Tarikan logo yang diangkat sebagai pemenang utama pertandingan bertemakan `Aspirasi Darul Iman- Satu Idea Seribu Harapan' bakal digunakan secara meluas dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran kehadiran empat juta pelancong ke bumi Darul Iman sepanjang tahun depan.
Jika 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu tahun lalu, manakala sasaran 3.9 juta pelancong pada tahun ini, pastinya sasaran kenaikan 0.1 peratus pelancong sepanjang 2013 turut menuntut komitmen padu semua pihak khususnya penggiat pelancongan di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri menjangkakan perbelanjaan bagi menjayakan TMT 2013 bertambah sekali ganda berbanding penganjuran TMT 2008 berikutan kos promosi, tambang penerbangan serta syarikat perunding yang semakin meningkat.
“Jika kos TMT 2008 memperuntukkan RM14 juta, kerajaan negeri menjangkakan kemungkinan perbelanjaan meningkat sekali ganda lagi bagi merealisasikan hasrat dan hala tuju TMT 2013 untuk menjual nama Terengganu ke serata dunia,” katanya kepada media di pejabat beliau, baru-baru ini.
Susulan itu, beliau berkata kerajaan sentiasa mencari peluang bagi menyertai sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan di dalam dan luar negara melalui Tourism Malaysia, termasuk menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul.
Selain memberi tumpuan kepada penganjuran acara pelancongan berasaskan destinasi seperti Kapas - Marang International Swimathon, Fiesta Candat Sotong, Kenyir Cup, Perhentian Island Challlenge, Kenyir Lake International Triathlon dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun, kerajaan negeri yang menggariskan 27 acara utama TMT 2013, turut melakukan nilai tambah di beberapa pusat pelancongan yang menjadi tarikan utama pelancong ke negeri ini.
Membuka tirai kesemua acara utama dalam kalendar TMT adalah Karnival 1Malaysia Tahun Baru Cina, Kuala Terengganu (Januari), diikuti Le Tour De Langkawi 2013 yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini pada Februari hingga Mac.
Manakala International Terengganu Starhill 4X4 Challenge 2013 (pinggiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak), Kenyir Lake International Triathlon 2013 (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir) dan Cabaran Reka Cipta Islam dan Perasmian Kincir Air Taman Tamadun Islam (TTI) sepanjang Mac.
“Kemudiannya pada April akan berlangsung Bidong Underwater & Land Challenge (Pulau Bidong), Petronas Cub Prix (Kompleks Sukan Gong Badak), Boat On The Road (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu), Terengganu World Invitational Jetrace Chellenge 2013 (Pantai Batu Buruk,Kuala Terengganu) dan Kapas-Marang International Swimathon 2013 (Pantai Kelulut, Marang),” katanya.
Dato’ Abdul Rahin berkata, sebahagian lagi program TMT bermula Mei termasuk Pelancaran Karnival Candat Sotong Harian Metro 2013, ( Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu), Karnival GP Joran 2013 (Pantai Teluk Lipat, Dungun) dan Pesta Pantai Terengganu 2013 pada Mei hingga Jun.
“Pesta Pantai pada musim depan akan diadakan di jajaran pantai dan kerajaan negeri bersetuju untuk menganjurkan program untuk rakyat itu di Pantai Mengabang Telipot, Batu Rakit, Kuala Terengganu, di mana sinonim dengan tradisi acara itu sendiri yang bermula di kawasan pantai,” katanya .
Pada Jun, acara Terengganu International Islamic Art Festival (TTI), International Tebu Mountain Challenge 2013 (Hutan Lipur Air Terjun Chemerong), menjelang Ogos pula diadakan Pertandingan Pelita Raya 2013 (Tepoh, Kuala Terengganu), diikuti Larian Jambatan Sultan Mahmud (penamat di Pantai Batu Buruk.)
Sementara sepanjang Oktober hingga Disember pula, Piala Sultan Mizan (Lembah Bidong, Setiu), International Perhentian Island Challenge, Kenyir Cup, Terengganu Eco & Marine Tourism Conference, Terengganu Quiksilver Best Event Surfing Contest 2013 (Pantai Batu Buruk) serta Kejohanan kapal Layar Piala Monsun 2013 (Pulau Duyong) dan Chemerong International Challenge (Hutan lipur Chemerong, Dungun) menutup tirai acara TMT 2013.