Halaman

18 July 2012

Ukom rai media makan durian

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai gelagat dapat dilihat pada wajah pengamal media dan tetamu yang hadir menjamu hidangan pada Program Cekoh Durian Bersama Media, di perkarangan Pejabat Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, petang ini.



Mereka dari pelbagai jabatan dan agensi itu, termasuk Pejabat Menteri Besar Terengganu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan Malaysia, Media Prima dan Sinar Harian mengakui seronok menikmati `raja buah’.

Makanan lain turut menjadi pilihan, termasuk santan durian, manggis dan rambutan.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong, berkata program tahunan yang dianjurkan itu mampu mewujudkan hubungan silaturahim dan tolenrasi antara Ukom dan pengamal media.

“Pihak kami sentiasa menghargai perananan media yang sememangnya tidak jemu-jemu menghebahkan perkara baik dan maklumat positif mengenai kerajaan negeri kepada umum.

“Jika tiada pengamal media agak sukar untuk berbuat demikian kerana pada zaman kini, semua pihak mahukan berita terkini daripada media massa dan elektronik,” katanya.

Pemberita Sinar Harian, Zubir Sulaiman, berkata dia gembira kerana turut dijemput bersama rakan media lain menjamu `raja buah’ yang sememangnya digemari sejak kecil.



“Saya ambil peluang makan sepuas-puasnya, mungkin tiada lagi jabatan lain yang anjurkan program seumpama ini kerana masing-masing bersedia untuk menyambut Ramadan,” katanya.

Pemberita New Straits Times Press (NSTP), Puan Ayu Zarina Abdulllah, berkata terima kasih kepada Ukom kerana sudi menjemputnya, walaupun sedang bercuti, dia sanggup datang semata-mata mahu mengeratkan hubungan antara Ukom.

“Saya harap program ini diteruskan pada masa akan datang kerana menyedari pelbagai manfaat diperoleh,” katanya.


Ganjaran `rahsia', istimewa menanti atlet Sukma

Oleh: Aida And Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA



Ganjaran istimewa dan berbaloi bakal diterima atlet Terengganu yang berjaya mengharumkan nama negeri di Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang , sekali gus mengekalkan kejuaraan Sukma untuk edisi keempat berturut-turut, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ganjaran itu masih menjadi `rahsia’ apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyatakan beliau hanya akan mengumumkan hadiah itu apabila tiba masa yang sesuai kelak.

“ Sebagaimana yang saya katakan tadi, saya tidak mahu beritahunya lagi, saya akan mengumumkan apabila sampai masanya, insya-Allah.

“Ganjaran berbaloi dengan apa yang dihasilkan akan kita berikan kepada mereka (atlet Sukma) nanti,” kata beliau di sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Kejayaan Atlet dan Pegawai Sukma Ke-15 Pahang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengagihkan insentif kemenangan kepada setiap atlet, masing-masing RM5,000 untuk setiap pingat emas, RM3,000 (perak)dan pingat gangsa RM2,000 kira-kira dua minggu sebelum menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri nanti.

Menurutnya, pihaknya juga bersedia menimbang permohonan tanah oleh atlet yang berusia 18 tahun ke atas mengikut prosedur biasa yang bergantung kepada kekosongan lokasi tanah berkenaan.

Sempena kejayaan `luar biasa’ Terengganu dengan merangkul 62 emas melepasi sasaran awal 47 emas yang ditetapkan sebelum ini, Menteri Besar turut mengumumkan Ahad ini (22 Julai) sebagai cuti umum di Terengganu.

Katanya, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang di pentas sukan negara.



Sambutan hari belia di dataran shahbandar

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 26 acara diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Belia Negara Peringkat negeri di Dataran Shahbandar jam 3 petang esok (Khamis).

Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) Mat Yusof Mat Ali berkata, acara sambutan itu mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, pertubuhan dan kelab sukan seluruh negeri.

Katanya, antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pameran dan jualan oleh agensi kerajaan dan swasta larian hari belia, demontrasi mini bike, kayuhan santai bersama pemimpin belia, pertandingan futsal, persembahan kebudayaan, pertandingan nasyid, karnival kecergasan, sukan rakyat dan pertandingan memancing.

``Acara kemuncak ialah majlis penyampaian Anugerah Belia Negara peringkat negeri bagi menghargai individu dan pertubuhan yang memberi sumbangan dalam pembangunan belia negeri,’’ katanya.

Menurutnya, tahun ini empat kategori anugerah disediakan yang membabitkan Kategori Kepimpinan Lelaki dan Wanita, Tokoh Belia peringkat negeri, masing-masing menerima wang tunai RM5,000 dan sijil.

Kategori lain ialah Anugerah Perdana Pertubuhan Belia peringkat negeri yang akan menerima wang tunai RM20,000 dan sijil penghargaan.

Sempena dengan majlis itu, turut diadakan penyampaian cek bantuan pentadbiran kepada persatuan-persatuan belia diseluruh negeri. Dianggarkan lebih 300 pertubuhan akan menerima bantuan masing-masing bernilai RM2,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan merasmikan sambutan Hari Belia dan Penyampaian Anugerah Belia peringkat negeri itu. Lebih 5,000 ahli yang mewakili pelbagai pertubuhan belia di seluruh negeri akan menyertai perhimpunan tersebut.





Sekolah SS juara taekwondo

Oleh; Esah Abdullah

Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu muncul juara keseluruhan apabila berjaya meraih enam emas, dua perak dan sepuluh gangsa dalam Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung SK Sultan Sulaiman 1, berakhir semalam.

SK Sultan Sulaiman 1, menjadi juara kategori sekolah rendah (lelaki) memenangi tiga emas, satu perak dan enam gangsa, manakala kategori sekolah rendah (perempuan) memenangi tiga emas, satu perak dan empat gangsa.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam kejohanan selama empat hari itu yang melibatkan kategori sekolah rendah lelaki dan perempuan serta kategori sekolah menengah lelaki dan perempuan.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, berjaya menjadi juara dalam kateogri lelaki dan perempuan apabila masing-masing memenangi dua emas, tiga perak dan satu gangsa serta dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Sebanyak 200 sekolah rendah dan menengah daripada Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang yang melibatkan seramai 700 peserta menyertai kejohanan tersebut.

Acara yang dipertandingkan meliputi fin, fly, bantam, feather, ligh, welter, light middle, middle, light heavy dan heavy.

Pengerusi Kejohanan, Mohd Zarriq Mamat berkata, kejohanan yang pertama kali diadakan itu adalah dengan kerjasama Kelab Taekwondo Teguh dan Kelab Pergerakan Taekwondo Terengganu.

Katanya ia betujuan mencungkil bakat pelajar dalam sukan mempertahankan diri selain dapat memperingkatkan lagi kemahiran taekwondo ketika diusia muda sekaligus mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.




MB dikunjungi Prof Dr Sulaiman Saloomi

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan tokoh dan ilmuwan agama terkemuka Prof Dr Sulaiman Saloomi, di pejabat beliau di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini.

Kunjungan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram itu turut diiringi Pengarah Yayasan Kebajikan Nusantara, Malaysia, Sheikh Ismail Omar, anak Prof Dr Sulaiman, Sheikh Khalid Sulaiman Saloomi dan Pengetua Sekolah Qiblah Kuala Lumpur, Ustaz Jaafar Salleh.



Prof Dr Sulaiman yang juga Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq Universiti Ummul Qura, Mekah berkunjung ke negeri ini bersempena jemputan menyampaikan syarahan mengenai perpaduan Senjata Umat Islam pada Program Bicara Tokoh di Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu, Kuala Terengganu, semalam (17 Julai).

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak saling berkongsi pengalaman mengenai perkembangan agama dan pembangunan yang terdapat di kedua-dua negeri, sebelum saling bertukar cendera hati kenang-kenangan sebaik selesai perjumpaan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu.




Penjawat awam diminta jaga rahsia kerajaan

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di negeri ini diminta bersikap telus, amanah dan berintergriti tinggi dalam menjalankan tugas harian supaya maklumat tertentu tidak diketahui pihak luar.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, sikap segelintir penjawat awam membocorkan fakta-fakta yang masih di peringkat rahsia rasmi kerajaan, amat merbahaya dan boleh menjejaskan imej kerajaan yang mentadbir negeri ini.

“Jidak keterlaluan jika dikatakan perbuatan itu boleh menjatuhkan kerajaan, terutama jika fakta berkenaan yang belum tentu kesahihannya, digunakan pihak tertentu untuk ‘menikam’ kerajaan semasa.

“Tindakan sesetengah penjawat awam mendedahkan maklumat sulit kerajaan kepada pihak tidak bertanggungjawab, amat tidak wajar dan bertentangan dengan Perintah Am yang wajib dipatuhi setiap kakitangan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman, pagi ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah.

Pada majlis sama, seramai 15 kakitangan pelbagai jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi bulan April, Mei dan Jun.



Kakitangan itu adalah adalah Puan Zawiyah Abdullah bertugas sebagai Pembantu Tadbir, Cik Azizah Abd Rahman (Pembantu Tadbir); Puan Zalina Awang (Pegawai Undang-undang); Fatimah Mamat (Pembantu Tadbir) dan Encik Muhammmad Hazli Mustafa (Pemandu Kenderaan).

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu penjawat awam perlu melihat semula peranan secara berterusan, meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan negeri terus berdaya saing.



“Impak kepada cabaran tersebut memerlukan agensi perkhidmatan melakukan transformasi serta menuntut anjakan paradigma bagi memastikan perkhidmatan awam negeri terus kekal relevan,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan turut memperingkatkan semua kakitangan supaya meningkatkan amal ibadat harian apabila menjelang Ramadan nanti, dengan membanyakkan amalan mengaji, berzikir, sembahyang sunat dan sebagainya.


Pertandingan Keceriaan sempena Hari Kemerdekaan ke-55

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Pertandingan Keceriaan Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.

Pertandingan yang diadakan buat kali ketiga ini terbahagi kepada lapan kategori iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung (kampung tradisional/kampung baru/kawasan estet dan Felda), sekolah, taman perumahan, individu (kediaman), pintu gerbang dan Anjung Komuniti 1Malaysia.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata pertandingan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan negara selain mendorong serta mencetuskan kreativiti rakyat dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara.

Katanya, pertandingan bermula pada 15 Julai 2012 lalu dan akan ditutup pada 10 Ogos 2012 ini dengan juara bagi setiap kategori akan mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan yang menawarkan hadiah wag tunai keseluruhan sebanyak RM60,000.

Borang boleh didapati di Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Tingkat Tiga, Wisma Persekutuan Kuala Terengganu, {ejabat Penerangan daerah atau melayari laman web www.penerangan.gov.my/terengganu/.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Juhannis Idris atau Mohd Idris Deraman di talian 09-6267823 atau e-mail pkpmtrg@inform.gov.my.





Kibar Jalur Gemilang - Jangan tunggu bendera percuma, hadiah

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Masyarakat diminta menjadikan acara Kibar Jalur Gemilang sebagai satu budaya setiap kali menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan tanpa menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, sebagai warga Malaysia, setiap rakyat perlu menyambut baik kempen itu sebagai satu kewajipan dan tanda terima kasih kepada negara.


Menurutnya, orang ramai tidak perlu segan-silu untuk mengibarkan bendera Malaysia di mana sahaja, sama ada di sekolah, rumah, pejabat, kedai malah pada kenderaan sendiri.

"Jangan harapkan bendera percuma, hadiah pertandingan dan habuan lain atau notis daripada pihak kerajaan sebagai syarat untuk kita kibarkan Jalur Gemilang.

"Apa salahnya kita berbelanja untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara atau lebih dari itu kita sendiri yang keluarkan belanja untuk beri kepada orang lain, " katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.


Dato' Seri Ahmad menambah, menerusi usaha tersebut, ia akan menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab untuk menghormati dan memelihara maruah negara.

"Dalam hal ini, saya melihat bahawa sikap masyarakat yang menganggap Jalur Gemilang hanya sesuai dikibarkan di sekolah dan bangunan kerajaan juga harus dikikis kerana amalan mengibar bendera merupakan tanggungjawab bersama," ujarnya.


Majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu menyaksikan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Pegawai Daerah serta melekatkan bendera itu pada kenderaan rasmi kerajaan dan teksi.

Dengan tema 1 Malaysia : Janji Ditepati, upacara pada malam itu diserikan dengan perarakan 55 Jalur Gemilang oleh Rejimen Askar Melayu Diraja dan persembahan koir daripada Institut Pendidikan Guru Dato' Razali Ismail.



17 July 2012

YT perkenal subjek I’dadi untuk perkasa bahasa Arab

Oleh; Esah Abdullah


Yayasan Terengganu (YT) memperkenalkan subjek I’dadi yang mengandungi tauhid, feqah, hadis, sirah dan tafsir yang merupakan salah satu subjek kebitaraan di Sekolah Menengah Imtiaz bertujuan memperkasakan bahasa Arab.

Pengarahnya, Encik Zakaria Yusof berkata, YT telah berjaya menerbitkan buku teks I’dadi yang digubal oleh lujnah yang dilantik khas terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

“Buku teks ini digunapakai oleh pelajar di Imtiaz sahaja,” katanya pada majlis penutup Program Khas Asasi Ulul Albab 2012 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) dan Penyerahan Cek Bantuan Zakat Maidam kepada YT di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu hari ini (17 Julai).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Khazan Che Mat merasmikan program itu. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Haji Wan Harujan Sulaiman.

Katanya, YT mengambil kata-kata daripada Siyyidina Umar al-Khattab, “Bentuklah anak-anak mu mengikut zaman (ilmu kontemporari) kerana mereka dilahirkan pada era yang berbeza dengan kamu”.

“Seramai 457 pelajar tingkatan satu dari lima Imtiaz seluruh negeri mengikuti program sejak Januari hingga Mei lalu yang menjadi niche area@etos@kebitaraan SM Imtiaz,” katanya.

Katanya sepanjang lima bulan mereka didedahkan dengan pembelajaran hafazan Quran bertajwid dan memahaminya melalui tafsir dengan penekanan dalam bahasa Arab dan Inggeris,” katanya.

Tambahnya, program baru ini menuntut para guru bersama pengurusan sekolah membuat banyak kajian sebagai persediaan pengajaran seperti merujuk buku-buku atau jurnal terkini agar selari dengan perkembangan ilmu serta teknologi masa kini.

Menurutnya, sehingga ini seramai 664 pelajar berjaya menghafaz 20 juzu’ ke atas daripada 1029 pelajar di SM Imtiaz seluruh negeri.

“Semoga hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan hafiz dan hafizah professional dapat direalisasikan melalui SM Imtiaz,” katanya.

Pada program itu seramai 35 orang pelajar terpilih menerima anugerah hafazan, bahasa Arab, professional dan tokoh Ulul Albab serta berharap ia menjadi pemangkin untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.





SAMBUTAN KEPULANGAN WIRA-WIRAWATI TERENGGANU

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kontinjen Terengganu yang baru menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) XV Pahang, semalam, disambut meriah sebaik tiba di Bandar Chukai, Kemaman. Turut meraikan kejayaan gemilang Terengganu selepas mempertahankan kejuaraan empat kali berturut-turut ialah Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud. Piala Sukma kemudiannya diarak mengelilingi Bandar Chukai sebelum ke Padang Astaka.