Halaman

04 November 2012

Kekeliruan agama tidak wajar dibiar

Oleh: Noraini Jusoh 

Kekeliruan umat Islam hari ini khususnya berkaitan isu agama tidak seharusnya dibiarkan tanpa penjelasan.
Pendekatan yang diambil oleh Jabatan Mufti negeri dan agensi-agensi kerajaan lain dengan mengadakan pelbagai program untuk memberi dan meningkatkan pemahaman kepada masyarakat seharusnya dicontohi.


Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Y.B Haji Khazan Che Mat (gambar) kepada sidang media di Seminar Pendidikan Fatwa dan Falak Negeri Terengganu kali ke-2 bertempat di Dewan Majlis Daerah Setiu, baru-baru ini.

“Penganjuran seminar sebegini dapat mengelakkan kekeliruan dan dapat menjelaskan dengan lebih lanjut kekeliruan yang biasa berlaku dalam masyarakat kita terutamanya berkaitan istilah-istilah dalam agama Islam.

“Apabila sesuatu hukum dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kebiasaannya ia berdasarkan pada kajian yang mendalam, justeru sekiranya masyarakat kurang arif mengenainya maka akan timbul salah faham,” ujarnya.

Haji Khazan berkata, hukum hudud merupakan salah satu perkara yang masyarakat hari ini masih ramai yang keliru dan memerlukan penjelasan lanjut mengenainya.

“Dengan adanya seminar sebegini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan pertelingkahan antara orang ramai berkaitan isu hudud contohnya, melalui penjelasan yang diberikan oleh pakar atau orang yang arif mengenai ilmu agama,” ujar beliau.

Menurut Haji Khazan, tidak seperti zaman Rasulullah s.a.w,di mana tidak timbul soal pertelingkahan dan kekeliruan sesuatu hukum, masyarakat kita pada hari ini sentiasa memerlukan peringatan dan penjelasan kerana ada pihak-pihak tententu yang tidak bertanggungjawab cuba memutarbelitkan sesuatu hukum.

 “Saya berharap Jabatan Mufti negeri akan mengadakan seminar sebegini dari semasa ke semasa untuk menjelaskan sesuatu isu berkaitan agama yang mungkin timbul untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

 “Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan sentiasa merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang agama seperti Jabatan Mufti negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan agensi-agensi berkaitan sekiranya timbul kekeliruan terhadap sesuatu hukum atau fatwa yang disampaikan oleh pihak-pihak diragui,” katanya.

 

Kaum India Kemaman usul pemasalahan dengan Menteri Besar

Oleh: Nurul Aziela Saberi

 Sekitar 500 orang masyarakat India disambut meriah dengan pelbagai persembahan tarian Bollywood dan tarian Melayu di Dewan Dato’ Seri Amar semalam. Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kaum India di sekitar Kemaman bersempena Hari Deepavali.

Kanak-kanak yang hadir turut dirai dengan ‘angpau’ raya setiap seorang malah warga emas dan orang kurang berkemampuan juga mendapat sumbangan wang riggit daripada Parlimen Kemaman bagi membuat persiapan menjelang Deepavali nanti.

Wakil Timbalan MIC Bahagian Kemaman, V. Rasamanickam berkata, lebih kurang 1200 orang masyarakat India di Kemaman yang kebanyakannya menetap di sini menggunakan dewan serbaguna yang terletak berhampiran kuil di Jalan Air Putih untuk sebarang program mahupun perjumpaan.

Namun begitu keadaan dewan tidak selamat digunakan lagi dengan pemasalahan sistem peparitan yang rosak, tandas yang tidak boleh digunakan dan kos membaik pulih keseluruhan dewan itu menelan belanja hingga ratusan ribu.

Masyarakat India di sini amat berharap pihak kerajaan negeri dapat membantu dan memberi sedikit sumbangan kepada MIC Kemaman untuk menyelesaikan pemasalahan tersebut.

Di samping itu, beliau turut mengutarakan usul mengenai pengundi India seramai 25% yang berkerja di luar Kemaman untuk memohon kos pengangkutan pergi dan balik apabila menjelang Pilihan Raya nanti.

Menurutnya lagi, masyarakat India di sini amat berharap dapat berjumpa dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said untuk mengutarakan beberapa pemasalahan yang berlaku dalam kalangan mereka.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya berkata masyarakat India sekarang tidak lagi dipinggirkan malah peroleh keistimewaan tersendiri.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berusaha untuk menyelesaikan pemasalahan kaum India di Kemaman seberapa segera dan akan membuat susulan mengenai perjumpaan dengan Menteri Besar katanya yang mewakili Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis yang sama di peringkat negeri Terengganu.

Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah dan Pengerusi MIC Negeri R. Suppiah.

Gimik politik Presiden Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesediaan Presiden Pas, Dato’ Seri  Abdul Hadi Awang yang sanggup menawarkan diri bertanding di mana-mana sahaja kerusi termasuk Parlimen Pekan yang disandang Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hanyalah sekadar gimik politik pemimpin pembangkang itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pas itu hanya sekadar mahu menarik perhatian umum apatah lagi ketika musim Pilihan Raya Umum semakin hampir tidak lama lagi.

“Itu gimik politik dia sahaja. Gimik politik dia kalau parti arah dia akan buat. Dia sebagai presiden partikan. Kalau apa yang dia hendak, `saya hendak bertanding’..kalau tidak boleh, tidak bolehlah. Ini gimik ..sahaja.

 “Tidak payah layanlah..memang tidak betul ..Dia tahu dah (kesan tindakan itu) ..(sengaja) hendak `cari mati?’. Semua itu gimik..sekadar `buat lawa' ,” kata beliau selepas majlis Rumah Terbuka Deepavali 2012 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menteri Besar mengulas demikian ketika ditanya mengenai laporan media semalam mengenai tindakan Presiden Pas yang bersedia menurut kehendak parti supaya beliau bertanding di mana-mana kerusi termasuk Parlimen Pekan pada PRU ke-13 nanti.

Dato' Seri Haji Ahmad dalam ucapan di majlis berkenaan sebelum itu meminta semua masyarakat India mengekalkan perpaduan dan keharmonian serta menolak anasir tidak sihat yang boleh meruntuhkan keamanan serta pembangunan yang sedang dikecapi kini.

Beliau turut menyeru masyarakat India supaya terus memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan negeri dan Pusat, serta menyokong kepimpinan Barisan Nasional.

 

Pemimpin Umno bersatu

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pemimpin Umno Terengganu tekad untuk melupakan pertelingkahan sesama sendiri dalam tempoh beberapa tahun lalu dan bersatu hati, demi bagi menguatkan jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN), menghadapi pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Tengku PuteraTengku Awang, berkata semua ketua Umno Bahagian dan ketua-ketua sayap parti itu sepakat untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi menghadapi tentangan pihak pembangkang.

Beliau menegaskan Umno tidak menghadapi masalah di segi perpaduan kerana pemimpinnya di semua peringkat telah menyatakan komitmen masing-masing bagi membantu calon-calon BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada PRU 13 yang bakal diadakan bila-bila masa.

Beliau mengakui di peringkat awal perubahan pucuk pimpinan Umno Terengganu yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, timbul masalah kerana terdapat rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pemimpin bahagian.

“Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun ini kita telah mengambil pelbagai inisiatif untuk merapatkan jurang antara pemimpin tempatan dan kini boleh dikatakan tiada lagi perselisihan semasa sendiri,” katanya dalam satu temubual secara eksklusif dengan Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Tengku Putera berkata, Menteri Besar mengarahkan semua pemimpin Umno supaya bersatu hati dan mengeratkan perpaduan demi bagi memastikan Umno dan BN benar-benar bersedia bagi menghadapi pilihan raya kali ini yang diramalkan ditentang habis-habisan daripada pembangkang.

“Insya Allah kita semua (ketua-ketua Umno Bahagian) ada hasrat dan berazam untuk melihat BN mencapai kemenangan besar di seluruh negara pada pilihan raya kali ini,” tegas beliau.

Malah, katanya, pemimpin Umno negeri bukan saja berazam untuk mempertahankan kedudukan BN sebagai parti memerintah negara dan negeri Terengganu, tetapi turut berusaha untuk meningkatkan majoriti BN di sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

“Pada masa yang sama mereka juga akan mengerah jentera pilihan raya di kawasan masing-masing supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh melalui gerak kerja tersusun bagi merampas semula sebanyak mungkin kerusi DUN yang dikuasai parti pembangkang sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, pemimpin Umno Terengganu menyedari jika mereka melakukan kesilapan dalam percaturan politik, pihak pembangkang akan mengambil kesempatan untuk menawan negeri ini.

“Jika ini berlaku, sudah tentu rakyat akan menjadi mangsa kerana sejarah telah membuktikan negeri Terengganu banyak ketinggalan sewaktu negeri ini diperintah oleh Pas pada tahun 1999.

“Sebagai pemimpin yang mengutamakan rakyat, semua ketua-ketua Umno Bahagian dan ketua-ketua sayap Umno akan memberi komitmen tahap maksimum untuk mempertahakan negeri ini daripada dikuasai oleh pembangkang ,” tambahnya.


YPKT tambah empat lagi TPK

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan membina empat lagi Taska Pertama Keluarga (TPK) sebagai langkah memenuhi permintaan ibu bapa bekerja yang ingin menempatkan anak masing-masing di taska itu.


 Pengarah YPKT, Encik Shafaruddin Mustafa (gambar) berkata, empat Taska bernilai RM2 juta itu akan dibina di Binjai Rendah di Marang; Padang Hiliran, Kuala Terengganu; Kijal Kemaman dan Dungun.

 "Setakat ini kita ada 65 TPK dan pembinaan ini bergantung kepada kelulusan kerajaan sejajar dengan permintaan mendadak daripada ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke Taska YPKT.

"Di setiap TPK, kita mewujudkan puluhan program bermanfaat bukan saja mampu melahirkan kanak-kanak bijak berkomunikasi malah cemerlang pendidikan dan celik al-Quran,” katanya.

 Katanya, setiap kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal di TPK memperoleh banyak keistimewaan, termasuk mengikut program Hafaz Muqadam 23 surah lazim yang dijadikan modul wajib.

 “Aktiviti lain, belajar pelbagai perkara menggunakan kaedah TB-Kids. Melaluinya setiap kanak-kanak boleh mengenali jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.

 “Kem Anak Pintar Soleh dan Kem Pemantapan Rohani juga mampu membantu keperibadian jati diri setiap kanak-kanak supaya lebih berani menghadapi cabaran akan datang,” katanya.

 Katanya, sambutan Majlis Hari Lahir Secara Berkelompok dan Majlis Garduasi bagi kanak-kanak berusia 4 tahun turut diadakan semata-mata mahu melihat mereka dihargai.

 “Melalui puluhan program yang diadakan itu sekaligus dapat membantu mencapai matlamat dan hasrat pemimpin serta kerajaan negeri yang ingin melihat setiap anak dilahirkan di negeri ini berjaya dalam hidup.

 “Guru dan ibu bapa sewajarnya perlu bersama-sama mengemblengkan tenaga dan usaha sekiranya ingin melihat anak-anak yang diasuh dan dididik itu menempa kejayaan dengan cemerlang,” katanya.

 

Rakyat Terengganu perlu mengekalkan kerajaan sedia ada


Pengerusi PPKM Terengganu Dato'Syed Abu Bakar Abdullah menyampaikan cederamata kepada YAB Dato'Seri Mohd Ali Rustam

Oleh: Mohammad Ishak 

Rakyat Negeri Terengganu hendaklah menolak kehadiran pembangkang sebaliknya memberi kepercayaan penuh kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal memerintah negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam berkata, pengundi negeri ini jangan mudah terpedaya dengan janji manis yang ditaburkan Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) kerana pembangkan tidak mampu menunaikan janjinya.

Katanya, rakyat boleh mengambil contoh dengan apa yang berlaku di Pulau Pinaang, Selangor,Kedah dan Kelantan kerana pemimpin pembangkang tidak mampu mengurus negeri sebagaimana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, rakyat juga perlu menentang PR kerana pemimpin mereka hanya ingin kuasa dan selepas itu mereka tidak akan menunaikan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat.

“Terengganu masih beruntung kerana di kuasai BN malah pemimpin negeri juga sentiasa mengambil cakna masalah rakyat,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian ketika menutup Kursus Kepemimpinan Masyarakat yang disertai ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Terengganu yang berlangsung tiga hari di Hotel Hang Tuah Herritage,Melaka.

Seramai 240 ahli PPKM mewakili daerah Besut,Kuala Terengganu dan Dungun menghadiri kursus anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).Hadir sama Pengerusi PPKM Terengganu,Dato' Syed Abu Bakar Abdullah.

Beliau memuji usaha yang dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Yang Amat Berhormat,Dato’Seri Ahmad Said yang banyak melakukan perubahan untuk rakyat Terengganu.

Malah,beliau mengakui pucuk pimpinan sekarang mempunyai hubungan erat dan sentiasa menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang yang boleh menguntungkan rakyat kedua-dua negeri.

Terengganu komited urus TPK

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri komited dalam usaha membangunkan modal insan termasuk mewujudkan Taska Permata Keluarga (TPK) di seluruh Terengganu walaupun terpaksa menanggung kos pengurusan yang tinggi hampir setiap tahun.

 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Haji Nawi Mohamad, berkata secara purata TPK yang dikelola Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu menanggung hampir RM250 daripada RM450 jumlah sebenar, bagi setiap anak yang dihantar.

 “setiap ibu bapa hanya perlu membayar separuh daripada kos itu iaitu RM180 bagi setiap anak berusia empat tahun ke bawah, manakala RM200 bagi setiap bayi berusia setahun ke bawah.

“Jika dilihat dari segi kemudahan prasarana, kemudahan dan juga tenaga pengajar yang terlatih, kos itu jauh lebih murah berbanding taska-taska lain,” kata ketika berucap pada Program Hafaz Muqaddam Kanak-kanak Taska YPKT, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

 Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Isterinya, To’ Puan Seri Hajah Morliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.

 Dalam majlis itu, seramai 1,106 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari TPK seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

 Haji Nawi berkata, bukan hasrat kerajaan negeri bersaing dengan taska lain tetapi usaha itu sebagai agenda kerajaan bagi membangunkan modal insan di kalangan rakyat Terengganu, selain membuka peluang kepada rakyat berpendapatan rendah menghantar anak mereka ke taska yang bermutu tinggi.

 Menurutnya, YPKT juga meninggalkan satu penanda aras yang agak tinggi untuk diteladani dan diikuti oleh semua taska kerajaan serta swasta yang lain.

 Katanya, aspek tenaga pengajar menjadi suatu penanda aras yang sangat penting di Taska Permata YPKT dan terbukti dengan adanya lima orang pendidik yang memiliki kelulusan Ijazah dan Diploma, manakala lima orang pendidik berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

 “Kerajaan komited membelanjakan sejumlah wang yang besar demi memastikan kita dapat menghasilkan para cendikiawan dan pelapis kepimpinan negara yang bermutu tinggi,” katanya.

 

AES diyakini bantu kurangkan kemalangan jalan raya

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Datuk Ismail Ahmad
Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) yakin pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik(AES) dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan berharap agar orang ramai faham tentang konsep serta tujuan pemasangannya.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Ismail Ahmad berkata, masyarakat perlu memahaminya dengan jelas agar tidak berterusan melihat pemasangan AES dari sudut negatif sebaliknya ia adalah untuk kebaikan bersama khususnya pengguna jalan raya.

“Berdasarkan rekod tahun 2011, jumlah kemalangan dicatatkan di seluruh negara ialah kira-kira 500,000 kes dan daripada jumlah tersebut 6,877 membabitkan kemalangan maut.

 Manakala, jumlah kerugian kerosakan kenderaan menjangkau RM9 bilion. “Jumlah itu sebenarnya satu angka yang tinggi.

Sebagai salah satu usaha bagi mengurangkan kadar kemalangan ialah melalui pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.

“Usaha ini diyakin akan dapat mengurangkan kadar kemalangan dan apabila ia berjaya dikurangkan secara tidak langsung juga menurunkan jumlah kerugian kerosakan kenderaan akibat kemalangan. Orang ramai diharapkan dapat melihat secara lebih jelas tujuan pemasangan AES ini.

 “Lokasi pemasangan AES ini dipilih berdasarkan beberapa faktor antaranya ialah kadar kemalangan bagi tempoh lima tahun terakhir ini setelah kajian terperinci oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia serta beberapa agensi lain yang berkaitan.

 “Kajian lokasi pemasangan dilakukan penuh teliti bukan sewenang-wenangnya walaupun mungkin ada tanggapan mengatakan ia tidak sesuai dipasang di kawasan berkenaan. Bagi negeri Terengganu, kita telah mengenalpasti 49 lokasi pemasangan AES ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program 1Komuniti 1JPJ di Dataran Padang Kachung, di sini, semalam yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

 

Apresiasi SMK Mak Lagam

Oleh: Nurul Aziela Saberi 

Sekali lagi warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam dirai buat kali ke-3 dalam satu Majlis Apresiasi TESMAL yang cukup meriah, kelmarin.

Tujuan utama majlis ini diadakan ialah untuk menzahirkan rasa terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga kepada setiap warga TESMAL dan semua pihak yang selama ini telah menyokong TESMAL dan telah berusaha bersungguh-sungguh menyumbangkan tenaga dan buah fikiran mahupun wang ringgit dalam menjayakan setiap aktiviti sekolah sepanjang tahun 2012.

Disamping itu, ia juga bertujuan melahirkan semangat kekeluargaan dan memupuk perpaduan sesama penghuni warga TESMAL selain menghargai setiap satu kejayaan TESMAL di bidang akademik, ko-kurikulum dan sahsiah yang secara keseluruhannya telah membantu memartabatkan imej dan kualiti warga TESMAL.

Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha, berkata program sebegini tidak akan berjalan dengan lancar dan jaya tanpa kerjasama daripada semua pihak sekaligus memberi kesan yang amat mendalam kepada semua warga TESMAL.

Tambah beliau lagi, calon Sijil Penilaian Menengah (SPM) yang bakal menjawab peperiksaan tidak lama lagi haruslah mengutamakan kesihatan dan keselamatan diri bagi membuat persediaan di samping memantapkan diri dengan latihan di saat-saat akhir.

 “Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan segan silu untuk memberi penghargaan kepada setiap pelajar yang mendapat keputusan cemerlang malah akan diberi bonus yang kebanyakan negeri lain tidak akan peroleh,” katanya ketika merasmikan majlis.


Rumah Terbuka Deepavali semarak semangat 1Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap dengan program Rumah Terbuka Deepavali dapat menyemarakkan semangat 1Malaysia, mewujudkan perpaduan dan keharmonian negeri dan negara amnya.



“Program ini menjadi satu tradisi negara kita yang turut dipraktikkan di Terengganu yang dapat menghimpunkan semua keturunan, bangsa dan agama.


“Mudah-mudahan dalam keadaan ekonomi negara yang bertambah baik, sambutan Deepavali pada tahun ini dapat diraikan dengan lebih meriah di samping kita berusaha mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian yang tinggi bagi memastikan negeri kita terus aman,” katanya di majlis sambutan Rumah Terbuka Deepavali 2012 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, malam tadi (4 November).

Program anjuran MIC Bahagian Kuala Terengganu dan Kelab india Negeri Terengganu dihadiri kira-kira 500 tetamu dari berbilang bangsa termasuk Melayu dan Cina.

Selain pelbagai hiburan tradsional masyarakat India, menu tradisional kaum itu seperti nasi beriani, putu mayam, idli dan muruku disajikan kepada tetamu.


Seramai 40 keluarga miskin dari Kuala Terengganu yang terdiri daripada India (30 orang) Melayu (lima) dan Cina (lima) menerima sumbangan keperluan dapur bernilai RM150 seorang sempena sambutan perayaan itu tidak lama lagi.