Halaman

21 June 2012

Sidang video PM - MB lancar

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak berbangga dengan pencapaian Terengganu dalam bidang ekonomi dan keusahawanan hasil pelbagai program dan aktiviti yang dirangka kerajaan negeri menerusi agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).



Beliau berkata demikian menerusi sidang video secara langsung dari Majlis Perasmian Minggu PKS 2012 Peringkat Nasional, Kuala Lumpur dengan Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, di program Himpunan Usahawan Terengganu 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (21 Jun).

Menerusi sidang video yang berlangsung selama lima minit itu, Menteri Besar turut memberitahu jumlah pinjaman perniagaan yang dikeluarkan pelbagai agensi kerajaan kepada usahawan negeri ini.

Malah, Perdana Menteri turut berharap kerajaan negeri terus menjana ekonomi dan memanfaatkan peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan sebaik mungkin bagi memastikan kehidupan rakyat Terengganu terus maju.


Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebelum menamatkan perbualan sempat berseloroh Terengganu akan mencapai kejayaan yang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, menyebabkan Perdana Menteri spontan berkata `masih sempat lagi menyebut perkara itu (PRU13)'.




James Jam Jolly juara pidato bukan Melayu

Oleh; Esah Abdullah



James Jam Jolly, 25 dari masyarakat Iban, Sarawak muncul johan dalam Pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu) Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu hari ini.

James merupakan pelajar tahun dua Jurusan Bioteknologi Marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membawa pulang wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.



Naib johan dimenangi Linggatharani a/p Kesavan, 21, pelajar di Maktab Perguruan Dato’ Razali Ismail dan berasal dari Pulau Pinang dan Wan Zainuddin Ali Aspar, 22, dari masyarakat Bajau Kudat, Sabah yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapat tempat ketiga dan masing-masing menerima RM1,000 dan RM500 beserta plak dan sijil penghargaan.

Manakala lima peserta menerima saguhati RM200 setiap seorang beserta plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.



Lapan peserta termasuk seorang masyarakat Iban, Bajau dan masing-masing tiga China dan India menyertai pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) itu yang masuk tahun kedua setelah mula diperkenalkan tahun lalu.

Menurut Pengarah JPNT, Hajah Azizah Awang, pertandingan yang bertemakan nilai-nilai murni itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan serta kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia selain memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan pelbagai kaum dalam kehidupan harian.

"Kita juga berharap dengan penganjuran program ini dapat menyubur serta mengekalkan semangat perpaduan di kalangan warga Malaysia, "katanya.





Usahawan Terengganu paling rendah gagal bayar balik pinjaman

Oleh: Aida Abd Rahman
Usahawan di negeri ini dikenalpasti sebagai peminjam paling berdisiplin dalam aspek bayaran balik pinjaman berikutan mampu melunaskan pembiayaan mengikut tempoh ditetapkan berdasarkan penilaian beberapa agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan itu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peminjam dari negeri ini yang gagal membayar balik pinjaman kepada agensi seperti Tekun Nasional (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) amat kecil.

Menurutnya, hanya 20 peratus peminjam di YPU yang gagal menjelaskan pinjaman itu, manakala daripada setiap sepuluh peminjam Tekun, hanya tiga daripadanya gagal membayar balik yang mungkin berpunca daripada perniagaan yang merudum dan tidak berkembang.

Sementara Mara pula mencatatkan 25 peratus gagal menjelaskan pinjaman perniagaan menerusi pelbagai skim yang disediakan , selain 0.01 peratus sahaja yang tidak melunaskan pinjaman berkontrak.



“Bagi pinjaman Tekun pula, usahawan yang meminjam menerusi Tekun kebanyakannya kaum wanita dan sikap wanita lazimnya sentiasa beringat dan berdisiplin untuk membayar balik pinjaman yang dibuat mereka berbanding lelaki.

“Sama juga seperti pinjaman disediakan menerusi YPK, sebanyak 80 peratus berjaya membayar balik dan mengubah hidup mereka. Sementara 20 peratus lagi semakin susah akibat gagal mengurus dan bertindak menjual peralatan perniagaan, pada masa yang sama meminjam pula dengan along,” katanya di sidang akhbar sempena Himpunan Usahawan Terengganu 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (21 Jun).

Menteri Besar berkata, sehingga kini, Mara mengeluarkan pinjaman RM440 juta kepada 5,435 usahawan Terengganu termasuk RM21 juta dikeluarkan Januari hingga Jun tahun ini yang melibatkan 673 peminjam keseluruhannya.

Katanya, Tekun pula melibatkan RM27077,500 dengan 24,500 peminjam dari Terengganu dengan negeri ini merekodkan jumlah peminjam tertinggi serta jumlah peruntukan kedua tertinggi selepas Selangor.

Menerui YPU, sebanyak RM13.166 juta dikeluarkan melalui Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu atau T’Fund kepada 1,795 usahawan Terengganu pada tahun lalu, manakala Januari hingga Mei tahun ini melibatkan peruntukan RM268,500.

YPK pula mengeluarkan pinjaman sebanyak RM19,110,100 kepada 4,803 kepada peserta menerusi program Jaya Diri YPKT.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kerajaan menyediakan banyak peluang dan kemudahan pinjaman perniagaan kepada rakyat supaya dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengubah taraf hidup masing-masing.

“Ramai di kalangan usahawan berjaya kerana bantuan dan bimbingan yang dibuat oleh kerajaan, tetapi pada masa yang sama, ramai mengalami kegagalan di separuh jalan disebabkan sikap, disiplin dan kesilapan pengurusan perniagaan masing-masing.

“Jika orang lain boleh berjaya dengan pinjaman Mara, Tekun dan YPU, kenapa kita gagal? Kita kena tanya dengan diri kita sendiri kerana setiap kali mahu melibatkan diri dalam perniagaan kita perlu ada perancangan dan disiplin,” katanya.

Katanya, rakyat yang miskin harta dan tidak miskin minda pasti boleh mengubah taraf hidup, bagaimanapun seringkali menjadi masalah apabila terdapat mereka yang miskin minda sehingga sanggup menjual bantuan peralatan perniagaan yang disediakan kerajaan semata-mata untuk mendapatkan wang tunai dengan jalan yang mudah.





Universiti Mie, Jepun biayai lima pelajar, tenaga akademik TATiUC sambung pengajian

Oleh: Aida Abd Rahman
Lima pelajar dan tenaga akademik Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah secara percuma di Universiti Mie, Jepun untuk setiap sesi kemasukan pelajar akan datang.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim, berkata persetujuan pembiayaan itu terkandung dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Jepun pada 24 Mei lalu.

“Pemeteraian perjanjian persefahaman adalah bagi jurusan kejuruteraan biosumber, inovasi dan kejuruteraan. Selain itu, menerusi MoU ini, kuota untuk program pertukaran pelajar selama enam bulan di university itu ditambah kepada lima orang, selain TATiUC turut menerima lima pelajar daripada Universiti Mie,” katanya.

Dr Zunaidi berkata, sebelum ini, dua pertukaran pelajar sudah dilaksanakan dengan university itu melibatkan pertukaran sesi pertama melibatkan seorang pelajar pada tahun lalu diikuti dua pelajar pada sesi kedua.

Katanya, seorang daripada pelajar berkenaan mendapat pembiayaan biasiswa dari Universiti Mie sendiri.

“Menerusi MoU ini juga, empat profesor pelawat dari Universiti Mie juga akan ditempatkan di TATiUC pada setap tahun bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan di kolej universiti ini khususnya dalam bidang penyelidikan serta bidang lain sperti pembuatan, kimia, mekatronik serta sains computer dan teknologi maklumat.

“Dengan itu diharap kerjasama bersama university dari matahari terbit itu akan membantu memperkasakan kualiti pendidikan di TATiUC khususnya dalam penyelidikan,” katanya.

Ayuh! Daftar segera sebagai pengundi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

BERITA BAIK BUAT MEREKA YANG BELUM MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI.

Anda masih berpeluang untuk mendaftar segera sebagai pengundi kerana jika anda mendaftar sebagai pemilih sebelum 30 Jun ini, anda masih berpeluang untuk mengundi jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan selepas bulan Ogos.

Berdasarkan perkembangan semasa, PRU-13 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat ini dan kemungkinan besar ia akan dilakukan selepas bulan Ogos nanti.

Di Terengganu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti kira-kira 46,000 orang belum lagi mendaftar sebagai pemilih walaupun mereka layak berbuat demikian.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, bulan Jun adalah saat terbaik untuk mereka yang belum mendaftar sebagai pemilih menunaikan tanggungjawab mereka, sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.

Bulan Jun merupakan bulan terakhir suku tahun 2/2012 di mana selepas itu di mana nama-nama mereka yang mendaftar sebagai pemilih akan diwartakan selama dua minggu pada bulan Julai.

Jika tiada sebarang bantahan, senarai daftar pemilih yang baru itu akan diwartakan pada bulan Ogos nanti.

Orang ramai boleh berurusan dengan SPR atau mana-mana agen yang dilantik untuk mendaftar sebagai pemilih sepanjang musim, dalam waktu pejabat.

Semakan daftar pemilih pula boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR negeri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap hari sepanjang bulan ini.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

Daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, didapati kira-kira 3.7 juta orang masih belum berdaftar di seluruh negara belum mendaftar sebagai pemilih, tetapi jumlah di Terengganu adalah yang paling sedikit.


Penderma darah Terengganu lawat Indonesia

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Seramai 20 orang penderma darah paling aktif di negeri Terengganu dan beberapa kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengikuti lawatan berinformasi ke Medan, Indonesia pada 14 hingga 17 Jun lalu.

Lawatan itu yang dicetuskan dan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu , YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar, bertujuan memberi penghargaan kepada para penderma darah aktif seluruh negeri Terengganu yang telah sama-sama membantu Unit Tabung Darah hospital-hospital di seluruh negeri bagi memastikan bekalan darah di seluruh negeri Terengganu berada dalam keadaan mencukupi tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Menurut YB Dr Hj A. Rahman, program itu membuktikan kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan sebilangan warga negeri Terengganu yang prihatin dalam membantu kerajaan tidak kira dalam bentuk wang ringgit mahupun setitik darah dan keringat, bagi membela nasib rakyat yang memerlukan bantuan.

“ia juga selaras dengan moto kerajaan negeri dalam “Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran” Ada di kalangan peserta pernah menderma darah sehingga lebih daripada 100 kali sepanjang hidup mereka,” katanya.

Antara program yang disusun sepanjang lawatan selama empat hari tiga malam itu ialah kunjungan ke Unit Tabung Darah Columbia Asia Hospital, lawatan ke Tasik Toba, Air Terjun Sipiso-Piso dan beberapa tempat tarikan pelancong di sekitar Kota Medan, Parapat dan Berastagi seperti Istana Maimoon, Central Fruit Market, Pasar Ikan Lama dan Medan Mall.

Turut menyertai rombongan ini Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Haji Anwa Sulaiman dan beberapa wakil kerajaan Negeri Terengganu.

YB Dr Haji A. Rahman juga berharap dengan adanya program seperti itu akan lebih menggalakkan lagi orang ramai terutama rakyat negeri Terengganu untuk menderma darah ke mana-mana Tabung Darah hospital di seluruh negeri Terengganu demi untuk kepentingan dan kegunaan rakyat Terengganu khususnya dan rakyat seluruh negara umumnya.



Penyokong tegar Pas Besut gembira terima motosikal roda tiga


Pak Ya berketayap berpeluk erat dengan Idris selepas menerima motosikal roda tiga

Oleh: Mohammad Ishak

Tuduhan pemimpin Pas terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan tidak adil dan mengutamakan penyokong Umno dalam setiap pengagihan bantuan adalah tidak tepat dan bohong.

Terbukti, seorang penyokong PAS dari Kampung Lubuk Kawah, Hulu Besut, adalah antara ahli parti itu yang turut mendapat bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaaan sama seperti penyokong Umno.

Dia yang hanya mahu kenali sebagai Pak Ya, 62, adalah penerima yang pertama bersama penyokong PAS lain dari daerah itu untuk menerima bantuan motosikal roda tiga bagi kemudahan menjalankan perniagaan.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih, yang menyampaikan sumbangan bantuan peralatan pertanian dan nelayan kepada golongan berkenaan menyifatkan tuduhan pembangkang itu tidak berasas.

Katanya, pada majlis itu 46 petani dan nelayan diberikan motosikal dan sebahagiannya penyokong PAS turut menerima bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian.

Pak Ya berkata, beliau amat gembira kerana turut disenaraikan oleh jabatan terbabit untuk menerima motosikal roda tiga yang bernilai RM6,000 setiap satu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memerintahkan kerana tidak memilih bulu dan saya sebagai ahli PAS turut mendapat menfaat daripada program kerajaan,” katanya.

Malah, penyokong setia PAS itu turut bersemangat melaungkan ungkapan “1Malaysia” bersama rakan penerima bantuan lain ketika Idris yang mengetuai kata-kata hikmat’ yang diperkenalkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Paling menarik, Pak Ya kelihatan begitu mesra dan tidak menolak pelawaan Idris untuk bergambar bersama sebagai kenang-kenangan sempena majlis penyerahan berkenaan.

20 June 2012

Menteri Besar luang masa lawat keluarga pesakit leukemia

Oleh FAUZI MOHD

Ismaliana Ismail, 20, yang menderita penyakit leukemia sejak hampir setahun lalu mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang berkunjung ke rumah keluarga itu di Kampung Pulau Musang, Kuala Terengganu hari ini.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan buat kali ketiga sejak dua minggu lalu.

Bapa pesakit itu, Ismail Omar, 65, yang turut mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis memberitahu, anaknya itu disahkan mengidap leukemia oleh pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah, dekat sini.

Derita berpanjangan akibat penyakit itu katanya, Ismaliana yang kini sedang dirawat di HUSM terpaksa melupakan tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Segamat, Johor.



“Ismaliana akan dibedah buat kali ketiga setelah berjaya mendapatkan air tulang belakang daripada keluarga terdekat,” katanya kepada pemberita.

Tambah Ismail, walaupun kerap sakit dan jatuh pengsan, Ismaliana berjaya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam.

Ujarnya, beliau yang tidak mampu bekerja itu turut dibantu isteri, Aminah Abdullah, 55 dan anak-anaknya yang lain untuk menjaga Ismaliana termasuk membawanya ke hospital jika jatuh sakit.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, remaja perempuan itu akan dibantu melalui peruntukan Tabung Penyakit Kronik yang diwujudkan kerajaan negeri.

“Kita akan dapatkan laporan kesihatan pesakit itu untuk menentukan bentuk bantuan yang akan kita hulurkan dalam masa terdekat,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.



Sejurus sepas itu, Menteri Besar turut menjengah pesakit asma, Endot Mat Min, 76 yang tinggal berjiran dengan keluarga Ismail.

Endot yang mengidap penyakit itu sejak lapan tahun lalu mempunyai lapan anak, 12 cucu dan seorang cicit dan menetap bersama anak perempuannya, Sabariah Muda, 40.


Kerajaan sedia tapak rumah untuk generasi kedua Felda

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri meluluskan tiga kawasan rancangan tanah berkelompok untuk dijadikan penempatan bagi generasi kedua Felda dan Felcra di negeri ini.

Tanah berkenaan yang dipecahkan kepada 444 lot tapak rumah akan diagihkan kepada peserta yang layak secara berperingkat.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, daripada jumlah berkenaan, 130 lot tapak rumah akan diagihkan kepada anak-anak peneroka di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu.

“Sebanyak 92 lot lagi terletak di Kampung Bukit Tinggi, Langkap, Mukim Hulu Nerus,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Sebagai permulaan, seramai 46 peserta telah dimasukkan di penempatan Kampung Bukit Tinggi, Langkap manakala bakinya akan dipilih secara berperingkat.

Selain itu, katanya, seramai 222 peserta membabitkan 222 lot tapak rumah di Felcra Seri Bandi, Kemaman akan menerima hak milik masing-masing di mana majlis penyerahan akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, 222 peserta di Felcra Seri Bandi yang mengusahakan ladang kelapa sawit yang dan telah mengeluarkan hasil akan menerima geran hak milik mereka berupa tapak rumah beserta ladang seluas 4 hektar seorang.

“Kerajaan sentiasa peka dengan masalah tempat kediaman generasi kedua Felda dan akan berusaha menyediakan tapak rumah untuk mereka.




Terengganu buru 47 emas Sukma

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri membuat sasaran baru iaitu 47 pingat emas bagi pungutan pingat dalam Sukan Malaysia Ke-15 (Sukma) yang akan berlangsung di Pahang pada bulan depan.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sasaran sebelum ini ialah 58 pingat emas daripada 377 pingat yang dipertandingkan.

“Kita kehilangan sembilan pingat emas kerana atlet Sukma yang layak telah pergi ke Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelantikan Rasmi Ketua Kontijen Terengganu Sukma XV Pahang 2012 di Wisma Darul Iman hari ini (20 Jun).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan YB Haji Rozi Mamat; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Haji Zainal Abidin Husein dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu merangkap Ketua Kontijen Sukma Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, peraturan baru juga tidak membenarkan mereka bertanding dalam Sukma walaupun dari segi umur mereka masih layak bertanding.

Sehubungan itu katanya, tiga atlet yang tidak dapat menyertai Sukma nanti ialah Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim dalam acara sukan memanah dan Adiq Hussainie Othman acara berbasikal yang menyumbangkan masing-masing tiga pingat emas dalam Sukma di Melaka.

Katanya, Terengganu menyertai 24 jenis sukan dan 19 sukan wajib ialah renang, angkat berat, berbasikal, bola sepak, badminton, gimnastik, hoki, lawn bowls, taekwondo, karate, perahu layar, dan sepak takraw.Manakala lima sukan bukan pilihan ialah bola tampar, ekuestrian, petanque, tinju dan golf.

Kontijen Terengganu disertai seramai 536 orang termasuk 400 atlet manakala selebihnya terdiri dari pegawai, pengurus dan jurulatih.

“Kita fokuskan kepada sukan berbasikal dan angkat berat yang akan mendominasikan pingat emas untuk kontijen dan sukan lain seperti perahu layar, taekwondo dan tinju dijangka akan memberi tambahan pingat emas,” katanya.

Menteri Besar berharap kita terus mampu kekal juara dan menawarkan insentif kepada atlet yang berjaya memungut pungat emas (RM5,000) perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).



Beliau kemudiannya menyerahkan watikah pelantikan ketua Kontijen Sukma kepada Haji Wan Nawawi serta turut mengumumkan pelantikan bapa angkat kepada 23 jenis sukan yang disertai terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undan Negeri.