Halaman

22 August 2012

52 cabutan bertuah pikat tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 52 hadiah cabutan bertuah menjadi acara penutup tirai yang menghangatkan lagi sambutan Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin (20 Ogos).

Acara yang pertama kali diperkenalkan itu bukan sahaja menyebabkan kira-kira 3,000 tetamu tidak berganjak sehingga berakhir program, malah mencuit hari pemimpin yang hadir dengan reaksi spontan pemenang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Mereka teruja mendapat hadiah menarik disediakan penganjur seperti televisyen, telefon bimbit, mesin basuh dan pelbagai tawaran voucer sumbangan anak syarikat kerajaan negeri.

Bukan sahaja bangsa Melayu, masyarakat Cina turut memeriahkan sambutan itu dan berpeluang memenangi cabutan bertuah berkenaan.

Seorang pemenang, Esah Abdullah, berkata dia sangat bernasib baik apabila namanya tiba-tiba diumumkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang cenderahati kenang-kenangan sempena majlis itu.

“Saya gembira kerana selepas beberapa tahun menyertai program ini, tahun ini bernasib baik daripada ribuan tetamu yang datang dan membawa pulang hadiah istimewa berupa barangan elektrik sebagai tanda kenangan,” katanya.

Keseronokan itu turut dikongsi seorang lagi tetamu, Nik Rosidi Megat Deraman, yang turut membawa peluang hadiah bertuah berupa periuk pelbagai guna di majlis itu.

“Alhamdulillah daripada ribuan tetamu, saya mendapat satu daripada 52 hadiah disediakan itu. Menarik dan teruja untuk menyertainya lagi,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Ir Nawawi Embong.






Ucapan selamat Hari Raya

Isteri Menteri Besar Terengganu yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud.
Salam lebaran, Salam merdeka dan Salam 1Terengganu.

Saya dan ahli semua ahli Serikandi mengucapkan selamat menyambut Syawal iaitu bulan kemenangan selepas sebulan berpuasa kepada rakyat Terengganu beragama Islam.

Kepada perantau, jangan lupa meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sahabat handai dan saudara sepanjang berada di negeri sendiri.






Ucapan selamat Hari Raya


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris.

Saya dan isteri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu yang beragama Islam, khususnya perantau.

Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa.

Disamping bergembira bersama keluarga, saya harap kita akan teruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kita, terutama sekali dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam.

Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat.






21 August 2012

5,000 meriahkan sambutan hari raya Dun Tepoh

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Kira-kira 5,000 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh hadir ke majlis sambutan hari raya yang diadakan di kediaman Adun Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh hari ini (21 Ogos).


Majlis yang diadakan serentak dengan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya itu telah dilakukan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah, pemimpin kanan parti dalam Dun dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).



Majlis yang bermula 10 pagi hingga empat petang itu menghidangkan pelbagai menu seperti nasi minyak, nasi dagang, laksa, ketupat, rendang, satay, kuih muih dan ais krim.






Lebih 100,000 penduduk Besut hadir majlis raya 5 ADUN Parlimen Besut


YB Dr A Rahman Mokhtar menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak

Oleh: Mohammad Ishak 

Kehadiran ribuan penduduk daerah Besut ke majlis sambutan Aidilfitri anjuran empat ADUN dan seorang Ahli Parlimen sememangnya sesuatu yang menarik dan mengkagumkan apa lagi menjelang pilihan raya umum ke 13 (PRU13) tidak lama lagi.

Sambutan disifatkan luar biasa terhadap semua pemimpin UMNO Bahagian itu memcerminkan sokongan rakyat kepada BN tidak pernah luntur sebaliknya semakin meningkat jika diukur dari masa ke semasa.

Tinjuan mendapati semua ADUN termasuk Dato’Seri Idris Jusoh yang mewakili DUN Jertih, ADUN Kuala Besut,Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad dan Ahli Parlimen Besut, Dato’Seri Dr Abdullah Md Zin mendapati ribuan pengunjung memenuhi kediaman masing-asing sejak awal lagi.

Malah, sambutan diluar jangkaan itu juga membangkitkan semangat pemimpin dan jentera parti untuk meraih sokongan rakyat teerhadap keepemimpinan peringkat bahagian, negferi dan pusat khususnya menghadapi PRU13 tidak lama lagi.

Idris mengakui semua rumah ADUN dan Ahli Parlimen yang dikunjunginya sempena sambutan Aidilfitri serentak hari ini dikunjungi ribuan rakyat yang datang dari seluruh pelusuk daerah itu untuk bertemu pemimpin mereka.

Beliau menganggarkan sejak semalam dan hari ini lebih 100,000 penduduk daerah Besut hadir pada majlis berkenaan berdasarkan tempahan makanan dan faktor lain yang menyokong kenyataan beliau.

Sementara itu,Dr Abdullah berkata, beliau yang juga Bendahari UMNO Bahagian sependapat dengan Ketua Bahagian (Idris) sambutan rakyat tahun ini diluar jangkaan dan sesuatu yang menarik untuk dinilai sokongan penduduk kepada kerajaan BN.

Beliau percaya, setiap program yang dianjurkan oleh pemimpin daerah itu sentiasa mendapat sambutan dan sokongan rakyat dan ia menakutkan pihak pembangkang untuk berhadapan dengan semangat orang Besut.

Produk tradisional mampu tarik pelancong

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengenengahkan produk-produk tradisional untuk tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan juga sebagai tatapan generasi baru.
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Adun Tepoh, Haji Muhamad Ramli dan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof memberi tahniah kepada pemenang Pertandingan Pelita Raya 2012 selepas majlis penyampaian hadiah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, salah satu produk yang akan dijaga dan disemarakkan ialah Pertandingan Pelita Raya yang menjadi kebanggaan orang-orang terdahulu untuk mewujudkan suasana kemeriahan malam Tujuh Likur pada bulan Ramadan.

“Kerajaan berusaha memberi tumpuan terhadap pembangunan pelancong sebagai sumber baru kepada negeri ,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya 2012 di perkarangan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, hari ini (21 Ogos).
Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Adun Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Haji Mohd Yusof Abdullah.

Katanya, produk-produk tradisional berpotensi sebagai tarikan orang luar contohnya pertandingan pelita raya yang tidak ada di negeri lain.

Sambil berharap aktiviti pelita raya yang dipelopori di kawasan Tepoh ini diikuti daerah-daerah lain di seluruh negeri.

“Ia menjadi agenda kerajaan menjana pendapatan baru untuk jangka masa panjang dan tidak semata-mata bergantung kepada hasil minyak dan gas sahaja,” katanya.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM340 juta setahun bagi tujuan pembangunan pendidikan bagi membiayai pelbagai keperluan pembelajaran anak-anak tempatan termasuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar negara.

“Selain sumber minyak dan gas kita perlu mencari eltenatif lain sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bahan itu tiada suatu hari nanti,” katanya.






Ismail johan pelita raya kali ke-12 berturut-turut

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA
Ismail dari Kampung Padang Hangus mengekalkan kehebatan memasang pelita raya di malam tujuh likor apabila sekali lagi dinobatkan pemenang dalam Pertandingan Pelita Raya 2012.

Encik Ismail Sulong, 70, dari Kampung Padang Hangus, sekali lagi diangkat sebagai johan dalam Pertandingan Pelita Raya 2012 kali ke 12 berturut-turut.

Beliau bersama keluarga iaitu isteri dan enam anak mengambil masa lima hari menyiapkan replika rumah tradisional menggunakan 450 pelita yang dihasilkan dari bahan terbuang seperti tin minuman dan tali guni sebagai sumbu.

Pertandingan ini telah diadakan sejak 12 tahun lalu dimulai sebuah kampung (Padang Hangus) dan sejak 2009 kerajaan negeri dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) bertindak sebagai penganjur dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000.

Kiraan markah dibuat mengikut kampung dan tiga kampung yang bertanding ialah Kampung Padang Hangus, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Baru Tepoh yang menawarkan hadiah RM2,000 (pertama) RM1,500 (kedua) dan RM1,000 (ketiga) serta RM300 (saguhati)

Kampung Padang Hangus dimenangi Encik Ismail Sulong (johan), Encik Mat Kasim Mat Isa (kedua) dan Encik Rostam Naman (ketiga) serta 12 orang menerima saguhati.
Kampung Pagar Ubi, dimenangi Encik Ismail Abdullah (johan), Tuan Kamariah Tuan Majid (kedua) dan Encik Abu Musa Mohamed Ali (ketiga) serta 12 orang menerima saguhati.

Kampung Baru Tepoh, panel hakim pertandingan sepakat memutuskan tidak ada pemenang bagi tempat pertama, manakala Encik Wahab Abu Bakar (kedua) dan Encik Mohd Rashidi Che Ayub (ketiga) serta enam orang menerima saguhati.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bertempat di perkarangan kediaman Adun Tepoh hari ini (21 Ogos).

Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah .





Sambut raya dengan kesyukuran-YB Exco pembangunan infrastruktur

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib mengucapkan selamat menyambut ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran.

Semoga hari raya tahun ini memberi keceriaan dan kegembiraan kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh negara, Terengganu amnya dan sama-sama panjatkan doa kehadrat Allah SWT agar keamanan dan kesejahteraan ini terus berkekalan.

Kepada ibu bapa dan anggota masyarakat sentiasa semaikan semangat cintakan negara kepada generasi muda dan raikan lebaran ini dengan penuh kesyukuran.

Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Terengganu, maaf zahir dan batin.




Teganukita 64






RM1.4 juta duit raya untuk orang Bukit Payong

Oleh: Aida Abd Rahman
Seramai 4,694 penduduk di Dewan Undangan Negeri Bukit Payong terus mendapat pembelaan apabila menerima `duit raya’ berjumlah RM1.4 juta yang diagihkan sejak awal bulan ini menerusi empat fasa.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu melibatkan 4,320 penerima dengan peruntukan hampir RM1.3 juta.

Pegawai Penyelaras DUN, Encik Zaidi Muda ,berkata proses pengagihan berjalan lancar dan semua penerima Dana Hari Raya kemungkinan sudah pun berbelanja bagi kegunaan dan persiapan Syawal nanti.

Katanya, peruntukan dana yang semakin bertambah itu membuktikan kerajaan negeri terus memastikan rakyat yang tidak bernasib baik, ibu tunggal dan warga emas yang kurang berkemampuan terbela.

“Kerajaan yang ada pada hari ini tetap mengutamakan kebajikan rakyat. Bagaimanapun, ada segelintir rakyat gagal menterjemahkan sokongan mereka terhadap jasa dan dasar kerajaan yang sentiasa membela nasib mereka itu dengan memberi sokongan kepada parti lawan sehingga DUN berkenaan jatuh ke tangan pembangkang.

“Sokongan daripada rakyat bagi memastikan DUN ini kembali kepada Barisan Nasional (BN) amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan, dasar dan pembangunan untuk rakyat keseluruhannya mampu direalisasikan tanpa ada kekangan pentadbiran dari setiap penjuru,” katanya.

Encik Zaidi berkata, bukan hanya dana raya, kerajaan turut menyediakan pelbagai dana serta peruntukan khas yang lain untuk kegunaan ketua keluarga, isi rumah dan anak-anak khususnya bagi kemudahan pendidikan mereka.