Halaman

08 June 2012

Petronas, Agro Bank sumbang RM45,000 mangsa ribut

Oleh FAUZI MOHD

Nasib 92 keluarga di tujuh kampung di Dewan Undangan Negeri Kijal, Kemaman yang rumah mereka rosak akibat kejadian ribut pertengahan bulan lalu mendapat perhatian syarikat korporat, Petronas dan Agro Bank.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said turun padang menyampaikan sumbangan kepada keluarga terlibat di Sekolah Kebangsaan Bukit Anak Dara, Kemaman hari ini.



Prihatin terhadap mangsa bencana alam itu, Petronas tampil dengan sumbangan berbentuk barangan dapur bernilai RM30,000 dan Agro Bank menghulurkan wang tunai berjumlah RM15,000.

Kejadian telah mengakibatkan kerosakan 39 buah rumah kediaman di Kampung Bukit Anak Dara, Titian Berayun (32), Ibai Penunjuk (6), Kampung Tengah (5), Kampung Darat (5), Kampung Che Wan (4) dan sebuah di Teluk Kalong.

Dato' Seri Ahmad berkata, 84 buah rumah dari jumlah terbabit telah siap dibaiki, 5 buah masih dalam pembaikian dan tiga lagi melibatkan pembinaan rumah baru bernilai RM33,000 setiap satu akan bermula minggu depan.



"Rumah penduduk yang rosak telah siap dibaiki dan tiga buah rumah yang 100 peratus musnah akan diberikan rumah baru," katanya kepada pemberita.



Turut hadir, Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.



Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan Niaga peringkat kedua kepada 106 penerima di DUN berkenaan melibatkan usahawan dan peniaga kecil dari 19 buah kampung.


TDM bayar dividen RM29 juta

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Anak syarikat kerajaan Terengganu, Terengganu Development Management (TDM) Berhad mencatat rekod bayaran dividen tertinggi sejak 2007 berjumlah lebih RM29 juta.

Bayaran itu diagih kepada enam agensi milik kerajaan negeri iaitu Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebanyak RM21,649,740.44, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (RM6,068,000), Permodalan Terengganu Berhad (RM692,270),

Yayasan Terengganu (RM370,000), Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (RM161,122.79) dan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (RM88.015.60).

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata bayaran itu dijangka meningkat tahun depan susulan pertambahan keuntungan yang dicatat pada suku pertama tahun ini.

"Kita percaya bahawa dengan keluaran hasil kelapa sawit yang kini bertambah baik dengan harga yang agak stabil, akan datang kemungkinan pengumuman dividen dan keuntungan pastinya akan bertambah.

"TDM telah mencatatkan keuntungan suku pertama 2012 ini sebanyak 25 juta," katanya yang sebelum itu menerima cek dividen tersebut daripada Pengerusi TDM Datuk Roslan Awang Chik.

TDM mencatat keuntungan RM214 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2011.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Encik Badrul Hisham Mahari berkata jumlah bayaran tersebut meliputi 30 peratus daripada keuntungan bersih syarikat.

Pada majlis sama, TDM turut mengagihkan RM3,872,768 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) dan RM932,568 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)sebagai bayaran perkongsian untung.

Jumlah itu juga merupakan bayaran perkongsian untung tertinggi pernah dibayar semenjak perjanjian TDM menjalinkan usahasama dengan kedua-dua agensi pada tahun 1996 dan 1997 masing-masing, bagi mengusahakan tanaman kelapa sawit di atas tanah milik LTAW dan Maidam




07 June 2012

Derita tiga sekeluarga dapat perhatian MB

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra




Kisah derita tiga sekeluarga dari Kampung Panji, Wakaf Mempelam yang menghidap penyakit kronik sampai ke pengetahuan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Lantas beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Pegawai pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah bergegas ke kediaman pesakit itu, semalam (6 Jun).

Dalam kunjungan itu, Menteri Besar berjanji untuk meringankan bebanan yang ditanggung tiga sekeluarga berkenaan, Zainab Mohd, 68, menantunya, Mohd Nor Abu Bakar, 43, dan cucunya, Abdul Hafifi Abd Rahman, 21.

“Kita akan melihat keperluan keluarga ini bagi memberi bentuk bantuan yang sewajarnya kepada mereka. Saya juga berharap mereka tabah berdepan dengan ujian ini,” katanya.

Zainab yang menghidap kencing manis menerima sumbangan kerusi roda dan wang tunai RM1,000, manakala Mohd Nor mengidap angin ahmar dan anaknya (buah pinggang) pula masing-masing mendapat RM500 seorang untuk pembiayaan ubat-ubatan.



Menteri Besar cabar peneroka keluar dari Felda



Oleh: Mohammad Ishak 

Peneroka di rancangan tanah Felda negeri ini dicabar menarik diri daripada menjadi peserta jika merasakan diri mereka tidak sesuai dan sentiasa memburuk-burukan pemimpin dan kerajaan.

Menteri Besar Terengganu,Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tidak ada gunanya peneroka yang terus tinggal di Felda tetapi mereka menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk memajukan agensi itu.

Katanya, kerajaan tahu ramai peneroka yang menyokong parti pembangkang tetapi terus berdegil tinggal di Felda. “Jika rasa tidak sesuai dan tidak selesa hidup sebagai peneroka sila buat pilihan untuk menarik diri daripada terus tinggal di Felda,” katanya.

Ahmad berkata, masih ramai lagi orang lain yang ingin menjadi peneroka dan kerajaan sedia memberi peluang kepada peserta baru yang berminat untuk tinggal di Felda.

Beliau kesal ada segelintir peneroka yang sudah lupa dengan jasa Felda sehingga kini boleh hidup senang hasil usaha kerajaan membangunkan rancangan tanah terbesar itu.

Malah,katanya, beliau tahu ada peneroka yang sebelum ini marah kepada pengurusan Felda tetapi golongan ini juga tanpil lebih awal menerima “Durian Runtuh” daripada agensi itu.

Menteri Besar berkata, sumbangan Felda terhadap orang Melayu amat besar dan peneroka yang berpeluang menyertai peserta di rancangan tanah berkenaan sepatutnya bersyukur kerana nasib mereka kini sudah banyak berubah hasil usaha kerajaan membangunkan agensi tanah terbesar itu.

Mampukah air Tasik Kenyir menjadikan MB Selangor pemimpin bijak?

Oleh FAUZI MOHD

Kenyataan Menteri Besar Selangor baru-baru ini berhubung cadangan menyalurkan air mentah dari Tasik Kenyir yang terletak di negeri Terengganu benar-benar menunjukkan sikap beliau suka berdolak-dalik.

Pada mulanya kata beliau, air empangan cukup untuk menampung keperluan penduduk di Selangor sehingga tahun 2019.

Kemudian, Menteri Pertanian dan Asas Tani telah membidas kenyataan beliau dengan menyatakan masalah dihadapi adalah kekurangan air terawat dan bukannya air mentah.

Justeru, inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan Loji Air Langat 2 adalah bertepatan dengan isu dihadapi.

Sekarang, Menteri Besar Selangor bangkitkan pula cadangan untuk mengambil air mentah dari Tasik Kenyir.

Persoalannya, kalau air diambil dari Tasik Kenyir, atau mana-mana tasik pun di dunia ini, ke mana air tersebut hendak disalurkan kalau bukan ke loji rawatan air?

Atau adakah air di Tasik Kenyir setanding dengan air mineral yang boleh diminum terus tanpa dirawat?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga nampak begitu risau dengan kos pembinaan loji Langat 2 yang dikatakan mencecah RM12 billion.

Kenapa perlu beliau risau sedangkan kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, untuk kebaikan rakyat Selangor juga.

Sekiranya beliau bimbang tarif air akan naik, adakah ia tercatat dalam perjanjian konsesi sekiranya Syabas membeli air terawat dari Loji Langat 2, maka harga air boleh dinaikkan sesuka hati?

Sedangkan teori ekonomi sendiri mengatakan jika sesuatu sumber itu berkurangan, maka harganya akan naik.

Contohnya ikan, kalau sumbernya banyak maka harganya akan turun dan begitu juga sebaliknya.

Dalam konteks isu air, kenapa perlu kita risau kalau air terawat sudah banyak?



Cantik bunga seenak isinya

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Esah Abdullah


Mungkin ramai yang tidak pernah melihat bunga serek serta tidak tahu tumbuhan jenis ubi ini hanya berbunga empat atau lima tahun sekali atau lebih lama daripada itu.

Mempunyai kombinasi warna yang menarik, bunga ini berukuran kira-kira 14 inci diameter dengan ketinggian 17 inci dari paras tanah serta tumbuh sendirian tanpa pokok.

Bunganya yang cantik dan unik ini mampu bertahan kira-kira seminggu serta tidak mengeluarkan bau ketika sedang mekar namun bila layu ia mengeluarkan bau tidak menyenangkan dan ada yang menyamakannya seperti bau ‘bangkai ’ .

Melalui proses lama untuk mengeluarkan untuk bunga serta kembang tumbuhan ini dilihat di luar kebiasaan pokok yang mampu mengeluarkan bunga dalam saiz agak besar manakala isinya boleh dimakan.



Pokoknya berbentuk seperti payung bewarna hijau lembut manakala isiinya boleh dimakan dengan cara merebus sepeti ubi keladi , ubi badak atau ubi kayu dan rasanya sangat enak serta boleh dibuat pengat serta digunakan sebagai campuran dalam bubur asyura.


Jika 40 tahun lalu ubi serek menjadi makanan harian serta penganti nasi namun kini ia semakin pupus dan generasi muda hari ini hanya kenal ubi kayu dan ubi keledek.



Pokok yang tumbuh melata di Kampung Bukit Wan tanpa penjagaan ini boleh hidup subur serta mampu bertahan dari generasi ke generasi dengan syarat isi yang digali sisanya perlu ditinggal serta ditimbus semula kedalam tanah.






Terengganu sumbang RM100,000 untuk Adam

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan Kerajaan Terengganu menyumbangkan RM100,000 kepada Adam Akhbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang membuka mata banyak pihak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membolehkan Adam mendapatkan rawatan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat dengan kadar yang segera.

Menurutnya, sumbangan RM100,000 itu adalah peruntukan Tabung Penyakit Kronik yang menyalurkan bantuan kepada individu yang layak bagi kes-kes penyakit kronik.

“Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad akan menghantar cek seberapa segera dalam tempoh terdekat, mungkin dalam masa tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Saya harapkan sumbangan ini akan membolehkannya mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terenggani, semalam.

Dalam akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan Tabung Adik Adam ditubuhkan membolehkannya mengumpul wang bagi menampung kos rawatan yang diperlukan.

Adam yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang, kini bergantung dengan ubat tahan sakit kerana mengalami sakit kepala berpanjangan, kesan
daripada penyakit yang dialaminya itu.


Tujuh kg alami gangguan bekalan air

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) sedang berusaha memulihkan gangguan bekalan air yang berlaku di tujuh kampung sekitar Kuala Terengganu akibat kerosakan luar jangka peralatan pam di Muka Sauk Pulau Musang jam 5 pagi, semalam.

Kampung (Kg) yang terlibat adalah Kg Losong, Kg Durian Burung, Kg Chabang Tiga, Kg Paloh, Kg Sungai Rengas, Pulau Musang dan Pulau Rusa.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata kerosakan di luar jangka itu mengakibatkan air sungai Terengganu tidak dapat dipam seperti biasa untuk saluran kepada Loji Air Losong, Kuala Terengganu.

Katanya, pihak kami bersedia membantu penduduk kampung dengan menghantar air secara manual dan lori bergerak sepanjang berlakunya gangguan yang dijangka pulih seperti biasa pada 11 Jun ini.

“Kita sedang berusaha memulihkan bekalan air itu dengan kadar yang segera. Oleh itu pengguna-pengguna yang terlibat diharap bersabar dan menggunakan air secara berhemah,” katanya.

Satu telah membuka bilik gerakan di Loji Air Kepong selama 24 jam, bermula semalam. Sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan ini boleh menghubungi talian, 1 300 882 111, 09-6201179, 09-6201001, 09-620 1111.


06 June 2012

Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia

Oleh FAUZI MOHD

Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan adalah pendekatan yang amat sesuai diamalkan oleh negara berbilang kaum seperti Malaysia bagi mengelak rakyat mengamalkan budaya hidup yang melampau demi perpaduan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, konsep itu dapat membantu dalam usaha mengekang budaya atau kegiatan fanatik dan ekstremis dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Justeru itu kata beliau, Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia akan diadakan pada 10 Jun ini bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.

Jelasnya, program yang bermula pukul 8 pagi itu membabitkan dua tokoh penceramah iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan.

“Kita sasarkan kira-kira 2,000 penyertaan daripada pelbagai peringkat termasuklah pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan, belia dan guru,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah Ahmad Razif, program itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

“Seminar ini bakal menyentuh konsep Gagasan 1Malaysia dan boleh dihadiri sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui tajuk ini secara ilmiah,” ujarnya.

Katanya, perasmian penutup program itu bakal disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan disiarkan secara langsung di webtv.terengganu.gov.m



Gangguan bekalan air

Pada 6 Jun 2012 jam 5.00 pagi telah berlaku kerosakan luar jangka kepada peralatan pam di Muka Sauk Pulau Musang yang menyebabkan Loji Air Losong, Kuala Terengganu tidak dapat beroperasi. Ini akan menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan tertentu.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah:-

a. Kg. Losong                            
b. Kg. Durian Burung
c. Kg. Chabang Tiga
d. Kg. Paloh
e. Kg. Sungai Rengas
f. Kg. Pulau Musang
g. Kg. Pulau Rusa

Gangguan ini dijangka bermula pada 6 Jun 2012 dan dijangka bekalan akan pulih pada 11 Jun 2012. Pada masa ini kakitangan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang berusaha membaiki kerosakan yang berlaku. Bekalan air sementara secara manual melalui lori tangki akan disediakan. SATU telah membuka bilik gerakan di Loji Air Kepong bermula pada hari ini dan bilik gerakan ini akan beroperasi 24 jam. Sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan dengan ini boleh menghubungi melalui talian:-

a. Careline : 1 300 882 111
b. 09-6201179
c. 09-6201001
d. 09-6201111

Pihak SATU sedang dan akan berusaha untuk memulihkan bekalan air seberapa segera yang boleh dilakukan. Pengguna-pengguna adalah diminta untuk bersabar dan menggunakan air secara berhemah. Sebarang kesulitan amatlah dikesali.