Halaman

19 May 2012

Qari Marang, qariah Besut johan tilawah Terengganu

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Peserta dari daerah Marang, Haji Mohamad Hafas Ali, 30, dan Besut, Puan Siti Mas Ismail, masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran 2012 Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Padang Astaka, Kemaman, kelmarin.

Haji Mohamad mengutip markah 93.25 peratus manakala Encik Aziz Mohamad dari daerah Dungun yang memperolehi markah 89 peratus menduduki tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi peserta dari daerah Kuala Terengganu, Encik Abu Bakar Abdul Rahman (83.5 peratus).

Manakala johan Qariah disandang peserta dari daerah Besut, Puan Siti Mas Ismail yang memperoleh markah 87 peratus dan naib johan dimenangi Puan Hajah Azizah Zakaria, dari daerah Setiu yang mendapat markah 86.76 peratus.

Peserta dari Hulu Terengganu, Puan Hajah Nasirah Ibrahim yang memperolehi markah 83.58 peratus mendapat tempat ketiga.

Johan qari dan qariah peringkat negeri Terengganu membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000 beserta piala pusingan manakala naib johan memperoleh wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga wang tunai RM4,000.

Setiap pemenang turut menerima piala iringan beserta hadiah sampingan sumbangan daripada Rayhar Travel.

Pemenang qari dan qariah peringkat negeri Terengganu akan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan yang diadakan di Johor Bharu pada 4 hingga 8 Jun ini
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata masih terdapat banyak kelemahan di kalangan peserta dari segi penguasaan sebutan huruf, masalah pernafasan yang menyebabkan bacaan ayat suci al-Quran tidak jelas kedengaran dan kebanyakan peserta tidak boleh menguasai bacaan dari segi sebutan Arab.

Pihak juri hakim berharap semua peserta terutama Johan Qari dan Qariah yang mewakili ke peringkat kebangsaan akan menguasai kefasihan bacaan ayat suci al-quran, menguasai ilmu-ilmu hukum tajwid dan mempelajari penguasaan pernafasan ketika membaca dan penguasaan sebutan Arab.



18 May 2012

Hari terbuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Seberang Jertih meriah


Oleh: Mohammad Ishak

Hari Terbuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Seberang Jertih yang berlangsung sehari di kawasan Perumahan Awam Seberang Jertih mendapat sambutan meriah daripada komuniti setempat.

Program tahunan anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, Telekom Malaysia (TM). Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) dan MSD Digitil memberi peluang penduduk setempat mendekati tenologi maklumat.

Pelbagai acara menarik berkonsepkan pertandingan menerusi talian dan internet berjaya menarik minat peserta bukan sahaja dikalangan kanak-kanak Tabika, murid sekolah malah golongan dewasa turut menunjukkan bakat dalam pertandingan yang diadakan.

PJK Seberang Jertih ditubuhkan pada 1 April 2009 sehingga kini mempunyai hampir 1,000 ahli memberi pembelajaran komputer dan melayani internet percuma.

Hari terbuka yang diadakan setiap tahun itu bertujuan memberi maklumat dan pendedahan aktiviti yang dijalankan oleh PJK sepanjang tahun selain mengajak masyarakat meneroka bidang teknologi maklumat.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Saidi Sulong ketika meramikan penutupan program itu berkata, penduduk kawasan itu beruntung kerana dapat mempelajari komputer dan melayari internet secara percuma yang disediakan pihak terbabit.

“Penduduk hendaklah memanfaatkan kemudahan yang disediakan sama ada oleh kerajaan atau pihak swasta kerana ia bertujuan memberi pendidikan dan kemahiran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat negeri ini mempunyai celik kumputer cukup tinggi dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan paling membanggakan ia diberikan secara percuma.

157 peneroka Felda Selasih,Jabi, terima pemberian durian runtuh

YB Mohd Jidin menyampaikan replika cek kepada Ketua Peneroka Felda Selasih Alias Abd Rani 

Oleh: Mohammad Ishak 

Penantian 157 peneroka di rancangan tanah Felda Selasih,Jabi, Setiu untuk mendapatkan pemberian “Durian Runtuh” dari agensi tanah terbesar itu akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka menerimnya semalam.

Majlis penyampaian berjumlah RM790,000 itu yang dilakukan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee berlangsung di Dewan JKKR Felda Selasih itu turut dihadiri Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu Abd Malib Abd Rani

Penyampaian wang durian runtuh itu mencatat sejarah kepada golongan peneroka di Felda kerana ia juga hasil keuntungan agensi itu yang kemudian diagihkan semula kepada peneroka.

Mohd Jiden berkata, beliau yang juga anak peneroka amat bangga kerana kerajaan amat prihatin terhadap nasib peneroka rancangan tanah Felda.

“Inilah satu-satunya kerajaan yang mengamalkan kebajikan untuk rakyat dan peneroka sepatutnya menghargai kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Beliau sedih kerana ada peneroka yang mudah menerima hasutan pembangkang sehingga ada pihak yang sanggup mengambil tindakan mahkamah dengan menyaman Felda kerana tidak puas hati terhadap sesuatu perkara.

Berbanding dengan mereka yang tinggal di luar Felda menjadi peneroka adalah lebih baik dan menguntungkan kerana kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap masalah kehidupan peneroka.

Sementara itu, Abd Malib berkata ketika ada 7,000 peneroka di 21 rancangan tanah Felda di Terengganu, dijangka menerima durian runtuh RM15,000 yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat.

Sultan Mizan nasihat rakyat usah cetus huru hara


Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Nurul Aziela Saberi
 Gambar oleh Nurul Aziela Saberi


Sultan Mizan menasihatkan umat Islam supaya tidak mencetuskan huru hara seperti yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.

Baginda bertitah keadaan huru hara dan kekecohan yang diwujudkan sesetengah umat Islam di negara berkenaan amat bertentangan dengan kandungan al-Quran dan wajib dihindarkan oleh masyarakat di negara ini.

 “Beta mahu umat Islam hidup bersatu padu, saling bekerjasama dan sayang menyayang antara satu sama lain,” titah baginda pada majlis perasmian penutup tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu 2012, di Padang Astaka Kemaman, malam tadi.

Sultanah Nur Zahirah turut berkenaan berangkat pada majlis itu yang turut dihadiri pembesar negeri.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haij Mazlan Ngah dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Kazan Che Mat.

Sultan Mizan tidak mahu kemelut politik dan ekonomi serta keadaan kacau bilau yang berlaku di Timur Tengah melanda negara ini kerana perbalahan antara umat Islam.

Sehubungan itu, baginda meminta rakyat negeri ini menyelesaikan secara baik jika mereka berselisih pendapat dan tidak bermusuhan antara satu sama lain.



PEMUDA & PUTERI UMNO BAHAGIAN KEMAMAN RAI HARI GURU.

Oleh: Nurul Aziela Saberi
Gambar oleh Nurul Aziela Saberi

 Sempena sambutan Hari Guru yang bertemakan “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” pada tahun ini, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman meraikannya dengan menghadiahkan sebiji kek daripada Pemuda dan sebuah jam daripada Puteri untuk 67 buah sekolah sekitar Kemaman.

Pemberian ikhlas tersebut telah menjadi satu tradisi kepada Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman sejak beberapa tahun yang lepas dan akan diteruskan setiap tahun bagi menghargai dan mengenang jasa guru-guru.


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Haji Zubir berkata, pemberian kek dan jam dinding kepada setiap sekolah adalah tanda penghargaan dan tanda ingatan kepada guru-guru yang selama ini banyak berbakti untuk negara.

 “Tanpa mengenal erti penat dan putus asa, mereka gigih mendidik anak bangsa negara untuk terus berjaya dalam hidup. Justeru itu, tidak salah mereka dirai dengan penuh meriah pada hari ini.

“Anak-anak muda terutama pelajar di era kini perlulah menghargai pengorbanan jasa guru dan haruslah menghormati mereka agar kehidupan cerah kelak”, katanya ketika ditemual selepas pemberian kek dan jam kepada Sekolah Kebangsaan Cina di Kuala Kemaman.







17 May 2012

RM106 juta biayai 3,700 pelajar

Oleh FAUZI MOHD fauzimohd@terengganu.gov.my

Yayasan Terengganu memperuntukan lebih RM106 juta pada tahun ini untuk membiayai pengajian lebih 3,700 pelajar termasuk 545 penuntut di 12 buah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan untuk biasiswa dan pinjaman itu antara usaha kerajaan negeri untuk melahirkan profesional dalam pelbagai bidang.



Dengan jolokan Negeri Anjung Ilmu katanya, YT turut memberi biasiswa melalui Skim Pelajar Cemerlang dalam beberapa universiti terkemuka dunia dalam pengajian profesional seperti perubatan, farmasi, bioteknologi dan kejuruteraan.

“Program yang bermula sejak 2005 itu sehingga kini menaja 48 pelajar di universiti-universiti terbaik di United Kingdom dan 24 pelajar lagi sedang menduduki A-Level,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Semua A bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2011 di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengarah YT, Zakaria Yusof.

Pada majlis itu, seramai 471 pelajar SPM 2011 yang mendapat semua A menerima hadiah kecemerlangan berupa wang tunai RM500 setiap seorang dan 17 daripada mereka yang memperolehi semua A+ memperolehi komputer riba.

Selain itu, Ahmad Razif turut menyampaikan wang tunai RM500 kepada 21 pelajar STPM 2011 yang berjaya mendapat PNGK antara 3.80 hingga 3.99 dan 4 daripada mereka yang mendapat PNGK 4.00 mendapat sebuah komputer riba setiap seorang.

Hadiah keseluruhan yang disampaikan sebanyak RM246,000.



Ahmad Razif menambah, YT dijangka membelanjakan kira-kira RM18 juta pada tahun ini bagi program bantuan persediaan pelajar yang bakal menyambung pengajian ke pusat matrikulasi serta institusi pengajian tinggi antara RM500 hingga RM1,000 seorang.

Tahun lalu katanya, YT membelanjakan RM17.42 juta untuk diagihkan kepada 23,339 pelajar yang layak manakala pada tahun 2010, seramai 26,801 pelajar mendapat manfaat melalui program itu dengan peruntukan RM20.03 juta.

“Tahun 2009, sejumlah RM19.49 juta dibelanjakan untuk membantu 26,235 pelajar melanjutkan pengajian. Tahun sebelumnya, YT mengagihkan RM16.10 juta kepada 22,813 pelajar,” ujarnya.


TDM catat keuntungan luar biasa

Oleh: Suriati Ali

TDM Berhad, syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri berjaya mencapai rekod pengeluaran, rekod hasil dan rekod membanggakan bagi tahun kewangan 2011.

Hasil kumpulan yang dicatatkan tahun lalu, meningkat sebanyak 28 peratus bagi sat rekod RM503.2 juta dengan keuntungan sebelum cukai melonjak 67 peratus kepada RM214.9 juta berbanding sebanyak RM394.4 juta dan RM130.2 juta masing-masing dalam tempoh kewangan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad,Encik Badrul Hisham Mahari berkata, prestasi mambanggakan yang belum pernah berlaku ini didorong oleh kekuatan dalaman dan hasil daripada program transformasi yang dilaksanakan ahli lembaga sejak 2004.

“Ia juga adalah hasil daripada amalan srategi perniagaan yang betul dan merealisasikan kecemerlangan operasi.

“Bahagian peladangan mencatat pendapatan terbaik dan keuntungan di bawah kajian hasil dengan mencatatkan peningkatkan sebanyak 31.0 peratus dan 71.0 peratus kepada RM412.9 juta dan RM204.0 keuntungan berbanding RM316.4 juta dan 119.5 juta bagi tahun lepas,” katanya pada sidang akhbar di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, petang ini.

Encik Badrul Hisham turut memberitahu, TDM kini mengendalikan 12 ladang kelapa sawit di negara ini dengan jumlah keluasan 33,284 hektar dan pertumbuhan masa depan dijangka datang daripada perkembangan perniagaan di Kalimantan, Indonesia.

''Kami yakin pelaburan di Kalimantan merupakan satu strategi yang tepat, ia membolehkan kami memperluaskan perniagaan teras dan sejumlah RM44 juta telah dibelanjakan," katanya.

Menurut beliau, selain meningkatkan bank tanah dan memastikan kemampuan pertumbuhan bahagian peladangan, ia menawarkan potensi hasil yang lebih baik berdasarkan keadaan tanah yang lebih subur, lebih mendatar dan edaran taburan hujan yang lebih tinggi.

''Sehingga kini, 25,000 hektar telah diperoleh daripada keseluruhan pakej 40,000 hektar tanah di Kalimantan dan TDM merancang untuk menyelesaikan kerja-kerja penanaman pokok bagi 20,000 hektar yang pertama dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.


Kerajaan sedia dana raya RM335 juta sejak 2005

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM335 juta bagi menyediakan bantuan Dana Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh penduduk yang layak bermula 2005 sehingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 146,543 penerima dengan peruntukan RM43,962,900 (2005), diikuti 153,162 penerima dengan peruntukan RM46,088,700 (2006) dan 162,066 penerima dengan jumlah RM49,540,300 pada 2007.

Manakala seramai 56,290 penerima melibatkan RM47,522,800 (2008), 166,029 penerima yang melibatkan RM50,616,400 (2009), 164,243 penerima dengan jumlah RM164, 243 (2010) dan 176,838 penerima dengan peruntukan RM50,472,400 pada tahun lalu.

Bantuan khas yang disediakan Kerajaan Terengganu kepada ketua keluarga yang berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah termasuk warga emas dan ibu tunggal itu tidak dilaksanakan di negeri lain, sekaligus membuktikan kerajaan negeri sentiasa memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya, khususnya ketika musim perayaan.

Terbaru, peruntukan dana itu kemungkinan bertambah lagi sebanyak 10 peratus selepas kerajaan negeri bersetuju menaikkan kadar had kelayakan pendapatan bulanan ketua keluarga daripada RM1,500 kepada RM2,000, supaya lebih ramai yang layak menerima habuan itu bermula tahun ini.

Seorang penduduk, Puan Sanah Awang, 64, dari Wakaf Mempelam, berkata sejak kembali menetap di Terengganu beberapa tahun lalu,dia mula menikmati bantuan kerajaan itu.

Katanya, sepanjang tinggal di kampung arwah suaminya di Kota Tinggi, Johor, dia tidak pernah mendengar dan mengetahui sebarang bentuk bantuan khas yang disediakan kerajaan negeri setiap tahun kepada penduduk yang kurang kemampuan sebagaimana dilaksanakan di Terengganu.

“Sebagai ibu tunggal, dana raya itu memang membantu dan meringankan bebanan ketika sedang menyiapkan sambutan hari raya. Jumlah itu cukup besar nikmatnya dan kita semua harus mensyukuri pemberian kerajaan yang sudah dinikmati sudah beberapa kali ini,” katanya.

Sementara Encik Yusof Abd Rahman, 73, dari Kampung Teluk Paku, Kuala Terengganu pula berkata, dia sudah tujuh tahun menikmati bantuan khas itu dan berharap kerajaan negeri akan terus menyediakan dana itu kerana banyak manfaat dan keberkatan daripada bantuan itu.

“Insya-Allah kalau panjang umur boleh rasa lagi. Setakat ini Alhamdulillah dana raya banyak membantu meringankan beban keluarga apatah lagi pada musim hendak sambut raya. Memang gembira dan bersyukur sangat dengan keprihatinan pemimpin kita,” katanya.



Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012

Oleh: Aida Abd Rahman


Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara berkolaboratif menganjurkan larian mendaki Gunung Berembun menerusi program `Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012’ .

Program edisi kedua itu menawarkan hadiah lebih lumayan dan menarik kepada peserta itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia, Tourism Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu serta Ketengah.

Menurut jurucakap, acara itu bertujuan mempromosikan Gunung Berembun yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan menjadi aset Terengganu yang perlu dihayati oleh semua pihak sama ada bagi menjalankan sukan rekreasi, pelancongan, sejarah, perhutanan, alam sekitar serta pendidikan.


Katanya, pertandingan akan diadakan bermula di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong pada 30 Jun ini bakal menyediakan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM27,500.

Untuk rekod, Gunung Berembun yang berketinggian 1108 meter / 3405 kaki terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong di dalam Hutan Simpan Pasir Raja Dungun, Terengganu turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, iaitu 305 meter.



Menurutnya, kelebihan itu pastinya menjanjikan kepuasan kepada peserta sama ada dari dalam dan luar negara dengan sasaran seramai 400 orang bakal menyertai program itu nanti.

Secara teknikalnya, pertandingan ini memerlukan peserta mengharungi larian bermula dari Air Terjun Chemerong ke `check point’ yang ditetapkan penganjur mengikut kategori.

“Mengenai kategori pertandingan pula, ia terbahagi kepada tujuh kategori iaitu terbuka lelaki/wanita (22 tahun ke atas), terbuka veteran lelaki (40 tahun ke atas), terbuka remaja lelaki/wanita (15-21 tahun) dan tertutup Terengganu lelaki/wanita (18 tahun ke atas).

“Manakala yuran penyertaan bagi kategori lelaki/wanita terbuka adalah RM60, veteren lelaki terbuka RM40, terbuka remaja lelaki/wanita RM30 dan tertutup Terengganu lelaki/wanita RM40.


Katanya, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan pertandingan termasuk pameran dan jualan, cabaran fotografi media, lawatan kembara bersama media, pertandingan mewarna dan cabutan bertuah.

Malah, program turut mendapat sokongan rakan penaja utama seperti Deuter, Salomon, Corezone, 100 Plus, Milo, Power Bar, Pro Fresh dan Majalah Santai.

Kepada yang berminat untuk menyertai larian ini boleh dapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.kembaranegara.com Semua borang hendaklah diserahkan bersama yuran penyertaan dan bayaran boleh dibuat secara tunai/wang pos/cek diatas nama PERSATUAN KEMBARA NEGARA sebelum 28 Jun 2012.

Untuk keterangan lanjut hubungi sekretariat Mount Berembun Green Challenge
PERSATUAN KEMBARA NEGARA
No 11, Jalan 14/1 Taman Tun Abdul Razak
68000, Ampang Selangor

Fax : +603 4252 3743
Emel : kembara.event@gmail.com
FB : Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012 atau

Sabri : +6013 633 6961
Muhammad Rafi : +6012 371 5412
Afnal : +6012 202 2644
Mohd Arif : +6012 939 7170



TTITC jalin usahasama dengan MTIB lebarkan industri perkayuan

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra
 
 Perjanjian usahasama antara Terengganu Timber Industri Training Centre (TTITC) dan Malaysian Timber Industri Board (MTIB) ini memberi kelebihan kepada rakyat tempatan untuk bergerak maju dalam industri perkayuan yang kini mendapat permintaan agak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, selepas termeterainya perjanjian ini, TTITC akan memberi fokus utama terhadap industri perkayuan yang mempunyai masa depan yang cerah.

 “Terengganu terkenal dengan produk perkayuan seperti pembuat kapal, perabut dan kraf berasaskan kayu dan kerjasama dengan MITB ini secara langsung dapat memberi lebih peluang anak tempatan berkembang maju,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara TTITC dan MTIB di Wisma Darul Iman semalam.

TTITC diwakili Dato’ Toh manakala MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Jalauddin Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains , Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman selaku saksi bagi pihak kerajaan negeri.

Dato’ Toh berkata, dengan termeterainya usahasama ini TTITC akan menawar beberapa kursus baru dalam bidang kemahiran untuk memberi pendedahan anak tempatan meneroka lebih jauh dalam bidang industri perkayuan .

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC berkata, pihaknya bercadang membina bangunan tambahan setelah kerajaan negeri meluluskan 20 hektar kawasan berhampiran kepada TTITC.

“Tahun lalu terdapat 1,214 pelatih telah berjaya menamatkan latihan masing-masing dan telah memasuki alam pekerjaaan manakala tahun ini 1,399 lagi sedang mengikuti latihan dalam pelbagai bidang kursus,” katanya.