Halaman

09 September 2012

Program `3 dalam 1' di Teluk Pasu dibanjiri 10,000 tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Persandingan 10 pasangan pengantin secara serentak mencipta sejarah tersendiri apabila diadakan bersekali dengan sambutan Kemerdekaan Negara ke-55 dan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN itu, malam semalam (8 September).

Menteri Besar dan isteri merenjis air mawar kepada pasangan pengantin.

Tuan rumah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said menyifatkan program tiga dalam satu – Merdeka, Raya, Bersanding secara serentak itu berjaya mencapai matlamat apabila mendapat sambutan lebih 10,000 tetamu di kalangan penduduk setempat termasuk keluarga dan saudara-mara pengantin.

“Pertama kali majlis tiga dalam satu iaitu merdeka, raya dan meraikan 10 pengantin yang bersanding sekali gus termasuk dalam program warisan di mana persandingan berlangsung dalam budaya orang Melayu. Mereka ditepung tawar dan direnjis (air mawar) oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri (Norliza Mahmud).


“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada yang hadir dan memeriahkan majlis ini yang dianggarkan sekitar 10,000 orang,” katanya.

Sementara itu, sepasang pengantin, Ridzuan Muhammad, 27, dari Buluh Gading, Manir dan isterinya, Rohadayu Muhamad, 23, dari Kebor Air, Manir begitu teruja dengan kehadiran pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri, To’ Puan Seri Norliza yang turut menyaksikan dan menepung tawar mereka ketika di pelamin, sekali gus dapat mengabadikan momen indah di hari penting mereka itu.

“Kenangan ini cukup indah dan bersejarah. Kami amat gembira kerana pertama kali MB sudi hadir ke majlis seumpama ini melibatkan persandingan lim pasangan pengantin serentak di mana kami berpeluang menjadi satu daripada pasangan bertuah itu.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama pemimpin di DUN Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus serta Kerajaan Terengganu yang menganjurkan acara yang cukup bermakna ini,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi satu lagi pasangan pengantin, Ahmad Shukri Sa’aidy, 26, dari Kampung Tanjung Bunut, Manir dan isteri, Rosnah Mohamad, 27, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu.


Mereka merasa bangga kerana berpeluang diraikan dalam majlis besar-besaran anjuran pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

“Program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim di kalangan peserta, malah berjaya menyemarakkan warisan dan adat Melayu dalam acara persandingan dengan disaksikan lautan tetamu di lokasi yang mudah dikunjungi.

“Bagaimanapun, kehadiran Menteri Besar dan isteri sesuatu yang lebih utama dan amat bermakna dan sukar dipercayai. Bukan semua orang dapat peluang terbaik sebegini,” katanya.




Irama muzik barat beri kesan negatif terhadap belia

Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah bt Mukhtar (Pelatih)
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Kerajaan negeri bimbang dengan fenomena kemasukan muzik barat seperti `pop rock’, `rock and roll’,`blues’ serta `hip hop’ berikutan boleh membawa kesan negatif terhadap moral dan pemikiran generasi muda.

Dato' Abdul Rahin ketika melihat persembahan yang diiringi alatan muzik tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata irama muzik sebegini sebenarnya songsang dan jauh terpesong daripada ruang lingkup serta batas susila budaya adat Melayu dan skop Islam.

Katanya,oleh itu, ibu bapa dan seluruh ahli masyarakat diminta bersikap cakna, membuat penelitian dan pemilihan tepat mengenai baik dan buruk sesuatu irama muzik itu.


“Irama muzik juga hendaklah dihayati agar ia boleh memberikan ketenangan dan kebaikan kepada ahli masyarakat serta kepada generasi muda yang menjadi pelapis di masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Perhimpunan Aluan Muzik Tradisional Terengganu, di Laman Warisan, Muzium Negeri, Kuala Terengganu .

Program yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir 11 Ogos itu menghimpunkan lebih 200 penggiat seni tempatan dan luar Terengganu.


Apa yang menariknya pengujung boleh menikmati pelbagai alunan muzik dari pelbagai kaum khususnya kaum Tionghua, kaum India, kaum Orang Asli dan dari masyarakat Siam.

Himpunan alunan muzik tradisional ini juga bertepatan dengan konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri kerana semua kaum berkumpul dibawah satu program yang jarang sekali dilakukan.


Dato’ Haji Rahin turut memberitahu dalam era globalisasi, seni alunan muzik bergerak pantras dengan mengenengahkan pelbagai alatan serta irama muzik baru dalam pelbagai demensi.

“Bagi tujuan meraih keuntungan, terdapat sesetengah pihak bertindak mengeksploitasi muzik tanpa berfikir panjang dan ianya meninggalkan kesan kepada tingkah sosial masyarakat..






Himpunan Alatan Muzik Tradisional

YB DATO' HAJI ABDUL RAHIN MOHD SAID MERASMIKAN HIMPUNAN ALUNAN MUZIK TRADISIONAL 2012 DI KOMPLEKS MUZIUM NEGERI TERENGGANU.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Dato' Abdul Rahin memukul gendang cina ketika merasmikan Himpunan Alunan Muzik Tradisional 2012  di Muzium Negeri Terengganu disaksikan Dato' Toh Chin Yau dan Haji Yusof Abdullah.

Memukul gong gimik perasmian.

Menumbuk emping

Alunan muzik tradisional Cina turut menyerikan.

Albaladi turut mempersembahkan alunan muzik.

SOKONG KERAJAAN BN SEMASA- PERDANA MENTERI.


Penegasan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak agar rakyat negeri Terengganu mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyokong Kerajaan Negeri semasa agar kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan selepas pilihan raya umum nanti.

Kerajaan Negeri semasa yang dimaksudkan sudah tentulah juga termasuklah di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku ketua kerajaan.

Penegasan itu dibuat sewaktu berucap di Majlis Hari Raya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Setiu baru-baru ini.

Justeru itu, marilah bersama-sama kita dengan penuh sedar dan insaf mempertahankan apa yang ada ini supaya terus dapat kita nikmati.

Jangan berfikir untuk mengejar sesuatu yang belum pasti, tetapi genggamlah erat-erat kerajaan BN yang telah sedia ada ini.

Pepatah Melayu ada mengingatkan,jangan sampai mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

Kalau semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin dalam parti dan kerajaan akur dan menerima apa yang disarankan oleh Perdana Menteri itu, hentilah menuding kesalahan sesama sendiri.

Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika berucap di Dun Setiu, baru-baru ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Ingat satu jari kita tunjuk atau menuding kepada orang lain, kelemahan orang lain, keburukan orang lain dan ketidakcekapan orang lain, empat jari lagi pasti menunjukkan kepada kita.

Apatah lagi kalau kita sendiri berada dalam saf atau organisasi itu, tiba-tiba apa jua yang kita lihat atau andaikan pincang di dalam organisasi kita sendiri dinyatakan kepada ramai, maka keikhlasan dan kejujuran kita pasti dipertikaikan, walaupun sebenarnya mungkin kita amat ikhlas.

Apatah lagi kalau kenyataan dibuat berdasarkan ‘cakap-cakap’ tentang pentadbiran ketua kerajaan dari parti yang kita sendiri dokongi.

Dan sekiranya benar ada, tidak bolehkah dibincangkan secara ‘anak-beranak” dalam organisasi, tetapi mengapa memilih mendedahkannya.

Kita katakan syarat hendak menang sekian-sekian perkara, tetapi tiba-tiba kita sendiri yang bercerita buruk organisasi kita sendiri kepada awam; bagaimana mungkin kita menyokong untuk kemenangan itu.

Kadang-kadang kita melakukannya dengan tidak sengaja dan boleh dimaafkan, tetapi yang itulah sebenarnya yang menggambarkan apa yang ada di dalam hati kita.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan,adat berkampung, kampung dipertahankan. adat bersuku, suku dipertahankan, adat bernegeri,negeri dipertahankan .

Sesiapa pun menjadi pemimpin ada kelebihan dan ada kelemahannya. Kalau kita jujur dalam mendokong organisasi kita, kelebihan mengenai parti dan pemimpin kitalah perlu ditonjolkan kepada orang ramai, bukan sebaliknya.

Mana ada pemimpin atau manusia yang sepenuhnya sempurna- nobody is perfect, dengan izin.

Kalau hendak imbas kembali soal calon dan PRU 12 (2008), pada masa itu pelbagai penentangan dan protes dilakukan, termasuk oleh orang yang menunding kepada orang lain dalam soal pemilihan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan dalam pemilihan calon.

Sebaik-baik calon diumumkan oleh pucuk pimpinan, tetapi awal-awal lagi usaha memprotes, penolakan dan memboikot dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati.

Akhirnya, beberapa calon tewas- jadi siapa sebenarnya yang tidak ikhlas dan tidak bertanggungjawab?

Apa yang penting bukan ucapan dan kata-kata sahaja, tetapi perbuatan, tingkahlaku, tindakan dan amalan seseorang menjadi ukuran keikhlasan.

Oleh itu adalah diharapkan perkara sabotaj calon ini tidak berulang lagi dalam PRU 13.

Maka saranan, Dato’ Sri Mohd.Najib supaya pimpinan dan rakyat Terengganu mempertahankan BN dan menyokong kerajaan semasa ini adalah bertepatan sekali.
Peristiwa-peristiwa pahit masa lalu, jadikan iktibar.

Ingatan zaman gelita di bawah Pas menjadi peringatan Perdana Menteri supaya Terengganu tidak mengulangi lagi perkara-perkara yang mendedahkan dakwaan yang kurang baik kepimpinan sendiri, kelak semua yang akan derita.

“Masih ingatkah?” tanya Perdana Menteri dengan laungan ‘ingat!!!!” oleh lebih 20 000 hadirin ke majlis Hari Raya Terengganu bersama Perdana Menteri itu.

Kalau masih ingat itu semua, janganlah pemimpin dan penyokong dalam sesama parti cuba menimbulkan suasana yang kurang baik.

Pendekatan ‘merakyat’ yang dicetuskan oleh “Ahmad Said” bukan sahaja mendapat tempat di hati rakyat, terutama golongan yang susah, tetapi diiktiraf di peringkat pusat yang juga membuat pendekatan yang serupa pada masa ini.

Hanya yang ada niat lain sahaja cuba menggambarkan kepimpinannya dengan gambaran yang negatif, mencari sudut yang kekekurangan di tengah-tengah kebaikan dan nilai nilai positif yang begitu banyak untuk disebarkan kepada awam dan rakyat.

Kehadiran rakyat jelata di program-program anjuran kerajaan BN di Terengganu sungguh cemerlang pada masa ini.

Ia menggambarkan kehebatan kepemimpinan negara dan negeri semasa di bawah BN dan berkat kerjasama dan muafakat semua pihak, kepimpinan di semua peringkat, termasuk di kampung-kampung.


Terengganu tuan rumah KIK Perpustakaan SeMalaysia kali ke-4

Oleh: Aida Abd Rahman
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Majlis Pengarah Perpustakaan Awam Negeri akan mengajurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perpustakaan SeMalaysia kali ke- 4 2012 bertempat di Hotel Permai, Kuala Terengganu, pada 18 hingga 19 September ini.

Majlis bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains,Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pengarah PPAT,Hajah Nor Akmal Abd Fatah, berkata Konvensyen KIK bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai produktiviti dan kualiti serta menjadikan KIK sebagai satu alat untuk penyelesaian masalah serta penambahbaikan yang berterusan, memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anggota perpustakaan di seluruh negara yang terlibat dalam kumpulan KIK masing-masing.

“Pada masa yang sama ia juga memberi peluang membentangkan idea dan projek mereka serta berkongsi pengalaman kumpulan KIK masing-masing serta meningkatkan kesedaran dalam menambah nilai produk dan perkhidmatan sedia ada.

“Peserta juga mampu memberi idea yang kreatif dan inovatif bagi meningkatkan kualiti kerja serta memberikan perkhidmatan perpustakaan yang cemerlang ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia berasaskan ilmu pengetahuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Selain itu, sebanyak 16 kumpulan akan menyertai KIK termasuk Titanium, C-FAR, KL LIB, R.E.A.D, WAVE ICQ, Spektrum, Tuah, Vitalize, X-Tra Ordinary, 5K, Intelek 2.0, Q-LIB, Smart Layer, Bibliotera, Elite 10 dan Lentera.

Program Konvesyen bermula pada 18 September (Selasa) jam 9 pagi didahului dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, sebelum ucapan perasmian oleh Dato’ Ahmad Razif.

Sementara majlis penutup pula akan berlangsung pada 19 September (Rabu) jam 8.15 malam dengan ucapan penutup oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu(Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Muda.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan diakhiri dengan acara makan malam sebelum melabuh tirai oleh persembahan lagu-lagu Tradisional Terengganu.




JKKK Gong Gucil johan pertandingan perarakkan Merdeka Raya Besut


JKKK Gong Gucil Juara Perbarisan Merdeka Raya Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Keseragaman dan kreativiti yang ditonjolkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Gucil dalam acara perarakkan membuahkan hasil apabila dipilih sebagai johan sempena Sambutan Merdeka Raya Daerah Besut semalam.

Dengan kejayaan itu JKKK Gong Gucil mewakili DUN Jertih mempertahankan status sebagai juara dua tahun berturut-turut dalam program sambutan Hari Kemerdekaan peringkat daerah itu yang diadakan secara besar-besaran dalam tempoh dua tahun.

JKKK Gong Gucil mempersembahan gaya yang begitu hebat sehingga mampu menarik minat ribuan penonton kerana kreativiti cara berpakaian, kerjasama ahli dalam masa berarak, dan mempunyai persembahan nyanyian patriotik.

Kejayaan itu memberi peluang pasukan itu meraih hadiah wang tunai RM3,000, sijil dan piala.Manakala tempat kedua ialah JKKK Padang Tapong dan ketiga JKKK Gong Bukit Kenak.

Bagi acara kereta berhias tempat pertama dimenangi Jabatan Pertyanian Daerah Besut, kedua Jabatan Kerja Raya dan ketiga sebuah syarikat swasta dari Kampung Pak Wong.

Merdeka Raya Daerah Besut anjuran bersama Pejabat Daerah Besut,Majlis Daerah Besut (MDB) UMNO Bahagian Besut swekali lagi mencatat sejarah apabila lebih 30,000 penduduk membanjiri dataran Pantai Air Tawar yang dijadikan lokasi perhimpunan peserta.

Ketua Umno Bahagian Besut,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara merasmikan program berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada peserta dan kontijen yang berjaya dalam pelbagai acara yang dipertandingkan sempena program itu.

Hadir sama Penaihat Agama Perdana Menteri,Datok’Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut,ADUN Kuala Besut, DR A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad, ADUN Jabi Ramlan Ali,Pegawai Daerah A Rahim Jusoh, Yang Dipertua MDB,Ibrahim Mohamad dan Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong.

Sambutan Aidilfitri DUN Teluk Pasu Meriah

MENTERI BESAR DAN ISTERI DI MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI DUN TELUK PASU DI PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT DUN TELUK PASU, MANIR.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Seri Haji Ahmad Said menyuap kek meraikan anak dari DUN Teluk Pasuk yang lahir pada tarikh Merdeka 31 Ogos.

Kehadiran Menteri Besar dan isteri disambut meriah oleh penduduk DUN Teluk Pasu.



Pasangan pengantin baru turut diraikan pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Menteri Besar turut menyampaikan geran hak milik tanah kepada wakil penduduk.

Lautan manusia yang hadir pada Sambutan Aidilfitri DUN Teluk Pasu di Pusat Khidmat Masyarakat.

SUK RAI PESARA KERAJAAN

WAJAH-WAJAH MAJLIS AIDILFITRI DAN MESYUARAT AGUNG/PERWAKILAN TAHUNAN PERSATUAN PESARA KERAJAAN MALAYSIA BAHAGIAN NEGERI TERENGGANU TAHUN 2012/KALI KE-20 DI DEWAN YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA, KUALA TERENGGANU YANG DIRASMIKAN OLEH SUK, DATO' HAJI MAZLAN NGAH.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Haji Mazlan Ngah menerima cenderahati ketika merasmikan mesyuarat agung/perwakilan tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia bahagian Negeri Terengganu.

Antara pesara-pesara yang hadir pada majlis berkenaan.


Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah diperkenalkan dengan ahli Persatuan Pesara Kerajaan.

Menikmati jamuan Hari Raya.

08 September 2012

Hotel TH siap tahun depan

Oleh: Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Hotel Tabung Haji (TH) berharga RM 50 juta yang dibina tidak jauh dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijangka akan dapat memulakan operasi tahun depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kiri) berkata, hotel yang mempunyai 180 bilik itu kini sudah 60 peratus siap dan akan dapat digunakan pada musim haji tahun depan.

“Semua jemaah yang akan mengikuti kursus perdana atau yang akan berlepas ke Tanah Suci akan ditempatkan di hotel berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak petang semalam.


Hadir sama To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Khazan Che Mat; Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, Haji Abdul Halim Md Jamil dan Pengarah TH Terengganu Haji Mokhzani Mokhtar.

Menteri Besar ketika berucap di hadapan bakal haji yang mengikuti Kursus Perdana Haji.

Seramai 1,800 bakal jemaah haji dari seluruh negeri berhimpun di Stadium Tertutup bagi mengikuti kursus selama dua hari untuk mendalami kaedah rukun haji yang betul seperti tawaf, sa’ie, melontar jamrah dan amalan-amalan yang berkaitan dengan haji.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, tahun ini terdapat enam penerbangan haji secara terus dari LTSM di mana tiga penerbang pertama akan mendarat di Madinah dan tiga penerbangan akhir terus ke Jedah.

“Tahun ini kerajaan turut menaja 100 jemaah terdiri daripada penjawat awam yang menerima Anugerah Perkhidmat Cemerlang, Imam, Bilal dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.


Katanya, pihak kerajaan sedang berurusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan kouta 50 tempat lagi setelah 50 daripadanya sudah mendapat pengesahan.

Menteri Besar turut menasihatkan semua bakal jemaah agar sentiasa menjaga adat sopan selaku tetamu Allah sepanjang berada di Tanah Suci Mekah serta patuhi arahan petugas TH dari semasa kesemasa.

Jemaah pertama di negara ini dijangka berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 17 September ini dan penerbangan terakhir ialah pada 19 Oktober, manakala penerbangan terus dari LTSM pula bermula 28 September hingga 17 Oktober.





TH wujud talian ibadat

Oleh: Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA


Tabung Haji (TH) telah mewujudkan talian khas dikenali sebagai Talian Ibadat (TAIB) yang boleh dihubungi oleh para jemaah untuk bertanya hal ehwal ibadat haji semasa berada di Tanah Suci Mekah mulai tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, Haji Abdul Halim Md Jamil (gambar kiri) berkata, selain itu e-book TH juga telah dilancarkan pada awal tahun ini.

“E-book ini membolehkan bakal-bakal haji mendapatkan bahan penerbitan ibadat haji dengan lebih jimat, cepat, praktikal dan mudah diakses walau di mana saja mereka berada,”.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu Musim Haji 1433H/2012M di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak petang semalam.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah merasmikan majlis berkenaan. Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Mufti Terengganu, Dato’ Dr, Alias Abdullah dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Dato’ Haji Rozali Salleh.

Kursus Perdana Haji peringkat negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Katanya, TH telah dapat mengekalkan pengiktirafan MS SO 9001;2008 Perkhidmatan haji tahun ini yang merujuk kepada pengurusan haji di tanah air dan Tanah Suci serta sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan nilai tambah dalam pengurusan haji dari semasa kesemasa.

Katanya, selaras dengan visi TH iaitu ‘tunggak kejayaan ekonomi ummah, pengurusan haji terbilang’ pelbagai kursus diadakan seperti kursus asas haji, kursus insentif haji dan kursus perdana haji.

“Kita juga menganjurkan kursus khas haji untuk warga emas dan juga kepada bakal haji yang terpilih di saat akhir,” katanya.

Haji Abdul Halim turut berpesan kepada semua jemaah agar mematuhi segala peraturan dan arahan pentadbiran hal ehwal haji yang dikeluarkan oleh petugas TH dan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Antaranya syarat ketat yang dikenakan ialah tidak membenarkan jemaah menubuhkan kumpulan untuk berhimpun dengan tujuan menjalankan upacara agama yang taksub terhadap aliran tertentu seperti berzikir dan berdoa di Masjdil Haram dan Masjid Nabi,” katanya.