Halaman

13 August 2012

Rakyat Manir gembira berbuka bersama MB


Oleh :Amirullah Othman

Seramai 4,500 pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir hadir di Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar, Y.A.B.Dato’ Seri Ahmad Said, di Pusat Komuniti DUN Manir, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Y.B. Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu; Y.B. Tuan Haji Rozi Mamat, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; Y.B Zawawi Ismail, ADUN Kuala Berang, Encik Yusof Awang Hitam Pegawai Pembangunan Dun Manir, pemimpin-pemimpin setempat serta Pengerusi-pengerusi JKKK dalam Dun Manir.

Menteri Besar sangat teruja dengan kehadiran yang sangat baik dari pengundi-pengun di dalam Dun Manir.

Beliau berkata, jika beginilah kesanggupan pengundi dating berbuka puasa,, tiada sebab Dun Manir tidak akan memihak kepada BN dalam PRU 13 akan datang.

Menteri Besar turut menyampaikan baucer dana hari raya kepada pengerusi-pengerusi JKKK dalam Dun Manir serta sumbangan kepada 10 buah masjid dan 26 buah surau dalam Dun Manir.

Beliau berkata, pembangunan dalam negeri Terengganu dan negara Malaysia dapat dijalankan dengan baik dan lancar kerana kebijaksaan pemimpin terdahulu dan sekarang ini berbanding negara-negara lain seperti Ireland, Itali, Greece dan Sepanyol yang terpaksa berhutang dengan IMF untuk melaksanakan pembagunan di negara masing-masing.

“Kita berharap rakyat akan memahami dan bersyukur atas pemberian daripada kerajaan ini dan jangan mengeluarkan pelbagai fitnah yang tidak berasas,” katanya.



Pas agih tanah kepada syarikat kroni

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Banyak tanah di kawasan bandar Kuala Terengganu yang bernilai tinggi diagihkan kepada syarikat-syarikat kroni pemimpin Pas ketika parti itu memerintah negeri ini dari tahun 1999 hingga 2004.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pemimpin Pas berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi dalam mengagih-agihkan tanah di Terengganu sepanjang pemerintahan parti tersebut menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian yang besar.

“Banyak kawasan tanah di bandar Kuala Terengganu yang mempunyai nilai komersil tinggi dan boleh dibangunkan dengan macam-macam projek, kita (Kerajaan Barisan Nasional (BN) simpan bagi kegunaan masa depan.

“Bagaimanapun, tanah-tanah tersebut telah diagih-agihkan kepada kroni-kroni pemimpin Pas yang berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi,” katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Isu tanah menjadi topik hangat pada persidangan DUN kali ini apabila pihak pembangkang cuba memutar-belitkan isu berkenaan seolah-olah menampakkan kesalahan Kerajaan BN.

Beliau berkata, keadaan itu amat jauh berbeza pada zaman pemerintahan BN yang sangat telus dalam soal pembahagian tanah kepada rakyat.

“Kerajaan BN membahagikan lot-lot tapak rumah dan pertanian kepada semua rakyat yang layak. Ada juga beberapa wakil rakyat dan Exco yang diberi tanah (semasa pemerintahan BN) kerana mereka layak mendapat tanah,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan BN tidak menyorok pembahagian tanah kepada wakil rakyat, tetapi Pas tidak berbuat demikian, sebaliknya berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi.

Katanya, syarikat dan koperasi Pas diberi tanah yang luas dan tanah yang mempunyai nilai komersil tinggi di kawasan bandar.



Dua rang undang-undang diluluskan dalam sidang DUN.

Oleh; Esah Abdullah

Sidang Dewan Undangan Negeri bagi Mesyuarat Yang Kedua Penggal Persidangan Yang Kelima hari ini meluluskan dua rang undang-undang iaitu Enakmen Mineral (Terengganu) (Pindaan) 2012 dan Enakmen Perbekalan Tambahan 2012.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengemukakan cadangan bagi meminda rang undang-undang bernama suatu Enakmen bagi meminda Enakmen Mineral (Terengganu) 2012.

Rang Undang-undang itu bertujuan meminda seksyen 82 (1) (a ) dan seksyen 129 (1) enakmen mineral (Terengganu) 2012 supaya memegang lesen tuan punya dikehendaki mencarum kepada Kumpulan Wang Pemulihan Bersama.

Cadangan disokong oleh Adun Tepoh YB Haji Muhamad Ramli Nuh dan telah dibaca kali pertama dan kedua, Setelah tiada ahli dewan berucap mengenai perkara berkaitan undian dijalankan secara mengangkat tangan oleh ahli dewan dan mendapat sokongan suara terbanyak.

Sidang DUN juga membuat ketetapan bersetuju meluluskan tambahan peruntukan yang pertama daripada Kumpulan Wang Pembangunan untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2012.

Usul berkenaan telah dikemukakan oleh YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman menurut Seksyen Kecil (3) kepada Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966.

Ia membawa maksud P.02 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri berjumlah RM155.2 juta dan P.19 Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri berjumlah RM18 juta.

Yang Dipertua DUN, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, sidang kali ini menerima 33 soalan bertulis dan 26 soalan lisan daripada ahli-ahli YB, satu usul dan dua enakmen.






Adun BN hadir sidang DUN walaupun baru ditimpa musibah



Oleh: Kamarudin Mat Akib


Musibah yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid, ketika umat Islam sedang bersiap-sedia menyambut Aidilfitri, tidak mematahkan semangat beliau untuk hadir sidang DUN hari ini.

“Saya hadir sidang DUN hari ini kerana rasa tanggungjawab terhadap pengundi yang telah memilih saya untuk menjadi wakil rakyat mereka,” kata Adun Ajil yang kediamannya hangus dalam kebakaran, empat hari lalu.

Dalam kejadian itu, kediaman Adun Barisan Nasional BN) di Ajil dan harta benda musnah sama sekali menyebabkan beliau serta keluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Kini beliau menumpang di rumah keluarga mentua di Ajil.

Dato’ Rosol berkata, beliau menerima takdir yang telah ditetapkan oleh Allah, tetapi rasa hiba tidak dapat dielakkan mamandangkan kejadian itu berlaku ketika umat Islam hampir menyambut Hari Raya Puasa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kaum keluarga, rakan-rakan serta orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan ucapan takziah serta kata-kata semangat kepada saya dan keluarga.

“Tidak kurang juga ramai yang menghulur pelbagai bantuan kepada saya dan keluarga. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa-jasa mereka semua,” katanya kepada Teganukita selepas selesai sidang DUN hari ini.

Dato’ Rosol memberi jaminan akan terus berkhidmat kepada rakyat, khususnya kepada pengundi di DUN Ajil walaupun beliau dan keluarga masih berada dalam keadaan terkejut.

“Walaupun tidak ada benda yang tinggal, termasuk semua pakaian hangus dalam kebakaran itu, saya tidak berasa susah hati.

“Saya dapat hadapi perkara ini kerana sebelum ini saya memang pernah hidup susah. Saya harap dapat terus mencurahkan bakti kepada pengundi di kawasan DUN Ajil walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya penuh semangat.



Serikandi agih bungkusan raya kepada anggota keselamatan

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Setiap pemberian yang diagih kepada pasukan keselamatan, sama ada mahal atau sebaliknya, masih tidak seberapa jika dibandingkan dengan curahan keringat dan pengorbanan mereka menjaga keamanan negara.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud, berkata kesetiaan anggota keselamatan yang sentiasa bersiap sedia memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara cukup dihargai.
“Mereka bertugas tanpa mengira waktu semata-mata mahu melihat negara kita bebas daripada ancaman musuh.

“Cuba bayangkan, sekiranya tiada pasukan keselamatan untuk berbakti, pastinya setiap detik kita berasa tidak selamat kerana dibimbangi pelbagai perkara buruk berlaku,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Kepada Lima Pasukan Keselamatan Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir mewakili setiap pasukan untuk menerima bungkusan, , Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC II Datuk Hamzah Md. Jamil; Pegawai Pemerintah 18 RAMD, Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Lt. Kol Mohd Sobirin Mohd Yusof.

Wakil pasukan lain, Timbalan Komander, Rejimen 512 Askar Wataniah, Kem Padang Midin, Leftenan Kolonel Nazli Alias; Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Md Hasan dan wakil Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA Gong Badak, ASP Tuan Yusof Ujang Ajutan.

Pada majlis itu, 3,340 bungkusan kuih raya diserahkan pasukan keselamatan itu sebagai penghormatan dan tanda terima kasih.

To’ Puan Norliza mengharapkan pemberian itu mampu mengukuhkan lagi ikatan silaturahim antara pasukan keselamatan dan Serikandi seterusnya dapat berganding bahu dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan pada masa-masa akan datang.



Kerajaan tidak berhutang dengan Pusat untuk perindustrian dan bina rumah

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri masih berhutang dengan Kerajaan Pusat sebanyak RM1.0588 bilion, kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di sidang Dewan Undangan Negeri yang bersidang di Wisma Darul Iman hari ini.

Menteri Besar memberi penjelasan itu ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri masih berhutang dengan Kerajaan Pusat, jika masih berhutang berapakah jumlahnya.

“Ya. Kerajaan negeri masih berhutang dengan Kerajaan Pusat dan jumlah hutang sehingga 31 Disember tahun lalu ialah RM1,005,885,045.33,” katanya.

Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama, kenapa kerajaan terpaksa berhutang, apakah hasil royalti minyak masih tidak mencukupi untuk perbelanjaan kerajaan,

Menteri Besar menjelaskan, pendapatan yang diperolehi kerajaan negeri masih belum mencukupi untuk membiayai projek-projek pembangunan keseluruhan di negeri ini.

Katanya, terdapat tiga kategori pinjaman yang diberikan Kerajaan Pusat kepada negeri-negeri termasuk Terengganu iaitu pinjaman untuk kawasan perindustrian, membina rumah kos rendah dan bekalan air.

“Sejak hampir lima tahun lalu kerajaan negeri tidak pernah buat pinjaman dengan Kerajaan Pusat bagi mewujudkan kawasan perindustrian dan pembinaan rumah mampu milik tetapi masih meminjam untuk bekalan air,” katanya.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan lebih RM700 juta setakat ini untuk membina 8,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik dalam tempoh empat tahun tanpa meminjam satu sen pun daripada Kerajaan Pusat.

“Untuk pengetahuan wakil Manir dan semua ahli dewan, sehingga kini hutang kita membabitkan bekalan air berjumlah RM708,385,103.85,” katanya.





MB bersama perantau pada 2 Syawal

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua anak Terengganu yang berada di perantauan dan pulang berhari raya ke kampung masing-masing dijemput memeriahkan sambutan Hari Raya Bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 2 Syawal 1433 Hijrah (Isnin) ini.

Program tahunan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri bakal diadakan di Hotel Permai , bermula jam 9.30 pagi hingga 1.30 petang.

Peluang pulang dan menghabiskan cuti di kampung halaman boleh dimanfaatkan untuk berkumpul bersama rakan dan handai taulan di program itu, sambil bersua muka dengan pemimpin nombor satu negeri serta barisan exco dan pegawai kerajaan yang hadir.

Selain menjamu selera dengan pelbagai juadah tradisi Terengganu seperti nasi dagang dan kuih -muih, tetamu juga akan dihiburkan dengan acara persembahan pentas.

Sebelum itu wakil perantau yang terdiri daripada Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pesat) dan pelajar menyampaikan ucapan yang kemudian disusuli ucapan oleh Menteri Besar.

Di penghujung program akan diadakan cabutan bertuah kepada tetamu bertuah yang menyediakan pelbagai barangan menarik termasuk televisyen dan telefon bimbit.


Sibuk persiapan raya, jangan lupa sambutan kemerdekaan : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah meminta penduduk negeri ini tidak melupakan sambutan Kemerdekaan ke-55 negara walaupun masing-masing sedang sibuk menguruskan persiapan menyambut lebaran yang hanya berbaki beberapa hari lagi.

“Dalam keadaan semua umat Islam sedang sibuk menguruskan persiapan hari raya tidak lama lagi, saya berharap kita semua terutama penjawat awam tidak melupakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tanggal 31 Ogos ini.

“Sambutan hari raya memang dinantikan semua, namun kita harus tidak sesekali lupa di mana bumi berpijak, di situ langit dijunjung di mana keamanan, kedaulatan dan perpaduan utuh yang kita kecapi harus dipertahankan dengan meraikan hari merdeka negara nanti,” kata beliau ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sambutan kemerdekaan yang agak suram di kalangan penduduk negeri ini, malah kebanyakan premis perniagaan masih banyak yang tidak memasang Jalur Gemilang walaupun banyak kempen dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan itu.

Dato’ Mazlan turut menasihatkan orang ramai supaya dapat mencari inisiatif sendiri membeli Jalur Gemilang untuk dikibarkan di premis perniagaan, perkampungan dan rumah masing-masing, selain dilekatkan pada kenderaan.

“Kalau boleh keluar belanja sedikit dan beli bendera untuk sama-sama menyemarakkan sambutan ulang tahun negara. Sekurang-kurangnya kita menonjolkan identiti sebagai warga negara serta bangga menjadi anak Malaysia,” katanya.



240 anak yatim dari DUN Jertih terima wang zakat



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 240 anak yatim dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih menerima wang zakat yang disumbangkan oleh individu dan dan ahli koporat.

Golongan terbabit juga turut diraikan dalam satu majlis berbuka pusa dengan masyarakat Islam yang diadakan di Masjid Kayu Ulul Albab, Seberang Jertih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh menyampaikan sumbangan berkenaan kepada semua anak yatim yang hadir pada majlis berkenaan.

Pengerusi Masjid itu,Ayob Jusoh berkata, pihaknya mendapatgkan senarai anak yatim berkenaan menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mengemukakan peserta yang layak.

Katanya, kerjasama yang diberikan JKKK dari DUN berkenaan amat baik membolehkan pengurusan masjid terbabit dapat mengatur majlis dengan lancar dan sempurna.

Beliau berkata,selain kehadiran anak yatim majlis berbuka puasa anjuran masjid itu juga turut disertai lebih 500 tetamu jemputan sekitar DUN Jertih.

Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan tahun ini pihaknya meningkatkan lagi aktviti keagamaan dan sosial selaras dengan usaha menjadikan masjid paling unik itu sebagai pusat komuniti dan pembelajaran.

“Aktiviti yang dijalankan secara berpusat di masjid itu membolehkan penduduk setempat dapat menyertainya pada setiap kali program diadakan,” katanya.

Pemberian sumbangan suntik semangat

Oleh: Suriati Ali

“Pemberian yang diterima ini mampu menyuntik semangat kami sebagai anggota keselamatan untuk terus menjaga keamanan dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Sedikit terubat kepada mereka yang tidak dapat pulang menyambut hari raya bersama sanak saudara di kampung, katanya Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC II Datuk Hamzah Md Jamil.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Kepada Lima Pasukan Keselamatan Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Wakil pasukan lain yang turut hadir menerima bungkusan Pegawai Pemerintah 18 RAMD, Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Lt. Kol Mohd Sobirin Mohd Yusof dan Timbalan Komander, Rejimen 512 Askar Wataniah, Kem Padang Midin, Leftenan Kolonel Nazli Alias.

Hadir sama Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Md Hasan dan wakil Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA Gong Badak, ASP Tuan Yusof Ujang Ajutan.

Pada majlis itu, 3,340 bungkusan kuih raya diserahkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) kepada pasukan keselamatan itu.

Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Md Hasan berkata pemberian bungkusan hari raya itu mengambarkan bahawa segala komitmen dan bakti yang diberikan setiap anggota keselamatan kepada masyarakat sangat dihargai pelbagai pihak termasuk Serikandi.

“Pihak kami cukup menghargai pendekatan yang dilaksanakan Serikandi kerana mampu merapat dan mengukuhkan lagi ikatan silaturahim,” katanya.