Halaman

10 October 2012

Kesedaran rakyat Terengganu bayar cukai tanah makin meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Dato'Seri Haji Ahmad Said ditemani Dato' Haji Mazlan Ngah
ketika mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat exco.
Kesedaran membayar cukai tanah di kalangan rakyat Terengganu semakin meningkat apabila kerajaan negeri berjaya mengumpul hasil cukai berjumlah RM22,737,16.97 berbanding RM22,119,745.94 bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata prestasi pungutan hasil kutipan cukai tanah yang meningkat itu mungkin didorong oleh dasar kerajaan negeri yang memanjangkan tempoh masa pembayaran daripada Mei kepada Julai sejak beberapa tahun lalu.

 “Setiap tahun sejak beberapa tahun yang lalu exco membuat keputusan keputusan melanjutkan pembayarannya sehingga akhir Julai 2012 tanpa mengenakan denda.

“Sebab itu (sebelum ini) selepas Mei sahaja kita dendalah, tapi kita lanjutkan sehingga Julai setiap tahun sejak beberapa tahun yang lalu dan akhirnya kita dapati pada tahun ini iaitu setelah berakhir 31 Julai, pungutan yang kita buat ialah sebanyak RM 22, 737, 16.97 berbanding pada tempoh yang sama pada tahun lepas RM 22, 119, 745.94 pertambahan hampir RM600, 000 lebih pada tahun sebelumnya," katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

 Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar berkata, prestasi itu menggambarkan bahawa kesedaran di kalangan rakyat untuk membayar cukai tanah di negeri ini semakin meningkat.

 “Jadi, kita haraplah bahawa dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dan tempoh yang diberikan untuk mereka dan untuk mengelakkan tanah mereka tidak dirampas walaupun itu merupakan jalan terakhir kita, bagaimanapun, kita jarang melakukannya (rampas tanah) walaupun kita boleh lakukan demikian.Tapi kita haraplah kesedaran di kalangan rakyat untuk terus membayar cukai.

 “Terengganu merupakan negeri yang mengenakan kadar cukai terendah berbanding negeri lain di negara ini. Ada kadar hanya berjumlah RM2 sehingga RM3 sahaja setahun,” katanya.

Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah itu juga, kutipan tunggakan cukai sehingga 31 Julai pada tahun ini berjumlah RM2,126,831.35 (18.37 peratus) berbanding kutipan sehingga tempoh yang sama tahun lalu berjumlah RM1,960,240.95 (17.9 peratus).

Manakala kutipan denda lewat bagi tempoh yang sama tahun ini berjumlah RM660 846.55, meningkat berbanding tahun lalu (RM650,591.96).

Sementara jumlah kutipan berdasarkan bilangan hak milik sehingga 31 Julai tahun ini RM272,690, berbanding tahun lalu berjumlah RM253,077.

 “Tapi, sikap masyarakat kita kadang-kadang dia lupa atau buat-buat lupa, cuai dan sebagainyalah (membayar cukai). Bagi memudahkan mereka membayar cukai berkenaan, kadang-kadang kita buka kaunter, kadang-kadang kita buat apa-apa majlis, kita buka kaunter di mana-mana untuk membayar cukai pintu, cukai tanah dan semakan dan sebagainya.

 “Menerusi pembayaran ini boleh menjana pendapatan negeri dan memberikan duit pulangan kepada rakyat bagi melaksanakan pembangunan dan sebagainya,” katanya.

 

1,400 penduduk Tepoh terima bantuan JKM

Oleh: Noraini Jusoh

Nasib 1,400 penduduk yang kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal, warga emas dan golongan kurang upaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh terbela apabila menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan sejak beberapa tahun lalu.

ADUN Tepoh, YB Ustaz Haji Ramli Nuh menyampaikan ucapan di program  Temu Mesra bersama penerima bantuan bulanan di perkarangan Dewan Sivik Padang Nenas
 Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh meluangkan masa menyerahkan bantuan JKM berjumlah RM83,000 di Majlis Temu Mesra Yang Berhormat Tepoh Bersama Penerima Bantuan Bulanan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Dewan SiviK Kampung Padang Nenas itu, semalam (9 Oktober).

Turut hadir, Pembantu Kebajikan Masyarakat Kanan Kuala Terengganu, Encik Zulkifli Mohd Yasin dan Pengerusi JKKK Kampung Padang Nenas, Tuan Haji Zakaria.

Seramai 224 orang penerima bantuan bulanan menerima RM200 hingga RM450 dan hamper setiap seorang di majlis berkenaan.

Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu rakyat yang memerlukan pembelaan tanpa mengira peringkat umur dan kategori.

 “Kerajaan bersedia mendengar rintihan dan membela nasib penduduk negeri ini yang memerlukan pembelaan dan bantuan sepatutnya.

Salah seorang penerima bantuan bulanan mengucapkan terima kasih kepada YB Ustaz Ramli  ketika menerima  bantuan bulanan
“Diharap bantuan ini dapat digunakan dengan sebaik yang mungkin untuk membeli barangan keperluan harian dan barangan yang berfaedah untuk keluarga,” katanya.

 Beliau turut menasihati penduduk agar sentiasa yakin dan memberi sokongan padu kepada pentadbiran sedia ada selain menyambut baik program yang dianjurkan kerajaan negeri kerana mampu memberi manfaat kepada mereka.

 

Jabatan Meteorologi ramal Terengganu akan mengalami lima episod hujan lebat

Oleh; Esah Abdullah

Gambar fail
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan beberapa buah negeri di Semenanjung khususnya di kawasan Pantai Timur termasuk Terengganu akan mengalami tiga hingga lima episod hujan lebat tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, hujan lebat diramalkan berlaku selama tiga empat hari yang boleh menyebabkan kejadian banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Jangkaan jumlah hujan yang turun sekitar 170 hingga 270 mm pada Oktober kemudian meningkat kepada 570 hingga 860mm pada November dan 430 hingga 660mm pada Disember,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu di Bilik Mesyuarat Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan semua wakil jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Katanya, sekiranya berlaku keamatan hujan yang tinggi iaitu lebih 100mm sehari dan berterusan selama 48 jam serta aras air laut yang tinggi akan memungkinkan banjir berlaku.

“Tarikh jangkaan berlaku banjir bulan depan ialah 14 hingga 19 November dan 27 hingga 30 November manakala Disember ialah pada 12 hingga 19 dan 25 hingga 31 Disember,” katanya.

Menurutnya, bermula musim banjir tahun ini Jabatan Parit dan Saliran (JPS) akan melakukan pemasangan web kamera pemantauan banjir di empat lokasi terpilih iaitu di Kampung Gong Terap dan berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, Setiu serta di Jambatan Jerteh dan Kampung La, Besut.

 “Saya berharap orang ramai sentiasa mendengar hebahan keadaan banjir dari radio dan televisyen sebelum keluar rumah atau melakukan perjalanan jauh untuk keselamatan diri dan keluarga,”

katanya. Katanya, segera berpindah jika diminta berbuat demikian oleh petugas banjir bagi mengelak sebarang kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Dalam perkembangan lain, urusetia JPBN akan menganjurkan program Kesedaran Bencana Peringkat Komuniti melibatkan tiga lokasi iaitu Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman bagi meningkatkan kesedaran dan menjadikan komuniti tempatan sebagai front-liner dalam mendepani sebarang bentuk bencana di kawasan mereka.

 

JPBP arah semua jabatan dan agensi memperkemaskan jentera hadapi banjir

Oleh; Esah Abdullah

Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) telah mengenalpasti 54 buah pusat pemindahan di seluruh negeri yang memerlukan kemudahan tandas tambahan terutama tempat yang sering berlaku pemindahan mangsa banjir yang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi JPBP, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengerakkan 15 buah ‘mobile toilet’ yang kini ditempatkan di Kem 512 (AW) Padang Midin ke pusat-pusat pemindahan berdasarkan keperluan dan permintaan.

“Saya menggesa semua pihak dalam pengurusan bencana negeri seperti jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan sukarela, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin komuniti setempat perkemaskan jentera pengurusan bencana masing-masing supaya lebih proaktif dan responsif pada setiap masa,” .

“Persediaan juga meliputi bekalan makanan, keperluan harian, kelengkapan logistik, kenderaan serta kekuatan anggota di barisan hadapan dan sokongan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPNT) Terengganu di Bilik Mesyuarat Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu hari ini.


Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan semua wakil jabatan dan agensi  kerajaan yang terlibat dengan persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

 Dalam pada itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenalpasti 198 kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini iaitu di Besut (30), Setiu (21), Kuala Terengganu (17), Marang (27), Hulu Terengganu (29), Dungun (32) dan Kemaman (42).

Katanya, jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menetapkan 353 pusat pemindahan yang berupaya menampung 49,052 orang mangsa banjir.

Menurutnya, daerah Besut mempunyai paling banyak pusat pemindahan iaitu 98 dengan muatan mangsa 11,082 diikuti Hulu Terengganu (78) 8,590 mangsa, Dungun (56) 9,615 mangsa, Kemaman (35) 6,030 mangsa, Setiu (35) 2,635 mangsa, Kuala Terengganu (27) 7,000 mangsa dan Marang (24) 4,100 mangsa.

Dalam masa yang sama JKM turut mengenalpasti 110 buah pengkalan hadapan bagi menempatkan bekalan yang strategik supaya kawasan kejadian bencana tidak terputus bekalan dan bekalan juga dapat dihantar dengan cepat kepada mangsa bencana.

“Berdasarkan laporan dan maklum balas yang saya terima, semua jabatan dan agensi telah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir berlaku di negeri ini,” katanya.

 

Terengganu bersedia hadapi banjir tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Dato' Haji Mazlan Ngah
Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir, terutama berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya juga sudah mengenalpasti pusat pemindahan dan pangkalan hadapan yang sesuai dan selamat kepada mangsa banjir, selain menyediakan keperluan harian kepada mereka.

Menurutnya, jawatankuasa persiapan banjir negeri sudah dua kali bermesyuarat bagi melancarkan persediaan berdepan bencana itu pada tahun ini.

 “Sebenarnya kita sentiasa bersedia dalam persiapan banjir dan kita sudah pun mengadakan dua kali mesyuarat mengenai persiapan banjir ini.

 “Mesyuarat turut menyelaras mengenai pusat-pusat pemindahan yang perlu untuk mangsa banjir. Kita dah siap semuanya,” katanya di sidang media selepas merasmikan Seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012, di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, semalam(9 Oktober).

 Dato’ Haji Mazlan berkata, agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal berkaitan bekalan makanan dan bahan mentah lain kepada mangsa banjir di pusat perpindahan nanti.

Katanya, pihaknya akan memastikan setiap agensi menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan penduduk yang berdepan dengan masalah itu mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.
 

TSG senarai tujuh anak jati galas cabaran Jelajah Hainan

Antara pelumba muda basikal TSG yang bakal membawa cabaran pada Jelajah Hainan di China.
Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) bakal menyenaraikan tujuh anak jati negeri itu bagi menggalas cabaran pada Jelajah Hainan di China dari 20 hingga 28 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Hadi Hassan berkata , TSG mahu beri peluang tujuh pelumba tempatan diketuai pelumba handalan negara Mohd Shahrul Mat Amin menimba pengalaman pada kejohanan Asia berstatus 2.0 HC (kategori Hors) itu. Selain Mohd Shahrul, TSG akan dibarisi Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Nor Umardi Rosdi, Saiful Anuar Abdul Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

“Kejohanan itu melibatkan lapan peringkat yang mana jarak setiap perlumbaan adalah sejauh antara 180km dan 210km,” katanya.

 Beliau berkata kejohanan lumba basikal Terbuka Perlis yang berakhir semalam merupakan medan pemanas badan bagi tujuh pelumba berkenaan sebelum menghadapi Jelajah Hainan.

 Kejohanan tersebut menyaksikan Mohd Shahrul menjuarai acara kriterium lelaki elit sejauh 49.5 kilometer manakala Mohd Nor Umardi di tempat kedua acara itu, manakala pelumba ATM, Mohd Adiq Hussaini Othman menduduki tempat ketiga.

 Encik Hadi berkata, pelumba TSG ada 10 hari untuk buat persiapan sebelum ke Hainan, 18 Oktober ini. Mereka akan ditemani jurulatih TSG kelahiran Itali, Sabastian Ducles

 

ADUN Hulu Besut sertai kayuh basikal bersama murid dan guru


ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad sertai kayuhan basikal

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 50 murid dari Sekolah Kebangsaan Alur Keladi menyertai Program Kembara Berbasikal sejauh 20 kilometer dari sekolah berkenaan ke Air Terjun Lata Tembakah, semlam.

Program anjuran Kelab Basikal Sekolah Kebangsaan Alur Keladi dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut itu turut disertai enam guru pengiring.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad melakukan upacara pelepasan peserta dan turut menyertai kayuhan sejauh 10 kilometer bersama murid dan guru.

Guru Besar berkenaan,Masitah Hassan berkata, program itu bertujuan mendidik murid mengenali kampung sendiri selain membina ketahanan diri dikalangan peserta.

Katanya, peserta terbabit yang baru menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), juga sebahagian daripada usaha melepaskan rasa bosan mereka dan perlu diberikan dengan pengisian aktiviti riadah.

Menurutnya, semua pelajar menunjukkan minat dan bersemangat ketika menyertai kayuhan itu malah mereka tidak menunjukkan keletihan walaupun terpaksa berkayuh sejauh 20 kimometer.

Sementara itu, Nawi berkata program seumpama itu mampu memberi ketahanan fizikal kepada peserta kerana ia turut menggunakan tenaga dan kesabaran ketika berkayuh.

Katanya, penyertaan beliau dalam kayuhan itu walaupun tidak sampaike destinasi ditetapkan ia sekurang-kurangnya memberi sedikit semangat kepada peserta termasuk guru yang menyertai program berkenaan.

09 October 2012

Perjuangan Pas tidak tepati kehendak Islam – Shahnon Ahmad

Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata, adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah S.A.W ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya semalam.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Pas Kawasan Sik berkata dasar Pas sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP. DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.

 

Zoo Bukit Takal taman mainan MB?

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Sejak kebelakangan ini hebat diperkatakan Zoo Bukit Takal di Kemaman hanyalah satu pembaziran duit rakyat semata.

Kehadiran pengunjung ke Zoo Bukit Takal Kemaman semakin bertambah dari hari ke hari.

Dimana-mana heboh mengatakan kerajaan negeri Terengganu banyak mengeluarkan belanja untuk binatang sampai menelan jutaan ringgit.

Baru-baru ini pihak pembangkang telah membuat edaran risalah mengenai hal tersebut secara meluas di sekitar Bandar Kemaman. Peruntukkan sebanyak RM100 juta yang dikatakan duit rakyat telah dibelanjakan untuk pembangunan Zoo Bukit Takal menjadi topik utama mereka.

Antara isu lain yang dimainkan oleh mereka adalah seperti RM10 juta untuk membeli pelbagai jenis beruk dan binatang, RM1juta untuk membeli 3 ekor Badak Sumbu, RM1.6 juta untuk membeli 6 ekor Zirafah, RM153,600 untuk membeli 6 ekor Baboon, RM384,000 untuk membeli 20 ekor burung Merpati, RM230,400 diperuntukkan untuk 24 ekor Flamingo dan banyak lagi fitnah liar yang ditabur pihak pembangkang.

Mustafar Khalid
Yang di Pertua Majlis Perbandaran (YDP) Kemaman, Mustafar Khalid telah membuat laporan polis bagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dan fitnah yang terkandung dalam risalah tersebut.

Keadaan ini secara tidak langsung dapat membersihkan semula nama Menteri Besar Terengganu di samping menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Beliau menjelaskan tiada perbelanjaan sebanyak ratusan juta dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk membeli beruk dan binatang sepertimana yang terkandung dalam risalah malah kebanyakan binatang seperti Zirafah, Badak Sumbu dan Bamboo langsung tidak ada di Zoo Bukit Takal Kemaman.

Tambah YDP Mustafar Khalid lagi, pihak pembangkang sudah ketandusan isu untuk menjatuhkan kerajaan sekarang, oleh sebab itu mereka tidak segan silu lagi menabur fitnah yang bukan-bukan bagi menghasut rakyat.

“Kebanyakan binatang yang ada di Zoo Bukit Takal Kemaman disumbangkan oleh Perhilitan Melaka seperti Buaya Tembaga, Ungka Tangan Putih dan kebanyakannya disumbangkan oleh orang awam,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

 

Teganukita 66