Penegasan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak agar rakyat negeri Terengganu mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyokong Kerajaan Negeri semasa agar kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan selepas pilihan raya umum nanti.
Kerajaan Negeri semasa yang dimaksudkan sudah tentulah juga termasuklah di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku ketua kerajaan.
Penegasan itu dibuat sewaktu berucap di Majlis Hari Raya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Setiu baru-baru ini.
Justeru itu, marilah bersama-sama kita dengan penuh sedar dan insaf mempertahankan apa yang ada ini supaya terus dapat kita nikmati.
Jangan berfikir untuk mengejar sesuatu yang belum pasti, tetapi genggamlah erat-erat kerajaan BN yang telah sedia ada ini.
Pepatah Melayu ada mengingatkan,jangan sampai mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.
Kalau semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin dalam parti dan kerajaan akur dan menerima apa yang disarankan oleh Perdana Menteri itu, hentilah menuding kesalahan sesama sendiri.
Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika berucap di Dun Setiu, baru-baru ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Ingat satu jari kita tunjuk atau menuding kepada orang lain, kelemahan orang lain, keburukan orang lain dan ketidakcekapan orang lain, empat jari lagi pasti menunjukkan kepada kita.
Apatah lagi kalau kita sendiri berada dalam saf atau organisasi itu, tiba-tiba apa jua yang kita lihat atau andaikan pincang di dalam organisasi kita sendiri dinyatakan kepada ramai, maka keikhlasan dan kejujuran kita pasti dipertikaikan, walaupun sebenarnya mungkin kita amat ikhlas.
Apatah lagi kalau kenyataan dibuat berdasarkan ‘cakap-cakap’ tentang pentadbiran ketua kerajaan dari parti yang kita sendiri dokongi.
Dan sekiranya benar ada, tidak bolehkah dibincangkan secara ‘anak-beranak” dalam organisasi, tetapi mengapa memilih mendedahkannya.
Kita katakan syarat hendak menang sekian-sekian perkara, tetapi tiba-tiba kita sendiri yang bercerita buruk organisasi kita sendiri kepada awam; bagaimana mungkin kita menyokong untuk kemenangan itu.
Kadang-kadang kita melakukannya dengan tidak sengaja dan boleh dimaafkan, tetapi yang itulah sebenarnya yang menggambarkan apa yang ada di dalam hati kita.
Adat bersaudara, saudara dipertahankan,adat berkampung, kampung dipertahankan. adat bersuku, suku dipertahankan, adat bernegeri,negeri dipertahankan .
Sesiapa pun menjadi pemimpin ada kelebihan dan ada kelemahannya. Kalau kita jujur dalam mendokong organisasi kita, kelebihan mengenai parti dan pemimpin kitalah perlu ditonjolkan kepada orang ramai, bukan sebaliknya.
Mana ada pemimpin atau manusia yang sepenuhnya sempurna- nobody is perfect, dengan izin.
Kalau hendak imbas kembali soal calon dan PRU 12 (2008), pada masa itu pelbagai penentangan dan protes dilakukan, termasuk oleh orang yang menunding kepada orang lain dalam soal pemilihan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan dalam pemilihan calon.
Sebaik-baik calon diumumkan oleh pucuk pimpinan, tetapi awal-awal lagi usaha memprotes, penolakan dan memboikot dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati.
Akhirnya, beberapa calon tewas- jadi siapa sebenarnya yang tidak ikhlas dan tidak bertanggungjawab?
Apa yang penting bukan ucapan dan kata-kata sahaja, tetapi perbuatan, tingkahlaku, tindakan dan amalan seseorang menjadi ukuran keikhlasan.
Oleh itu adalah diharapkan perkara sabotaj calon ini tidak berulang lagi dalam PRU 13.
Maka saranan, Dato’ Sri Mohd.Najib supaya pimpinan dan rakyat Terengganu mempertahankan BN dan menyokong kerajaan semasa ini adalah bertepatan sekali.
Peristiwa-peristiwa pahit masa lalu, jadikan iktibar.
Ingatan zaman gelita di bawah Pas menjadi peringatan Perdana Menteri supaya Terengganu tidak mengulangi lagi perkara-perkara yang mendedahkan dakwaan yang kurang baik kepimpinan sendiri, kelak semua yang akan derita.
“Masih ingatkah?” tanya Perdana Menteri dengan laungan ‘ingat!!!!” oleh lebih 20 000 hadirin ke majlis Hari Raya Terengganu bersama Perdana Menteri itu.
Kalau masih ingat itu semua, janganlah pemimpin dan penyokong dalam sesama parti cuba menimbulkan suasana yang kurang baik.
Pendekatan ‘merakyat’ yang dicetuskan oleh “Ahmad Said” bukan sahaja mendapat tempat di hati rakyat, terutama golongan yang susah, tetapi diiktiraf di peringkat pusat yang juga membuat pendekatan yang serupa pada masa ini.
Hanya yang ada niat lain sahaja cuba menggambarkan kepimpinannya dengan gambaran yang negatif, mencari sudut yang kekekurangan di tengah-tengah kebaikan dan nilai nilai positif yang begitu banyak untuk disebarkan kepada awam dan rakyat.
Kehadiran rakyat jelata di program-program anjuran kerajaan BN di Terengganu sungguh cemerlang pada masa ini.
Ia menggambarkan kehebatan kepemimpinan negara dan negeri semasa di bawah BN dan berkat kerjasama dan muafakat semua pihak, kepimpinan di semua peringkat, termasuk di kampung-kampung.