Halaman

17 September 2012

Terengganu yakin UPSR terus capai kedudukan terbaik

Oleh: Suriati Ali

Terengganu yakin dapat mempertahankan kedudukannya sebagai negeri terbaik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) buat kali ke-12 berturut-turut pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keyakinan itu berdasarkan peningkatan penglibatan komuniti setempat bersama guru dan murid.

Katanya, Istimewanya di Terengganu, terdapat segelintir ibu bapa yang bekerja sanggup mengambil cuti sepanjang peperiksaan berlangsung semata-mata mahu menemani anak dengan membaca yasin dan menunaikan solat hajat di surau sekolah.

" Terdapat sekolah menyediakan makan minum secara percuma kepada murid sebelum menduduki UPSR, ini membuktikan betapa prihatinnya pengurusan sekolah dalam memastikan kebajikan murid terjaga.

"Inisiatif yang diambil oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ini adalah sebahagian contoh betapa pendidikan kini menjadi tangungjawab semua pihak, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai kuasa baharu dunia pendidikan tanah air," katanya.

Penyediaan makanan berkhasiat secara percuma itu adalah untuk memastikan murid kekal bertenaga sepanjang menjawab soalan dengan nutrien penting, sebagai satu usaha PIBG untuk persediaan fizikal murid.


Pelajar Tatiuc bakal terima ijazah dan diploma

Oleh: Suriati Ali dan Umi Ikrimah bt. Abdillah (Pelatih)

Seramai 288 pelajar akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen TATIUC kali ke-6 bertempat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada 22 September ini.

Majlis ini akan disempurnakan oleh Canselor TATIUC, Tan Sri Dato’ Ir. (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaakob.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata seramai 18 graduan sulung program Sarjana Muda Mekatronik turut sama menerima Ijazah pada konvokesyen itu.

Katanya, jumlah graduan terkumpul bermula dari penubuhan TATIUC 1993 hingga sekarang ini adalah seramai 2807 orang.

“Setiap tahun Tatiuc mencatatkan peningkatan jumlah pelajar di mana pada tahun ini, seramai 843 orang mendaftar masuk untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.

“Pertambahan bilangan pelajar membuktikan dan memberi gambaran positif terhadap sistem pendidikan di Tatiuc berkualiti dan diyakini semua pihak,” katannya pada sidang media di pejabatnya baru-baru ini.

Pesta Konvo turut diadakan sempena majlis konvokesyen TATIUC selama tiga hari iaitu bermula 20 September ini.

Pelbagai acara menarik telah disusun sepanjang pesta ini, antara konsert perdana, forum perdana, kejohanan futsal, senamrobik, gerai pameran, gerai jualan, pertandingan mewarna, kayuhan mesra dan tayangan amal.


Belia Marang sertai bengkel pemantapan

Oleh: Aida Abd Rahman
Seramai 120 pemimpin persatuan dan badan gabungan belia Marang akan mengikuti bengkel pemantapan dan kepimpinan dalam usaha memantapkan pertubuhan yang dipimpin belia berusia kurang 30 tahun di daerah itu.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik Zaidi Muda, berkata bengkel selama tiga hari dua malam di sebuah pusat peranginan di Marang pada awal November ini bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemimpin baru supaya lebih matang sekali gus berupaya memimpin persatuan dengan jayanya.

“Setiap persatuan diwakili pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha terpilih menyertai bengkel yang menjadi platform penting memastikan hala tuju persatuan dapat dicapai.

“Mereka kebanyakannya di kalangan generasi pemimpin baru berusia 20-an yang kurang pengalaman tetapi mempunyai bakat kempimpinan yang boleh diasah dengan baik bagi menerajui persatuan,” katanya kepada Teganukita, di majlis sambutan Merdeka Raya Majlis Belia Daerah Marang dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, di Dewan Sivik Bukit Payong, semalam (17 september).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang, Senator To’ Puan Zaitun Mat Amin; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Pengerusi MAYC Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman.

Sehingga kini, terdapat 40 persatuan belia dan badan-badan gabungan belia yang aktif di Marang, sementara 20 MAYC serta 17 Gerakan Belia 4B sedang menunggu kelulusan pendaftaran dengan pejabat pendaftar pertubuhan belia sebelum beroperasi secara sah selewat-lewatnya awal 2013.

Encik Zaidi yang juga Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, berkata pihaknya akan mengatur pelbagai aktiviti bagi memastikan persatuan dan badan gabungan belia dapat bergerak aktif di peringkat daerah serta negeri, selain mereka mengadakan aktiviti dengan komuniti di kawasan masing-masing menggunakan saluran yang betul.

“Kita tidak mahu melihat kuantiti pertubuhan dan persatuan belia semata-mata. Kalau jumlah banyak tidak guna juga, jika mereka gagal aktif dan memanfaatkan peluang serta menganjurkan aktiviti untuk manfaat ahli serta komuniti setempat.

“Menerusi pertubuhan yang sah, kita harap kewujudan persatuan belia dapat memberi impak kepada pembangunan sahsiah dan ekonomi di kalangan generasi muda seterusnya memajukan lagi kawasan setempat, negeri dan juga negara amnya,” katanya.



Teganukita 65






GAGASAN MERAKYAT AHMAD SAID KIAN TERSERLAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bahagian Kedua

Gagasan “merakyat’ yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sebaik sahaja dilantik Menteri Besar Terengganu, sebenarnya kian diperkatakan oleh banyak pihak.

Terbaru Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru Datuk Dr Ali Hamsa meminta penjawat awam meningkatkan prestasi perkhidmatan bagi ‘merakyatkan” perkhidmatan awam kepada masyarakat di negara ini.

Dato’ Seri Ahmad menyebut ‘merakyatkan pentadbiran’ dan Ketua Setiausaha Negara menyebutnya sebagainya ‘merakyatkan perkhidmatan awam’, tetapi hakikatnya sama iaitu perkhidmatan awam dan pentadbiran mestilah menjuruskan faedah yang setingginya untuk rakyat.

Kita sudah sekian lama mardeka, sekian lama memiliki kerajaan sendiri, kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sudah tentu rakyat menjadi keutamaan dalam setiap jurus pembangunan.

Dr.Ali Hamsa berkata penjawat awam merupakan golongan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan segala tindakan dan dasar kerajaan serta menjadikan rakyat sebagai teras kepada segala gerak kerja yang dilakukan.

"Anggap diri kita (penjawat awam) sebagai rakyat kerana sudah pasti kita akan melaksanakan apa yang diamanahkan kerajaan dengan lebih komited.Mari kita (penjawat awam) merakyatkan perkhidmatan agar khalayak sasaran kita (rakyat) merasai segala pelan dan dasar yang kerajaan rancangkan untuk mereka," katanya pada majlis perasmian Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) bil. 1/2012 di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), baru-baru ini.

Rakyat Terengganu tentunya berbangga kerana mempunyai seorang Menteri Besar yang kecenderungannya ialah menolong rakyat.

Sesuatu yang tidak boleh dinafikan amat besar perbelanjaan kerajaan negeri masa kini adalah menjuruskan kepada kebajikan rakyat, pertolongan untuk rakyat dalam berbagai bentuk dan kaedah.

Perkara asas bagi semua orang ialah terutama tempat tinggal (perumahan) menjadi tumpuan Menteri Besar yang mesra dipanggil rakyat sebagai “Mat Said”.

‘Mat Said’ walaupun bersahaja sifatnya, banyak mengenepikan soal protokol dalam banyak perkara semata-mata untuk mendekati rakyat, tetapi itulah gaya asalnya, anak kelahiran Kijal dari sebuah keluarga petani atau pemanjat kelapa (Tok Nyadat) yang hidup dengan serba kekurangan di zaman kanak-kanak.

Sebulan lepas, seorang buruh yang bekerja membersih wad di Hospital Nur Zahirah memberitahu kepada penulis, suatu hari dia dan rakan-rakannya makan roti canai di sebuah warung di hadapan hospital berkenaan.

“Tiba-tiba datang Menteri Besar makan bersama mereka dan belanja kami semuanya. Sebagai golongan yang kerja begini, kami berbangga mempunyai seorang Menteri Besar seperti ini yang sanggup makan bersama kami di warung,” katanya terharu.

(BERSAMBUNG)


(SIRI SEBELUMNYA)


MB rancang penerbangan haji berjadual


Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi


Seramai 180 bakal jemaah haji daerah Kemaman diraikan kelmarin dengan kehadiran semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di daerah ini iaitu Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga ADUN Kijal, ADUN Chukai Dato’ Mohamed Awang Tera, ADUN Air Putih YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar dan ADUN Kemasik, YB. Ir Rosli Othman.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam ucapan beliau berkata, jemaah haji saban tahun semakin meningkat dan masih ramai lagi yang menunggu dengan pemohonan yang lama.

Selain sihat tubuh badan, mampu dari segi kewangan dan keamanan negara, halangan yang utama adalah undang-undang ketat Arab Saudi yang hanya menghadkan 1% sahaja daripada jumlah penduduk negara untuk kesana.

“Sehubungan itu, kerajaan Malaysia cuba berbaik dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan kita mendapat penambahan kuota setiap tahun.

“Keadaan ini tambah merungsingkan apabila kita terpaksa buat rayuan untuk kali kedua bagi menambah bilangan jemaah haji walaupun sudah mendapat penambahan sebanyak 10,00 setiap tahun namun masih belum mendapat sebarang keputusan,” katanya.

Kebiasaannya kerajaan negeri akan menghantar 100 orang yang terpilih seperti JKKK mahupun kakitangan kerajaan yang cemerlang untuk menunaikan haji. Namun dalam keadaan ini kerajaan bimbang bilangan ini akan merosot.

Beliau telah lama merancang untuk membuat jadual penerbangan dari Terengganu ke Kuala Lumpur ke Jeddah manakala Jeddah ke Kuala Lumpur dan terus ke Terengganu, di mana ia akan diusahakan segera bagi memudahkan rakyat negeri untuk menunaikan ibadat haji.

Pengurus Lembaga Tabung Haji Daerah Kemaman, Amir Hamzah Mohd Rani berkata bagi pihak Tabung Haji telah cuba membantu dan membimbing bakal jemaah membuat persediaan dan persiapan yang lengkap untuk menghadiri perhimpunan agong nanti.

Dan beliau berharap semua bakal jemaah membuat persiapan yang rapi sebelum ke tanah suci yang bakal berlepas pada 17 September di KLIA dan penerbangan pertama di Terengganu pada 28/29 September.






16 September 2012

IKIA berharga RM20 juta bakal dibangunkan di TTI


Oleh; Esah Abdullah

Sebuah Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang berharga RM20 juta bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.


Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melawat replika IKIA sambil disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di TTI sempena Terengganu International Islamic Art Festival 2012

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, institut ini bakal diurus bersama antara TTI, Institut al-Quran Terengganu (IQT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu

“IKIA akan menggunakan modul pembelajaran yang diguna, dipantau dan diiktiraf oleh OIC Research Institute of Islamic History Art and Culture (IRCICA),” .

“Usaha ini diharap akan mengembalikan kecemerlangan sejarah negeri Terengganu didalam mendaulatkan Islam, sebagaimana tersirat pada inskripsi jawi yang tertera pada Batu Bersurat Terengganu,”.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF) di TTI semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan TIIAF 2012. Hadir sama Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pengarah IRCICA Dr Halit Eren dan Pengerusi TTI, Datuk Haji Zuber Embong.

Katanya, kewujudan institut ini akan menjadi penawar kepada seluruh masyarakat nusantara dan Asia yang kini menanti-nantikan kehadiran pembelajaran seumpama itu di rantau ini.

Menurut Menteri Besar , IKIA akan dilengkapi dengan dewan konvensyen, bilik pameran , bilik tenaga pengajar, tempat jualan kaligrafer dan sebagainya.

“Kita akan masukkan bajet buat institut ini dalam pembentangan bajet kerajaan pada bulan Disember ini dan tahun depan mungkin projek ini dapat dimulakan,” katanya.

Tambahnya, pada kebiasaan tempoh pembinaan dijangka memakan masa dua tahun dan tidak menolak kemungkinan lebih dari itu, ia bergantung kepada kontraktor.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga memaklumkan bahawa mulai tahun depan, orang ramai akan dapat melawat TTI pada waktu malam bila kerja pemasangan lampu pencahayaan di sekitar TTI siap.

“InsyaAllah kalau sempat kita berhasrat untuk mengadakan majlis menyambut malam tahun baru 2013 di sini (TTI),” katanya.






15 September 2012

DATO' SERI HISHAMUDDIN TUN HUSSEIN DI KUALA BERANG

Sekitar suasana meriah rakyat dan perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu menyambut kedatangan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu, hari ini (15 September 2012).

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Dato' Seri Hishamuddin disambut meriah sebaik tiba di Padang Astaka, Kuala Berang, untuk merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu, pagi tadi.

Majlis menaikkan bendera Umno.



Gimik perasmian memalu gong oleh Naib Presiden Umno.


Apa yang menarik perhatian Dato' Seri Hishamuddin sehingga tersenyum melihat cenderahati yang disampaikan oleh para perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Anggota JPAM bergambar bersama Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein dan para perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu, pagi ini.

Gelombang luar biasa Hulu Terengganu

Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Sekali lagi Hulu Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila mengadakan mesyuarat persidangan Umno Bahagian Hulu Terengganu di luar dewan yang cuma berbumbungkan kanopi di Padang Astaka Kuala Berang yang disertai 1,136 orang perwakilan.

Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein disambut ribuan perwakilan sebaik tiba di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Berbekalkan semangat yang kental ,Umno Bahagian Hulu Terengganu terus bangkit untuk meneruskan persidangan berikutan tidak mempunyai dewan tertutup yang mampu menampung lebih daripada seribu orang pada satu-satu masa.


Naib Presiden Umno, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussien merangkap Menteri Dalam Negeri merasmikan persidangan itu.

Beliau melahirkan rasa bangga dan turut menyatakan bahawa gelombang yang bangkit pada hari ini merupakan satu gelombang semangat yang luar biasa bagi Umno Hulu Terengganu.

“Beratnya tanggungjawab para pemimpin untuk memastikan rakyat hidup aman damai dan harmoni seperti yang ada pada hari ini.Saya selaku Menteri Dalam Negeri tetap akan pertahankan apa yang kita semua ada pada hari ini.Sudah menjadi adat parti pembangkang bahawa 10 perkara baik tidak akan digembar- gemburkan tapi apabila ada satu perkara yang tidak baik,maka ianya akan di hebohkan untuk menyuntik kebencian kepada pemimpin,”katanya.


Beliau turut menekankan bahawa jika Umno tidak berubah pada hari ini,maka nasib yang menimpa negara luar juga boleh terjadi di Malaysia.

Katanya, parti pembangkang menggunakan kaedah serangan bertubi-tubi kepada intitusi dan agensi terutama kepada agensi keselalamatan seperti PDRM,SPRM dan sistem mahkamah.




Menurutnya, aliran maklumat tanpa sempadan digunakan sepenuhnya oleh pembangkang untuk membuat serangan isu-isu untuk membangkitkan kebencian kepada pemimpin.

“Politik menabur fitnah,politik adu domba,politik melagakan kaum,politik adakan rusuhan kaum serta politik kebencian adalah mainan mereka.Maka kita sebagai orang Umno akan melawan secara bijaksana dengan menggunakan gelombang keamanan serta gelombang kesetiaan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional di setiap kerusi-kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tanpa mengira calon-calon yang dipertandingkan,” katanya.


Kediaman Dato' Yahya dibanjiri lebih 15,000 tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis rumah terbuka anjuran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, meriah apabila dibanjiri lebih 15,000 tetamu di kalangan penduduk tempatan khususnya dari kawasan Marang dan Kuala Terengganu.

Dato’ Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri turut mengadakan majlis perkahwinan anak ketiganya, Syamimi Syahidah dengan pilihan hatinya, Mohd Ilmi Hidayat Yunus dari Kuala Pilah di kediamannya itu, di Binjai Rendah, Marang, hari ini.



Majlis yang berjalan lancar bermula jam 11 pagi berakhir lewat petang dikunjungi pelbagai lapisan penduduk termasuk tetamu kenamaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, turut hadir kira-kira jam 12 tengahari.

Dato' Seri Haji Ahmad dan isteri kemudiannya menepung tawar kedua mempelai di pelamin, sebelum beliau mengiringi Dato’ Yahya dan isteri, To' Puan Rosnani Ngah memotong kek sempena hari lahir Ketua Bahagian Marang itu.

Selang dua jam kemudian, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Naib Presiden Umno sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Badan perhubungan Umno Bahagian Hulu Terengganu.