tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini,”



Ceramah Perdana Pas di Bandar Jertih kurang menyengat

Oleh: Mohammad Ishak

Penampilan dua bekas pemimpin UMNO dalam Ceramah Perdana Pas yang diadakan berhampiran Masjid Hadhari,Bandar Jertih malam tadi kurang menyengat menyebakan tidak banyak laungan takbir seperti yang lazim berlaku pada ceramah parti itu.

Penyokong Pas seolah-olah tidak bersemangat apabila dua tokoh yang didatangkan khas iaitu Bekas Menteri Penerangan,Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadhil dan bekas Ahli Parlimen BN dari Melaka, Datuk Tamrin Ghafar.

Ini kerana dua bekas pemimpin UMNO itu lebih banyak memfokoskan asal usul penubuhan dan sejarah perjuangan pemimpin UMNO menyababkan penyokong Pas tidak berselera mendengarnya.

Tambahan pula cara dua pemimpin berkenaan berceramah tidak banyak mengutuk pemimpin UMNO sehingga suasana ceramah menjadi hambar dan penyokong tawar untuk bangkit melaungkan takbir kerana tidak sampai ke kemuncaknya.

Selain Abdul Kadir dan Tamrin Presiden Pas,Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hadir berceramah tetapi keadaan sama juga berlaku apabila sebahagian penyokong sudah mennggalkan ceramah lebih awal kerana tiada isu menarik yang mampu membangkitkan semangat penyokong parti.

Kehadiran Abdul Kadir yang baru menyertai Pakatan Rakyat (PR),ketika ceramah banyak memperkatakan sejarah beliau menyertai Umno dan bagi penyokong Pas perkara itu tidak enak didengarnya.

Bekas Menteri itu berkata, hidup beliau kini lebih aman dan tenteram selepas dapat berjuang bersama-sama Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Abdul Hadi berbanding sebelum ini ketika berada dengan UMNO.

06 May 2012

Piala AFC – Terengganu ke Hong Kong tanpa tonggak utama

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu akan turun menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC dalam perlawanan terakhir kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Hong Kong 9 Mei ini tanpa penyerang berbisanya.

Penolong pengurus pasukan, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, ini kerana ramai pemain utama Terengganu seperti penyerang sensasi Francis Forkey Doe (gambar) dan Abdul Manaf Mamat tidak turut serta kerana tercedera.

"Selain itu, Reeshafiq Alwi dan Nordin Alias juga tidak akan diturunkan kerana prestasinya tidak begitu memuaskan," katanya ketika dihubungi selepas mesyuarat pengurusan pasukan hari ini.

Bagaimanapun, Sheikh Tajudin berkata pasukan Terengganu tidak akan terjejas walaupun tanpa pemain-pemain tersebut.

Terengganu tewas 2-0 kepada Kitchee pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 20 Mac lalu.

Terengganu telah melayakkan diri ke pusingan kedua piala tersebut setelah muncul naib juara kumpulan dengan sembilan mata manakala Kitchee pula juara kumpulan dengan 10 mata.

Sheikh Tajudin berkata misi Terengganu ke Hong Kong ialah untuk menang bagi membolehkan pasukan itu muncul sebagai juara kumpulan walaupun tanpa ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris yang direhatkan dua minggu sehingga 15 Mei ini.

Selain Terengganu dan Kitchee, pasukan lain dalam kumpulan F ialah Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Tampines Rovers (Singapura).

Beliau berkata Terengganu mempunyai jadual yang padat selepas kembali dari Hong Kong dan akan menentang pasukan Felda United di Melaka (12 Mei) dan Sarawak di Terengganu tiga hari selepas itu untuk kejohanan Liga Malaysia.



Jawatankuasa JKKK Rumah Awam ikuti latihan IT 1Malaysia


Oleh: Mohammad Ishak
 
Seramai 15 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, berjaya menamatkan sesi latihan kemahiran komputer 1Malaysia yang berlangsung di Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Seberang Jertih.

Latihan yang memberi tumpuan kepada pembinaan laman web itu di anjurkan oleh Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM).

Penyelaras kursus,Mazlan Jusoh berkata, latihan jangka pendek itu bertujuan memberi kemahiran kepada ahli jawatankuasa JKKKmembina laman web untuk kemudahan mereka menyampaikan maklumat peribadi dan organisasi.

Katanya, mereka adalah kumpulan pertama yang menerima latihan di bawah skim latihan komuniti 1 Malaysia anjuran SKKM dan pusat berkenaan. Sempena tamat kursus satu majlis penyampaian sijil kepada peserta diadakan secara ringkas di PJK Seberang Jertih yang disampaikan Pengerusi PJK berkenaan,Mohammad Ishak.

Mazlan berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan lebih banyak kursus seumpama itu kepada jawatankuasa JKKK daerah Besut supaya lebih ramai yang mempunyai kemahiran dalam bidang komputer.

Sementera itu,pihak pengurusan PJK berkenaan akan menganjurkan Hari Terbuka PJK yang akan berlangsung sehari pada 17 Mei mulai jam 8 pagi hingga 5 petang bertempat di perkarangan pusat berkenaan.

Program tahunan itu dijangka dirasmikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri,Yang Berhormat Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Palimen Besut.


Rakaman video panas kerja orang dalam PKR – Zulkifli Nordin


Oleh FAUZI MOHD

Rakaman video panas individu yang didakwa mirip Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, bersama seorang wanita yang tersebar baru-baru ini didakwa dilakukan "orang dalam parti PKR" sendiri.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, mendakwa rakaman itu dibuat sebagai satu cara menjatuhkan pemimpin terbabit kerana perebutan jawatan dan ingin mendapat perhatian yang lebih daripada Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ia kerja dalaman (PKR), tak ada kena mengena dengan orang luar. Saya tahu siapa yang rakamkan video ini, bila tiba masa nanti, saya akan dedahkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah umum Pendedahan Eksklusif Wajah Sebenar Anwar Ibrahim di Kampung Sungai Kiat, Kuala Terengganu malam semalam.

Zulkifli berkata, dalam masa terdekat juga akan ada beberapa lagi video aksi panas membabitkan pemimpin pembangkang yang lain akan didedahkan.

"Ada beberapa video lagi membabitkan pemimpin pembangkang lain dan 'pelakonnya' memang orang yang tak disangka-sangka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebuah buku mengenai perkahwinan campur yang antara kandungannya memberi mesej wanita Islam dibenarkan mengahwini lelaki bukan Islam kini dikesan disebar meluas secara percuma di negara ini.

Zulkifli berkata, buku yang membawa fahaman liberalisme dan pluralisme disebarkan atas alasan Islam adalah satu konsep menyerah diri kepada Tuhan tanpa mengira agama.

"Ini bermakna, mengikut konsep itu, setiap wanita Islam boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki bukan Islam...buku ini sangat berbahaya kepada akidah (orang Islam)," katanya.

Penerbitan buku itu didakwa ditaja oleh yayasan Jerman, Konrad Adenauer Foundation atau sekarang lebih dikenali sebagai Konrad Adenauer Stiftung (KAS) yang menurut Zulkifli, yayasan berkenaan terbabit membantu penajaan badan pemikir Anwar, Institut Kajian Dasar (IKD).

Zulkifli berkata, penyebaran buku berkenaan perlu diharamkan dan siasatan mengenainya perlu dibuat segera bagi menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini.



Program Mesra GEN – Y mendapat sambutan golongan belia


Oleh: Mohammad Ishak 

Program Mesra GEN – Y (Majlis Generasi Muda) peringkat daerah Besut yang berlangsung tiga hari di Padang Astaka Jertih memberi peluang kepada generasi belia medekati aktiviti berbentuk pendidikan dan kemahiran.

Giat Mara Negeri Terengganu dengan kerjasama UMNO Bahagian Besut yang bertindak sebagai penganjur bersama berjaya mengajak golongan berkenaan mendapatkan maklumat pendidikan terkini.

Pengarah Program,Jamal Nasir Othman berkata,menerusi program itu pengunjung khususnya sasaran utama golongan belia dapat menyaksikan sendiri pelbagai pameran berbentuk kemahiran yang disertai oleh agensi di bawah MARA.

Katanya, pendekatan penganjuran itu ingin membawa belia mengetahui peluang latihan kemahiran dan pendidikan yang sesuai untuk mereka ceburi terutama lahitan kemahiran yang banyak dikendalikan oleh MARA.

Menurutnya,bagi menjayakan program itu pihaknya turut membabitkan pelbagai agensi termasuk AADK Negeri Terengganu, FAMA,Kolej Bestari, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah, Majlis Daerah,Penerangan,UMNO Bahagian Besut dan Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Terengganu.

Selain itu,katanya, sepanjang program berlangsung pelbagai aktiviti sampingan seperti sukaneka, khidmat masyarakat, pertandingan karoke, pertandingan kemahiran dan persembahan kebudayaan.

Pengerusi Mara,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, ketika merasmikan penutupan program itu semalam berkata,GEN-Y yang dirancang oleh Mara akan menjelajah seluruh negara untuk mendampingi remaja.

Katanya,generasi muda perlu mendekati agensi kerajaan kerana banyak sumber dan maklumat boleh diperolehi untuk memajukan diri dan kerjaya terutama dalam bidang keusahawan.