Halaman

23 September 2012

Tindakan tegas jika gagal patuhi peraturan alam sekitar

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pengusaha resort yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005,

 Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw 9 (gambar kiri) berkata, tindakan berkenaan dikenakan bagi kesalahan tidak menyimpan minyak-minyak terpakai yang dikategorikan sebagai barangan terjadual mengikut kaedah yang ditetapkan di bawah peraturan tersebut.

“Tindakan mahkamah juga telah dikenakan ke atas beberapa pengusaha resort pelancongan yang sedang beroperasi di pulau-pulau yang telah di wartakan sebagai Taman-taman Laut Negara di perairan negeri ini,” katanya.

Pengusaha-pengusaha resort pelancongan diminta mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005.

Menurutnya, perkara demikian adalah lumrah berlaku dan mana-mana resort atau pengusaha kawasan pelancongan yang tidak mematuhi kualiti alam sekitar pasti tidak terlepas daripada dikenakan tindakan.

Katanya, selain dari lawatan penguatkuasaan secara berkala, program pengawasan dan pemantauan kualiti air marin juga dijalankan bagi memastikan sekitar perairan pulau-pulau tidak tercemar.

Sehubungan itu katanya, kempen kesedaran alam sekitar diadakan dari semasa ke semasa kepada pelajar, penduduk pulau dan juga pengusaha resort yang beroperasi di pulau-pulau.

 

Calon disenangi, melekat di jiwa pengundi : Dato' Abdul Rahman

Oleh: Aida Abd Rahman dan  Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (pelatih)

Semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) perlu mempunyai karakter yang disenangi dan melekat di jiwa penduduk, khususnya pengundi di kawasan masing-masing.

 Kesilapan menetapkan calon PRU13 boleh menggagalkan usaha Barisan Nasional (BN) menawan hati pengundi, selain menipiskan peluang untuk merampas semula kawasan yang dimenangi pembangkang, malah mungkin menjejaskan peluang BN mengekalkan kerusi sedia ada.

 Pandangan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar (gambar kecil), sambil menyifatkan kesilapan percaturan menentukan calon PRU13 hanya akan mengudang padah.

Rakyat Marang perlu ingat pembangunan yang ketara di kawasan berkenaan adalah hasil perjuangan pemimpin BN.

Malah, perjuangan pemimpin BN dan Umno membawa pembangunan dan mendekati rakyat serta menyelami nasib mereka dengan melakukan pelbagai transformasi selama ini hanya sia-sia jika calon tidak mendapat tempat di hati pengundi.

 “Bagaimanapun, perlu diingatkan jangan ada peteh- memeteh. Malah, jangan ada calon `bidan terjun’. Sebagaimana pengalamansebelum ini kita boleh kalah disebabkan calon kurang dikenali, kurang mesra rakyat, malah tidak dapat diterima pengundi.

 “Calon mesti meresap di jiwa rakyat, mesti orang kenal, mesti ada bukti mengenai keupayaan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan. Itu amat penting,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau turut berharap Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memilih calon berdasarkan beberapa kriteria utama itu dengan tumpuan kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri diterima khalayak termasuk dikenali, disukai dan memiliki kredibiliti sebagai pemimpin.

 Katanya, keputusan menetapkan calon di kalangan `kroni’ puak tertentu juga perlu dielakkan, tetapi jika ia perlu dilakukan di kalangan kroni, mereka perlulah `kroni rakyat’.

 “Tidak kisah jika mahu mengambil kroni sesiapa sahaja, walaupun calon itu kroni pemimpin utama, bagaimanapun, dia haruslah turut menjadi `kroni rakyat’. Maksud saya orang suka. Rakyat suka. Kalau pilih calon betul-betul yang rakyat suka, ada rekod, ada kebolehan, boleh menang. Saya jamin boleh menang.

“Calon berkenaan bukan sahaja yang mudah mendekati dan suka kepada rakyat, malah rakyat suka kepada dia,” katanya.

 Senator Dato’ Abdul Rahman berkata, kegagalan BN meletakkan calon pilihan rakyat mengakibatkan pembangkang walaupun sebuah parti yang lemah, tetap boleh menang kerusi yang dipertandingkan.

 Malah, sesiapa sahaja calon pilihan Pas termasuk Presiden parti itu sendiri, Dato’ Seri Haji Hadi Awang masih boleh ditumbangkan pada PRU13 jika BN berupaya meletakkan calon yang diterima rakyat Marang.

 

TATiUC dan Mie Universiti perkukuh hubungan

Oleh: Suriati Ali 


Kolej Universiti Tati (TATiUC) dan Mie Universiti Mie, Jepun terus menjalinkan hubungan baik bagi menjayakan program pertukaran pelajar untuk setiap sesi kemasukan pelajar akan datang.


Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, terbaru lima pelajar dan tenaga akademik Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah secara percuma di Universiti Mie, Jepun.

YB Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata persetujuan pembiayaan itu terkandung dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Jepun pada 24 Mei lalu.

Kampus TATiUC di Terengganu.

Kampus MIE Universiti di Jepun.

“Pemeteraian perjanjian persefahaman adalah bagi jurusan kejuruteraan biosumber, inovasi dan kejuruteraan.

“Selain itu, menerusi MoU ini, kuota untuk program pertukaran pelajar selama enam bulan di university itu ditambah kepada lima orang, selain TATiUC turut menerima lima pelajar daripada Universiti Mie,” katanya. 

YB Haji Ahmad Razif berkata, sebelum ini, dua pertukaran pelajar sudah dilaksanakan dengan university itu melibatkan pertukaran sesi pertama melibatkan seorang pelajar pada tahun lalu diikuti dua pelajar pada sesi kedua.

 Katanya, seorang daripada pelajar berkenaan mendapat pembiayaan biasiswa dari Universiti Mie sendiri. 

“Menerusi MoU ini juga, empat profesor pelawat dari Universiti Mie juga akan ditempatkan di TATiUC pada setap tahun bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan di kolej universiti ini khususnya dalam bidang penyelidikan serta bidang lain sperti pembuatan, kimia, mekatronik serta sains computer dan teknologi maklumat.

 “Dengan itu diharap kerjasama bersama university dari matahari terbit itu akan membantu memperkasakan kualiti pendidikan di TATiUC khususnya dalam penyelidikan,” katanya.

 

TATiUC lancar Pelan Strategik 2012-2016

Dato' Haji Ahmad Razif ketika melancarkan buku Pelan Strategik TATiUC 2012-2016.

Kolej Universiti Tati (TATiUC) melancarkan Pelan Strategik TATiUC 2012-2016 yang menjadi hala tuju dan panduan untuk semua warga kerja kolej berkenaan merealisasikan hasrat menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2016.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelan tersebut menggarap lapan strategi yang merangkumi pelbagai aspek diperlukan bagi institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, strategi pertama bertujuan meningkatkan kecemerlangan insan agar kualiti pelajar ditingkatkan, melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri, melahirkan usahawan tekno yang kompeten di bidang terkini industri dan meningkatkan keupayaan serta kualiti pekerja.

“Strategi kedua adalah memantapkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya jumlah penuntut yang cemerlang akademik dapat ditingkatkan serta memastikan program akademik relevan dengan keperluan pasaran semasa kerana situasi kini menggambarkan sebahagian besar siswazah tidak dapat penuhi kehendak industri.

“Manakala memperkasakan inovasi melalui penyelidikan adalah strategi ketiga di mana penyelidikan sahaja tidak penting tetapi pembaharuan dalam penyelidikan itu yang paling mustahak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pelan itu yang diadakan serentak dengan majlis makan tengah hari sempena Majlis Konvokesyen Tatiuc Kali Keenam 2012 di Awana Kijal Golf, Beach & Spa Resort, Kijal, semalam.

Pelancaran pelan disempurnakan Canselor Tatiuc, Tan Sri Dato’ Ir (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaacob. Hadir sama, Pemangku Rektor TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim dan penyelaras projek pelan itu merangkap Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri TATiUC, Dato’ Zulkifli Mohamad.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, strategi keempat pula adalah penjenamaan kerana hari ini banyak IPT wujud di negara ini.

“Sebagai sebuah IPT yang sudah lama wujud, TATiUC perlu membangun, meningkatkan imej korporat dan perlu menganjurkan aktiviti penjenamaan yang intensif serta ekstensif,” katanya.

Beliau berkata, budaya pengurusan yang cemerlang menjadi strategi kelima yang digubal dan ia perlu ditanam dalam diri setiap warga kerja Tatiuc kerana melalui amalan kerja cemerlang dapat melahirkan siswazah cemerlang.

 Katanya, pengurusan kewangan yang efisien dan efektif juga ditekankan agar sekurang-kurangnya pada 2016 nanti mereka dapat berdikari dan mempunyai sumber kewangan mencukupi sementara strategi ketujuh adalah menyediakan kemudahan serta infrastruktur yang kondusif.

 “Strategi terakhir adalah perkongsian pintar dan pengantarabangsaan sama ada dengan rangkaian institusi lain baik dari dalam negara mahupun luar negara. “Kini Tatiuc berjaya menjalankan perkongsian hingga ke peringkat global. Dengan strategi ini kita mahu meningkatkan jumlah penuntut antarabangsa dan mengantarabangsakan kepakaran pekerja akademik,” katanya.

 

Sultan Mizan berangkat ke majlis persandingan anak MB



Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis persandingan anak sulung Menteri Besar Terengganu yang diadakan penuh meriah di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenganu, malam tadi.

Turut berangkat, Permaisuri Nur Zahirah dan Tengku Besar Terengganu serta orang-orang kenamaan. Hadir sama, Yang Dipertua Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam dan pembesar-pembesar negeri.

Majlis dimulakan kira-kira jam 8.30 malam dengan perarakan masuk kedua-dua mempelai, Nor Asdayana Dato’ Seri Haji Ahmad, 27, dan Mohd Hafiz Adnan, 24, ke dewan utama dan mereka bersanding di atas pelamin yang dihias indah.


Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah, berkenan menyempurnakan acara merenjis air mawar dan diikuti oleh tetamu kehormat, termasuk ibu bapa pengantin perempuan, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Puan Nor Asdayana dan suami diijabkabul di Kediaman Seri Iman pada sebelah malam 21 September. Kedua-dua pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober tahun lalu.

Pada majlis ucapan selepas selesai majlis makan malam, Menteri Besar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda Sultan Mizan Zainal Abidin yang sudi mencemar duli bagi berangkat pada majlis itu.

Menteri Besar turut mendoakan agar kedua-dua mempelai dipanjangkan jodoh dan menjalani kehidupan berumahtangga dalam keadaan penuh harmoni. Baginda Sultan Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 10.30 malam.


10,000 anggota Rela dapat elaun RM1,200 sebulan


Ketua Pengarah Rela Datuk Mustafa Ibrahim menyampaikan hamper kepada seorang peneroka

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 10,000 anggota Rela yang sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan tetap kini menikmati pendapatan lebih baik apabila kerajaan memberi peluang mereka menyertai tugas rondaan bersama pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penyertaan anggota Rela dalam rondaan bersama itu memberi peluang mereka memperolehi elaun bulanan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan dengan menyertai tugas meronda.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, jika sebelum ini anggota Rela hanya mendapat bayaran antara RM10 dan RM20 ketika diminta menjalankan tugas di majlis perkahwinan dan program anjuran jabatan lain tetapi kini kehidupan mereka sudah berubah.

Katanya, tranformasi terhadap Rela yang dilaksanakan kerajaan menyebabkan anggota agensi itu turut berbubah dalam semua aspek selain mendapat elaun lebih tinggi serta tugas yang lebih mencabar.

Menurutnya,berikutan perkembangan itu kerajaan membelanjakan RM7.2 juta setahun untuk membayar elaun bertugas kepada anggota yang terbabit dalam tugasan yang diarahkan oleh jabatan berkenaan

“Malah semua anggota berkenaan juga turut diberi perlindungan insuran sehingga RM40,000 jika meninggal dunia ketika menjalankan tugas rasmi,” katanya ketika merasmikan Pusat Khidmat Komuniti Rela Felda Selasih, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,Ramlan Ali dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Malik Rani dan Pengarah Rela Terengganu,Ahmad Wahab.

Beliau berkata, minat rakyat negara ini untuk menyertai Rela turut berubah apabila keanggotaan agensi itu kini mencapai dua juta anggota berbanding hanya seramai 530,000 pada 2008..

 Katanya, daripada jumlah itu terdapat 5,934 anggota adalah terdiri daripada peneroka Felda yang turut serta menyertai pasukan berkenaan.

22 September 2012

Produk anyaman diberi nafas baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Industri anyaman di Terengganu diberi nafas baru sejak lapan tahun lalu dengan mempelbagaikan produk penghasilannya kepada beg tangan, bekas serbaguna dan beg laptop dalam usaha meningkatkan jualan produk itu di pasaran.

Menurut Pengarah Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Encik Khairul Hafizi Naharuddin, berkata sejak 2004 sehingga kini, semua pengusaha industri anyaman di negeri ini diminta mengeluarkan produk yang lebih berkualiti dan mampu mendapat perhatian pengguna masa kini berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada tikar, bakul dan tudung saji semata-mata.
Industri anyaman kini diberi nafas baru berbanding hanya terhad kepada tikar, bakul dan tudung saji semata-mata. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Kita minta mereka kurangkan membuat tikar, sebaliknya memajukan lagi industri anyaman ini dengan menghasilkan produk lain seperti beg tangan, bekas hiasan..Selain menggabungkan warna yang lebih menarik.

 “Bagaimanapun, pengusaha anyaman seperti di Paka (Dungun) masih lagi menghasilkan tikar dan menjualkannya kepada pemborong dan peniaga barangan kraf itu, manakala pengusaha kraf itu di Marang menghasilkan pelbagai produk seperti beg daripada anyaman tikar,” katanya.

Encik Khairul berkata, industri anyaman di Terengganu yang turut berada di bawah program Satu Daerah Satu Industri itu kini hanya diusahakan kira-kira 20 wanita kebanyakannya warga emas dari sekitar Marang dan Dungun.


 “Masalah yang menimpa industri anyaman juga lebih kurang sama sebagaimana tembaga di mana anyaman yang hanya diusahakan wanita yang agak berusia dan jumlahnya tidak ramai berbanding permintaan terhadap produk itu sentiasa menggalakkan.

“Kraftangan Terengganu menyediakan khidmat latihan dan kemahiran menghasilkan pelbagai rekabentuk dan corak anyaman kepada mereka yang berminat dalam usaha menggalakkan pembabitan leboh ramai wanita muda dalam industri itu,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan produk yang dihasilkan itu tidak sempat dijadikan stok jualan memandangkan permintaan daripada pelanggan sering meningkat berbanding bilangan pengusaha yang terlalu rendah.

Encik Khairul tidak menolak faktor kurangnya margin keuntungan perusahaan itu berbanding produk kraf lain menyebabkan sukar untuk menarik minat generasi muda melibatkan diri dalam perusahaan itu, selain Kraftangan berusaha mengekalkan pengusaha sedia ada yang mewarisi tradisi keluarga masing-masing itu.

Katanya, jualan industri anyaman di Terengganu kurang RM1 juta setahun. Bagaimanapun, pihaknya mengenalpasti usaha yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan hasil jualan produk anyaman selain menambah bilangan pengusahanya.

 

Kraftangan sasar jualan promosi kraf RM200 ribu

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu mensasarkan kutipan RM200,000 menerusi jualan pelbagai produk kraf dari seluruh Malaysia sempena Promosi Kraf Malaysia di Pasar Raya Mesra Mall, Kerteh, yang akan berlangsung pada 27 September hingga 1 Oktober ini.

Sebanyak 20 pengusaha kraf khususnya produk warisan tempatan dari Terengganu seperti tembaga, batik, songket dan anyaman akan dihimpunkan di bawah satu bumbung dalam acara yang turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu itu.

Pengarahnya, Encik Khairul Hafizi Nahauruddin, berkata jika sasaran jualan itu dapat dicapai, pihaknya akan mengadakan lagi program yang sama selepas ini dalam usaha meningkatkan imej dan jualan produk kraf di negeri ini.

“Seramai 20 pengusaha akan berhimpun di pasar raya itu termasuk dari Sabah serta Sarawak. Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan kraf pilihan mereka yang ditawarkan dengan harga yang istimewa bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Program dijangka akan dirasmikan pada 29 September (Sabtu) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said“ katanya.


Selain itu, Encik Khairul berkata , Perbadanan Kraftangan berusaha meningkatkan mutu dan kualiti produk kraf supaya mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran, seterusnya mampu menyumbang dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam tempoh lima tahun lagi.

 

Warga Dun Bukit Payong dapat kaca mata percuma

Oleh: Amirullah Othman 

 Seramai 1000 warga Dun Bukit Payong mendapat bantuan kacamata percuma yang dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Dun Bukit Payong dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga dan Syarikat Kaca Mata SANADI, kelmarin.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, dalam ucapannya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu dan syarikat SANADI yang sangat prihatin kepada rakyat di kawasan itu dengan memberikan pelbagai bantuan, termasuk kacamata kepada masyarakat di situ.


Beliau juga mengingatkan kepada masyarakat dalam Dun Bukit Payong supaya menjaga dengan sebaiknya kacamata pemberian daripada kerajaan ini kerana kos satu kacamata adalah tinggi.

Encik Zaidi berharap masyarakat Dun Bukit Payong berterimakasih atas pemberian daripada kerajaan ini dengan mengundi Barisan Nasional pada PRU 13 nanti.

Beliau juga turut melahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT atas limpah dan kurnia-Nya,dapatlah program yang sangat baik itu berjalan dengan lancar. Othman Mohd, 66, antara penerima bantuan kacamata ini sangat berterimakasih kepada Kerajaan Barisan Nasional atas keperihatinan kepada semua lapisan masyarakat dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada masyarakat negeri Terengganu.

Program seumpama ini mestilah diteruskan kerana tidak semua orang mampu membuat kacamata sendiri kerana kosnya yang tinggi.

 

Kuala Berang maju membangun

Bandar Kuala Berang yang dulunya sepi kini sudah maju sekarang. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA dan MASTURA JAMALUDIN.

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

“Bandar Kuala Berang, sudah maju sekarang,” begitu bunyi lagu Joget Terengganu yang merupakan salah satu lagu tradisional yang merdu didengar dan amat terkenal di negeri ini.

Kemajuan yang dicapai bandar Kuala Berang – sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Terengganu itu berpunca daripada hasil kemerdekaan negara yang kini sudah melebihi setengah abad (55 tahun).

Kini bandar itu bukan lagi ‘pekan koboi’ yang menjadi tempat penduduk daerah tersebut membeli pelbagai hasil pertanian dan ternakan pada hujung minggu, tetapi ia menjadi sebuah bandar lengkap dengan pelbagai kemudahan institusi perbankan, perniagaan dan pusat perkhidmatan.

Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sedang giat dibangunkan untuk dijadikan Pulau Bebas Cukai.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, bandar itu bakal menjadi pusat tumpuan pelancong yang akan berkunjung ke Tasik Kenyir – destinasi pelancongan utama bukan saja di Terengganu, malah di negara ini.

Tasik Kenyir kini sedang giat dibangunkan sebagai kawasan bebas cukai, lengkap dengan prasarana dan premis perniagaan yang sepatutnya sebagai kawasan pelancongan utama negara.

Pembinaan premis kediaman dan perniagaan juga sedang giat dilaksanakan kerajaan negeri di Bandar Kuala Berang dan Ajil, sejajar dengan keperluan semasa.

 Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Mohd Nor Othman, berkata penduduk kawasan Hulu Terengganu perlu bersyukur dengan nikmat pembangunan yang melimpah ruah di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun, pada pandangan saya penghayatan kemerdekaan di kalangan masyarakat kita hari ini secara umumnya, khususnya bagi generasi baru, agak longgar.

“Justeru, saya mengharapkan sistem pendidikan negara lebih terarah kepada usaha-usaha untuk mengekalkan rasa kecintaan kepada negara dan semangat patriotisme yang tinggi,” katanya dalam satu temubual dengan Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemikiran penduduk tempatan perlu diisi dengan rasa syukur dengan kejayaan yang kita semua kecapi agar rakyat lebih hormat kepada pemimpin semasa dan pemimpin silam yang telah mencurahkan keringat mereka untuk kemerdekaan dan kemajuan negara.

“Kita mahu berlakunya kelangsungan kemerdekaan di kalangan rakyat kita di mana mereka hidup bersatu padu dan cintakan negara serta menghormati kerajaan semasa,” ujar beliau.

YB Mohd Nor melahirkan rasa dukacita dengan sikap segelintir rakyat, khususnya di kalangan generasi baru yang mencemari sambutan ulangtahun kemerdekaan negara dengan budaya asing yang bertentangan dengan nilai-nilai murni.

 “Anasir-anasir tidak baik perlu dihakis daripada pemikiran generasi baru agar bangsa Melayu dan masyarakat negara ini terus dipandang mulia,” ujar beliau.

Seterusnya YB Haji Mohd Nor amat mengharapkan masyarakat generasi muda mengambil iktibar apa yang berlaku di negara-negara luar yang bergolak akibat perebutan kuasa dan perbalahan sesama sendiri, agar masalah yang sama tidak berlaku di negara ini.

“Kita semua perlu pertahankan keharmonian negara dan kehidupan yang aman damai di kalangan masyarakat berbilang bangsa, agar negara kita dan negeri kita Terengganu Darul Iman terus makmur di bawah pimpinan Kerajaan BN,” katanya.