Halaman

26 June 2012

Artis Budaya MBKT jadi juara Pujaan Muzik Nescafe

Oleh; Esah Abdullah

Artis Budaya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Tuan Izat Izzuddin Tuan Abdul Aziz, 24, muncul juara pada malam kemuncak pertandingan nyanyian Pujaan Muzik Nescafe 2012 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Tuan Izat Izzuddin yang berasal dari Felda Mengkawang, Ajil, Hulu Terengganu membawa pulang hadiah lumayan wang tunai sebanyak RM100,000 hasil kemenangan itu.

Beliau merupakan wakil Terengganu setelah menjadi juara di peringkat negeri , mengalahkan lapan finalis dari serata tanah air.

Ternyata lagu tradisional Ghazal Untuk Rabiah yang didendangkan penyanyi Dato’ M.Nasir dan Jamal Abdillah membawa tuah kepadanya.

“Saya akui semua finalis yang bertanding hebat-hebat belaka serta memiliki kekuatan vocal tersendiri, Cuma rezeki berpihak kepada saya dan sebagai finalis saya cuma menyanyi bersandarkan bakat dianugerahkan Allah dengan sebaik mungkin,” katanya.




Pemandu teksi dari Terengganu menang Proton Persona

Oleh; Esah Abdullah

Pemandu teksi berasal dari Terengganu Mohd. Noor Neh telah memenangi sebuah Proton Pesona 1.6 sempena majlis pelancaran program Teksi Rakyat 1Malaysia (TRIMa).

Majlis pelancaran TRIMa berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Bukit Jalil dan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Mohd Noor yang merupakan pemenang utama hadiah cabutan bertuah TRIMa di majlis yang menghimpunkan kira-kira 25,000 pemandu teksi dari seluruh negara.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, Mohd Noor yang kini menetap di Shah Alam telah menjadi pemandu teksi selama empat tahun dan mempunyai pengalaman luas mengenai selok belok jalan di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman telah menyampaikan hadiah berkenaan kepada Mohd Noor.





Jangan beri ruang kepada pembangkang - Haji Wan Mahyuddin

Oleh: Aida And Rahman

Penduduk diingatkan supaya mengekalkan keharmonian yang ada serta tidak memberi ruang kepada pakatan pembangkang mengganggu-gugat kerukunan hari ini dengan membenarkan puak berkenaan berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata PRU13 yang akan berlangsung tidak lama lagi bakal menjadi penentu jatuh bangun bangsa Melayu di negeri dan negara ini khasnya.

“Masa semakin suntuk, kita harus menilai dan merenung kembali sejarah lalu dan juga perkembangan masa kini, di mana sepanjang 33 tahun Pas mentadbir DUN ini, selain lima tahun pula menjadi Ahli Parlimen, dia (Haji Abdul Wahid Endut) gagal membantu rakyat..Akhirnya JKKK juga ambil berat bukan Adun dan Ahli Parlimen.

“Kalau kita pergi rumah dia memohon bantuan, dia kata dia tiada kuasa. Tetapi tuan-tuan dan puan-puan yakin dan percayalah, dia ada peruntukan yang diterima terus sama ada peringkat DUN mahupun Parlimen, tetapi dia tidak buat, dia tidak membantu rakyat. Malah, dia memperbodohkan kita semua,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Jun).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kubang Parit, Encik Rusli Bidi dan 200 penduduk kampung yang memeriahkan pelbagai acara sempena majlis tahunan itu.

Haji Wan Mahyuddin berkata, kerajaan negeri serta Pusat sudah terbukti menyumbang pelbagai bantuan dan menyediakan kemudahan yang dimanfaatkan seluruh rakyat terutama kepada pelajar seperti bantuan pakaian sekolah , buku teks dan e-Book.

Selain itu, Bantuan Rakyat 1malaysia (BR1M) berjumlah RM500 setiap keluarga, selain dana hari raya, dana remaja, bantuan membaiki rumah dan atap biru.

“Oleh itu, saya merayu dan mungkin ini yang terakhir saya berucap di Kampung Kubang Parit, sebab saya sebutkan tadi bahawa kita akan berdepan dengan PRU13 tidak lama lagi, jadi saya minta supaya semua penduduk pakat pangkahlah `BN’ sekali kali ini bagi membawa angin perubahan di DUN kita,” katanya.






25 June 2012

Sukma 2012 - Dumrong Boomrowd latih skuad petanque raih tiga emas

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Petanque Negeri Terengganu menggunakan khidmat jurulatih dari Thailand dalam usaha meraih emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuantan, Pahang bulan depan.

Setiausaha persatuan itu, Abdul Rani Jusoh berkata jurulatih itu ialah Dumrong Boomrowd, 55, dari Bangkok, pernah melatih pasukan petanque kebangsaan bagi menghadapi Sukan Sea 2003.

"Dia (Dumrong) mula berkhidmat dengan kita pada Oktober tahun lepas secara sambilan," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, edisi Sukma kali ini persatuan itu benar-benar mengidamkan pingat emas bagi membantu Terengganu kekal juara Sukma.

Katanya, pencapaian terbaik pasukan petanque Terengganu ialah di Melaka dengan dua perak.

"Sukma kali ini menawarkan 11 pingat emas dan Terengganu akan menyertai semua acara yang dipertandingkan dengan sasaran tiga emas berdasarkan pencapaian semasa pemain-pemain," ujarnya.


Sukma 2012 : Bola tampar optimis lakar sejarah kutip emas pertama

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu (Tava) optimis memberi saingan sengit bagi merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan berlangsung di Pahang bermula 7 hingga 16 Julai ini.

Setiausaha Tava, Mohd Nasir Yusof berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaian pemain pasukan lelaki yang begitu memberangsangkan dalam kejohanan bola tampar yang diadakan sebelum ini.

"Saya yakin berdasarkan rekod kejohanan yang disertai sejak Mac lalu, antaranya bawah 19 tahun kebangsaan apabila Terengganu menjadi juara, kita mampu membawa sinar ini ke Sukma di Pahang," katanya hari ini.

Mohd Nasir berkata, Tava akan menampilkan pasukan terbaik bagi memastikan sasaran untuk merangkul pingat emas pertama, sekali gus membantu kontingen Terengganu mencapai sasaran mengutip 47 pingat emas akan tercapai.

Beliau berkata, bagi memantapkan pasukan Terengganu, Tava mengambil langkah drastik memindahkan gelanggang latihan ke Shah Alam, Selangor dengan mengadakan latihan intensif di bawah kendalian bekas penolong jurulatih kebangsaan, Zulkifli Azmi.

"Berdasarkan undian pasukan yang dijalankan baru-baru ini, Terengganu ditempatkan dalam kumpulan B bersama-sama Selangor, Pahang, Perlis, Wilayah Persekutuan dan Sabah," ujarnya.


UMT anjur Program Kesedaran Pemuliharaan Penyu

Kelab UNESCO Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan Program Pemuliharaan Penyu di Dataran Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT, pada 26 Jun ini (Selasa).



Program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan pemuliharaan penyu bagi mengelakkan kepupusan haiwan tersebut di masa depan.

Antara aktiviti yang diadakan sempena program itu ialah pertandingan mewarna, pameran dan tayangan video penyu.
Pameran penyu akan diadakan dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang.




Giliran pemandu teksi dapat ‘durian runtuh’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 100,000 pemandu teksi di seluruh negara kini tersenyum lebar selepas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengumumkan tiga insentif bagi meringankan beban mereka.

Intensif tersebut ialah:

1. Baucar tukar tayar berjumlah RM520 setahun
2. Perlindungan insurans
3. Rebat lupus teksi lama

Kejutan demi kejutan dilakukan Perdana Menteri sepanjang era pentadbiran beliau yang berpaksikan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sebelum ini, golongan peneroka mendapat ‘durian runtuh’ berupa agihan wang tunai berjumlah RM15,000 bagi setiap keluarga peneroka dan saham dalam Felda Global Ventures Sdn Bhd.

Kini pemandu teksi diberi bantuan berupa baucar menukar tayar berjumlah RM520 setahun selama dua tahun, perlindungan insurans percuma dan rebat lupus teksi lama.

Lagi berita baik untuk mereka apabila Perdana Menteri berjanji akan mengkaji untuk menghapuskan sistem monopoli pajakan di mana pemilikan teksi kini kebanyakannya dimiliki syarikat-syarikat besar.

Kerajaan yang prihatin terhadap nasib golongan pemandu teksi akan menghapuskan sistem pajak teksi yang lebih ke arah bentuk perhambaan moden.

Dengan insentif yang begitu besar disediakan kerajaan kepada pemandu teksi, tentunya Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengharapkan balasan yang setimpal daripada golongan tersebut.

Pemandu teksi yang dianggap sebagai ‘duta’ sewajarnya menghentikan tabit buruk mereka menghentam kerajaan dan pemimpin BN setiap kali penumpang menaiki kenderaaan mereka.

Mereka sepatutnya memuji keprihatinan kerajaan dan meminta para penumpang mencurahkan taat setia kepada Kerajaan BN dan pada masa yang sama jangan terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang supaya melakukan huru hara dalam negara.

Pemandu teksi perlu melahirkan rasa syukur di atas pemberian kerajaan dan tidak perlu ‘mengigit’ tangan yang menyuap makanan kepada mereka.



TMT 2013 saji 27 acara menarik

Oleh: Aida Abd Rahman
Karnival 1Malaysia Tahun Baru Cina di perkarangan Kampung Cina, Bandar Raya Kuala Terengganu membuka tirai 27 acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata TMT 2013 yang mensasarkan kehadiran empat juta pelancong menyajikan pelbagai program menarik yang bermula dengan karnival 1Malaysia pada Januari, kemudiannya disusuli dengan Le Tour De Langkawi 2013 yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini pada Februari hingga Mac.

“Selain dua acara itu, 25 acara lagi termasuk International Terengganu Starhill 4X4 Challenge 2013 (pinggiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak), Kenyir Lake International Triathlon 2013 di pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dan Cabaran Reka Cipta Islam dan Perasmian Kincir Air Taman Tamadun Islam sepanjang Mac.

“Kemudiannya pada April akan berlangsung Bidong Underwater & Land Challenge (Pulau Bidong), Petronas Cub Prix (Kompleks Sukan Gong Badak), Boat On The Road (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir), Terengganu World Invitational Jetrace Chellenge 2013 (Pantai Batu Buruk) dan Kapas-Marang International Swimathon 2013 (Pantai Kelulut, Marang), “ katanya kepada media di pejabatnya, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (24 Jun).

Di majlis itu, beliau turut mengumumkan pelantikan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Hisamudin Hashim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013 bagi mengetuai sekretariat itu nanti.

Dato’ Abdul Rahin berkata, sebahagian lagi program TMT bermula Mei termasuk Pelancaran Karnival Candat Sotong Harian Metro 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu; Karnival GP Joran 2013 di Pantai Teluk Lipat, Dungun dan Pesta Pantai Terengganu 2013 pada Mei hingga Jun.

“Pesta Pantai pada musim depan akan diadakan di jajaran pantai dan kerajaan negeri bersetuju untuk menganjurkan program untuk rakyat itu di Pantai Mengabang Telipot, Batu Rakit, Kuala Terengganu, di mana sinonim dengan tradisi acara itu sendiri yang bermula di kawasan pantai,” katanya .

Katanya, pada Jun adalah Terengganu International Islamic Art Festival (TTI), International Tebu Mountain Challenge 2013 (Hutan Lipur Air Terjun Chemerong), pada Ogos pula diadakan pertandingan peliata raya 2013 di Tepoh, Kuala Terengganu, diikuti Larian Jambatan Sultan Mahmud, (penamat di Pantai Batu Buruk.)

Sementara sepanjang Oktober hingga Disember pula, Piala Sultan Mizan (Lembah Bidong, Setiu), International Perhentian Island Challenge, Kenyir Cup, Terengganu Eco & Marine Tourism Conference, Terengganu Quiksilver Best Event Surfing Contest 2013 (Pantai Batu Buruk) serta Piala Monsun dan Chemerong International Challenge (Hutan lipur Chemerong, Dungun) menutup tirai acara TMT 2013.





Hutan Lipur Lata Tembakah dilengkapi sistem keselamatan, prasarana RM1juta

Oleh: Aida Abd Rahman

Hutan Lipur Lata Tembakah, Besut sedang giat dinaiktaraf dengan pelbagai prasarana termasuk papan tanda amaran, sistem siren dan papan tanda informasi melibatkan peruntukan RM1 juta bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata Jabatan Hutan Negeri Terengganu dipertanggungjawabkan menyiap projek berkenaan yang dijangka siap penghujung tahun ini.

“Selain kemudahan keselamatan, prasarana lain termasuk menaik taraf 60 lot tempat letak kenderaan, menaik taraf tandas dan bilik mandi serta pencahayaan lampu limpah di tapak perkhemahan, menaik taraf pondok rehat serta menaik taraf tandas awam.

“Bilik persalinan dan tapak permainan kanak-kanak juga dinaiktaraf bagi memberi tarikan dan keselesaan kepada semua pengunjung tanpa mengira usia,” katanya kepada media di pejabatnya, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (24 Jun).

Di majlis itu, beliau turut mengumumkan pelantikan bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Hisamudin Hashim sebagai Ketua Pegawai eksekutif TMT 2013 bagi mengetuai sekretariat itu nanti.

Hutan Lipur Lata Tembakah terletak di Hutan Simpan Pelagat, Daerah Besut mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit turut ditumbuhi pelbagai flora dan fauna serta spesies pokok utama adalah Meranti dan Keruing.

Keunikan hutan lipur ini ialah terdapatnya air terjun bertingkat-tingkat setinggi 50 meter, selain jeram dan kolam-kolam kecil yang amat sesuai untuk bermandi-manda dan berlibur untuk seisi keluarga.

Beberapa kemudahan yang tersedia di situ seperti chalet, tapak perkhemahan, jambatan gantung, pondok informasi dan lorong pejalan kaki.

Lokasi pelancongan ini terletak 25 kilometer (km) dari Pekan Seri Langkap melalui jalan raya Seri Langkap-Lata Payung, manakala dari bandar Kuala Terengganu sejauh 65 km.





Tonton perlawanan akhir Euro 2012 bersama MB

Oleh: Suriati Ali

Kelab Belia Generasi Prihatin Kuala Terengganu (KBGP) akan mengadakan Fiesta Euro 2012 bersama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said sempena perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Negara-negara Eropah (Euro) 2012.

Fiesta yang akan diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu itu bermula jam 5.00 petang hingga 2.00 pagi pada 1 dan 2 Julai ini.

Pengerusi KBGP, Encik Badrohisham Zaki, berkata kira-kira 500 penduduk tempatan terutama golongan muda dijangka datang memeriahkan Fiesta Euro 2012.

Katanya, perlawanan akhir itu akan ditayangkan melalui Skrin Layar Besar (LED) milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Dataran Shahbandar.

“Langkah ini dilaksanakan kerana kita faham cita rasa golongan belia di mana rata-rata mereka ingin menonton perlawanan dan bersorak secara beramai-ramai,” katanya

Pada program santai itu, Menteri Besar dijangka menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan 'sepak gol' yang diadakan selang waktu rehat separuh masa pertama perlawanan itu.