Halaman

13 July 2012

Kerajaan tanggung 90 peratus subsidi untuk akses pendidikan

Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
GAMBAR oleh Hazwan Roslee


Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kerajaan menanggung lebih 90 peratus subsidi untuk sektor pendidikan bagi memastikan kemiskinan tidak menjadi kekangan kepada rakyat di negara ini mendapatkan akses pendidikan terbaik.

Menurut Perdana Menteri, pelbagai subsidi dan bantuan dalam bidang pendidikan disediakan kerajaan termasuk kemudahan pinjaman seperti Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Pinjaman PTPTN menjadi akses kepada ramai pelajar yang miskin untuk meneruskan pengajian. Kalau kita hapuskan (PTPTN), siapa nak bayar? Menerusi pembayaran balik pinjaman itu, ianya membolehkan kita berbudi (memberi pinjaman) pula pada yang lain.


"Kerajaan BN akan terus membela dan menyediakan kemudahan yang lebih baik lagi dalam bidang pendidikan untuk rakyat di negara ini pada masa depan," katanya ketika berucap pada pelancaran program Mengubah Destini Anak Bangsa Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) di Arena Square, Dungun hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM, Prof. Dato’ Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Dato’ Seri Najib berkata, pendidikan merupakan satu mobiliti sosial menegak yang berjaya mengubah nasib mereka yang dahulunya miskin, kini mampu menjadi golongan profesional dan berjaya.


Menerusi UiTM misalnya, beliau berkata penubuhan institusi itu telah banyak membawa perubahan besar kepada anak-anak desa dan luar bandar yang kini pelajarnya mencecah 200,000.

"Perjuangan (pendidikan) ini adalah perjuangan yang silih berganti, tidak boleh dalam masa satu dekad sahaja, malah satu generasi pun tidak selesai.


"Ianya mesti dalam jangka masa yang panjang dan kesan keberhasilan dapat dilihat hari ini. Inilah kerajaan hari ini, tidak pernah jemu-jemu dalam membela rakyat tanpa mengira kaum," katanya.



Abdul Wahab Yunus – Tokoh Pemimpin Terbilang Daerah Dungun 2012


Oleh FAUZI MOHD

Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Abdul Wahab Yunus dipilih sebagai penerima Tokoh Pemimpin Terbilang Daerah Dungun 2012 yang disampaikan Perdana Menteri hari ini.

Pengiktirafan itu disampaikan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selepas pelancaran program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) Universiti Teknologi Mara di Arena Square, Dungun.

Abdul Wahab, 71 tahun, merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Dungun (1964-1969) dan selepas itu mendapat mandat sebagai Ahli Parlimen Dungun (1969-1978).


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Ketika PAS dijemput masuk menyertai Barisan Nasional pada era kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, bapa kepada 11 anak itu dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan pada 14 April hingga 17 November 1977.

Kemudian, suami kepada Azizah Mohamad, 61 tahun, pernah menjadi Pengurus Lapang Kupar Development Sdn Bhd di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun (1979-1982) dan Pengerusi Getex (M) Sdn Bhd, Dungun bermula tahun 1982.

Abdul Wahab yang mengidap penyakit strok sejak dua tahun lalu, pernah menjadi tonggak penting dalam kepimpinan PAS termasuklah Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu (1968-1975), Pesuruhjaya PAS Terengganu (1975-1982), Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1973-1975) dan Bendahari Agung PAS (1977-1979).


10,000 warga Marang menjamu selera bersama PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kira-kira 10,000 warga Marang menjamu selera bersama-sama Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada Majlis Jamuan Rakyat di Dataran Bukit Payong, petang ini.



Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke Terengganu menaiki helikopter dari Dungun dan tiba di Bukit Payong, kira-kira jam 1 tengahari.



Beliau dan rombongan kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong, bersama-sama jemaah tempatan.

Dato’ Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, membaca khutbah Jumaat di masjid tersebut.

Manakala Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Haji Aizi Saidi Abdul Aziz, menjadi imam solat Jumaat.

Sebaik saja selesai solat Jumaat, orang ramai mengambil kesempatan untuk bersalam dengan Perdana Menteri, sebelum beliau bergegas ke Dataran Bukit Payong untuk menghadiri Majlis Jamuan Rakyat.

Selesai menjamu selera, Dato’ Sri Mohd Najib bertolak ke Stadium tertutup Gong Badak bagi menghadiri satu lagi majlis iaitu Program Bersama Anggota Rela.



Peluang 12,000 anak miskin bergelar pelajar UiTM


Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) memberi peluang kepada anak miskin di negara ini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Pra Diploma yang ditawarkan universiti terbesar negara itu.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sejak dilancarkan hujung tahun 2010, pihaknya menerima kemasukan 12,000 pelajar untuk mengikuti program tersebut.

“Pada awal program dilancarkan, kita hanya sasarkan 5,000 pelajar miskin, penduduk luar bandar termasuk Orang Asli akan diterima masuk mengikuti MDAB di semua cawangan UiTM di seluruh negara.

“Hasilnya selepas 12 siri penjelajahan termasuk di Sabah dan Sarawak, jumlahnya kini kira-kira 12,000 pelajar,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Arena Square, Dungun hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, kepimpinan negeri serta lebih 30,000 rakyat pelbagai kaum termasuk kira-kira 20,000 penuntut UiTM.



Pada majlis itu, Dato' Seri Najib turut menyampaikan surat tawaran program MDAB kepada wakil-wikil pelajar UiTM dari semua cawangan seluruh semenanjung.

Menurut Sahol Hamid, walaupun permohonan yang diterima melebihi daripada sasaran ditetapkan, namun UiTM tetap memberi peluang kepada pelajar terbabit diterima masuk menerusi program MDAB.

“UiTM mahu ‘selamatkan’ semua 12,000 anak miskin ini. UiTM tidak akan menolak untuk mereka melanjutkan pelajaran dan kita akan buka lebih banyak cawangan untuk menampung kemasukan ini.

“Walaupun kita tahu, ramai diantara mereka tidak begitu cemerlang dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di peringkat sekolah. Sebab itu kita tawarkan program Pra Diploma,” katanya.

Katanya, pelajar miskin khususnya di luar bandar tidak boleh dibiarkan tercicir untuk mendapat peluang pendidikan terbaik walaupun mereka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di beberapa universiti lain.

Pelajar yang mengikuti Program Pra Diploma di universiti itu diberi kemudahan sewajarnya seperti yuran pengajian percuma dan elaun sara diri adalah hasil sumbangan Alumni UiTM, derma sumbangan syarikat milik kerajaan dan wang zakat.


Dato’ Seri Ahmad, Sahol Hamid contoh terbaik ‘anak miskin jadi orang berjaya’ – Perdana Menteri

Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Kemiskinan bukan alasan seseorang tidak boleh dididik untuk berjaya kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan peluang untuk mobiliti sosial, terutamanya menerusi pendidikan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, penguasaan bidang pendidikan telah membuktikan bahawa ia senjata utama untuk memerangi kemiskinan.

Beliau berkata, ramai personaliti yang berjaya pada hari ini berasal dari latar belakang keluarga miskin seperti contoh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

“Kita ada dua contoh. Pertama, MB (Menteri Besar) sebut dia anak tok nyadat, tapi akhirnya boleh menjadi MB, walaupun jalanya berliku-liku tapi boleh menjadi MB.

“Kedua, Prof. Sahol Hamid, mak jual kuih manakala anak pula jual botol air, akhirnya menjadi Naib Canselor UiTM,” kata beliau dalam ucapannya di majlis Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) UiTM di Arena Square, Dungun hari ini.

Tambah Dato’ Seri Najib, kejayaan dua tokoh itu merupakan lambang kesungguhan kerajaan BN melakukan perubahan atau transformasi secara menyeluruh melalui pendidikan.

“Kita mahu lebih ramai lagi contoh seperti ini, kita perjuangkan secara menyeluruh. Kalau tak ada peluang yang disediakan oleh kerajaan, berbekalkan keinginan saja tidak cukup.

“Inilah perjuangan yang dibawa Barisan Nasional,” kata Perdana Menteri disambut tepukan gemuruh lebih 30,000 hadirin termasuk kira-kira 20,000 penuntut UiTM dari seluruh semenanjung.


20,000 pelajar UiTM, kenduri rakyat 100 JKKK sambut Perdana Menteri

Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kunjungan pertama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ke Daerah Dungun disambut meriah lebih 20,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari seluruh negara sempena majlis Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), hari ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu turut diraikan lebih 10,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.


Ketibaan Dato’ Seri Najib di Arena Square, Dungun itu diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM, Prof. Dato’ Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang serta pemimpin masyarakat negeri dan daerah.


Datuk Rosli dalam ucapannya berkata, warga Dungun yang sudah lama menunggu saat seperti hari ini sangat teruja dengan kehadiran Perdana Menteri kerana ramai yang berpeluang bersalam dan melihat beliau secara dekat serta mendengar ucapannya.

Beliau memberitahu, kunjungan Dato’ Seri Najib mengembalikan nostalgia kedatangan bapanya yang juga Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak ke padang yang sama 40 tahun yang lalu.


"Satu ketika dulu, kunjungan Tun Razak pada tahun 1972 memberi sedikit nafas baru kepada penduduk Dungun peristiwa ‘duka’ berikutan penutupan lombong bijih besi yang merupakan nadi ekonomi rakyat di Dungun dan seluruh Terengganu.

"Beliau datang umumkan tiga perkara untuk ‘selamatkan’ Dungun. Pertama beliau umum tubuhkan Ketengah (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah), kedua tubuhkan cawangan pertama UiTM di Sura dan ketiga, melancarkan penubuhan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.

Selepas itu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis Kenduri Rakyat 100 JKKK di dataran tersebut yang turut dihadiri ribuan org dari segenap lapisan masyarakat.

Menurut Datuk Rosli, bagi jamuan itu sebanyak 40 ekor lembu telah ditumbangkan dengan pembahagian tugas memasak dan menyediakan hidangan istimewa itu dilakukan organisasi terbabit.


"Jika padang ini Tun Abdul Razak umum penubuhan JKKK di seluruh negara, saya merasakan JKKK yang ada di seluruh negara ini lahirnya di sini. Hari ini, semua JKKK mahu meraikan jasa Tun Abdul Razak dihadapan anaknya sendiri, Dato’ Seri Najib.

"Hidangan istimewa kita tidak lain tidak bukan ialah gulai kawah yang begitu sinonim dengan masyarakat Terengganu serta sambal belacan dan goreng ikan masin yang menjadi pembuka selera," katanya.





Rahmat buat penduduk Taman Rahmat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesemua penghuni di Taman Rahmat, Kampung Pulau Kerengga, Marang menerima pengumuman Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang bersetuju membina 60 unit rumah teres di penempatan mereka tahun depan sebagai rahmat dan hadiah cukup berharga.

Seorang penduduk, Mokhtar Jusoh, 42, berkata sudah lama penduduk di situ mengharapkan kerajaan negeri dapat membina kediaman yang lebih selesa dan selamat berikutan mereka sudah lama menetap di rumah kayu yang semakin uzur, selain sudah kerapkali dibaikpulih.

“Usaha ini sangat bagus dan kami bersyukur kerana kerajaan negeri prihatin dengan kehendak penduduk yang kurang bernasib baik dan cacat seperti kami di sini.

“Apabila tinggal di rumah baru nanti, dapatlah kami menjalani kehidupan bersama keluarga dengan baik, ceria dan selesa berbanding rumah yang sedang didiami kini,” katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan hamper barangan dapur yang disampaikan Menteri Besar kepada 53 ketua keluarga sempena Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Warisan Taman Rahmat, Marang, petang semalam (11 Julai).

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A Rahman Che Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.

Pandangan itu turut disokong rakannya, Sadri Abdul Latif, 62, yang berharap penduduk dapat memanfaatkan kemudahan asas itu dengan sebaik mungkin dan hidup lebih bersatu padu dengan memupuk semangat kejiranan yang tinggi di kalangan mereka.

Katanya, rumah baru akan memberi semangat baru kepada penduduk terutama anak-anak untuk menjalani kehidupan dengan lebih sempurna.

“Mana-mana anak-anak yang bersekolah akan dapat belajar dengan lebih selesa tanpa gangguan dan ancaman keselamatan, memandangkan ada rumah di kalangan penduduk di sini uzur dan jika tidak dibaikpulih boleh runtuh ke bumi.

“Bantuan rumah oleh kerajaan ini satu perkara yang tidak diduga sama sekali dan kami amat berharap ia menjadi kenyataan tahun depan,” katanya.



12 July 2012

Agihan Dividen dan Zakat Maidam

Gambar-gambar oleo Zulkipli Putra

To'Puan Seri Hajah Norliza Mahmud mewakili Menteri Besar Terengganu menyampaikan Dividen dan Zakat Maidam di Perkarangan Kediaman Menteri Besar di Teluk Kalong, Kemaman.








WAJAH-WAJAH MAJLIS MENTERI BESAR BERSAMA WARGA FELDA KERTEH 5 & 6

Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra.

Lebih 5,000 warga Felda Kerteh 5 dan 6 menyambut dan beramah mesra dengan pemimpin nombor satu negeri, Dato'Seri Haji Ahmad Said bersama isteri, To'Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, hari ini (11 Julai 2012).

Lebih manis, apabila warga Felda turut mengadakan majlis menyambut ulangtahun perkahwinan Menteri Besar Terengganu dan isteri yang ke-28.










Hospital KTS bakal berwajah baru

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan bagunan baru Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang bakal berwajah baru dan dilengkapi dengan peralatan canggih, dewan bedah dan wad-wad yang lebih selesa kepada pesakit.



Bagunan hospital milik TDM Berhad itu yang akan dibangunkan dengan kos RM170 juta, menyediakan 130 katil, lima dewan bedah dan satu Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bangunan hospital baru di Batu Buruk itu dengan keluasan kira-kira 5.8 ekar turut mengandungi bangunan satu setengah tingkat tempat letak kereta yang memuatkan 281 ruang letak kereta bagi kemudahan pelawat.



Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Roslan Awang Chik, berkata bangunan KTS sedia ada di Jalan Kamarudin menghadapi masalah ruang dan mengehadkan pihak pengurusan menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap dan bermutu kepada pesakit.



“Hospital yang ada ini hanya mempunyai 33 buah katil, satu ICU dengan dua buah katil dan dua dewan bedah.

“Dengan kapasiti yang terhad, hospital ini tidak mampu menampung bilangan pesakit yang meningkat pada setiap tahun. Ada kalanya hospital terpaksa menolak mereka yang datang untuk mendapat rawatan dan merujuk mereka ke hospital kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah hospital baru itu hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.



Dato’ Roslan berkata, pihaknya berharap apabila projek pembinaan hospital baru itu siap dalam tempoh dua tahun, rakyat negeri ini tidak perlu lagi mendapat rawatan di luar Terengganu untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Hospital baru ini akan dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan dan peralatan serta teknologi terkini, lebih banyak klinik pakar dengan lebih ramai pakar perubatan memberi rawatan sama ada dalam bentuk pesakit luar mahu pun untuk menjalankan prosedur atau pembedahan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat melalui pembinaan hospital baru itu KTS mampu menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti setaraf dengan negara maju, reka bentuk dan pembinaannya mematuhi akreditasi ‘Joint Commision International’ (JCI) yang diamalkan oleh hospital-hospital di Amerika Utara dan Eropah.