Halaman

15 May 2012

JKNT saran warga emas jaga kesihatan

Oleh: Suriati Ali

Golongan veteran atau warga emas di Terengganu diminta menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan sihat dan senaman ringan pada setiap hari.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JNKT), Dr Haji Anwa Sulaiman berkata, langkah itu cukup penting jika seseorang itu melepasi usia 50-an supaya mampu mengekalkan kesihatan sempurna sekaligus dapat menjimatkan kos rawatan diri.

Katanya, lazimnya kos untuk mencegahkan penyakit lebih murah berbanding harga perubatan yang perlu ditanggung mereka berpenyakit kronik seperti diabetis, kardiovaskular, paru-paru dan kanser.

“Golongan warga emas tidak patut bersikap sambil lewa mengenai penjagaan kesihatan dengan menganggap mereka sudah tua,” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Kesedaran Penyakit Kronik peringkat negeri Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar itu turut dihadiri Timbalan JKNT, Dr Muhammad Omar.

Tetamu kehormat lain, Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Hajah Faizan Ghazali dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagia Marang,To’ Puan Hajah Zaitun Mat Amin.

Pelbagai aktiviti dianjurkan JKNT sempena program sehari itu, termasuk motivasi, sesi Penerangan mengenainya pentingnya penjagaan diri, pameran kesihatan dan demontrasi gerak tari.

Menurutnya, sebagai sebuah jabatan yang sentiasa prihatin kepada kebajikan dan kesihatan warga emas, pelbagai perkhidmatan disediakan semata-mata mahu melihat untuk golongan itu mengecapi kehidupan yang sihat dan ceria.

“Antara program yang dianjurkan termasuk pendidikan, promosi kesihatan, saringan, penilaian tahap kesihatan, pemeriksaan perubatan, kaunseling, khidmat rawatan dan rujukan.

“Perkhidmatan lain, fisioterapi serta terapi cara kerja, aktiviti rekreasi, sosial dan kebajikan. Apa yang ditawarkan itu adalah percuma,” katanya.


Kerajaan selesai masalah penempatan generasi kedua Felda

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berusaha menyelesaikan kira-kira 400 lot tanah untuk diagihkan kepada generasi kedua Felda seluruh Terengganu bagi memastikan golongan itu dapat memiliki tanah sendiri sama ada untuk tapak rumah atau pertanian.

“Mana-mana tanah yang dikenalpasti sebagai tanah kerajaan, kita minta Pejabat Tanah dan Daerah membuat `layout’ dan berbincang dengan pihak berkenaan untuk diagihkan kepada peneroka (generasi kedua) Felda untuk masa depan mereka bagi mendirikan rumah sebagai penempatan mereka. Macam di Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4.

“Di sini (Felda Belara) jika mereka ada tanah yang sudah dikenalpasti, kita buat layout dan kerja-kerja tanah untuk diagihkan. Inilah dinamakan proses pendemokrasian tanah, kalau boleh hendak diagihkan satu lot tapak rumah atau pertanian kepada setiap orang rakyat di Terengganu ,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Felda di Felda Belara, Kuala Terengganu, semalam (13 Mei).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha’ari Idris; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Mohamad Ramli Nuh dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Wilayah Terengganu , Haji Abd Malib Abd Rani.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan memastikan perbincangan secara lanjut antara Pegawai Daerah dengan wakil rakyat kawasan untuk mengenalpasti tanah dan membuat ukuran sebelum menyerahkan kepada Pejabat Perancangan Bandar dan Desa bagi tujuan `layout’.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menjelaskan penempatan untuk generasi kedua di Felda Neram sedang rancak dibangunkan untuk kemudahan golongan itu.

“Kita sudah membantu orang Melayu dari pelbagai aspek.. Apa lagi yang kerajaan tidak tolong..Malaysia negara berkebajikan, Terengganu negeri berkebajikan. Mereka (pembangkang) baru nak buat kebajikan.

“Macam orang Kijal (Kemaman)..Durian kita sudah berisi (mengeluar hasil) molek dah..Orang Pas baru cari `butir’ hendak tanam benih,” katanya.

14 May 2012

Tiada paksaan tinggal di Felda jika rasa tertipu

Oleh FAUZI MOHD

Para peneroka yang merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan oleh pihak kerajaan dan Felda dinasihatkan segera meninggalkan tanah rancangan tersebut.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tiada gunanya golongan itu tinggal di tanah rancangan Felda jika merasakan kehidupan mereka tidak pernah berubah dan terus dihimpit kesusahan sehingga hari ini.

"Tidak ada paksaan untuk golongan peneroka tinggal di tanah rancangan ini jika merasakan diri mereka ditipu dan tertindas. Mereka boleh membuat pilihan untuk keluar dari Felda.

"Tindakan itu lebih baik daripada sanggup menjadi duri dalam daging masyarakat peneroka dan bersubahat dengan pihak tertentu untuk mengkhianati perjuangan golongan itu serta kerajaan dalam memajukan tanah rancangan Felda," katanya.



Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Durian Runtuh kepada para peneroka Felda di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Dato’ Rosol Wahid dan Pengurus Felda Wilayah Terengganu, Abd Malib Abd Rani.

Menerima penyerahan yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad itu, para peneroka Felda Jerangau Barat berjumlah RM1.83 juta, Felda Mengkawang (RM1.64 juta), Felda Tersat (RM925,000) dan Felda Bukit Bading (RM2.92 juta).



Pada majlis itu, seramai 101 peneroka Felda Jerangau Barat menerima suratan hak milik tanah iaitu kira-kira empat hektar tanah ladang dan sehektar tanah tapak rumah.



Dato’ Seri Ahmad menambah, pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka membuktikan kerajaan menghargai pengorbanan warga itu yang setia bersama kerajaan dan Felda.

Beliau juga mencabar peneroka yang berasa sangsi atau curiga mengenai usaha kerajaan menyenaraikan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia supaya tidak menerima tawaran membeli saham tersebut.



“Jangan sewenang-wenangnya tuduh kerajaan ini pengkhianat. Tidak munasabah Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua) yang bergolak bergadai untuk bangunkan Felda, ada pihak tuduk anak beliau (Dato’ Seri Mohd Najib) mahu rosakkan Felda.

“Orang yang berkata demikian barangkali mempunyai masalah pemikiran yang perlu dirawat. Kita bimbang, masalah itu menjadi tenat dan merbahaya kepada orang sekeliling mereka,” katanya sinis.


Wahai peneroka, usah lokek beri undi kepada BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib


“Ayun buai kok kek,
Kok kek ulu golok,
Hak dia lokek,
Hok orang dia nok”

Pantun atau gurindam di atas sering didendangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, setiap kali beliau berucap di khalayak ramai di mana-mana saja, dari Kemaman hingga ke Besut.

Secara sinis Dato’ Seri Ahmad memberitahu hadirin, sewaktu beliau kecil, pantun atau gurindam ini sering dinyanyikan ibunya ketika menghayun buai bagi menidurkan adik sepupunya.

Katanya, sebagai anak bongsu beliau sendiri tidak ada adik, tetapi ibunya selalu menghayun buai sepupunya sambil menyanyikan gurindam tersebut berulang-kali sehingga si kecil tertidur.

Bila memikul amanah sebagai Menteri Besar, beliau teringat kembali gurindam yang dipusakai masyarakat Melayu itu, kini banyak memberi sindiran kepada mereka yang menyokong Pas.

“Orang Pas semua benda hok kita (kerajaan) beri, mereka ambik. Subsidi nelayan, bantuan sekolah dan uniform sekolah anak-anak, basikal, dana raya... semua ambik. Tapi bila kita mitak undi BN, payahnya....,” kata beliau.

Beliau menasihatkan penduduk negeri ini supaya memilih kerajaan yang sudah terlalu banyak berjasa kepada mereka. Kerajaan yang memberikan segala-galanya kepada rakyat agar rakyat hidup senang dan mendapat segala kemudahan.

Justeru, kita mengharapkan warga Felda di negeri ini yang menerima ‘durian runtuh’ berupa habuan RM15,000 bagi setiap keluarga berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia, melahirkan rasa syukur mereka dengan menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Golongan peneroka sepatutnya menginsafi diri masing-masing di mana kira-kira 30 tahun dulu, mereka tidak memiliki sekelumit harta pun kerana sebahagian besar mereka hanya hidup ‘kais pagi makan pagi’.

Boleh dikatakan sebahagian besar peneroka dulu hidup menumpang harta bapa atau mentua di kampung.

Dek prihatin terhadap nasib golongan ini, pemimpin Umno dan BN membuka tanah rancangan Felda dan menempatkan mereka di situ bagi mengubah nasib golongan yang susah ini.

Selepas terpilih menjadi peneroka, mereka diberi rumah dan tapak rumah beserta dengan ladang seluas 10 ekar seorang untuk menanam sama ada getah atau kelapa sawit, sebagai sumber pendapatan keluarga.

Kini dengan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan, mereka mampu hidup mewah dengan rumah yang besar dan sebahagiannya mampu memiliki kereta dan pelbagai aset lain.

Terkini, mereka diberi habuan besar berupa wang tunai RM15,000 bagi setiap keluarga dan saham dalam FGVH yang tentunya menjanjikan masa depan lebih gemilang.

Terdapat 7,469 peneroka Felda di seluruh Terengganu yang bakal menikmati ‘durian runtuh’ berjumlah RM 113.4 juta di mana habuan tersebut akan diagihkan secara berperingkat-peringkat.

Sehingga ini, peneroka Felda dari tanah rancangan Belara, Chalok Barat, Chalok, Jerangau Barat, Mengkawang dan Tersat, sudah pun menerima habuan masing-masing dari Dato’ Seri Haji Ahmad, dalam majlis yang diatur khusus untuk pengagihan insentif berkenaan.

Tentunya, Menteri Besar dan saf kepimpinan Kerajaan BN Terengganu mengharapkan golongan peneroka akan memberi undi kepada calon-calon BN pada pilihan raya umum nanti.

Wahai peneroka, usahlah lokek untuk memberi undi kepada calon-calon BN bila tiba tarikh mengundi tidak lama lagi.

Kita tidak mahu peneroka menjadi golongan yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin yang telah banyak berjasa dan membantu mereka sejak lebih 30 tahun lalu.

Wahai peneroka, demi masa depan generasi Felda, usahlah kita menjadi pengkhianat kepada kerajaan yang mengangkat martabat anda semua, bak kata pepatah ‘bagaikan melepaskan anjing tersepit”.




Peter Butler jurulatih baru bola sepak Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Desas-desus mengenai gerangan jurulatih bola sepak yang bakal mengemudi pasukan Terengganu, akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih pasukan Kelantan, Peter Butler bakal mengambil alih pasukan bola sepak negeri ini berkuatkuasa 1 Jun ini.

Malah, perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika diminta mengulas mengenai kedudukan jurulatih Mat Zan Mat Aris yang direhatkan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sehingga esok (15 Mei).

“Sebagai peminat saya berharap bola sepak kita terus mencapai kejayaan selepas ini dan mengenai prestasi sekarang ia tidak boleh dielakkan kerana beberapa tonggak utama mengalami kecederaan.

“Saya dimaklumkan oleh PBSNT mulai 1 Jun depan, Terengganu akan dapat jurulatih baru dan saya harap ada perubahan selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Wisma Darul Iman,Kuala Terengganu, hari ini.

Prestasi bola sepak negeri yang agak merudum kebelakangan ini telah membangkitkan kemarahan peminat tegar pasukan Penyu sekali gus menyebabkan pihak PBSNT merehatkan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris sebelum memberi tugas itu untuk sementara kepada Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata, jadual perlawanan yang ketat dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi impak kepada pemain berikutan tidak mempunyai rehat yang cukup serta menjejaskan kualiti sepanjang beraksi dalam setiap perlawanan.

“Kita bermain untuk Liga Super kemudian Piala AFC dan Piala FA, akibat tidak cukup rehat beberapa tonggak utama pula turut mengalami kecederaan serius. Perkara ini tidak boleh dijangka,” katanya.

Majlis menandatangani kontrak antara Peter Butler dengan PBSNT telah diadakan di pejabat PBSNT hari ini.




Penjawat awam usah jadi pengkhianat

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri mengingatkan semua penjawat awam agar tidak menjadi ‘pengkhianat’ kepada kerajaan serta mensabotaj usaha-usaha membangunkan rakyat negeri ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan melantik mereka ke jawatan masing-masing dengan lafaz ikrar menjaga rahsia kerajaan serta bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“Saya tahu ada yang telah sabotaj kerajaan serta sanggup membocorkan maklumat kepada pihak luar (pembangkang),” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah,; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan ketua-ketua jabatan serta penjawat awam negeri.

“Bukan saya tidak tahu siapa yang buat, semua data peribadi ada dalam komputer saya seperti nama tempat tinggal dan pekerjaan malah bacaan sikap putih, kelabu , atas pagar dan hitam,” katanya.

Katanya, diam beliau bukan bererti takut tetapi atas dasar bertolak ansur serta memberi peluang secukupnya dan akan bertindak bila tiba waktu sesuai.

Katanya, penjawat awam merupakan golongan bertuah yang mendapat pelbagai keistimewaan pinjaman perumahan hingga tiga empat ratus ribu, gaji tetap setiap bulan dan peluang kenaikan pangkat serta tempoh perkhidmatan hingga usia 60 tahun.

“Berbeza dengan orang politik, jangka hayatnya dikira lima tahun sekali, jika bernasib baik terpilih lagi ,manakala kelayakan membuat pinjaman juga sekitar RM150,000 saja kerana tempoh bekerja pendek,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad meminta penjawat awam yang lama berkhidmat menggunakan pengalaman yang ada untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kepada masyarakat serta menjadi teladan kepada pekerja baru.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan APC kepada 50 orang penjawat awam negeri bermula dari Gred Utama ‘C’ hingga Gred R4 (KUP) dan semua penerima akan dibawa menunaikan haji di Tanah Suci Makkah beserta wang tunai RM5,000.




Tunai haji buat 50 penjawat awam terima APC

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 50 orang penjawat awam pelbagai peringkat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2012 yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.



Kesemua penerima anugerah ini merupakan ‘insan bertuah’ kerana akan dibawa menunaikan haji ke Tanah Suci Makkah beserta wang tunai RM5,000.

Kerajaan Terengganu merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang memberi anugerah tunai haji dan umrah kepada penjawat awam yang cemerlang termasuk imam, bilal dan ketua kampung yang dinilai setiap tahun.

Pemergian mereka ke tanah suci itu tentunya melalui penerbangan terus dari lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Jedah yang dilaksanakan kerajaan dengan syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines yang kini memasuki tahun ketiga.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd Rozali Salleh,56, yang telah bertugas selama 32 tahun sebagai penjawat awam telah mengepalai penerima APC.

“Anugerah ini sangat bererti kepada penjawat awam sebagai penghargaan dan tanda keyakinan kerajaan kepada mereka dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya selepas menerima anugerah pagi ini.

Menurutnya, inilah kerajaan untuk rakyat yang sentiasa memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada siapa saja yang menunjukan prestasi baik ketika bertugas.

Katanya, amalan ini amat sesuai dengan dasar kerajaan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan (peringkat pusat) satu slogan yang dipraktikkan bersungguh-sungguh.

Bagi Timbalan Rektor TATiUC, Haji Zulkifli Mohamad,56, pencapaian sesuatu matlamat itu memerlukan kerja berpasukan hasil gabungan ketua jabatan hingga kepada pembantu pejabat dan ini bertepatan bila anugerah diberikan kepada semua penjawat awam daripada Gred R4 (pemandu) hingga Gred Utama ‘C’.

“Pendekatan yang diambil kerajaan negeri begitu unit kerana dengan memberi anugerah menunaikan fardu haji dan umrah kepada individu ini dapat mendekatkan lagi seseorang itu kepada konsep kesyukuran,” katanya.

Tambahnya, pemberian ini tidak terhenti setakat itu saja malah ia memberi dorongan dan semangat serta inspirasi kepada yang terbabit untuk bekerja lebih baik sekali gus menjadi satu ibadat bagi umat Islam.




Pulangan setimpal kepada peneroka

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kerajaan mengagihkan durian runtuh kepada warga Felda sebagai insentif yang setimpal kepada peneroka yang sudah banyak menabur jasa bagi menjana sektor perladangan di negara ini.

“Hari ini kita lihat pendapatan peneroka Felda getah ataupun kelapa sawit begitu lumayan. Saya dimaklumkan peneroka Felda di sini pendapatannya lebih kurang RM2,600 sebulan seorang.

“Ini menggambarkan pendapatan mereka lumayan dan hidup selesa dengan tanah kebun, tapak rumah dan rumah hak mereka sendiri walaupun tinggal di kawasan luar bandar. Jauh lebih baik daripada mereka yang berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 yang tinggal di bandar,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan durian runtuh kepada peneroka Felda, di dewan Felda Belara, Kuala Terengganu, semalam (13 Mei).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha’ari Idris; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Mohamad Ramli Nuh dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Wilayah Terengganu , Haji Abd Malib Abd Rani.


Beliau berkata, pemberian durian runtuh itu akan dilakukan menerusi tiga fasa, iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua felda yang berakhir 22 Mei ini.

Katanya, pada peringkat pertama pengagihan , sejumlah kira-kira RM4.9 juta diserahkan kepada tiga felda, iaitu Felda Belara (RM1.04 juta), Chalok (RM2.15 juta) dan Chalok Barat (RM1.7 juta).



“Ini durian runtuh. Malah, mereka tidak pernah mengimpikan mendapat RM15,000 ini. Tetapi biasalah, apabila kerajaan beri RM15,000 dia (pembangkang) kata kerajaan tiada duit. Apabila mereka memerintah pula mereka kata mahu beri RM50,000..Payahlah begini.

“Inilah yang dikatakan `saudagar janji’. Hanya berjanji sahaja..memang mudah berjanji. Saya pun boleh berjanji. Tetapi sama ada boleh buat atau tidak,” katanya.

Untuk rekod, seramai 7,469 peneroka Felda seluruh Terengganu akan menikmati durian runtuh berjumlah RM 113.4 juta sempena penyenaraian Felda Global Ventures (FGVH) di Bursa Malaysia yang diagihkan secara berperingkat-peringkat di mana pengagihan berakhir 22 Mei ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian FGVH itu.




500 penduduk DUN Jertih dapat cermin mata percuma

Orang ramai menyerbu kaunter pendaftaran untuk mendapatkan cermin mata percuma

Oleh: Mohammad Ishak 

Pemberian kaca mata secara percuma kepada penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih mendapat sambutan luar biasa apabila ramai yang mengambil peluang untuk mendapatkannya daripada pihak penganjur.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jertih itu ditawarkan kepada semua golongan termasuk pelajar,ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), remaja,wanita dan warga emas.

Program dengan kerjasama sebuah syarikat pembekal kaca mata terkenal Optometris Sanadi Sdn Bhd itu bertujuan memberi kemudahan kepada golongan berkenaan untuk mendapatkan cermin mata bagi kegunaan harian.

ADUN Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program yang bermula sejak jam 8 pagi dan berakhir jam 3 petang itu memberi manfaat kepada 500 penduduk yang datang mendaftar dan membuat pemeriksaan mata sebelum mereka diberikan cermin mata berkenaan.

Katanya,sambutan yang menggalakkan itu membuktikan golongan berkenaan memerlukan bantuan daripada pihak tertentu untuk mereka. “Program ini akan diteruskan lagi bagi membolehkan mereka yang memerlukan cermin mata mendapat kemudahan berkenaan,” katanya.

Idris yang juga Pengerusi Mara berkata, beliau berterima kasih kepada syarikat berkenaan yang sedia bekerjasama dengan pejabat penyeleras DUN terbabit bagi membantu orang ramai.

Katanya, pihaknya akan mengadakan lebih banyak program berbentuk khidmat komuniti bagi membantu golongan yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan.

Hudud – Sekejap buat, sekejap tidak, sekejap tunda


Oleh FAUZI MOHD

Apabila cerita pilihan raya myla diperkatakan, cerita hudud pasti keluar, ini perkara biasa.

Asal keluar, mesti ada alasan, sama ada mahu dilaksanakan buat sebelum ayam berkokok atau selepas disembelih, ini juga biasa.

Bila DAP masuk campur, PAS akan senyap balik, ini paling paling biasa.

Begitulah nasib hudud di dalam politik PAS. Hukum Tuhan yang sering diangkat ke makam tertinggi oleh pemimpin dan ahli PAS tapi dalam masa yang sama diperlakukan seperti bola.

Sebab itu apabila cerita hudud terpacul lagi dari mulut Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, tidak ramai yang terperanjat kecuali pemimpin PKR dan DAP seperti Karpal Singh yang sedikit pening dengan gelagat itu.

Perkara itu memang sudah diagak. Ia ibarat drama telenovela yang plot ceritanya memang macam itu jugalah setiap kali.

Itu gambaran macam mana hukum hudud ini boleh disepak terajang oleh pemimpin PAS.
Kalau pilihanraya lambat lagi, ceritanya macam ini, kalau dah dekat, ceritanya macam ini pula.

Hairannya, itupun masih lagi ramai yang tegar-tegar menyokong parti PAS ni. Lupakah dia yang PAS itu bukan mewakili Islam dan perjuangan Islam, nampak sahaja macam itu sebab warna rasmi dia hijau putih.

Hakikat yang sebenarnya, Islam hanyalah mainan politik PAS dan hukum hudud juga tidak terkecuali.

Sebab itu rata-rata penyokong PAS sudah lali dan tak minat nak bincang bab hudud ini.

Hukumnya memang hukum Islam tapi ia tidak jauh beza dengan hukum-hukum Islam yang lain, kalau mampu laksanakan, kalau tak mampu ada pilihan lain.

Sembahyang yang tiang agama pun, kalau sakit dan sebagainya, boleh digantikan pada masa yang lain. Itu sembahyang, tiang agama dan disebut terang-terang dalam rukun Islam.

Menjadi persoalan, kenapa PAS masih lagi tak ubah-ubah pendekatan lama berkaitan hudud ni?

Kalau nak kekal relevan, carilah idea dan pembaharuan sesuai dengan peredaran zaman.

Masyarakat hari ini bukan mudah dibodoh-bodohkan macam masyarakat dulu.

Hari ini arkib berlambak-lambak. Cakap berputar belit sahaja, sekejap itulah fakta apa yang dicakap dulu keluar.