Halaman

16 October 2012

Puteri siap hadapi pilihan raya

Oleh:Noraini Jusoh 

Bagi memastikan Terengganu kekal di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), semua jentera BN dilihat semakin sibuk membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU 13), termasuk Pergerakan Puteri UMNO negeri.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, pihaknya bertangungjawab menjaga bahagian Teknologi Maklumat (IT) ketika hari pilihan raya nanti.

“Sebagai persiapan awal, lima orang petugas di setiap peti undi telah mengikuti kursus IT untuk melancarkan proses mengemaskini daftar pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kami turut bekerjasama dengan Pergerakan Pemuda UMNO negeri untuk mengenal pasti pengundi pertama kali atau dikenali sebagai ‘first timer vouters’ dan proses kemaskini data selanjutnya dijangka akan dibuat pada 3 November depan bermula dengan daerah Marang,” ujar beliau ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Walaupun sibuk dengan bahagian IT, Puan Nordiana dan ahli pergerakannya sentiasa mencuri masa untuk mendekati masyarakat setempat.

“Kami akan mengadakan lawatan ke hospital dan pelbagai program yang melibatkan ahli sebagai aktiviti sampingan untuk mengeratkan hubungan dengan orang ramai dan sesama ahli,” katanya.

 “Selain menganjurkan program dan membuat aktiviti di peringkat pergerakannya, Puteri UMNO Terengganu turut membantu jentera parti yang lain seperti terlibat secara langsung dalam pembahagian dana remaja untuk mereka yang layak baru-baru ini,” ujar beliau.


Jentera parti perlu buat persiapan rapi

Oleh: Suriati Ali

Jentera parti diingatkan membuat persiapan lebih rapi bagi merebut semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang tewas tipis kepada pembangkang pada PilihanRaya Umum lalu.

 Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang Dato' Wan Hisham Wan Salleh, berkata perlaksanaan gerak kerja sempurna selain usaha bersungguh-sungguh akan menjamin perkembangan positif kepada parti.

Katanya, apa yang penting, semua pihak perlu menyedari DUN Ladang bukanlah kawasan kubu kuat pembangkang.

“Saya harap perkara ini jangan dipandang ringan supaya mudah untuk kita hadapi cabaran dengan cara terbaik,” katanya.

 Menurutnya, dia meminta jentera parti memperkuatkan kerjasama antara satu sama lain tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

 “Kita perlu belajar melalui kesilapan lalu memadangkan BN sudah pun berdepan cabaran hebat kerana pernah tewas kepada pembangkang.

 “Setiap jentera arti perlu bijak menawan hati pengundi dengan turun padang dan bertanya khabar supaya BN memperoleh kemenangan selesa,” katanya.

 Katanya, pihaknya berharap, pengalaman lalu diambil sebagai penganjaran berguna untuk membaikinya secara menyeluruh.

 “Apa yang kurang di mata rakyat, kita akan usahakan seboleh yang mampu, yang sudah elok, kita akan tambah supaya jadi lebih sempurna,” katanya.

 

DBP perkenal Program Audit Bahasa

Oleh: Suriati Ali

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah positif dengan memperkenalkan Program Audit Bahasa demi memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan di sektor awam.

Tiga perkara utama yang akan diaudit adalah dokumen-dokumen rasmi, komunikasi lisan dan paparan. Manakala aspek pengauditan tertumpu kepada taraf dan mutu bahasa Melayu.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Rusli Abd Ghani, berkata menerusi program yang diperkenalkan itu, semua dokumen di jabatan dan agensi kerajaan akan mua diaudit menjelang 2013.

Katanya, pada masa sama, kerajaan akan mewujudkan sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan bagi menghargai usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

 “Pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa melalui program pengantarabangsaan bahasa Melayu juga diusahakan secara konsisten dan sistematik.

 “Sehubungan itu, DBP menerusi kerjasama pihak tertentu bertanggungjawab menyelaraskan kegiatan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di luar negara.

 “Usaha itu bakal meletakkan bahasa Melayu sebagai salah sebuah bahasa yang terpenting di dunia,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Encik Rusli Abdul Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 1,000 peserta hadir pada majlis yang turut diserikan dengan persembahan koir, deklamasi puisi dan sketsa.

Encik Rusli turut memberitahu, Potensi besar bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa juga ditandai dengan kewujudan 100 pusat bahasa Melayu/Indonesia.

 

Terengganu tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan MKJR ke-53

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan raya (MKJR) ke-53 yang dijadualkan berlangsung di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada 2 hingga 4 November ini.

Menurut jurucakap, perasmian mesyuarat itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada 3 November, jam 9 malam.

 “Mesyuarat berkenaan bagi membincangkan isu-isu keselamatan jalan raya di Malaysia melalui seminar dan juga pembentangan kertas kerja.

“Melalui resolusi yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini, segala keputusan dan cadangan akan dibawa ke Kabinet Malaysia untuk dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan,” katanya.

Katanya, pada penghujung mesyuarat, ahli MKJR Malaysia akan memilih tuan rumah bagi mesyuarat agung seterusnya. Pada mesyuarat agung tahun lalu yang berlangsung di Perak pada 2 hingga 3 Disember memilih Terengganu sebagai tuan rumah kali ini.

MKJR diwujudkan bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan menjalankan kajian keselamatan jalan raya.

Peranan lainnya termasuk menyelaras tindakan seperti meningkatkan tahap kesedaran keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya, menyebarkan informasi berkaitan keselamatan jalan raya, memastikan kejuruteraan jalan selari dengan aspek keselamatan jalan raya, memberi nasihat kepada kementerian pengangkutan dalam hal berkaitan keselamatan jalan raya serta menyelaras tindakan keselamatan jalan raya oleh mana-mana jabatan , pertubuhan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

 

Pesta Loykrathong di Sungai Ibai Jumaat ini

Oleh; Esah Abdullah

Pesta Perayaan Loykrathong kali-13 akan berlangsung di perkarangan pinggir Sungai Ibai, Chendering Kuala Terengganu pada Jumaat ini (19 dan 20 Oktober).

Pengerusi Tetap Persatuan Loykrathong negeri Terengganu, Encik Chan A/L Tom berkata, pelbagai acara menarik disediakan bagi memeriahkan pesta tersebut.

Menurutnya, antara aktiviti menarik sepanjang pesta tersebut ialah pertandingan ratu Loykrathong, kereta berhias, persembahan tarian, nyanyian dan gerai-gerai jualan.

 “Saya ingin mengajak semua lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum yang ada di negara ini untuk turut serta memeriahkan Pesta Perayaan Loykrathong kali-13 yang diadakan di sini.

 “Jika dahulu perlu ke negara Thailand untuk melihat pesta kebudayaan ini, tetapi sekarang tidak lagi perlu ke sana. Pada tahun lepas, lebih 15,000 pengunjung telah datang untuk menyaksikan pesta ini,” katanya.

 “Kita menjangkakan, tahun ini lebih ramai pengunjung akan hadir,” katanya pada sidang media sempena Pesta Perayaan Loykrathong di Green Acres Golf and Country Resort, Kuala Ibai.

Menurutnya, beberapa negeri turut mengadakan pesta ini tetapi pengajuran di Terengganu lebih besar dan meriah.

 

BN boleh menang Wakaf Mempelam jika tarik pengundi muda

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Barisan Nasional (BN) boleh menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika berjaya menarik pengundi muda mengundi calon BN.

Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (gambar), berkata kini terdapat 24,949 pengundi di kawasan itu dengan 55 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan belia.

“Jika kita (jentera BN) dapat menarik sebahagian besar daripada pengundi muda ini, kita boleh menang di DUN Wakaf Mempelam,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong turut hadir bersama-sama kira-kira 180 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Wakaf Mempelam, pada majlis berkenaan.

Haji Wan Mahyuddin berkata, DUN Wakaf Mempelam sudah terlalu lama dimenangi oleh parti pembangkang iaitu kira-kira 34 tahun.

“Kali terakhir kita menang di kawasan ini ialah pada Pilihan Raya Umum 1978,” ujar beliau. Beliau berharap BN dapat memenangi pilihan raya kali ini bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Menteri Besar (Dato’ Seri Haji Ahmad Said) telah berjanji jika kali ini BN dapat menanwan DUN Wakaf Mempelam, kerajaan negeri akan membina 1,000 unit rumah kos rendah untuk penduduk kawasan ini.

“Saya mahu pengundi di kawasan ini merebut tawaran yang dibuat oleh Menteri Besar dengan mengundi calon BN,” katanya. Menurut beliau, selain projek rumah kos rendah banyak lagi projek lain bakal dilaksanakan kerajaan di kawasan itu jika BN menang pada pilihan raya akan datang.


15 October 2012

Marang boleh membangun di bawah BN

Oleh: Aida Abd Rahman 

Walaupun terdapat `tembok pemisah’ dari sudut ideologi politik di kalangan majoriti penduduk Marang, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pusat tetap menyalurkan bantuan dan kemudahan kepada penduduk di Parlimen itu.

Pun begitu, ada antara perancangan pembangunan yang sudah dikenalpasti gagal diteruskan akibat penduduk memberi mandat kepada pemimpin yang hanya `ada pada nama semata-mata’, sebaliknya tidak mampu membawa suara hati dan memperjuangkan hak mereka.

Rata-rata penduduk sedar, ketika era bekas Ahli Parlimen, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar (1999-2004) banyak kemajuan yang dilaksanakan, malah banyak lagi yang dirancang untuk dibangunkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bagaimanapun, akibat percaturan penduduk Marang sendiri yang memilih Pas, perancangan itu sedikit `tergendala’ sebelum ia dapat diteruskan semula sekiranya wujud persefahaman dan hubungan baik antara pucuk pimpinan negeri, negara serta peringkat Parlimen itu sendiri.


“Saya usahakan untuk membawa banyak pembangunan di Marang. Contohnya, sekolah. Malah, macam-macam lagi selain sekolah, masjid, surau, jalan raya, balai raya, klinik, Institut Latihan Perindustrian (ILP), kem tentera dan juga Hospital Marang.

“Saya juga bercita-cita untuk mewujudkan universiti, kawasan industri dan perumahan untuk rakyat sama ada kos rendah dan sederhana. Walaupun kita sudah bangunkan perumahan, namun belum mencukupi untuk menampung keperluan penduduk,” kata Dato’ Abdul Rahman kepada Teganukita, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga merancang untuk menaiktaraf jalan raya dengan melebarkan lorong sedia ada serta mewujudkan bandar baru di Kampung Laut.

Menurutnya, bandar baru itu nanti akan menempatkan pelbagai kemudahan seperti terminal bas, kereta sewa dan perkedaian yang akan menjadi satu alternatif baru bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik di Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Untuk belia pula, kita mahu memastikan adanya prasarana sukan seperti gelanggang futsal, pusat sukan dan stadium mini di Bukit Kor bagi memastikan aspek itu mampu berkembang dengan baik dan melahirkan lebih ramai atlet berwibawa di daerah dan juga negeri ini khasnya.

 “Malah, Kita juga mahu wujudkan Pejabat Bersepadu Persekutuan yang akan memayungi pelbagai agensi dan jabatan di bawah satu bumbung di sini di mana lokasi yang dikenalpasti adalah di Bukit Kor, Rhu Rendang. Projek pembangunan ini amat penting dan perlu kepada Marang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berhasrat mewujudkan kawasan ladang ternak dan pertanian yang lebih efisyen di belakang Penjara Merchang selain pasar borong, di Bukit Payong yang berperanan memberi lonjakan baru kepada sektor ekonomi, sekali gus dapat dimanfaatkan seluruh penduduk Marang.

Selain mewujud dan menaiktaraf lebih banyak sekolah rendah dan menengah, ILP dan universiti, Marang juga bakal memiliki Sekolah Imtiaz serta Maktab Rendah Sains Mara satu masa nanti.

“Kita juga sudah lama merancang mewujudkan Kem Tentera di Jenang. Industri kraf dan songket juga mahu dibangunkan supaya sektor warisan itu akan lebih berdaya saing.

 “Pada masa yang sama, sektor pelancongan amat penting dan boleh dimajukan lagi terutama di Pulau Kapas dan Kampung Jenang.

Selain kita juga mahu membangunkan lebih banyak masjid. Masjid yang sedia ada di seluruh Marang ini juga kita akan besarkan lagi.

“Jadi kita kalau BN menang, Insya-Allah kita boleh teruskan. Kalau BN kalah, sekali lagi pembangunan itu akan terencat.

Kalau pembangkang terus berkuasa, menandakan rakyat tidak pandai menilai kerana sanggup menggadai maruah kepada `pembekuan’ pembangunan dan masa depan anak bangsa sendiri,” katanya.

Oleh itu, katanya PRU13 ini amat penting dan kritikal untuk memastikan kesinambungan pembangunan untuk masa depan yang lebih terjamin dan cerah.

 Katanya, rakyat perlu faham dan sedar bahawa hanya kemenangan dan mandat yang diberikan kepada BN membolehkan perancangan diatur dengan lancar hasil bantuan kerajaan negeri dan Pusat.

Cakna keluarga bersama YPK

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK ) baru-baru ini menganjurkan Forum Perdana berkaitan kekeluargaan di Dewan Komuniti Pulau Bahagia.


Penceramah jemputan kali ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, YB Ustaz Muhammad Ramli Nuh, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Ustaz Wan Akashah yang telah berjaya mengupas isu-isu kekeluargaan dengan cara menarik.

Didikan agama adalah asas kebahagiaan rumah tangga dan semua yang hadir di ingatkan supaya menitikberatkan amalan ini dalam kehidupan seharian.

Dalam memberikan kasih sayang yang tiada terhingga kepada keluarga hendaklah dengan cara memberi hadiah sebagai tanda ingatan, memberi kata-kata rangsangan ataupun memuji dengan perkataan yang baik dan sentuhan fizikal seperti bersalaman antara anak dan kedua ibu bapa.

“Gunakan panggilan yang baik. Isteri memanggil suami dengan perkataan ‘abang, honey, darling, sayang’. Suami pula memanggil isteri dengan panggilan ‘honey, darling, sayang,’ atau nama manja. Nabi s.a.w. memanggil A’ishah dengan ‘Humairaa’ yang boleh diertikan ‘si merah jambu’. Elakkan panggilan ‘ayahnya, bapanya, abahnya, papa, daddy’ dan seumpamanya. Elakkan ‘maknya, mama’ dan sebagainya.

“Ini berlaku selepas pasangan mendapat anak. Panggilan ini kadang-kadang bukan sahaja digunakan di hadapan anak bahkan semasa pasangan berdua sahaja. Jangan jadikan panggilan ‘darling’ dan ‘sayang’ di awal perkahwinan, tetapi di akhir perkahwinan ’pinggan dibaling senduk melayang’.”ucap Ustazah Nor Bahyah sewaktu menyampaikan ceramahnya baru-baru ini.

Ustazah Siti Nor Bahyah dan Ustaz Wan Akashah juga mengaitkan dengan rahsia kebahagiaan hidup Rasullullah di mana memanggil isterinya dengan nama manja. Malahan bersama selalu membantu Saidatina Aishah menguruskan rumah tangganya.

Begitu juga air tangan emak di mana setiap anak akan tetap mengatakan masakan emak atau isteri adalah terbagus walaupun hanya yang biasa-biasa sahaja kerana emak atau isteri memasak dengan penuh kasih sayang buat keluarga tercinta.

Itu rahsianya kenapa sehingga bila-bila masakan emak tetap menjadi ingatan. Rata-rata yang hadir pada hari itu merasakan apa yang disampaikan cukup bermakna kepada mereka dalam membina keluarga yang bahagia .Mereka mengharapkan program seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa.


Perlu guna bahasa kebangsaan-MB

Oleh: Suriati Ali 

 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan di Terengganu diminta menggunakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai urusan, terutama berkaitan papan iklan, majlis dan surat rasmi.

YB Dato' Rahin melakukan gimik perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan di TTI
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara ini kerana masih terdapat pihak berkaitan gagal mempraktikkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

“Sebaliknya, mereka lebih gemar menggunakan bahasa inggeris dalam menyiapkan sebarang tugasan seperti surat pekeliling, surat arahan dan minit mesyuarat.

 “Kita sewajarnya memandang serius perkara ini kerana sudah termaktub dalam surat pekeliling awam,” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

 Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said.

 Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Encik Rusli Abdul Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan.


Kira-kira 1,000 peserta hadir pada majlis yang turut diserikan dengan persembahan koir, deklamasi puisi dan sketsa Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu program bulan bahasa kebangsaan adalah kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

 “Oleh itu, saya menggesa rakyat pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah serta mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

 


KKKT anjur Program Khidmat Masyarakat

Kolej Komuniti Kuala Terengganu menganjurkan Program Khidmat Masyarakat ‘Peneraju Komuniti Menabur Bakti’ di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Telok Ketapang, pagi ini.

Pelbagai acara, termasuk gotong royong dan kursus lanskap diadakan sempena program itu yang bertujuan mendekatkan masyarakat KKKT dengan anak-anak yatim di rumah tersebut.

Semua peserta yang terlibat dengan program itu bertolak ke Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi jam 8 pagi dan balik semula jam 4.30 petang.